Sunday, April 24, 2016

1.25 Juta Peminjam PTPTN Disenarai Dalam CCRIS


Seramai 1.25 juta peminjam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman PTPTN telah disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).

Peminjam PTPTN Disenarai Dalam CCRIS

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata peminjam tegar itu bukan sahaja disenaraikan dalam CCRIS oleh PTPTN malah oleh pelbagai institusi kewangan lain.

“Ada peminjam PTPTN itu turut gagal membayar hutang dengan institusi kewangan lain.

“Sebenarnya CCRIS bukan bertujuan menyenarai hitam nama peminjam, sebaliknya untuk kemudahan institusi kewangan lain melihat rekod peminjam untuk urusan kredit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) Plus."

Beliau berkata pihaknya mula menyenaraikan peminjam tegar ke dalam sistem maklumat itu secara berperingkat sejak 16 Jun tahun lepas yang bertujuan menggalakkan peminjam supaya lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dalam membayar balik pinjaman.

Katanya, peminjam yang mempunyai rekod pembayaran buruk berisiko sukar memperoleh kelulusan pinjaman dari semua institusi kewangan, termasuk bagi permohonan pinjaman peribadi, kad kredit, perumahan dan kenderaan.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Anuar berkata PTPTN menyasarkan RM2 bilion didepositkan ke dalam produk baharunya SSPN-i Plus, yang diperkenalkan sejak Jun tahun lepas, menjelang tahun 2020.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 7,237 akaun SSPN-i Plus telah dibuka membabitkan nilai deposit RM534,000 dan menjangkakan 30,000 akaun lagi akan dibuka sehingga hujung tahun ini.

Katanya pendeposit yang menyimpan dalam SSPN-i Plus boleh memilih pelbagai pakej dengan cara potongan gaji termasuk pakej serendah RM50 sebulan berserta pelbagai kelebihan lain.

Beliau berkata sempena tahun pertama pelancaran SSPN-i Plus, PTPTN turut menganjurkan cabutan bertuah kepada pendeposit dengan tawaran hadiah berupa sebuah apartment bernilai RM500,000, kereta BMW dan Honda CRV serta barangan lain bernilai kira-kira RM3 juta.

SSPN-i Plus adalah pelan simpanan terbaik yang menggabungkan simpanan pendidikan dan pakej perlindungan takaful yang murah dan komprehensif.

BACA INI JUGA: Artis-artis Hollywood Yang Berpelajaran Tinggi

Sumber: BERNAMA

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon