Friday, November 11, 2016

Tujahan Lidah Sesumpah Terpantas Di Dunia


Perbuatan mengeluarkan lidah mungkin satu perkara yang kerap dilakukan oleh bayi. Namun bagi sesumpah, ia merupakan satu perkara yang perlu dilakukan untuk meneruskan kehidupan.

Lidah Sesumpah

Reptilia yang mampu merubah warna mengikut keadaan persekitaran itu sememangnya sangat terkenal dengan lidah yang panjang dan melekit untuk menangkap serangga.

Kini, satu kajian baharu mendedahkan bahawa lidah sesumpah boleh bergerak lebih pantas daripada apa yang pernah difikirkan oleh kebanyakan orang.

“Saya tidak pernah menjangka akan memperoleh penemuan yang berharga ini. Ia sememangnya prestasi yang sangat menakjubkan,” kata Christopher Anderson yang merupakan seorang bekas pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Morfologi Vetebrata di Universiti Brown, Amerika Syarikat.

Menurut dapatan kajian itu, satu rahsia terhadap kejayaan sesumpah tersebut adalah tisu elastik khas yang terdapat pada bahagian lidah haiwan berkenaan boleh melengkung seperti akordion.

Menurut laporan yang dikeluarkan menerusi jurnal Scientific Reports, apabila pemangsa itu bersedia untuk melancarkan serangan, ia akan memusatkan tenaga pada otot di bahagian lidah sama seperti manusia menarik tali busur panah.

Para saintis memanggil keadaan itu sebagai fenomena mundur elastik.

Sama seperti ketika melepaskan tali busur panah, sesumpah akan melepaskan otot lidahnya, sekali gus membolehkan lidah tersebut menerjah ke hadapan dan menjerat mangsanya.

Hipotesis

Anderson yang meminati sesumpah sejak zaman kanak-kanak meneliti spesies haiwan bersaiz kecil yang masih belum dikaji sepenuhnya itu.

Ini kerana, ia sangat jarang ditemui dan agak susah untuk ditangkap berbanding sesumpah bersaiz besar.

Dia ingin mengetahui sama ada haiwan kecil itu boleh berada dengan selesa di atas jari manusia dan mengeluarkan lidahnya dengan pantas.

Secara purata, panjang lidah sesumpah biasanya adalah dua kali ganda berbanding badannya sendiri. Bagi manusia, ia mungkin mencapai sehingga tiga hingga empat meter panjang.

Bagi menguji hipotesis itu, Anderson menggunakan video berkelajuan tinggi untuk merakam tingkah laku sesumpah menangkap serangga.

Anderson menggunakan rakaman video memaparkan tingkah laku sesumpah di zoo, pusat pemeliharaan peribadi dan kawasan tempat tinggal semula jadi haiwan itu.

Dia kemudiannya menggunakan rakaman 3,000 bingkai per saat, cukup pantas untuk mengukur kelajuan lidah sesumpah keluar daripada ruang mulutnya.

Keputusan yang diperoleh menunjukkan, bukan sahaja sesumpah bersaiz kecil mampu mencapai kelajuan lidah seperti haiwan bersaiz lebih besar tetapi dalam banyak kes, lidah haiwan itu sebenarnya lebih pantas dan kuat.

Malah, lidah Rhampholeon spinosus, sejenis sesumpah dilindungi yang berasal dari Tanzania dan terkecil di dalam eksperimen itu mampu menghasilkan daya tujahan sebanyak 264 kali lebih tinggi berbanding daya tarikan graviti.

Jika ia sebuah kereta, lidah sesumpah boleh memecut daripada 0 hingga 97 kilometer (km) sejam dalam tempoh 0.01 saat.

“Ia betul-betul laju. Ia merupakan tujahan paling tinggi dan berkuasa yang dikeluarkan daripada sistem anatomi termasuk reptilia, burung dan mamalia,” kata Anderson.

Sesumpah juga sebenarnya bukanlah satu-satunya haiwan yang menggunakan mundur elastik untuk faedah sendiri.

Kanggaru juga menggunakan prinsipal yang sama pada bahagian kaki untuk melompat manakala manusia secara tidak sedar turut menggunakannya untuk menjimatkan tenaga dan melindungi kerosakan fizikal semasa berlari.

Jelas Anderson lagi, walaupun menjelirkan lidah dengan laju seperti peluru menggunakan sejumlah tenaga, berbanding jika terpaksa mengerahkan keseluruhan badan ketika memburu, ia sebenarnya satu tindakan yang baik bagi sesumpah.

Dia juga telah menghabiskan banyak masa untuk memerhati haiwan itu.

Anderson mendapati, apabila sesumpah berjaya mengesan mangsa, lidahnya sangat jarang tersasar daripada menangkapnya.

BACA INI JUGA: Sains Dan Al-Qur'an Membuktikan Burung Gagak Haiwan Paling Bijak!

Sumber: kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon