Sunday, December 03, 2017

Kumpulan Mafia Legenda Kongsi Gelap Yang Menggerunkan


Asal-usul kumpulan mafia sebagai organisasi jenayah terancang memang mustahil untuk dikenalpasti. Ahli-ahli organisasi mafia ini tidak menyimpan sebarang rekod yang bertepatan untuk tatapan kini.

Kumpulan Mafia Legenda Kongsi Gelap Yang Menggerunkan

Operasi-operasi mafia dilaksanakan secara rahsia demi kepentingan keluarga mereka dan apabila membicarakan tentang mafia, tentunya pulau Sicily, the Godfather dan submesingan Thompson akan dibayangkan.

Zaman kegemilangan mafia Itali sudah berakhir. Satu masa dahulu, kota Rom dijadikan ibu negara kepada sebuah empayar yang begitu luas pengaruhnya, pada hari ini sedang berdepan dengan kerapuhan ekonomi, korupsi, penindasan terhadap wanita dan ironinya, terdapat satu sektor yang langsung tidak menanggung keperitan ketiga-tiga perkara ini, kerana ia juga merupakan sebahagian daripada isu-isu semasa Itali.

Mafia adalah sebuah industri yang sangat menguntungkan, setahun boleh dikatakan sebanyak AS$170 bilion dijana industri ini.

Ekonominya yang berdasarkan pembunuhan, rasuah, penyeludupan, ceti haram, judi, pelacuran, peras ugut dan rompakan memerlukan sebuah ekonomi yang sungguh lemah untuk berkembang pesat. Hubungannya dengan negara yang ibaratkan parasit amat sesuai dengan keadaan ekonomi Itali sekarang.

Bayangkan, 7% daripada kekayaan Itali dikuasai mafia!

Pada hari ini, ‘Ndrangheta, Camorra dan Cosa Nostra menguasai alam kongsi gelap Itali. Golongan mafia ini tidak lagi beroperasi di bahagian selatan sahaja.

‘Ndrangheta yang mencengkam Calabria mendominasi perdagangan dadah. 80% daripada keseluruhan penyeludupan kokain di Eropah adalah atas usaha mereka.

Expo Milano 2015 antara 1 Mei hingga 31 Oktober 2015 pun kini dibawah penyiasatan pihak berkuasa selepas kontrak-kontraknya disyaki berhubung dengan penglibatan mafia.

Mafia kini tidak lagi memegang senjata, tetapi telefon-telefon pintar dengan ilmu kewangan yang tinggi. Operasi mereka terlalu luas, walaupun pakaian kot mereka kekal.

Inilah saat yang mereka nanti-nantikan – ketika bank-bank Itali tidak mahu memberi pinjaman, ketua-ketua mafia begitu gembira melayan perniagaan-perniagaan yang terdesak dengan khidmat yang menuntut kadar faedah yang sangat tinggi.

Amalan ceti haram ini telah menghancurkan 1,800 perniagaan. Seramai 200,000 orang tersangkut dengan tuntutan ini. Perjudian menjadi sumber kekayaan mereka yang ketiga terbesar. Dan pengaruh mafia juga sedang tersebar dalam sektor pengangkutan, perubatan dan logistik.

Nampaknya, persepsi “tiada perang, tiada mafia” adalah dongengan semata-mata.

Namun, pendapat sedemikian ada relevannya. Budaya mafia dilahirkan di Sicily dan dikembangkan menerusi peperangan.

Ndrangheta, Cosa Nostra dan Camorra semua dilahirkan semasa abad ke-19, melahirkan tanda tanya tentang keadaan geopolitik dan sosioekonomi di sekitar zaman itu.

Rompakan ialah kegiatan yang sudah menjadi satu kebiasaan semasa kelahiran ketiga-tiga organisasi ini. Dan pada 1925, Benito Mussolini memulakan usaha untuk menghancurkan mafia Itali melalui fasisme.

Ini bermula selepas kelicikan Don Francesco Cuccia, juga Datuk Bandar Piana dei Greci (kini Piana degli Albanesi), semasa kunjungan Benito Mussolini ke kawasan tersebut.

Don Cuccia berasa tersinggung kerana Mussolini membawa barisan polis sebagai protokol keselamatan. Ditanya kepada Mussolini tentang keperluan polis sementara keluarga Cuccia mampu membekalkan perlindungan, tetapi Mussolini menolak tawaran ini. Lalu Don Cuccia menggerakkan jentera-jentera jenayahnya dalam usaha untuk memalukan Benito Mussolini.

Semasa ucapannya, hanya 20 orang yang terdiri daripada pengemis, penggilap kasut dan penjual-penjual loteri tiket sahaja yang hadir, sementara orang-orang kampung tidak menonjolkan diri.

Benito Mussolini benar-benar naik berang, lalu beliau pula menggerakkan jentera-jentera politiknya yang berjaya hancurkan kesatuan keluarga-keluarga mafia seperti yang diberitahu Antonino Calderone, salah seorang daripada pemberi maklumat dalam kalangan mafia.

Usaha Benito Mussolini telah mengurangkan kadar pembunuhan. Ramai golongan mafia melarikan diri ke Amerika Syarikat. Antaranya adalah Carlo Gambino dan Joseph Bonanno yang berjaya menubuhkan keluarga mafia yang paling berpengaruh di New York City.

Walau bagaimanapun, usaha ini hancur akibat Perang Dunia Kedua. Sicily dicerobohi tentera-tentera Bersekutu – banduan-banduan berjaya melarikan diri, rompakan kerap berlaku dan organisasi gelap kembali memuncak.

Ketua-ketua mafia membentuk kembali puak-puak jenayah yang hancur dibawah Benito Mussolini yang mayatnya digantung di stesen minyak Esso dengan cangkuk daging untuk direjam rakyat.

Barisan Bersekutu tidak menghiraukan tentang keadaan Sicily. Mereka meminta bantuan golongan mafia Itali-Amerika yang mempunyai hubungan bersama Sicily, seperti Vito Genovese.

Golongan mafia berjaya membina hubungan bersama ahli-ahli politik Itali, termasuk Perdana Menteri Giulio Andreotti selepas menguasai kerusi-kerusi Datuk Bandar. Pejabat Kerja Raya Palermo dikuasai Vito Ciancimino dan Salvatore Lima.

Dan dibawah pengaruh mafia, sebahagian besar permit-permit pembinaan diagihkan kepada lima orang yang tiada hubungan dengan firma-firma pembinaan pun.

Amalan penyeludupan dan peras ugut diteruskan. Pengaruh mereka tersebar ke firma-firma perlombongan, simen, dan logam. Mereka mengeksploit kontrak pembinaan yang tinggi keperluannya selepas pengeboman pihak Bersekutu yang membuatkan 150,000 orang sengsara dalam kawasan setinggan dan gua.

Ibaratkan jatuh ditimpa tangga, rakyat terpaksa berdepan dengan sistem yang korup sebegini. Kerakusan mafia berterusan sehingga meledak menjadi peperangan pada tahun 1962 apabila Don Cesare Manzella dibunuh dalam sebuah urus niaga dadah yang bermasalah.

Peperangan ini tidak berlaku sekali. Lebih kurang 20 tahun selepas itu, ‘Mattanza’ (Perang Kedua) pula berlaku yang melibatkan ribuan nyawa dan akhirnya golongan mafia mula bersengketa dengan kerajaan pula.

Dalam masa ini, perhubungan mafia terus berkembang, menjadi pemain utama dalam penyeludupan narkotik antarabangsa.

Tetapi, sekitar 1980-1990, barisan keadilan di Itali berjaya mengukuhkan undang-undang agar berjaya memberkas penjenayah-penjenayah mafia yang peringkat tinggi.

Untuk mengelakkan hukuman penjara yang lama, ramai Mafia sanggup melanggar kod Omertá (perjanjian rahsia) dan memberi keterangan terhadap saudara-saudara mafia mereka sendiri.

Selepas pelaksanaan undang-undang yang berjaya, mafia semakin lemah di Itali, tetapi sehingga hari ini masih lagi beroperasi seperti biasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 5 Kumpulan Mafia Terkenal Antarabangsa

sumber: thepatriots

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon