Thursday, June 30, 2016

Banyak Sangat Palsu Di China, Terbaharu Universiti Palsu!


Sebut sahaja China, bagi masyarakat antarabangsa negara itu cukup terkenal dengan pelbagai produk tiruan jenama global malah kadang-kala lebih hebat pula daripada yang original.

Universiti Palsu China.jpg

Daripada telefon pintar ternama, produk elektronik dan gajet canggih, sehinggalah pakaian, baju jersi atau kasut sukan, aksesori wanita, telur ayam waima beras pun boleh dipalsukan setanding dengan produk versi sebenar.

Terbaharu dan paling mengejutkan dunia akademik, China bukan sahaja mampu mengeluarkan ijazah termasuk doktor falsafah palsu, bahkan lebih dahsyat, terdapat ratusan buah universiti palsu wujud di negara tersebut.

Kerajaan China baru-baru ini dilaporkan telah membongkar sejumlah 30 buah institusi pendidikan tinggi ‘hantu’ ketika jutaan pelajar sekolah menengah sedang bersiap sedia untuk mendaftar ke peringkat pengajian universiti.

Agensi berita rasmi Xinhua mendedahkan, sejak 2013 sebanyak 400 buah universiti palsu sudah disenaraikan sdaxue.com, satu laman web yang dikenali kerana keberanian membongkar institusi pendidikan palsu di China.

Pengasas laman tersebut, Xia Xue menyatakan kepada Xinhua, nama-nama universiti yang mencurigakan itu biasanya disebarkan menerusi jaringan e-mel atau media sosial tempatan sebelum mereka akan menyiasatnya.

“Sangat mudah untuk mengetahui helah yang mereka gunakan jika memalsukan nama sebuah universiti terkenal, namun lebih sukar untuk mengenal pasti jika yang dipalsukan adalah institusi kecil yang kurang ternama,” ujar Xue.

Terdapat lebih 2,000 buah universiti di seluruh China yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan dengan jumlah keseluruhan pelajar seramai 15 juta orang termasuk hampir 400,000 pelajar antarabangsa dari 200 buah negara.

Beliau merujuk taktik digunakan penjenayah ini agar ‘universiti’ mereka dilihat meyakinkan. Institusi palsu ini ujar Xue, biasanya memakai nama dan laman web yang mirip institusi terkenal agar mudah menyelinap di dunia maya.

Meskipun demikian, setelah beberapa tahun mendedahkan senarai universiti palsu itu, Xue mengesan muslihat terkini sebahagian besar menggunakan nama institusi swasta dengan pengkhususan pengajian sepanjang hayat.

Universiti Palsu China [2].jpg

Kerajaan China, terutama pihak polis, kini turut menggunakan senarai daftar nama institusi pendidikan yang diterbitkan oleh sdaxue.com untuk mereka dapat melakukan proses penyiasatan forensik dengan lebih lanjut.

Perkembangan semasa menunjukkan laman web tersebut berjaya membantu hampir 10 juta pelajar lepasan sekolah menengah yang mahu mengikuti ujian kemasukan ke pengajian tinggi yang dikenali di China dengan istilah gaokao.

Pada masa sebeginilah lazimnya ramai pelajar berada dalam tekanan berat terutama daripada keluarga untuk lulus ujian saringan ketat itu dan seterusnya diterima melanjutkan pendidikan tinggi ke mana-mana institusi ternama.

Keadaan sengit tersebut menyaksikan ada kalangan calon yang sanggup melakukan pelbagai cara ‘kotor’ termasuk cuba menipu dalam ujian untuk memastikan mereka mendapat tempat menyambung pengajian peringkat tinggi.

Pada tahun ini, untuk kali pertama, pelajar yang didapati lulus dalam peperiksaan gaokao secara penipuan akan disabitkan atas dakwaan jenayah dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun.

BACA INI JUGA: Pilih Universiti Atau Matrikulasi, Keputusan Yang Bakal Mengubah Hidup Anda

Sumber: Agensi/Mynewshub/HAA

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon