Friday, November 10, 2017

Video Sel Kanser Tertarik Kepada Emas Satu Penipuan, Kata Pakar


MENGARUT. Itu antara reaksi pakar berhubung video 'sel kanser' yang ‘takut’ kepada bawang putih serta tertarik terhadap emas yang tular di laman sosial.

Video Sel Kanser Tertarik Kepada Emas

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi Hospital Sultanah Bahiyah, Datuk Dr Mohd Rushdan Md Noor berkata, video yang kononnya menampakkan sifat sel kanser itu jelas menunjukkan satu bentuk penipuan yang memperbodohkan akal manusia.

"Apabila seseorang itu dibedah dan kanser dikeluarkan daripada tubuh badan, sel kanser berbentuk ketulan yang dikeluarkan akan mati serta-merta kerana terputus bekalan darah dan nutrien daripada pesakit.

"Sebab itu apabila pesakit meninggal, sel kanser yang terdapat di dalam tubuh badan pesakit juga akan mati. Jadi video itu jelas menunjukkan satu penipuan," katanya melalui kenyataan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, selepas pembedahan, kesemua ketulan kanser akan dimasukkan ke dalam formalin untuk dibekukan lalu diserahkan kepada makmal patologi untuk pemeriksaan dan tidak sedikitpun akan diberikan kepada pesakit atau waris.

Kata Mohd Rushdan, kajian juga menunjukkan emas (Au) mempunyai ciri-ciri antikanser walaupun masih di peringkat proses kajian.

"Berkemungkinan ada pihak lain mengambil kesempatan ke atas video berkenaan dan membuat taksiran sendiri untuk tujuan tertentu.

"Saya harap orang ramai jangan sebarkan pembohongan ini dan jadikan pengajaran supaya tidak tertipu lagi di masa hadapan," katanya yang juga Presiden Malaysian Gynaecological Cancer Society (MGCS).

Pakar Runding Kanan Patalogi Forensik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Dr Shahrom Abd Wahid berkata, 99 peratus eksperimen yang ditunjukkan dalam video berkenaan adalah mengarut.

Katanya, aktiviti itu berkemungkinan strategi pemasaran oleh pihak tertentu dalam bidang perubatan namun dia berharap orang ramai bijak menilai serta tidak mempercayainya secara bulat-bulat.

"Pada saya, satu peratus mungkin benar kerana objek itu boleh jadi organ manusia atau haiwan yang bertindak balas dengan bahan yang tertentu. Tetapi jika didakwa sel atau tisu kanser, jelas ia satu penipuan.

"Mustahil tisu kanser berbentuk begitu dan boleh bergerak seperti itu kerana ia bergerak hanya di dalam badan dengan cara menjalar iaitu merebak melalui darah," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya juga, setakat ini belum ada lagi kajian mengatakan aurum (emas) menyebabkan pembiakan kanser dalam badan.

Pakar Perunding Perubatan Paliatif Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Sheriza Izwa Zainuddin berkata, mengikut logik asas dalam biologi mengenai sel, ia memerlukan oksigen, nutrisi, persekitaran sesuai dan optima untuk bertindak balas.

"Di luar badan manusia, sel tidak boleh hidup lama tanpa persekitaran yang sesuai apatah lagi bergerak seperti yang ditunjukkan dalam video.

"Untuk memastikan sel kekal hidup, ia perlukan nutrien yang cukup, pH yang betul dan juga persekitaran yang optimum.

"Ternyata dalam video itu adalah mengarut," katanya yang juga pensyarah kanan di PPUM.

Menurutnya, ayat Al-Quran yang dipasang dan nombor telefon yang tertera juga menunjukkan video berkenaan bukan kajian makmal sebaliknya mempunyai tujuan untuk kepentingan lain.

Video terbabit tular di aplikasi Whatsapp dan laman sosial Facebook serta menerima lebih 2,000 perkongsian dan lebih 400,000 tontonan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:



sumber: hmetro

2 comments

  1. singgah membaca seketika..b4 nak off

    ReplyDelete
  2. Mula2 nampak video ni d fb, memang dah tau tipu.. belum tekan play pun..

    haha boleh2 dia keluarkan sel kanser macam tu je kat piring.. adeh

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon