Thursday, July 13, 2017

Keunikan Festival Bon Odori Masyarakat Jepun


Kawaii! Ungkapan dalam bahasa Jepun yang bermaksud comel tidak henti-henti meniti di bibir melihat ratusan pengunjung mengenakan kimono musim panas dikenali sebagai Yukata bagi wanita dan Haori pula bagi lelaki, ketika festival masyarakat Jepun, Bon Odori.

Bon Odori

Odori membawa maksud tarian manakala Bon pula adalah singkatan bagi nama satu teks agama Buddha, Ullambana Sutra. Sebutan Urabon dalam bahasa Jepun juga disingkatkan kepada Bon.

Festival Bon Odori dianggap sebagai antara festival yang paling penting bagi masyarakat Jepun dan antara aktiviti yang dijalankan ialah tarian, nyanyian, persembahan dram dan gendang Jepun.

Festival Bon Odori diadakan pada setiap pertengahan tahun, seakan-akan perayaan Bulan Hantu yang disambut oleh masyarakat Cina.

Roh

Sebagai acara yang menyambut kunjungan roh-roh si mati atau dalam erti kata lain festival untuk menghormati roh si mati, Bon Odori cukup popular di setiap wilayah di Jepun apabila menjelang musim panas setiap tahun.

Di Jepun, festival Bon Odori dipercayai telah disambut sekitar 500 tahun lalu melibatkan tarian yang bernama Bon Odori.

Tradisi tarian Bon Odori bagaimanapun dipercayai hanya dikomersialkan secara rasmi sebagai hiburan khalayak sekitar era Muromachi (1333 sehingga 1573).

Daripada sebuah acara keagamaan, festival Bon Odori lama-kelamaan bertukar menjadi sebuah festival kebudayaan penuh keriangan musim panas.

Bon Odori Di Malaysia

Pada asalnya, festival Bon Odori diwujudkan bagi memastikan anak-anak Jepun yang menetap di luar negara tidak melupakan budaya mereka.

Satu festival kecil yang asalnya hanya tertumpu kepada masyarakat Jepun sekitar tahun 1970-an itu, semakin berkembang sehingga berjaya menarik hampir 30,000 pengunjung setiap tahun di Malaysia.

Bahkan terdapat sejumlah rakyat Jepun menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua.

Apa yang lebih menarik, festival Bon Odori adalah festival kebudayaan Jepun terbesar di Malaysia.

Selain Malaysia, Brazil, Kanada dan Amerika Syarikat (AS) merupakan tiga buah negara lain yang turut mengadakan sambutan Bon Odori.

Pada hari sambutan, deretan gerai menawarkan aneka makanan, minuman dan snek asli tradisional dari Jepun, antaranya Takoyaki sotong.

Takoyaki ialah bebola tepung gandum berinti sotong yang dimasak pada kuali acuan dan disajikan bersama sos khas. Sedap.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Festival Bunga Sakura, Kisah Disebalik Kecantikan

sumber: kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon