Saturday, January 02, 2016

Animasi Mulan Adaptasi Kisah Benar!


Animasi Mulan mula diterbitkan pada tahun 1998 oleh syarikat animasi Hollywood. Animasi ini mengisahkan pengembaraan gadis bernama Fa Mulan ke medan peperangan bagi menggantikan ayahnya yang sudah uzur.

Mulan

Kisah animasi ini menarik minat penonton kerana penonjolan karakter Mulan yang menyamar sebagai lelaki semasa berkhidmat dalam angkatan tentera.

Keputusan itu dibuat tanpa pengetahuan ahli keluarga, bagaimanapun identiti gadis ini terdedah secara tidak sengaja semasa tercedera dalam sebuah pertempuran.

Demikian serba sedikit kisah animasi Mulan.

Sementara itu, siapa sangka disebalik pembikinan animasi ini, terdapat sebuah kisah benar yang menyayat hati menjadi latar belakang dan tunjang filem.

Kisah benar ini tercatat pada sebuah puisi kuno yang popular di China. Ia menceritakan tentang seorang gadis yang bernama Hua Mulan.

Ramai pengkaji menyebut, gadis ini hidup antara tahun 389 hingga 589 Masihi, iaitu pada zaman Dinasti Wei menjadi sebuah kerajaan di wilayah utara China.

Menurut persejarahan, pemerintah dinasti ini telah membuat satu perjanjian antara raja dengan rakyat, di mana raja dan rakyat akan bersama-sama berkhidmat untuk negara.

Salah satu cabang dalam perjanjian ini adalah berkhidmat sebagai tentera untuk mempertahankan negara daripada diserang dan dicerobohi musuh.

Jadi, demi mencapai kedaulatan ini, setiap keluarga dalam bangsa Wei perlu menghantar seorang lelaki dalam keluarga mereka untuk dilatih menjadi seorang tentera.

Pada masa itu pula, dalam keluarga Mulan, ayahnya sudah tua manakala adik lelakinya pula masih kecil.

Bapa Hua Mulan, bernama Hua Hu sedar situasi begitu akan berlaku dalam keluarganya dan dia telah melatih Mulan sejak kecil, ilmu peperangan dan ketenteraan, serta seni bela diri.

Seperti dijangka, arahan negara tiba ke kampung mereka. Hua Hu tiada pilihan selain menggalas tanggungjawab menyahut seruan negara.

Lantaran tidak sanggup melihat ayahnya yang telah tua melangkah ke medan perang, Mulan memikul tanggungjawab menyahut panggilan negara.

Mulan juga tahu, jika dia pergi ke kem latihan sebagai seorang wanita, pasti keluarganya akan diketawakan.

Di China, anak lelaki adalah maruah keluarga dan lambang kekuatan negara. Jadi, keluarga yang tidak mempunyai anak lelaki dianggap lemah dan tidak berupaya.

Jadi, demi menjaga maruah, Mulan menyamar sebagai lelaki mewakili keluarga Hua untuk berbakti kepada negara.

Sejarahwan mengandaikan usia Mulan ketika menyertai misi panggilan negara ketika itu adalah 18 tahun.

Di kem latihan, Mulan berubah karekter. Segala ilmu yang dipelajari dan kemahiran yang dimiliki digunakan sepenuhnya sehingga dilantik memimpin sebuah armada perang.

Sedar tak sedar, Mulan telah berperang selama 12 tahun. Dikalangan tentera, dia dianggap seorang pahlawan yang hebat.

Yang hebatnya, identiti sebenar Mulan tidak terdedah ketika bersama pasukan tentera.

Rahsianya tersimpan rapi sehinggalah Mulan dikunjungi beberapa orang rakan lama yang sama-sama terlibat dalam peperangan.

Ketika itu, barulah mereka tahu individu yang selama ini begitu hebat di medan perang rupa-rupanya seorang wanita!

Mulan [2]
Puisi kuno mengenai Mulan (Versi Dinasti Sung).

Bagaimanapun, cara pembongkaran rahsia penyamaran Mulan tidak dapat dipastikan kesahihannya, termasuklah gambar sebenar wira ini yang kekal menjadi rahsia sehingga kini.

Walaupun kisah Mulan memiliki pelbagai versi lain, namun apa yang dijelaskan adalah elemen popular yang sering dicanang dikalangan masyarakat.

Malah, unsur kewujudan naga yang banyak membantu Mulan semasa berperang juga disebut sebagai dongeng semata-mata.

Walau apa sekalipun variasi yang timbul, kisah Hua Mulan tetap dikenang oleh masyarakat sebagai seorang lagenda hebat yang diceritakan turun-temurun.

BACA INI JUGA: Benarkah Animasi Shin Chan Adaptasi Kisah Benar Yang Menyedihkan?

-SENTIASAPANAS.COM

1 comment

  1. Salam 2016 sahabat SP. Semoga 2016 ini membawa lebih kejayaan dan keberkatan... aamiin.
    Salam ukhwah... lama saya tak berblogging ni hihii... :)

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon