Thursday, February 25, 2016

'Ayah Minta Maaf Sebab Kurang Luang Masa..’


Pendakwah terkenal, Ustaz Kazim Elias menukilkan isi hatinya melalui kemas kini status di Facebook selepas rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita kesihatannya, Jumaat lalu.

Ustaz Mohd Kazim Elias

Mohd Kazim berkongsi keadaan kesihatannya selain meminta maaf kepada semua pihak termasuk keluarganya.

“Saya mengambil kesempatan di sini memohon maaf zahir dan batin, dunia dan akhirat jika saya ada tersalah silap dengan saudara-saudara (dan) sahabat-sahabat sekalian.

“Buat anak-anak ayah minta maaf sebab sangat kurang masa kita bersama. Harap anak-anak ayah faham kerja dakwah ayah,” tulisnya.

Sebelum ini, Mohd Kazim dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selepas mengadu penat dan sakit dada ketika sedang berceramah di mana beliau kemudiannya menjalani rawatan jantung ‎'coronary angiography'.

Mohd Kazim kini sedang menerima rawatan lanjutan di Hospital KPJ Ipoh sejak Isnin lalu.

Beliau memberitahu ketika menerima serangan jantung di Kelantan, penceramah berusia 44 tahun ini merasakan itulah saat akhirnya di dunia ini dan beliau sudah pasrah sekiranya dijemput ALLAH SWT.

“Syukur ALLAH SWT mudahkan saya dengan sedikit ujian. Tiga saluran arteri saya tersumbat 99 peratus, 90 peratus dan ketiga 50 peratus.

"Ada dua lagi saluran arteri yg belum diletakkan ‘stent’. Angiogram akan dibuat selepas jantung saya stabil.

“Semalam sekitar jam 1 petang saya sangat tidak selesa, penat sangat-sangat dada pedih dan berdebar dengan kuat.

"Sampi saat ini saya masih tidak boleh bercakap dengan baik, tersekat dan mudah penat bila bercakap,” katanya.

UPDATE
(26/2/2016)

Culas buat pemeriksaan punca kesihatan Kazim terganggu

Culas menjalani pemeriksaan berkala, menjadi punca kesihatan pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias terjejas, hingga terpaksa dikejarkan ke hospital, Jumaat lepas.

Perkara itu didedahkan abangnya, Datuk Mohd Najmuddin yang memaklumkan, adiknya itu sering gagal memenuhi jadual pemeriksaan kesihatan atas tuntutannya sebagai penceramah.

Menurutnya, seminggu sebelum kejadian, Mohd Kazim yang menghidap penyakit kencing manis sejak 10 tahun lalu, sepatutnya perlu menjalani pemeriksaan di hospital, namun tidak melakukannya kerana perlu ke Sabah.

“Dah banyak kali sebenarnya dia terlepas temujanji doktor. Mungkin kerana komitmen kerja dan tuntutan ceramah yang memerlukannya bergerak ke sana sini.

“Sebelum ke Sabah, dia sebenarnya dah rasa simptom awal sakit, tapi sebab nak penuhi jemputan ceramah di sana, dia lepaskan temujanji dengan doktor.

"Sebab itulah ketika ceramah di Bachok, Kelantan, tiba-tiba diserang sakit jantung,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini, mereka malah Ustaz Kazim sendiri tidak mengetahui dirinya mempunyai masalah kesihatan berkaitan jantung.

Katanya, serangan jantung di Kelantan minggu lalu, adalah yang pertama berlaku sepanjang perjalanan Ustaz Kazim sebagai penceramah.

“Yang kami tahu, dia ada kencing manis, jantung tak pernah, bila ada kencing manis ni kena check up 3 atau 6 bulan sekali, tapi dah banyak kali dia skip,” katanya.

Mohd Kazim, 44, selamat menjalani prosedur angiogram bagi memulihkan tiga saluran arteri yang tersumbat, masing-masing satu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan dua di Hospital Pakar Ipoh (KPJ).

Beliau kini stabil meskipun dilaporkan lemah akibat demam.

Mewakili ahli keluarga, Mohd Najmuddin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan dan doktor HUSM serta KPJ yang memberikan rawatan terbaik.

"Tidak lupa juga atas doa serta sokongan semua pihak yang mahu melihat adik saya pulih," katanya lagi.

BACA INI JUGA: Fakta Sejarah Membuktikan Puak Syiah Adalah Munafik Terulung

Sumber: Sinarharian.com.my

2 comments

  1. Bersamalah kita mendoakan agar beliau sentiasa dikurniakan kesihatan sebaiknya... aamiin.

    ReplyDelete
  2. Kesian Ustaz Kazim, sibuk berdakwah sampai kesihatan pun terjejas. Semoga ustaz kazim sihat sentiasa.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon