Tuesday, April 26, 2016

Banci Ekonomi Jabatan Perangkaan Malaysia 2016


Jabatan Perangkaan Malaysia sedang melaksanakan Banci Ekonomi 2016 bagi tahun rujukan 2015, yang dijalankan sekali setiap lima tahun dan kali terakhir ia dijalankan pada 2011.

BE2016

Banci ini mengumpul maklumat lengkap struktur dan profil kegiatan ekonomi serta perniagaan di Malaysia.

Dianggarkan sebanyak 700,000 syarikat akan diliputi dalam banci ini dengan 75.0% dalam sektor perkhidmatan, sektor pembinaan (10.9%), sektor pembuatan (10.5%), sektor pertanian (2.8%) dan sektor perlombongan dan kuari (0.8%).

Ini termasuk mereka yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan badan-badan profesional seperti Majlis Peguam dan Persatuan Arkitek Malaysia (PAM).

Syarikat yang menjalankan aktiviti perdagangan edaran seperti syarikat runcit dan borong terkecuali daripada liputan BE2016.

Bermula April 2016, Jabatan Perangkaan akan mengedarkan soal selidik melalui mel dan syarikat-syarikat akan menerima satu set soal selidik yang mengandungi soalan berkaitan profil industri, aset dan perbelanjaan modal, pendapatan atau perolehan, corak perbelanjaan, maklumat guna tenaga, kemudahan pembiayaan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan e-dagang, inovasi, pemasaran dan promosi, import dan eksport dan akhir sekali, pematuhan alam sekitar.

Syarikat-syarikat dikehendaki mengembalikan soal selidik dalam tempoh sebulan dan sekiranya soal selidik tidak diterima atau tidak lengkap, pegawai dari Jabatan Perangkaan akan membuat susulan ke syarikat untuk mengumpul maklumat bancian tersebut.

Banci ini dijalankan di bawah peruntukan Akta Perangkaan 1965 (Disemak-1989). Mengikut Akta ini, mana-mana pertubuhan yang beroperasi di Malaysia dikehendaki memberikan maklumat sebenar atau anggaran terbaik kepada Jabatan Perangkaan Malaysia.

Maklumat yang diberikan adalah SULIT dan tidak boleh dihebahkan kepada sesiapa atau mana-mana institusi di luar Jabatan ini.

Liputan Banci Ekonomi 2016

Liputan Banci Ekonomi 2016

Borang Soal Selidik Banci Ekonomi 2016

Borang Soal Selidik Banci Ekonomi 2016

Mengapa Banci Ekonomi Dijalankan?

Banci Ekonomi dilaksanakan bertujuan untuk mendapatkan maklumat yang komprehensif berkaitan struktur dan aktiviti ekonomi di Malaysia serta mengenal pasti pertumbuhan baru.

Ia digunakan untuk:
  • Membentuk program dan dasar ekonomi di peringkat nasional;
  • Menilai pelaksanaan dasar pembangunan negara seperti program transformasi ekonomi, Rancangan Malaysia Kesebelas dan Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2012-2020;
  • Membantu ahli ekonomi dan ahli akademik membuat unjuran dan analisis ekonomi; dan
  • Membantu ahli perniagaan membuat keputusan dan perancangan serta mengukur prestasi perniagaan mereka.

Selain itu, data Banci Ekonomi akan digunakan dalam mengemaskini petunjuk ekonomi sedia ada seperti pengasasan semula Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), penyusunan Akaun Satelit Pelancongan (TSA), dan penyediaan profil Perusahaan Kecil dan Sederhana.

Maklumat lanjut mengenai Banci Ekonomi 2016 dan bagaimana syarikat dapat mengambil bahagian boleh didapati di laman web Jabatan Perangkaan, www.statistics.gov.my.

BACA INI JUGA: MyDeposit, Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama

-SENTIASAPANAS.COM

2 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon