Tuesday, December 05, 2017

Senarai Anugerah Kemanusiaan Aung San Suu Kyi Yang Ditarik Balik

Loading...

Aung San Suu Kyi bermula sebagai anak seorang tokoh politik dan hidup dalam lingkungan seumpama bangsawan. Pergolakan politik setempatlah yang membawa Aung San Suu Kyi diprojekkan sebagai tokoh prodemokrasi dan hak asasi manusia.

Senarai Anugerah Kemanusiaan Aung San Suu Kyi Yang Ditarik Balik

Selepas pelbagai kisah dan warna mengenai wanita itu diceritikan, dia pun menarik perhatian - dan simpati - dunia sehingga dirasakan layak diiktiraf dengan Anugerah Keamanan Nobel pada 1991.

Semuanya kelihatan secocok - Suu Kyi dan Anugerah Keamanan Nobel - sehinggalah dia menjadi pemimpin Myanmar dan krisis genosid ke atas etnik Rohingya berlanjutan.

Setakat ini Suu Kyi, 72, menerima lebih daripada 120 anugerah dan penghargaan di seluruh dunia.

Namun sikapnya yang kekal enggan membantu Rohingya mendorong pelbagai pihak menarik balik satu demi satu pingat yang diberikan kepadanya.

Setakat ini 5 anugerah sudah digugurkan daripada Suu Kyi iaitu:

1. Freedom of the City

Anugerah ini diberikan oleh bandar Oxford di Britain. Ia sebagai menghargai jasa seseorang tokoh yang dihormati.

Bagaimanapun bandar raya Oxford beberapa hari lalu berpendapat Suu Kyi tidak lagi layak membawa penghormatan yang mereka berikan pada 1997.

Suu Kyi diberikan penghargaan itu sebagai mengenang 'jasanya' yang panjang memperjuangkan demokrasi serta menjadi tahanan dalam rumah di Rangoon.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Majlis Bandar Raya Oxfor berkata tanpa reaksi membantu daripada Suu Kyi dalam isu Rohingya, mereka berpendapat tokoh itu tidak lagi layak membawa gelaran Freedom of the City.

2. Potret di Kolej St Hugh

Mengenangkan kedudukan Suu Kyi yang pernah belajar di Oxford, gambarnya dipaparkan di kolej berkenaan sebagai penghormatan.

Namun baru-baru ini penuntut kolej berkenaan menurunkan potret Suu Kyi daripada dipaparkan di bangunan berkenaan.

Alasan mereka, hujah dikemukakan Suu Kyi dalam menghadapi konflik Rohingya tidak meyakinkan.

Suu Kyi sebelum ini mendakwa kerajaan "tidak ada kuasa" bertindak ke atas pasukan tentera negara itu yang mengganasi etnik Rohingya.

3. Anugerah kehormat Sekolah Ekonomi London (LSE)

Suu Kyi menerima penghormatan ini pada tahun 1992. Dalam kenyataan Kesatuan Penuntut LSE, mereka berasakan Suu Kyi tidak bertindak memadai untuk membantu etnik Rohingya yang berdepan dengan penindasan sistematik pihak berkuasa Myanmar.

Kata kesatuan itu, langkah menarik balik anugerah kehormat berkenaan adalah simbol yang jelas bantahan mereka terhadap pendirian Suu Kyi menangani isu Rohingya.

4. Nama di ruang umum Kolej St Hugh

Suu Kyi pernah menjadi penuntut kolej berkenaan antara 1964 hingga 1967. Selepas meninggalkan kolej berkenaan dan terlibat dalam gerakan di Myanmar namanya mula dikenali ramai.

Ia menjadikan Suu Kyi sebagai seorang daripada alumni Kolej St Hugh yang paling terkenal. Justeru namanya diletakkan di ruang umum kolej berkenaan.

Namun pelajar di situ berasakan lebih baik nama Suu Kyi diturunkan dari tempatnya dengan apa yang berlaku di Myanmar.

5. Keanggotaan kehormat Unison

Unison ialah kesatuan sekerja kedua terbesar di United Kingdom dengan keanggotaan hampir 1.3 juta orang.

Dalam kenyataannya Unison memberitahu mereka menggantung keanggotaan kehormat Suu Kyi sebagai reaksi terhadap apa yang berlaku di Myanmar.

"Unison menggesa semua institusi yang memberi penghargaan kepada Suu Kyi - terutama Jawatankuasa Pemilihan Nobel - untuk mengikut langkah kami menggugurkan pengiktirafan itu serta-merta kerana dia tidak lagi layak menerimanya," kata pertubuhan berkenaan.

Sejak sekian lama kerajaan Myanmar tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai rakyat negara berkenaan.

Pendirian itu menghalang mereka mendapat atau menikmati hak sebagai warganegara.

Suu Kyi dan parti politiknya Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) memenangi pilihan raya Myanmar pada 2015 namun mengikut perlembagaan negara itu dia masih dilarang memegang jawatan presiden.

Justeru NLD melantik tokoh lain ke jawatan berkenaan namun pada masa sama Suu Kyi menjadi pemimpin sebenar kerajaan.

Dalam keadaan begitu Suu Kyi meneruskan dasar kerajaan sebelumnya dengan enggan mengiktiraf Rohingya sebagai rakyat.

Malah Suu Kyi enggan menyebut pun perkataan Rohingya dalam kata-katanya setiap kali bercakap mengenai mengenai konflik di negeri Rakhine.

Ketika berucap kali pertama mengenai isu Rohingya baru-baru ini Suu Kyi akhirnya melafazkan perkataan itu, tetapi bukan dalam maksud yang wajar, sebaliknya membawa konotasi negatif.

Dia menyebut mengenai kumpulan bersenjata Tentera Pembebasan Rohingya Arakan.

Sehingga kini Suu Kyi mendakwa krisis berkenaan tidak sepenuhnya benar dan mereka menjadi mangsa tindakan menuding jari pihak luar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Pengganas Buddha Terus Membunuh Umat Islam Rohingya, Kenapa Dunia Membisu?!

sumber: mk

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon