Monday, May 29, 2017

Kadar Zakat Fitrah Malaysia 2017


Kadar bayaran zakat fitrah sepanjang Ramadhan 2017 di semua negeri seluruh negara menyaksikan tiada perubahan kecuali Johor yang melaksanakan penyeragaman.

Kadar Zakat Fitrah 2017 [2]

Kadar zakat fitrah di setiap negeri bagi bulan puasa tahun ini kekal dengan ditetapkan sama iaitu RM7 bagi seorang Muslim.

Perlis, Selangor, Terengganu, Sarawak serta Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan; menjadi negeri terakhir mengesahkan secara rasmi kadar zakat pada Ramadhan kali ini tetap sama, RM7.

Negeri yang turut meletakkan nilai kekal RM7 sebagai kadar zakat fitrah tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan dan Sabah.

Manakala Negeri Sembilan dan Melaka juga tiada perbezaan apabila menetapkan kadar kekal masing-masing sebanyak RM6.50 dan RM6.70.

Johor melakar sejarah apabila Ramadhan kali ini memperlihatkan kadarnya diselaraskan kepada RM7 berbanding tahun-tahun terdahulu iaitu RM6 jika makan beras murah dan RM8 untuk beras premium.

Terengganu dan Perlis suatu ketika dahulu juga pernah menetapkan sehingga tiga kadar berbeza untuk pembayaran zakat fitrah bergantung kepada jenis beras dimakan sebelum diseragamkan kepada satu kadar.

Sementara itu, Majlis Ugama Islam Singapura dalam satu kenyataan mengisytiharkan kadar zakat fitrah untuk Ramadhan tahun ini ialah S$5.10 (RM15.75) bagi kadar biasa dan S$7.00 (RM21.62) bagi kadar lebih tinggi.

Ia meningkat sedikit berbanding S$6.90 (RM21.31) pada Ramadhan tahun lalu untuk beras premium tetapi untuk jenis murah, kadarnya tidak berubah kecuali perbandingan pada 2015 apabila ia ditetapkan S$4.90 (RM15.14).

Kadar rasmi tersebut menurut pihak majlis berkenaan adalah berdasarkan kepada pengiraaan purata harga 2.3 kilogram beras mengikut ukuran berat Baghdad yang dimakan oleh masyarakat Islam tempatan.

Sejak tahun 2005, majlis tersebut mula memperkenalkan dua kadar zakat fitrah berbeza iaitu menyertakan kadar lebih tinggi bagi individu Muslim yang berhasrat membayar zakat fitrah dengan lebih tinggi daripada kadar biasa.

Ini kerana mereka dikatakan secara lazimnya lebih berkemampuan dan menggunakan gred beras lebih mahal.

Senarai Bayaran Zakat Semua Negeri Ramadhan 2017
  • Perlis - RM7.00
  • Kedah - RM7.00
  • Perak - RM7.00
  • Selangor - RM7.00
  • Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Labuan) - RM7.00
  • Negeri Sembilan - RM6.50
  • Melaka - RM6.70
  • Johor - RM7.00
  • Pahang - RM7.00
  • Terengganu - RM7.00
  • Sabah - RM7.00
  • Sarawak - RM7.00

Selamat berpuasa dan jangan lupa bayar zakat.

BACA INI JUGA: Zakat Fitrah Patut Hasilkan 700 Jutawan Di Malaysia?

sumber: mynewshub

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon