Friday, September 08, 2017

Kerugian Forex Bank Negara Rupanya Penyelamat Krisis Ekonomi 1997-1998

Loading...

Bekas Penasihat Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop hari ini berkata memang berlaku kerugian urus niaga mata wang pada tahun 1986 sehingga 1993.

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop

Katanya kesilapan telah berlaku tetapi BNM telah mendapat pengajaran daripada pengalaman pahit itu dan pengajaran itu terbukti amat penting dalam membantu menggubal dasar-dasar untuk mempertahankan negara daripada serangan terhadap mata wang dalam Krisis Kewangan Asia 1997/1998, menyelamatkan ratusan bilion Ringgit wang negara dan jika tidak sudah pasti hilang.

Nor Mohamed, 70, yang menyertai BNM pada September 1968 dan dinaikkan pangkat ke jawatan pengurus Jabatan Perbankan dua tahun selepas itu, berkata beliau tidak pernah pada bila-bila masa di antara 1986 dan 1993 ada berbincang dengan menteri kewangan dan perdana menteri mengenai transaksi tukaran asing Bank Negara.

Beliau bagaimanapun tidak ingat jumlah kerugian atau keuntungan dalam transaksi urus niaga mata wang pada tahun berkenaan.

"Memang tidak dinafikan. Juga tidak boleh dinafikan saya turut bertanggungjawab bagi kerugian urus niaga mata wang.

"Saya terima hakikat saya turut bertanggungjawab bagi kerugian urus niaga mata wang dan telah meletakkan jawatan daripada Bank Negara Malaysia.

"Pada ketika itu, pada saya ia merupakan pengakhiran yang menyedihkan dalam khidmat saya selama 25 tahun kepada negara, menerusi Bank Negara Malaysia," katanya dalam kenyataan saksi pada hari kelima prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang atau forex dialami Bank Negara pada 1990-an.

Nor Mohamed berkata perkara paling penting adalah pengalaman bertahun-tahun di unit forex telah terbukti amat berguna kemudiannya dalam menyelamatkan Malaysia daripada kesan teruk krisis kewangan pada 1997/1998, jika tidak tentunya mengakibatkan kerugian bernilai berbilion Ringgit Malaysia.

Saksi ke-17 itu berkata ia juga boleh mengakibatkan banyak syarikat Malaysia menjadi muflis, kadar pengangguran yang tinggi dan kemiskinan meluas ke seluruh negara manakala kestabilan politik dan kerangka sosio-ekonomi negara akan musnah.

"Ia musibah yang sedang menungggu untuk berlaku. Ia bukan berlaku kerana Langkah-Langkah Tidak Ortodoks September 1998 yang telah dirumuskan dan dilaksanakan berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman diperolehi di meja Forex di Bank Negara Malaysia," katanya.

Nor Mohamed yang meletak jawatan sebagai penasihat BNM pada April 1994, menjelaskan sebelum 1985, BNM tidak aktif dalam pengurusan rizab luar, termasuk urus niaga forex, dengan mengambil kira kestabilan pasaran tukaran asing antarabangsa.

Kenapa Bank Negara 'Bermain' Forex Akhirnya Terjawab

Nor Mohamed yang menyertai semula BNM untuk jawatan yang sama pada September 1998 berkata keadaan berubah pada 1985 apabila pada 22 September, lima negara OECD (Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi) yang mengadakan pertemuan privasi di Hotel Plaza di New York dan membuat keputusan sesama mereka tanpa merundingi negara lain, bahawa mata wang Yen dan Deutsche Mark Jerman perlu diperkukuhkan secara signifikan berbanding US Dollar dengan cara campur tangan untuk mempengaruhi pasaran.

"Ini dikenali sebagai Perjanjian Plaza. Perjanjian Plaza amat bersejarah kerana ia merupakan julung kalinya ahli-ahli bank pusat bersetuju untuk campur tangan dalam pasaran mata wang secara besar-besaran dan buat pertama kalinya dalam sejarah apabila kerajaan menetapkan sasaran kadar tukaran asing dicapai menerusi campur tangan secara aktif," katanya.

Nor Mohamed yang dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua pada Januari 2004, berkata Malaysia membuat pinjaman dalam Yen pada awal 1980-an hanya untuk pembinaan infrastruktur pada masa itu, pasaran bon dan sukuk.

Malaysia masih belum dibangunkan untuk membolehkan kadar pinjaman pada amaun besar untuk jangka panjang diperoleh di dalam negara dalam Ringgit.

Beliau menjelaskan oleh kerana projek-projek infrastruktur memerlukan masa yang lama untuk disiapkan, kerajaan dan agensinya memilih untuk meminjam dalam Yen, kerana pada masa itu, terdapat pinjaman Yen untuk jangka panjang dengan kadar faedah rendah.

"Pinjaman-pinjaman berkenaan kebetulan dengan pembinaan projek-projek infrastruktur mega di negara.

"Sejak Perjanjian Plaza pada September 1985, pasaran forex antarabangsa menjadi lebih berdaya saing, dengan aliran naik dan turun tidak menentu kadar mata wang harian. Sementara Perjanjian Plaza bertujuan untuk memperkukuhkan Yen dan Deutsche Mark Jerman," katanya.

Beliau berkata itulah latar belakang yang membawa kepada keputusan BNM untuk memulakan pengurusan rizab luar secara aktif.

Katanya beliau ditugaskan untuk melaksanakan dasar pengurusan rizab luar seperti ditetapkan oleh Lembaga BNM dan melaporkan kepada Gabenor dan Jawatankuasa Rizab Luar (ERC).

Nor Mohamed berkata beliau tidak terlibat dalam menentukan pengendalian akaun bagi kerugian itu dan tidak tahu menahu tentang pengendalian akaun itu.

Beliau juga berkata dalam urus niaga mata wang asing pada tahun 1986 hingga 1993 ada had yang spesifik untuk 'Chief Dealer dan Dealer' bagi mereka menjalankan urus niaga masing-masing tetapi beliau tidak ingat had yang telah ditetapkan itu dan siapa yang menetapkan had itu.

"Sebenarnya semua urus niaga forex dilaksanakan oleh Chief Dealer dan Dealers. Apa yang mereka buat atas arahan saya ialah langkah-langkah yang diambil untuk mempelbagaikan rizab biasanya dari US Dollar ke mata wang asing," katanya.

Nor Mohamed berkata beliau tidak ingat jumlah transaksi forex tertinggi yang pernah dilaksanakan dalam sehari dan sebulan dalam tempoh tujuh tahun itu.

Beliau juga tidak ingat dengan siapa beliau berbincang bagi membolehkan beliau menyatakan di dalam surat daripada BNM yang ditandatanganinya bertarikh 9 Feb 1990 kepada Jabatan Peguam Negara ketika itu bahawa urus niaga forex yang dilaksanakan ketika itu tidak bertentangan dengan peranan atau fungsi BNM serta Seksyen 31(a) Ordinan Bank Negara 1958.

Prosiding di hadapan panel lima anggota suruhanjaya itu yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang juga pengerusi Petronas, bersambung esok.

Empat lagi anggota suruhanjaya itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan, pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan.

Punca Kerugian Forex Bank Negara

Beliau menambah, kerugian besar yang dialami BNM akibat urus niaga mata wang asing pada 1992 dikatakan berpunca daripada dua peristiwa di luar jangkaan iaitu penolakan terhadap Re­ferendum Denmark 1992 dalam Perjanjian Maastricht dan Black Wednesday pada 16 September 1992 yang menyaksikan pound sterling dikeluarkan daripada Me­kanisme Kadar Tukaran Mata Wang Eropah.

BACA INI JUGA:

sumber: bernama

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon