Wednesday, October 26, 2016

‘Angel Gowns’ Persalinan Terakhir Bayi Menuju Akhirat


Puluhan helai gaun kanak-kanak perempuan tergantung di palang rak itu, tersedia untuk dipakaikan pada tubuh insan kecil yang telah pergi menghadap Penciptanya.

‘Angel Gowns’

Ya, dres beropol-ropol yang dijahit menggunakan fabrik mewah itu bukanlah untuk dipakai semasa majlis keraian mahupun hari perayaan, tetapi untuk membalut jenazah si kecil yang bakal dimakamkan.

Ini adalah satu inisiatif badan amal Angel Gowns untuk memberikan tiupan semangat kepada ibubapa yang kehilangan anak-anak mereka dengan cara ‘meraikan’ pemergian insan tersayang khususnya kanak-kanak dengan mendermakan baju-baju cantik sebagai persalinan terakhir si mati.

Ditubuhkan pada tahun 2013 oleh Lisa Grubbs, isteri kepada doktor pakar bayi pramatang dan pengasas organisasi Helping Hands di Amerika Syarikat (AS) yang aktif memberi sokongan moral terhadap bayi-bayi yang menerima rawatan di dalam Unit Rawatan Intensif Neonatal.

Angel Gowns kini bukan sahaja boleh didapati di seluruh AS, bahkan telahpun berkembang ke sembilan buah negara termasuklah Australia, New Zealand dan Singapura.

Angel Gowns
Pengasas Angel Gowns, Lisa Grubbs (pertama dari kiri) bersama para sukarelawan.

Apa yang lebih istimewa, setiap gaun dijahit menggunakan fabrik daripada gaun pengantin yang didermakan kepada badan bukan-kerajaan (NGO) tersebut.

Menurut Grubbs; 44, dalam satu sesi interviu bersama portal berita Today.com, setiap gaun pengantin mampu menghasilkan antara 12 ke 20 helai dres bayi bergantung kepada saiz.

Walaupun gaun-gaun tersebut didermakan daripada wanita-wanita yang prihatin terhadap perasaan ibu bapa yang kematian bayi pramatang mereka, Grubbs menegaskan bahawa setiap dres Angel Gowns adalah istimewa dengan caranya tersendiri.

“Bayi-bayi ini bukanlah memakai busana terpakai ihsan orang lain, tetapi persalinan indah dan unik yang selayaknya mereka sarungkan untuk menemui Tuhan,” kata Grubbs.

Persoalannya, mengapa Angel Gowns hanya menerima gaun perkahwinan?

‘Angel Gowns’

Kata Grubbs, gaun perkahwinan memberi satu signifikasi yang mendalam terhadap si pemakai, yang selari dengan matlamat pertubuhan itu.

“Gaun perkahwinan melambangkan harapan dan kegembiraan untuk memulakan kehidupan baru.

“Jadi, bukankah ianya sesuatu yang indah bagi ibu bapa untuk memberikan yang terbaik kepada mendiang bayi mereka, meskipun buat kali terakhir?” jelas Grubbs lagi.

Setakat ini, organisasi ini sudahpun mempunyai 300 orang tukang jahit sukarelawan di seluruh dunia yang membantu untuk menyiapkan gaun-gaun tersebut.

‘Angel Gowns’

Angel Gowns ini mempunyai empat saiz iaitu micro preemie, S, M, dan L. Selain itu, mereka juga menyediakan barut untuk janin berusia 20 minggu ke bawah.

Setiap gaun didatangkan dengan kotak serta dibalut dengan kertas putih dan akan didermakan kepada hospital, rumah-rumah urusan pengebumian atau terus ke rumah keluarga si mati melalui pesanan khas.

BACA INI JUGA: Bayi Kerap Diurut Lebih Bijak!

Sumber: Mynewshub

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon