Friday, January 12, 2018

Sumpah Laknat (Li'an) Suami Isteri


Sumpah Laknat yang terdapat dalam kes Li'an antara suami isteri iaitu apabila seorang suami menuduh isterinya berzina atau menafikan kandungan atau keturunan. Suami boleh dikenakan hukuman qazaf iaitu 80 kali sebatan jika gagal mendatangkan empat orang saksi.

Sumpah Laknat (Li'an) Suami Isteri

Untuk menyelamatkan diri dari hukuman hudud (kesalahan qazaf), maka suami hendaklah melakukan li'an manakala isteri juga hendaklah membalas dengan li'an jika mahu menyelamatkan diri dari hukuman hudud (kesalahan zina).

Dalil li'an

Dalil li'an adalah sebagaimana ayat 6-7 dari Surah An-Nur:

"Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesah tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (yang sah pada syara') bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang yang benar. Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata) bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia daripada orang-orang yang berdusta."

"Sahal bin Saad r.a berkata, Seorang lelaki Ansar dating berjumpa rasulullah SAW dan berkata, Wahai Rasulullah! Apakah pendapat kamu jika seorang lelaki mendapati isterinya berdua-duaan bersama-sama lelaki lain, adakah dia boleh membunuhnya atau apakah yang perlu dilakukan? Selepas itu Allah menurunkan ayat al-Quran mengenai perkara tersebut(ayat li'an). Sabda rasulullah SAW, Allah telah menjelaskan hukumnya terhadap masaalah kamu dengan isterimu. Sahal berkata lagi, Kedua-dua pasangan tersebut telah melakukan li'an di masjid dan aku menyaksikannya."

Lafaz li'an

Contoh lafaz li'an bagi isteri:

"Aku naik saksi demi Allah, si fulan berbohong dalam tuduhannya yang menyatakan aku berzina" (Hendaklah diulang sebanyak 4 kali) dan kali kelima disebutkan, "Kemurkaan Allah menimpaku sekiranya dia berkata benar".

Syarat-syarat li'an

Untuk menjadikan li'an itu sah mesti mengambil kira syarat-syarat berikut:
  1. Qazaf (suami menuduh isterinya berzina) berlaku lebih dahulu daripada li'an.
  2. Li'an suami mendahului li'an isteri.
  3. Kedua-dua suami isteri mesti menyebut perkataan atau lafaz li'an yang telah ditetapkan.
  4. Kelima-lima lafaz li'an hendaklah dilafazkan secara berturut-turut.
  5. Hakim wajib member nasihat kepada kedua-duanya supaya bertaubat kerana salah-seorang daripadanya adalah benar dan seorang lagi berbohong.

Hukum-hakam hasil li'an suami isteri

Apabila suami meli'an isterinya, maka terhasil lima hukum:
  1. Suami tidak dikenakan hukuman hudud kesalahan qazaf.
  2. Isteri wajib dikenakan hukuman hudud kesalahan zina kecuali dia juga melakukan li'an.
  3. Hukuman perkahwinan antara mereka terbatal.
  4. Ternafi anak dan kandungan dan tidak boleh dinasabkan kepadanya.
  5. Mereka diharamkan berkahwin selama-lamanya.

Wallahu a'lam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Apa Sebenarnya Sumpah Laknat?

sumber: jais

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon