Monday, February 06, 2017

Kos Dan Caj Rawatan Kanser Hospital Kerajaan Bakal Naik?

Loading...

Selepas hampir semua barangan dan perkhidmatan dinaikkan dengan penarikan sejumlah besar subsidi, kini giliran caj rawatan kanser di hospital kerajaan pula dalam peringkat kajian untuk dinaikkan.

kanser

Kementerian Kesihatan Malaysia sedang dalam perancangan untuk mengkaji semula kadar caj yang dikenakan kepada pesakit kanser di semua hospital kerajaan yang menawarkan rawatan kanser.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr S.Jeyaindran, kajian itu akan mengambil kira beban rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah (B40), orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.

Bayaran yang dikenakan di hospital kerajaan sangat minimum dan disubsidi sepenuhnya iaitu hampir percuma, berbanding hospital swasta yang mengenakan caj rawatan antara RM20,000 hingga ratusan ribu ringgit bergantung kepada jenis rawatan dan tahap keseriusan penyakit.

Ada pesakit yang dirujuk dari hospital swasta ke hospital kerajaan yang mana mereka mampu dan sanggup membayar tetapi hospital kerajaan tiada struktur yuran untuk rawatan ini, katanya kepada pemberita selepas Program Fun Walk 2017 anjuran Institut Kanser Negara (IKN).

Menurutnya lagi, yuran yang mungkin dikenakan kepada mereka yang berkemampuan adalah tidak membebankan dan berada dalam lingkungan 20 peratus daripada kos sebenar rawatan kanser.

Pada masa yang sama, Dr Jeyaindran berkata bagi pesakit yang tidak berkemampuan seperti golongan B40, OKU dan warga emas, mereka boleh merujuk kepada pegawai kebajikan kementerian di setiap hospital bagi mendapatkan pengecualian pembayaran.

Ketika ini terdapat enam hospital rujukan untuk rawatan kanser di seluruh negara iaitu IKN, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Likas di Kota Kinabalu.

Ramai yang datang mendapatkan rawatan apabila kanser sudah memasuki tahap tiga atau empat kerana mereka malu untuk menjalankan pemeriksaan pada peringkat awal, menyebabkan kos rawatan tinggi.
Ketika ini kanser payudara adalah kanser yang paling tinggi ditemui dalam kalangan wanita, manakala kanser paru-paru paling banyak ditemui dikalangan lelaki akibat amalan merokok.

Kerajaan juga menjalankan pelbagai program bagi mengurangkan risiko kanser kepada rakyat antaranya program suntikan vaksin Human Papilloma Virus (HPV) bagi mencegah kanser serviks dikalangan pelajar perempuan berusia 13 tahun yang kini telah mencapai 98 peratus.

Mengenai rawatan tradisional dan kontemporari untuk pesakit kanser yang sering ditemui di media sosial, Dr Jeyaindran berkata mereka mestilah mempunyai bukti kukuh secara saintifik yang menunjukkan rawatan itu benar-benar berkesan dan bukan sekadar testimoni yang diragui kesahihannya.

Di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2013, pengamal perubatan tradisional harus berdaftar dan mereka akan diberi kursus etika perubatan.

Di IKN, ada rawatan seperti akupuntur dan herba tradisional Cina untuk merawat kesan sampingan yang mungkin timbul akibat rawatan kanser seperti loya-loya dan sebagainya, jelas Dr Jeyaindran lagi.

BACA INI JUGA:

Sumber: SH

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon