Feb 19, 2016

Persidangan Rahsia Freemason Di Pulau Pinang!

Sembilan badan bukan kerajaan (NGO) pada Khamis membuat laporan polis bagi membantah persidangan International Scottish Masonic Conference 2016 yang dijangka berlangsung di Pulau Pinang.

Freemason+Malaysia

Program julung kali tersebut bakal berlangsung dari 24 hingga 26 Februari ini dikatakan mengundang keresahan dalam kalangan umat Islam di Pulau Mutiara selain dibimbangi akan membawa agenda tersirat pihak asing.

Wakil NGO itu yang juga Pengerusi Jaringan Muslimin Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohd. Nordin mendakwa persidangan akan diadakan di sebuah hotel terkenal di kawasan peranginan popular Batu Ferringhi dekat sini.

Sidang tersebut mencetuskan kontroversi kerana dianjurkan oleh sebuah pertubuhan antarabangsa yang juga dikenali sebagai Freemason dan sering dikait dengan Yahudi serta teori konspirasi terhadap masyarakat Islam.

“Kami mahu pihak berkuasa menyiasat persidangan itu kerana ia menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam,” kata Mohamed Hafiz selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini.

Antara wakil NGO tempatan yang turut hadir bagi membuat laporan polis tersebut ialah Persatuan Mukabuku Pulau Pinang, Pekida Daerah Timur Laut, Perwira Negeri Pulau Pinang dan Gerakan Merah Pulau Pinang.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatarash Wahid ketika dihubungi agensi berita Bernama mengesahkan menerima laporan berkenaan, namun enggan mengulas lebih lanjut.

Berita mengenai persidangan rahsia itu mula didedahkan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Armand Azha Abu Hanifah yang mendakwa pertemuan gerakan Freemason diadakan di Bayview Beach Resort di Pulau Pinang.

Susulan itu, Armand Azha turut menuntut pihak kerajaan negeri DAP Pulau Pinang dan pemimpin pembangkang Pakatan Harapan agar segera menjelaskan rasional kenapa perhimpunan tersebut dibenarkan oleh mereka.

Armand Azha

“Sepertimana yang saya nyatakan, pada 24 Februari akan ada pertemuan Freemason/Iluminati terbesar di salah sebuah negeri tidak lama lagi. Ramai yang hubungi saya setuju bagi membongkarkan pertemuaan mereka ini.

“Walaupun saya dinasihatkan tidak mengacau kerana dikatakan gerakan mereka kuat dan besar, tetapi saya yang berpegang pada agama Islam dan berpandukan perjuangan 30 juzuk al-Quran berasakan ia harus dihentikan.

“Malah program tersebut wajar dibatalkan serta memmohon pihak kerajaan negeri DAP tersebut memberikan penjelasan secara rasmi,” kata Armand Azha menerusi artikel dalam blog tulisannya armandpju.blogspot.my.

Armand Azha turut melampirkan semua maklumat pertemuan itu dalam blognya di samping beliau mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan gabungan parti-parti pembangkang memberikan penjelasan.

“Apakah pendirian rasmi pemimpin-pemimpin serta penyokong-penyokong Pakatan Harapan terutama yang mengaku beragama Islam dalam PKR, PAN dan DAP selain juga bekas sekutu mereka, PAS mengenai isu ini?

“Saya Armand Azha Haji Abu Hanifah ingin buat pendirian secara terbuka membantah dan mahu penjelasan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang (Guan Eng), sama ada beliau setuju atau tidak pertemuan ini,” tegasnya.

Beliau pada masa yang sama turut menyeru semua NGO Islam di seluruh Malaysia agar bersatu hati dengan membantah keras penganjuran persidangan tahunan Freemason tersebut. –Agensi/Mynewshub.cc/HAA

BACA INI JUGA: Freemason Dan Illuminati, Apa Sebenarnya Kumpulan Rahsia Ini?

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon