Wednesday, January 06, 2016

Debu Bauksit Boleh Menyebabkan Alzheimer!


Mereka yang terdedah dengan debu bauksit dalam tempoh yang panjang terutama pekerja di kawasan perlombongan dan penduduk yang berada di sepanjang laluan pengangkutan bauksit berisiko menghidap penyakit Alzheimer.

Bahaya Debu Bauksit

Felo Penyelidik Kualiti Udara Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Azman Azid, berkata bauksit mengandungi aluminium hidroksida dan debu bahan itu yang terbebas ke udara apabila dihidu dalam tempoh yang lama boleh menyekat pengaliran oksigen dalam darah sekali gus ke sistem saraf.

“Apabila otak kekurangan oksigen ia boleh menyebabkan seseorang itu terdedah dengan risiko untuk menghidap penyakit Azheimer atau penyakit lupa,” katanya.

Menurutnya hasil kajian yang dijalankan institut berkenaan di beberapa lokasi terjejas dengan keadaan itu termasuk di Sekolah Tahfiz Bukit Goh, antara laluan utama kenderaan bauskit, mendapati indeks pencemaran udaranya melebihi tahap berbahaya iaitu mencecah sehingga 468.

Pencemaran udara di kawasan yang terlibat dengan aktiviti itu disifatkan sebagai serius dan menganggarkan zarah terampai bawah 10 mikron (PM10) berada di tahap lebih 200μg/m3, melebihi piawaian yang ditetapkan oleh Piawaian Kualiti Udara Ambien Malaysia, iaitu 150 μg/m3.

Sikap sesetengah penduduk dan pekerja yang tidak mengendahkan kesihatan mereka kerana tidak memakai topeng keselamatan apabila berada di kawasan tercemar dengan aktiviti itu juga berdepan masalah pernafasan, batuk, alahan radang paru-paru serta gatal-gatal pada bahagian mata selain masalah kepada hati.

Manusia yang terdedah dengan tahap kualiti udara yang tidak sihat untuk tempoh yang lama juga boleh mengalami simptom kesukaran dan masalah pernafasan sebelum menjadi kronik apabila tidak dikawal.

Selain pekerja perlombongan, mereka yang berisiko untuk menghidapinya termasuk juga bayi, kanak-kanak, dan warga emas kerana keperluan udara yang tinggi untuk pernafasan dan lemah imuniti tubuh badan melawan penyakit tersebut.

Masalah pencemaran dapat dikurangkan sekiranya agensi penguatkuasaan berkaitan mengambil tindakan sewajarnya sejak aktiviti itu mula berlaku di daerah ini.

Agensi berkenaan termasuk Jabatan Alam Sekitar sepatutnya sejak awal memantau keadaan ini terutama aspek pelaksanaan dalam kerja-kerja perlombongan.

Debu yang terbebas di udara boleh dikurangkan sekiranya lori-lori bauksit ini menutup dengan rapi lori mereka semasa mengangkut bahan tersebut dan jalan-jalan yang dilalui pula disembur dengan air.

Dalam masa yang sama, penampan perlu dibina sepanjang laluan itu untuk menapis air berkenaan sebelum memasuki anak-anak sungai.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) juga perlu memainkan peranan memastikan semua pekerja yang terlibat dalam industri itu memakai topeng keselamatan bagi mengelakkan kesihatan mereka daripada terjejas untuk jangka masa panjang.

Dalam masa yang sama, berlaku pertambahan jumlah pesakit mendapatkan rawatan untuk penyakit yang berkaitan pernafasan seperti lelah, selsema dan batuk di klinik dan hospital kerajaan di negeri ini. –BERNAMA

BACA INI JUGA: Asap Lilin Lebih Berbahaya Daripada Rokok!

1 comment

  1. terima kasih atas artikel yang boleh mewujudkan kesedaran masyarakat

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon