Apr 15, 2016

Penjawat Awam Diberi Pilihan Terima Atau Tolak Skim Baru!

Penjawat awam diberi pilihan untuk menerima atau menolak tawaran terhadap 252 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik berkuat kuasa 1 Julai ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

252 skim baru perkhidmatan awam

Beliau yang mengulas rasionalisasi skim perkhidmatan awam itu berkata, penambahbaikan itu akan memberi kesan kepada kenaikan gaji dan gred termasuk gaji permulaan minima sebanyak RM1,200 dalam sektor awam.

"Namun saya tidak nampak sebarang sebab untuk mereka menolaknya," kata beliau kepada media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan reka cipta logo 'My High Speed Rail' (MyHSR) di sini hari ini.

Penambahbaikan itu akan memperlihatkan kenaikan tahunan kepada kesemua 1.6 juta penjawat awam, manakala penambahbaikan skim yang bermula dari gred 11 hingga 40 akan membabitkan 1.3 juta kakitangan kerajaan, katanya.

"Ini satu berita terbaik untuk penjawat awam dan berharap mereka akan meningkatkan produktiviti dan daya usaha dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Katanya walaupun hasil negara pada tahun ini berkurangan disebabkan faktor seperti penurunan harga minyak dunia, kerajaan tetap menunaikan janjinya untuk memberi kenaikan gaji seperti yang diumumkan dalam Bajet 2016, sebelum ini.

Mengenai permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar kerajaan mengkaji semula kadar gaji yang ditawarkan supaya selaras dengan keperluan hidup penjawat awam, Ali menyifatkan ia permintaan yang menarik.

"Namun, kita juga mengharapkan Cuepacs turut sama memberi idea bagaimana untuk meningkatkan hasil negara di samping menggalakkan penjawat awam meningkatkan produktiviti mereka...itu yang sangat penting," katanya. -Bernama

BACA INI JUGA: Muat Turun Pekeliling Penambahbaikan 252 Skim SPA

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon