Thursday, March 02, 2017

Misteri Asal-usul Gelaran Patung Anugerah Oscar


Patung lelaki bersalut emas yang dikenali di dunia sebagai Oscar dalam Anugerah Akademi di Amerika Syarikat (AS) sudah menjadi ikon Hollywood lebih 80 tahun lalu tetapi asal usul namanya kekal menjadi misteri.

Oscar

Secara rasminya, patung itu dinamakan Academy Award of Merit adalah merupakan buah fikiran sebuah badan yang dikenali sebagai Academy of Motion Picture Arts and Sciences yang ditubuhkan pada 1927 sebagai satu usaha untuk mempromosikan filem.

Pada awalnya, badan itu mempunyai 36 anggota di mana aktor Douglas Fairbanks merupakan presiden pertama.

Badan yang baru ditubuhkan itu mencipta trofi bagi menghargai lakonan dan persembahan yang dilakukan oleh aktor, aktres dan kerja seni pengarah filem.

Pada peringkat awal, pengarah seni dari studio perfileman Metro-Goldwyn-Mayer, Cedric Gibbons dipilih untuk mencipta patung itu yang menggambarkan seorang pahlawan berdiri pada gulungan filem manakala tangannya menggengam sebilah pedang.

Bermula daripada itu, lahirlah satu anugerah yang menjadi simbol kecemerlangan dalam bidang perfileman.

Anugerah Akademi buat pertama kalinya diadakan pada 16 Mei 1929 di Hotel Roosevelt, Hollywood.

Ia dianjurkan dalam suasana yang ringkas dengan dihadiri oleh 270 tetamu dan presiden pertama Academy of Motion Picture Arts and Sciences menyampaikan 15 patung itu kepada pemenang dalam tempoh 15 minit.

Kira-kira 50 Oscar akan diserahkan kepada pemenang dalam majlis yang berlangsung selama tiga jam di mana penyertaannya diluaskan ke peringkat global dengan acara karpet merah menjadi pertunjukan fesyen paling glamor di dunia.

Sejak majlis penganugerahan Oscar pertama, kira-kira 2,500 trofi sudah diserahkan kepada pemenang. Majlis anugerah itu kemudian menjadi lebih besar, bergemerlapan dan glamor pada setiap tahun.

Pada peringkat awal, patung itu hanya disaluti dengan gangsa tetapi ketika Perang Dunia Kedua, berlaku kekurangan logam menyebabkan trofi tersebut diperbuat daripada plaster.

Trofi itu mempunyai ketinggian 34 sentimeter dan beratnya 3.85 kilogram sebenarnya tidak kerap dipanggil dengan gelaran Oscar.

Bagaimanapun, bentuknya tidak pernah berubah sejak ia diperkenalkan kecuali di bahagian tapak kakinya.

Setakat ini, asal-usul patung itu memperoleh gelaran Oscar masih belum jelas.

Satu legenda menyatakan bahawa Pengerusi Eksekutif Academy of Motion Picture Arts and Sciences, Margaret Herrick berpendapat patung itu mirip wajah bapa saudaranya, Oscar dan dia memanggilnya dengan gelaran itu.

Sejumlah kakitangannya kemudian mula merujuk patung itu dengan nama Oscar.

Sementara itu, pemenang anugerah Oscar, Bette Davis juga menggunakan nama tersebut kerana ia mengingatkan dia kepada suaminya, Harmon Oscar Nelson.

Seorang kolumnis Hollywood, Sidney Skolsky menggunakan nama Oscar pada tahun 1934 dalam tulisannya bagi merujuk kemenangan aktres wanita pertama yang memenanginya, Katherine Hepburn.

Namun, penganjur majlis itu, Academy of Motion Picture Arts and Sciences tidak menggunakan gelaran berkenaan secara rasmi sehingga tahun 1939.

Pada awalnya, majlis anugerah itu disiarkan oleh radio sebelum penonton melihatnya di televisyen pada 1953 dalam bentuk hitam putih. Siaran dalam bentuk warna di televisyen hanya bermula pada 1966.

Pada peringkat awal, terdapat hanya kejutan yang sedikit kerana pihak penganjur memberikan nama pemenang lebih awal kepada pihak akhbar tetapi dengan syarat ia perlu disiarkan hanya selepas anugerah itu berakhir.

Anugerah itu yang kini disaksikan oleh satu bilion penonton televisyen di lebih 150 buah negara tidak pernah dibatalkan walaupun pada satu-satu kejadian, tarikhnya hanya ditangguhkan.

Pada tahun 1938, anugerah itu ditangguhkan kerana berlaku banjir besar di Los Angeles manakala pada 1968 tarikhnya ditunda kerana berlakunya kejadian pembunuhan pemimpin hak asasi terkenal, Martin Luther King.

Pada 1981, tarikh anugerah itu ditunda kerana berlakunya percubaan membunuh Presiden Ronald Reagan yang pernah menjadi aktor di Hollywood.

Empat hari selepas perang yang diketuai AS meletus di Iraq pada 2003, anugerah kali ke-75 itu berlangsung mengikut jadual tetapi dalam suasana lebih muram.

Lokasi anugerah itu kerap berubah di mana ia bermula di hotel kemudian ke Dorothy Chandler Music Pavilion dan auditorium Shrine.

Pada 2002, anugerah itu berpindah ke Kodak Theatre di Hollywood.

BACA INI JUGA: Sejarah Anugerah Oscar Filem Hollywood

Sumber: kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon