Thursday, June 01, 2017

Skim Cepat Kaya Mface Diserbu, RM177 Juta Dibekukan!


Sebuah pusat membeli-belah maya, M Mall, yang dikendalikan MBI Group International, diserbu di George Town oleh pegawai SSM, KPDN, KPDNKK dan Bank Negara Malaysia (BNM) atas kesalahan aktiviti haram mengambil, menerima dan memproses wang dari pelbagai aktiviti yang tidak sah dari segi undang-undang.

Mface skim cepat kaya

Sepasukan pegawai dilihat menuju ke pejabat pengurusan pusat membeli-belah itu di tingkat lima. Pusat membeli-belah maya itu menggunakan mata wang maya dikeluarkan MBI.

MBI ialah syarikat induk untuk lebih daripada 60 buah anak syarikat yang didaftarkan atas nama MBI International Sdn Bhd.

Mface pula merujuk kepada sosial network www.mface.me yang dikendalikan oleh Mface International Sdn Bhd (salah satu anak syarikat MBI).

Pelabur MBI dibenarkan membelanjakan mata ganjaran dikumpul pelanggan setia, yang ditukarkan daripada wang maya atau koin, bagi barangan dan perkhidmatan di pusat membeli-belah itu yang mempunyai pasar raya, restoran dan gimnasium.

BNM menyenaraikan anak syarikat MBI, MBI International Sdn Bhd dan Mface International Sdn Bhd, dalam senarai amaran syarikat tidak sah kepada pengguna pada 22 Mei.

Syarikat itu dikatakan menawarkan pulangan melalui platform perkongsian elektronik.

Pelabur diberikan mata setiap beberapa minggu sekali berdasarkan jumlah pelaburan mereka dalam dolar Amerika Syarikat. Mereka juga memperolehi komisyen apabila berjaya menarik pelabur baru menyertai skim itu.

Mata itu boleh digunakan untuk membeli barangan dan perkhidmatan di kedai runcit, kafe, restoran dan hotel berkaitan di Malaysia dan Thailand.

M Mall, yang juga mempunyai supermarket, restoran dan sebuah gym, ialah antara rangkaian kedai di mana pelabur boleh membelanjakan mata mereka.

Syarikat itu yang sudah beroperasi hampir lapan tahun mempunyai ramai pelanggan dari China. -TMI

91 akaun bank, RM177 juta dibekukan

91 akaun bank menyimpan RM177 juta dibekukan selepas serbuan di Ibu Pejabat MBI Group International dan 5 premis lain di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menurut Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin, semua akaun bank itu dibekukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

"Berdasarkan maklumat dan bukti yang diperolehi semasa serbuan skim Mfc Club dan syarikat terlibat juga disyaki melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 4 (1) Amla," kata Roslan pada sidang media di Putrajaya.

Operasi mencecegah skim piramid ini dijalankan Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), CyberSecurity dan Pejabat Peguam Negara dalam satu operasi diberi nama OPS TOKEN.

Selain pembekuan 91 akaun bank, di antara barangan mewah yang turut dirampas dalam serbuan di 6 premis di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang ialah jam tangan, beg tangan, jongkong emas, pemacu kilat USB dan barangan kemas.

Operasi bersama ini diselaraskan National Revenue Recovery Enforcement Team (NRRET) daripada Jabatan Peguam Negara dan diketuai bahagian penguatkuasa KPDNKK melibatkan 93 orang anggota.

Roslan berkata, serbuan dilaksanakan mengikut Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 dan juga akta yang dikuatkuasakan BNM dan SSM.

"Daripada 6 premis yang diserbu, 3 daripadanya merupakan premis kediaman dan buat masa ini tiada tangkapan dibuat.

"Kita ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai skim cepat kaya yang menjanjikan pulangan, kadar faedah atau keuntungan yang tinggi dan tidak realistik," katanya.

Ketika ditanya mengapa tiada tangkapan dilakukan setakat ini, Roslan berkata ini kerana siasatan masih dijalankan. -TMI

Ahli MBI kecewa siasatan dilakukan

“Ini sangat mengecewakan,” kata Simon, seorang pelabur yang mempunyai AS$8,000 (RM34,240) dalam lapan akaun dengan MBI.

“Anda tahu anda ada duit di situ, tetapi sekarang anda tak boleh buat apa-apa. Saya tertanya-tanya ke mana duit MBI yang ‘dibekukan’ akan pergi,” katanya susulan tersebarnya berita yang pihak berkuasa persekutuan sedang menyiasat perniagaan itu.

Simon menyertai skim itu beberapa tahun lepas dan sudah beberapa kali mengaut keuntungan. Duit yang belum dikeluarkan daripada skim MBI itu dijana daripada keuntungannya sebelum ini.

Walaupun dia mungkin tidak akan kehilangan wangnya, dia berkata yang ia mengecewakan untuk mengetahui yang “keuntungan masa depannya” sudah tidak akan diperolehi lagi.

“Saya dan beberapa orang kawan, yang juga merupakan ahli, sudah membuat untung. Tetapi kami berharap kami akan dapat buat untung lebih. Sekarang, kami terkejut dengan berita buruk ini.

“Salah seorang kawan saya masih mempunyai AS$30,000 dalam tiga akaun MBI,” katanya.

Seorang lagi pelabur bernama Jonathan, seorang jurutera berusia lingkungan 30-an berkata, terdapat juga ahli MBI yang marah kepada media.

Dia juga merasa geram dengan apa yang berlaku, dengan ramai ahli merasakan MBI dalam masalah kerana akhbar tempatan Cina “menyebarkan” cerita buruk tentang syarikat itu sejak beberapa minggu lepas.

“Hampir setiap hari, ada cerita tentang MBI dalam akbar Cina, tentang ia haram dan semua benda. Berterusan mereka laporkan.

“Mengapa mereka memburu MBI? Tiada berita tentang ada laporan polis dibuat ke atas MBI. Bukannya MBI menghilangkan duit pelabur sepertimana JJPTR.

“Adakah kerana pilihan raya semakin dekat? Saya tak tahu, tetapi banyak cerita yang saya dengar tentangnya kebelakangan ini,” katanya.

Jonathan melabur dalam skim itu sejak beberapa tahun lepas seperti Simon, dan membuat duit hampir AS$30,000.

Katanya lagi, sukar untuk bayangkan sekiranya seluruh operasi MBI jatuh.

“Ini adalah syarikat yang besar dengan banyak anak syarikat dan aset di merata tempat. Sekiranya MBI jatuh, dan M Mall tutup, banyak perniagaan akan menerima kesan dan ramai akan hilang kerja.

“Sekiranya ia berlaku, akhbar Cina memang buat ‘benda baik’,” katanya menyindir.

Pengasas Kumpulan MBI Tedy Teoh berkata yang syarikat itu sedang “menyelesaikan banyak perkara”, tetapi enggan mengulas lanjut.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, apabila pihak berkuasa menyiasat syarikat anda, apa yang boleh anda buat hanyalah beri kerjasama,” katanya.

Di M Mall, perniagaan berjalan seperti biasa. Peniaga masih mengambil mata MBI O2O sebagai kaedah bayaran daripada ahli MBI.

Pengurus kompleks membeli belah itu Teoh Jin Aik berkata tiada gangguan kepada perniagaan mereka.

“Setakat ini, tiada apa-apa. Tiada aduan daripada ahli. Semuanya berjalan seperti biasa,” katanya.

Wartawan tidak dapat memasuki pejabat pengurusan kompleks beli belah itu untuk bertanyakan soalan.

Seorang pekerja, yang berada di situ, menjawab yang dia tidak menerima sebarang arahan daripada pihak atasan dan tidak boleh memberikan sebarang perkembangan.

“Saya tidak tahu apa-apa, jadi tak ada apa saya boleh beritahu,” katanya. -TMI

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon