Jul 5, 2016

5 Perkara Ibu Bapa Wajib Ajar Kepada Setiap Anak Lelaki

Hari ini banyak kes viral yang kita baca tentang betapa rapuhnya peribadi dan akhlak seorang lelaki, seolah-olah lelaki sudah tidak layak menjadi pemimpin kepada para wanita (tetapi bukan semua lelaki).

Anak Lelaki.jpg

Maka sudah tiba masanya, ibu bapa perlu menekankan beberapa perkara apabila mendidik anak lelaki.

Tujuannya supaya anak lelaki tersebut bakal menjadi pemimpin yang amanah, suami yang penyayang, abang yang melindungi dan anak yang menghormati orang tua.

1. Respek Orang Perempuan

Bila ada anak lelaki, selalu ingatkan dia tentang perbezaan dirinya dengan ibu dan kakak (jika ada) atau adik perempuan.

Ajar anak untuk menghormati dan menghargai golongan wanita. Katakan yang wanita adalah golongan yang lembut dan perlu disayangi bukan dikasari.

Elakkan anak lelaki daripada bermain kasar seperti berlawan dan sebagainya dengan anak perempuan.

Jangan lupa beritahu anak lelaki yang mereka bertanggungjawab untuk melindungi ibu, kakak dan adik perempuan jika ketiadaan ayah. Sekurang-kurangnya dengan cara ini dia tahu tentang tanggungjawabnya sebagai anak lelaki.

Apabila anak lelaki diajar menghormati orang perempuan maka mereka tidak akan sewenang-wenangnya menyakiti golongan tersebut.

Barulah mereka akan membesar sebagai lelaki sejati yang bertanggungjawab dan tidak sampai hati menyakiti orang perempuan.

2. Ajar Buat Kerja Rumah

Biasakan anak lelaki turut membantu membuat kerja rumah. Bukan anak perempuan sahaja yang perlu ditekankan tentang tanggungjawab membantu kerja rumah.

Tak salah pun kalau mengajar anak lelaki membantu membasuh pinggan, menyidai pakaian, menyapu lantai, menjaga adik dan sebagainya lagi tugas rumah tangga.

Cuba lari daripada tipikal orang lelaki tak perlu buat kerja rumah. Mungkin di zaman dahulu orang lelaki sudah dimanjakan tak perlu membantu ibu membuat kerja rumah sehinggakan pinggan makan pun ibu yang angkat dan basuhkan.

Hasilnya apabila mereka bergelar suami, jadilah suami yang langsung tidak mahu membantu isteri. Maka, kita perlu lari daripada tipikal tersebut.

Didiklah anak lelaki untuk menjadi bakal suami yang tidak kekok membantu isteri di rumah.

3. Ringan Tulang

Bukan senang hendak menjadi orang yang suka membantu orang lain tanpa disuruh. Didiklah anak lelaki anda untuk menjadi lelaki yang ringan tulang. Didikan perlu dimulakan sejak mereka kecil lagi di rumah.

Sentiasa ingatkan mereka untuk rajin membantu ibu dan ayah membuat sebarang kerja di rumah tanpa disuruh.

Bahkan ajar juga mereka untuk rajin membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan tanpa mengira di mana mereka berada.

4. Jadi Seorang Ketua

Anak lelaki adalah bakal ketua. Jangan hanya membayangkan ketua sebuah organisasi atau negara tetapi anak lelaki adalah bakal ketua sebuah rumah tangga. Ketua yang bakal memimpin isteri dan anak-anak di masa hadapan.

Maka, asuhlah mereka menjadi ketua yang bertanggungjawab dan amanah. Hari ini ramai lelaki yang bergelar ketua keluarga menjadi ketua yang mengabaikan tanggungjawab dan tidak amanah menjaga isteri dan anak-anak yang menjadi tanggungan mereka.

Beritahu anak lelaki anda tentang perkara ini. Sentiasa ingatkan mereka tentang tanggungjawab seorang ketua!

5. Belajar Susah

Walaupun anda kaya dan berkemampuan menyediakan segala kemewahan untuk anak, simpanlah ia sedikit untuk perkara lain.

Tahukah anda, anak-anak yang terlalu dimanjakan dengan kemewahan hanya akan membesar sebagai anak yang lembik, tidak berdikari dan mungkin juga pemalas!

Tentu anda tidak mahu anak anda terutama anak lelaki masuk dalam golongan tersebut. Ajarkan mereka bagaimana anda berjuang dan berusaha untuk mendapatkan apa yang anda miliki hari ini.

Maka mereka perlu juga berusaha dengan usaha sendiri untuk mencipta kejayaan di masa hadapan.

Semoga usaha tersebut mampu mendidik anak lelaki menjadi lelaki sejati yang bertanggungjawab dan takut dengan balasan daripada Allah SWT jika mereka tidak amanah.

BACA INI JUGA: Ketahui Rahsia Perbezaan Otak Lelaki Dan Otak Perempuan!

Sumber: Majalahpama

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon