Tuesday, November 07, 2017

Honda Jazz Hybrid Kereta Terbaik 2017


Honda Jazz Hybrid diumumkan sebagai ‘Kereta Terbaik Tahun 2017’ pada majlis Anugerah Kereta Terbaik Tahunan Malaysia 2017 (COTY).

Honda Jazz Hybrid

Honda dan Mercedes-Benz adalah pemenang terbesar acara berkenaan, masing-masing merangkul lima anugerah dalam pelbagai kategori.

Pemenang COTY 2017, bersama-sama beberapa model lain akan dipamerkan untuk pelawat melihat dan mengalaminya di Malaysia Autoshow 2017.

Pemenang ini juga termasuk jenama kereta utama lain seperti BMW, Honda, Hyundai, Jaguar, Kia, Mazda, Perodua, Porsche, Proton, Subaru dan Toyota.

Manakala Tan Chong Group diiktiraf di atas peranannya dalam memperjuangkan mobiliti mampan.

COTY Malaysia ke-16 juga mengiktiraf individu yang memberi sumbangan cemerlang kepada industri automotif negara.

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Honda Jazz Hybrid?

Adakah sistem penyejukan untuk bateri hybrid ini mencukupi kerana cuaca di negara kita agak ekstrem.

Menurut jurutera Honda, sistem pengurusan bateri pada kedua model ini adalah dari jenis yang terkini.

Berbanding dengan sistem hybrid IMA pada Jazz Hybrid lama, sistem baharu ini mengawal lebih banyak parameter.

Objektif utama ialah agar pemandu tidak perlu risau dan boleh terus fokus kepada pemanduan.

Pemandu tidak ada kawalan bila enjin akan dihidupkan atau dimatikan ketika pemanduan. Sekiranya komputer merasakan bateri panas, enjin dihidupkan dan kuasa yang digunakan dari bateri direndahkan.

Suhu kabin juga memainkan peranan. Ruang bateri di belakang tempat duduk belakang mempunyai corong kemasukan udara pada sebelah kanan tempat duduk itu.

Bila kabin sejuk kerana pendingin hawa digunakan, komputer seperti memberikan lebih banyak masa untuk tenaga dari bateri digunakan.

Dalam ertikata lain, memang pengguna tidak perlu risau sangat akan keadaan suhu bateri kerana ia diambil alih oleh sistem komputer yang selalunya jauh lebih boleh diharap dari pemandu sendiri.

Adakah pertambahan berat bateri mengganggu pengendalian kenderaan? Bagaimana jika ia dibandingkan dengan varian bukan hybrid?

Benar, kerana ia mempunyai bateri dan komponen elektrik lain, Jazz Hybrid ialah 67 kg lebih berat dari Honda Jazz varian E.

City Hybrid pula ialah 69 kg lebih berat dari City enjin petrol biasa.

Namun begitu, pengukuhan kerangka dan penalaan sistem gantungan dilakukan agar kedua variasi Hybrid itu lebih sporty berbanding dengan model lazim.

Bagi City, ruang antara tempat letak barang dan tempat duduk belakang diberikan struktur pengukuhan agar lebih tegap.

Untuk Jazz, sebatang rod prestasi atau performance rod dipasang bersambung dengan kedua topang roda belakang.

Penyerap hentak atau absorber untuk City Hybrid dan Jazz Hybrid juga mempunyai diameter yang lebih besar.

Hasilnya, ia memang jauh lebih stabil di jalanraya, baik lurus ataupun berbengkang-bengkok seperti di laluan Gombak-Karak.

Honda menggunakan sistem transmisi dwi-klac atau dual clutch i-DCD?

Soalan ini unik kerana ia membuktikan bahawa dari segi teknologi, Eropah lebih dipandang tinggi berbanding Jepun.

Jawapan untuk soalan itu ialah, transmisi dwi-klac i-DCD dari Honda ini langsung tidak ada masalah tersengguk-sengguk, baik semasa perlahan, laju ataupun bila dipandu secara agresif dan tuakaran gear dilakukan secara manual melalui paddleshifter (hanya City datang dengan fungsi itu).

Malah, ia sangat lancar mirip kepada CVT dari segi bunyi dan penghalusan tukaran gear.

Adakah varian hybrid ini sangat jimat berbanding dengan model biasa yang menggunakan enjin petrol?

Ya, memang sangat menjimatkan kerana jika tidak, tidak perlu Honda bersusah-payah menghamburkan berbilion $ untuk kerja-kerja penyelidikan.

Mari kita bandingkan penggunaan bahan api antara varian hybrid dan petrol
  • Honda Jazz Sport Hybrid 2017 - 25 km setiap liter
  • Honda Jazz 1.5L petrol 2017 - 17.2 km setiap liter
  • Honda Jazz Hybrid IMA lama - 21.3 km setiap liter.

Untuk Honda City pula;
  • Honda City Sport Hybrid 2017 - 25.6 km setiap liter
  • Honda City 1.5L i-VTEC petrol 2017 - 17.5 km setiap liter

Jimat bukan?

Adakah varian Hybrid ini memerlukan penyelenggaraan berbeza dari model berenjin petrol?

Honda Malaysia berkata tidak ada penyelenggaraan istimewa untuk model hybrid mereka.

Ini ialah kerana sistem hybrid itu adalah jenis tertutup dan tidak perlu sebarang servis atau penukaran komponen.

Kerana itu, kos penyelenggaraan City/Jazz Sport Hybrid ini sangat mampu milik - RM2,867.96 untuk lima tahun.

City/Jazz Sport Hybrid juga tidak perlu menggunakan bateri penghidup (starter battery) yang berharga RM1,000. Ia menggunakan bateri 12V biasa di hadapan untuk menghidupkan enjin.

Adakah Honda Jazz/City Sport Hybrid ini masih boleh dipandu sekiranya bateri hybrid dibuang?

Tidak, kerana sistem hybrid ini bersekali dengan enjin petrol yang dibekalkan. Sekiranya satu tidak boleh berfungsi, kereta itu tidak dapat dipandu.

Ini adalah sama seperti semua kereta hybrid yang lain.

Ada yang berkata harga sebuah bateri hybrid ini ialah RM20,000. Benarkah?

Ini ialah isu yang normal untuk mereka yang kurang fasih akan sistem hybrid dan yang masih merasakan bunian adalah punca segala kekusutan dunia.

Memang ada bateri hybrid yang mahal, tetapi ia adalah dari jenama kenderaan premium. Antara sebab ia mahal ialah kurangnya usaha dari pengilang dan pengedar untuk menurunkan harga kerana pemilik kenderaan jenama premium dikira mampu untuk menggantikannya.

Untuk jenama mampu milik seperti Toyota, Honda, Nissan, Hyundai dan selainnya, masalah kemampuan harga alat ganti itu sangat penting.

Kerana itu, harga bateri hybrid untuk Hyundai Inoiq contohnya, hampir kepada RM9,800, lebih murah dari bateri kereta hybrid jenama premium.

Untuk Honda Jazz/City Sport Hybrid baharu ini, bateri lithium-ion baharu itu jauh lebih murah - bermula RM5,513.

Yang penting, kenderaan hybrid tidak menggunakan bateri seperti bateri 12V yang perlu diganti sertiap dua tahun, atau bateri Energizer 4-butir yang dipasang di bawah kereta mainan milik anak pada ibu tunggal di rumah sebelah admin itu.

Sudah lebih dari 256,565 unit Honda Jazz Hybrid dijual di seluruh dunia (Jepun sejak 2013) dan cuma kurang dari 0.03 peratus yang pernah meminta gantian bateri hybrid melalui skim waranti.

Ini bermakna, hampir tiada kes di mana bateri itu perlu digantikan langsung!

Dan satu lagi, bateri hybrid lithium-ion ini mempunyaio jaminan LAPAN tahun tanpa had perbatuan oleh Honda.

Masih risau?

Apakah kelajuan enjin atau RPM bila Honda Jazz/City Sport Hybrid dipandu pada kelajuan 110 kmsj?

Ini soalan menarik. Ia ada dua jawapan:

Bila bateri mempunyai lebih dari 3-bar kuasa, kelajuan enjin pada 110 kmsj ialah 0 RPM. Ini ialah kerana tenaga dari bateri digunakan dan enjin dimatikan dan minyak petrol langsung tidak diperlukan.

Bila bateri berada di bawah paras 3-bar, enjin digunakan dan pada 110 kmsj, kelajuan enjin ialah di bawah sedikit dari paras 2,000 RPM.

Di mana Honda sorokkan bateri untuk hybrid ini?

Untuk kedua-dua model hybrid ini, Honda berjaya memastikan pek bateri lithium ion yang digunakan itu kompak dan mudah disimpan.

Untuk Honda Jazz Sport Hybrid, bateri diletakkan di dalam tempat letak barang, dan kerana itu, tayar simpanan terpaksa dibuang dan digantikan dengan kit tayar pancit Honda. Ruang but juga terpaksa dikecilkan sedikit kepada 314 liter dari 363 liter untuk varian enjin petrol.

Kit itu mengandungi pam elektrik 12V dan cecair yang dimasukkan ke dalam tayar menggunakan pam bagi menutup lubang-lubang kecil.

Bagi Honda City Sport Hybrid, bateri juga di dalam ruang letak barang tetapi kerana City lebih besar, tidak ada kehilangan ruang bagasi untuk tempat letak barangnya - 536 liter. Seperti Jazz Sport Hybrid, ia tidak ada tayar simpanan juga.

Adakah Honda Jazz/City Sport Hybrid mempunyai kelebihan dari segi pecutan (pick-up)?

Sememangya dengan dua sumber tenaga (enjin 1,496 cc DOHC-i-VTEC) dan motor elektrik), kuasa terjana jauh lebih tinggi dari enjin 1,497 cc SOHC i-VTEC petrol biasa.

Honda Jazz/City Sport Hybrid
  • Tenaga maksimum: 137 PS @ 1,313 - 2,000 RPM
  • Tork maksimum: 170 Nm

Honda Jazz/City 1.5 Petrol
  • Tenaga maksimum: 120 PS @ 6,600 RPM
  • Tork maksimum: 145 Nm

Oleh kerana itu, pecutan dan halaju maksimum Honda Jazz/City Sport Hybrid sememangnya lebih baik.

Honda Malaysia tidak memberi sebarang maklumat akan kadar pecutan dan halaju maksimum kedua-dua buah kenderaan itu tetapi cukuplah untuk dikatakan yang varian hybrid ini mampu memecut sehebat jentera 1.8L dan halaju maksimum pula ialah di atas 200 kmsj (Honda City Sport Hybrid).

Di antara Honda City Sport Hybrid dan Honda City 1.5L Petrol V-Grade (spek tertinggi), yang mana lebih berbaloi?

Dari segi spesifikasi, Honda City petrol V-Grade ada kelebihan lampu hadapan LED, stereng dan tombol gear dibalut kulit, kemasan kabin dan tempat duduk kulit, sistem audio dengan lapan pembesar suara, tayar simpanan dan beg udara curtain berbanding dengan City Sport Hybrid yang tidak ada semua itu.

Namun begitu, Honda Jazz/City Sport Hybrid mempunyai kelebihan yang melebihi setakat aksesori-aksesori kedai Brother's - walaupun harganya cuma RM40.00 lebih mahal dari City 1.5L Petrol V-Grade.

Contohnya, enjin dengan Double Overheard Camshaft, bateri Lithium Ion, motor elektrik, transmisi Dwi Klac dengan 7-kelajuan (7-speed DCT), tenaga maksimum yang lebih tinggi, kawalan pengendalian yang lebih sporti dan penggunaan bahan api yang jauh lebih rendah.

Jadi, jika anda mahukan lampu LED dan bunyi audio lebih lengkap, sila dapatkan Honda City 1.5L Petrol V-Grade.

Jika anda mahukan sebuah sedan segmen B yang tangkas, menjimatkan bahan api dan mempunyai transmisi yang lebih baik, Honda City Sport Hybrid memang pilihan tepat.

Cuma, varian hybrid tidak ada beg udara curtain dan tayar simpanan.

Sementara itu, walau betapa high-tech Honda City dan Honda Jazz itu, baik hybrid atau petrol, semua tidak ada fungsi lampu hadapan automatik.

Janggal juga bila lampu hadapan terpaksa dibuka dan ditutup secara manual kerana trak pikap pun sudah ada fungsi auto-headlight.

Jika kereta hybrid ini sering diparkir di tempat panas, adakah akan ada efek kepada bateri?

Menurut Taiki Yanase, Ketua Jurutera Honda R&D di Tochigi, Jepun, tidak ada efek.

Sistem pengurusan bateri berkomputer itu akan memastikan ia cukup sejuk sebelum bateri digunakan.

Ada pelbagai cara untuk memastikan suhu bateri itu turun. Antaranya udara dari dalam kabin yang disedut, udara luar ketika bergerak dan sebagainya.

Lagipun, jika bateri hybrid tak tahan panas, pastinya berpuluh kereta-kereta elektrik di Malaysia yang langsung tiada enjin dan mempunyai bateri-bateri yang lebih besar dan banyak itu sudah terbakar di sana sini.

Adakah sela masa servis untuk Honda Jazz/City Sport Hybrid ini seperti Honda Civic Turbo di mana sela masa servis ditentukan oleh komputer?

Tidak. Ia perlu diservis setiap 10,000 km seperti Honda City biasa.

Benarkah sistem hybrid ini berfungsi pada kelajuan-kelajuan rendah sahaja?

Sistem Sport Hybrid i-DCD Honda ini jauh lebih canggih dari sistem hybrid i-MA terdahulu.

Kali ini, enjin boleh digunakan untuk mengecas bateri sahaja atau enjin boleh berfungsi untuk menggerakkan kereta dan juga dalam masa yang sama, mengecaj bateri.

Bateri Lithium Ion baharu ini pula dikawal oleh sistem komputer yang sangat cekap dan efisien.

Hasilnya, bateri sangat mudah untuk dicaj dalam masa yang singkat, pada bila-bila masa semasa memandu.

Sistem itu boleh mengecaj bateri sambil memandu pada kelajuan 80 ke 90 kmsj. Dan bila memandu pada kelajuan itu, dan bateri sudah melebihi taraf tiga bar, kereta ini mampu bergerak dengan menggunakan bateri sahaja.

Pada kelajuan 110 kmsj, sistem bateri akan membantu bila ada pendakian. Ini mengurangkan beban tenaga dari enjin, lantas menjimatkan penggunaan bahan api.

Apa pun, penggunaan bahan api paling banyak terpakai semasa pemanduan di bandar atau urban dan sistem hybrid direka untuk situasi begitu.

Semua kereta dengan aerodinamik yang baik mampu memberikan penggunaan bahan api yang rendah bila dipandu secara lancar di lebuhraya.

Adakah Honda varian hybrid ini mudah dicuri oleh penggemar kereta curi dan pencuri?

Ia mempunyai sistem penggera yang sama dengan City biasa tetapi mengikut rekod, kereta hybrid ini tidak begitu digemari oleh penggemar kereta curi atau pencuri.

Adakah transmisi Dwi Klac DCT Honda Hybrid ini memerlukan penjagaan yang lebih mahal?

Menurut Honda Malaysia, unit DCT pada Honda varian hybrid kali ini menggunakan pelincir transmisi ATF yang sama digunakan untuk transmisi automatik torque converter yang lain.

Harganya ialah RM33 seliter dan ATF itu perlu ditukar setiap 160,000 km. Ini bermakna ia lebih menjimatkan dari transmisi automatik biasa!

Sambil kita bercerita tentang kos penjagaan, enjin i-DCD 4-silinder ini menggunakan empat palam pencucuh (spark plug) dan ditukar pada setiap 100,000 km.

Honda kali ini benar-benar mahukan sebuah kenderaan yang mempunyai kos penyelengaraan yang rendah.

Jadi sekiranya anda tercari-cari sebuah kenderaan hybrid yang mampu milik, dengan penjagaan yang juga bersifat mampu milik, dilengkapi dengan teknologi terkini tanpa kita perlu sebarang cara atau teknik pemanduan yang berbeza dan sambil itu kita mampu berseronok kerana ia lebih berkuasa dan mempunyai pengendalian yang sporti, memang Honda Jazz/City Sport Hybrid ialah jawapannya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Proton Iriz Kereta Kompak Terbaik 2017

sumber: sinarharian | careta

2 comments

  1. honda kereta idaman akak, tapi poket nipis terpaksa beli keta tempatan je.. Belilah Barangan Buatan Malaysia..

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon