Friday, February 12, 2016

Syed Amen Dibunuh Kerana Lantang Pertahan Hak Melayu Pulau Pinang?!


Ahli perniagaan Syed Amen Jainul Abidin, 46, yang maut ditembak di Jalan Datuk Keramat pernah diugut beberapa kali kerana lantang dalam mempertahankan hak kaum Melayu di Pulau Pinang.

Syed Amen

Isteri mangsa Masita Abu Bakar, 46, berkata suaminya pernah memberitahunya mengenai perkara berkenaan dan berpesan agar mereka sekeluarga lebih berhati-hati.

Arwah disifatkan sebagai sering membantu rakan-rakannya yang dalam kesusahan dan biarpun ramai yang mengenalinya sebagai seorang yang cukup tegas tetapi hakikatnya hatinya mudah tersentuh jika melihat kesusahan orang lain.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, Syed Amen maut selepas ditembak dari jarak dekat di hadapan sebuah kedai motosikal berkuasa tinggi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam keretanya selepas seorang lelaki melepaskan lima das tembakan ke arahnya.

Syed Amen yang berkahwin dengan isterinya, Masita, sejak 10 tahun lepas dan masih belum dikurniakan cahaya mata kerana isterinya mengalami keguguran beberapa kali termasuk yang terbaru pada minggu sebelum kejadian.

Syed Amen adalah antara aktivis yang aktif mempertahankan kampung dan gerai masyarakat Melayu yang diroboh pihak berkuasa tempatan.

Beliau pernah menerima Anugerah Ikon Bumiputera Pulau Pinang pada 2008.

Pada tahun 2014, kedai cuci kenderaan miliknya di Jalan Arraton pernah dibakar pihak yang dipercayai tidak berpuas hati dengan arwah kerana sangat lantang mempertahankan nasib orang Melayu.

Sementara itu adik mangsa Abdul Kader, 42, berkata beliau dihubungi rakannya yang memaklumkan abangnya telah ditembak namun beliau tidak mempercayai dan meminta kawannya itu melihat mayat berkenaan bagi mengesahkan ia adalah abangnya.

Beliau berkata Syed Amen merupakan anak kedua daripada lima adik beradik merupakan seorang yang suka menolong orang terutama rakan-rakan yang dalam kesusahan dan tidak mempedulikan ugutan yang dilakukan terhadapnya.

Jenazah Syed Amen dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Dua, Butterworth selepas solat Asar.

Allahyarham seolah-olah sudah dapat merasakan tragedi yang bakal menimpanya kerana menerusi satu status yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya di bawah nama ‘Amen Beyond’, beliau merujuk satu kejadian tembakan dan meramalkan perkara sama akan menimpanya.

Dalam status yang dimuat naik pada 4 Dis tahun lalu, Syed Amen turut meluahkan beliau tidak takut dengan kemungkinan itu. –BERNAMA

BACA INI JUGA: Video Wartawan Dibunuh Ketika Siaran Langsung!

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon