Thursday, May 26, 2016

Baca Al-Fatihah 40 Kali Petua Elak Bisa Ular


PASIR MAS - Susuk tubuhnya kurus, tinggi dan peramah orangnya. Itulah Pokku yang dianggap ‘hero’ dalam kalangan penduduk di Tendong dan sekitarnya.

Tengku Razlan Tengku Ismail @ POKKU

Pokku atau nama sebenarnya Tengku Razlan Tengku Ismail, 47, bekerja sendiri merupakan penyelamat kepada penduduk yang berdepan dengan ancaman ular.

Kebiasaannya apabila ular masuk ke dalam rumah, penduduk akan memanggil bomba atau Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menangkap haiwan berbisa itu.

Namun, bagi penduduk di sekitar jajahan ini terutamanya di Tendong, Pokku yang digelar Raja Ular akan menjadi pilihan utama mereka bagi menangkap ular yang muncul di kediaman mahupun kawasan kampung.

Keberaniannya yang sanggup mengorbankan nyawa menangkap ular demi menyelamatkan nyawa seseorang sangat dikagumi penduduk setempat.

Pokku berkata, minatnya terhadap ular bermula ketika dia masih kecil lagi kerana sudah biasa melihat habitat tersebut di sekitar kawasan rumahnya yang terletak di Kampung Tepi Sungai Tendong.

“Pada waktu itu orang-orang tua ada memberi petua untuk diamalkan bagi mengelakkan terkena bisa ular. Dari situlah saya cuba mengamalkan petua tersebut dan

mendapat keberanian menangkap ular dengan izin ALLAH.

“Antara amalan saya ialah membaca surah Al-Fil sebanyak tujuh kali selepas Maghrib selama 40 hari berturut-turut,” katanya.

Menurutnya, bermula dari situ jika ada penduduk yang meminta tolong untuk menangkap ular dia tidak akan menolak.

Katanya, ia dilakukan percuma namun ada kalanya penduduk memberi sedekah di atas bantuan tersebut.

Pokku berkata, sepanjang 20 tahun dia melibatkan diri dalam menangkap ular, hanya beberapa kali dia dipatuk haiwan berbisa itu.

Dia berkata, kebiasaannya gigitan itu hanya dirasai seperti sakit luka kecil sahaja dan tidak memerlukan dia mendapatkan rawatan di klinik mahupun hospital.

“Saya juga mengamalkan petua, apabila dipatuk, ular tersebut tidak dibunuh tetapi dibuang ke dalam sungai berhampiran.

“Sepanjang fenomena El Nino yang melanda negeri ini, boleh dikatakan setiap hari saya akan menerima dua hingga tiga panggilan daripada orang ramai untuk menangkap ular.

"Kebiasaannya pada waktu Maghrib kerana ketika inilah ular memasuki rumah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, perlu diingatkan kadang-kadang tidak semua ular yang memasuki rumah adalah betul-betul haiwan itu, kerana banyak juga kes melibatkan jelmaan jin.

Menurutnya, disebabkan itulah sebagai seorang penangkap ular dia mengamalkan ayat al-Quran sebagai pemudah urusan.

PEMBETULAN RALAT: 'Amalan yang beliau lakukan ialah membaca surah Al-Fil sebanyak tujuh kali selepas Maghrib selama 40 hari berturut-turut.'

Admin mohon maaf diatas kesilapan pada tajuk diatas.

BACA INI JUGA: Panduan Dan Perkara Perlu Dilakukan Jika Dipatuk Ular

Sumber: SH

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon