Friday, August 11, 2017

7 Cara Mencegah Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut Anak Anda


Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut atau HFMD selalunya terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama dan sangat mudah berjangkit.

Cegah Penyakit Tangan Kaki Dan Mulut

Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut merebak melalui tangan yang tidak dicuci bersih selepas melakukan penukaran lampin atau tersentuh air liur (drool) yang mana membolehkan virus berpindah daripada satu kanak-kanak ke kanak-kanak lain.

KKM ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti dibawah.

1. Elakkan Tempat Awam

Seelok-eloknya, kurangkan aktiviti di luar buat sementara waktu. Jangan membawa anak yang sakit ke tempat-tempat awam, sekolah, taska, tadika, pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.

2. Ketahui Tandanya

Tanda-tanda Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut
Tanda-tanda HFMD.

Ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan mengetahui tanda-tanda penyakit ini. Dengan itu, anak yang mempunyai tanda jangkitan dapat dibawa berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan awal.

Ia juga dapat mengelakkan daripada menular kepada kanak-kanak lain.

3. Amalkan Langkah Kebersihan Dengan Teliti

Mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh, merawat lepoh dan semasa mencuci najis kanak-kanak tersebut.

4. Mencuci Alatan Dan Mainan

Membersihkan (basmi kuman menggunakan larutan chlorine based) pada permainan anak serta lantai rumah terutama tandas.

5. Cermat Melupuskan Najis

Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.

6. Jangan Berkongsi Barang

Menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan dengan anak-anak yang lain. Jika perlu, bekalkan anak dengan bekas makanan masing-masing di sekolah.

7. Saringan Pihak Sekolah Dan Pusat Jagaan

Pihak Pengusaha TASKA, TADIKA dan lain-lain pusat jagaan kanak-kanak disarankan supaya mengambil langkah-langkah yang sama seperti di atas.

Di samping itu, saringan di pintu-pintu masuk (gate-keeping) dilakukan bagi memastikan tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum kanak-kanak dibenarkan memasuki premis.

Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut Anak Anda (HFMD) Menular Dengan Sangat Cepat!

Penyakit ini cepat menular dengan kadar hampir 100% di kalangan kanak-kanak kurang dari 10 tahun terutamanya, di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska, tadika.

Oleh itu, pastikan anda sentiasa peka jika terdapat sebarang tanda pada anak anda.

Orang ramai boleh melaporkan kejadian kes HFMD di premis taska/tadika/sekolah ke Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

Jangan lupa maklumkan juga kepada pihak tadika atau pusat jagaan sekiranya anak anda terkena penyakit tersebut.

Tindakan ini dapat membantu mereka membasmi penyakit tersebut dengan berkesan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut, Simptom, Pencegahan Serta Rawatannya

sumber: siraplimau

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon