Apr 29, 2015

Secawan Kopi Luwak Berharga RM50

Ia bukan sebarang kopi, secawan kopi ini berharga kira-kira RM50. Itulah harga Kopi Luwak di Jakarta yang boleh dikatakan antara kopi termahal di dunia.

Kopi Luwak

Kopi Luwak menjadi popular di rantau ini apabila berlakunya polemik mengenai hukum halal haram kerana biji kopi itu diambil dari najis musang daripada spesies Asian palm civet yang dikenali sebagai luwak di Indonesia.

SEJARAH RINGKAS KOPI LUWAK

Penemuan Kopi Luwak ini dikatakan bermula pada era sistem rodi tanaman atau tanaman paksa oleh penjajah Belanda. Pada awal abad ke-18, penjajah Belanda telah memaksa rakyat Indonesia menjadi petani bagi projek tanaman komersial syarikat Hindia Belanda.

Penjajah Belanda melarang buruh-buruh paksa itu mengambil atau memakan sebarang tanaman yang diusahakan. Disebabkan itu, rakyat pribumi yang ingin meminum kopi hanya mampu mengambil biji kopi yang telah dimakan oleh musang.

Biji kopi yang diambil daripada najis musang itu dikumpul dan dicuci sebelum diproses secara manual.

Kegiatan rakyat tempatan itu akhirnya disedari oleh penjajah Belanda dan setelah mereka selidiki, biji kopi yang keluar daripada perut luwak didapati lebih sedap rasanya dan kualiti biji kopi itu baik.

Kopi itu kemudiannya menjadi kegemaran orang kaya Belanda dan menjadi kopi istimewa dan dijual dengan harga yang mahal.

KENAPA KOPI LUWAK MAHAL?

Menurut peminat Kopi Luwak, kopi itu hanya diminum oleh peminat kopi tertentu sahaja. Kopi itu mahal kerana pertama, ia diproses secara manual dengan bantuan binatang iaitu Luwak.

Luwak dikatakan binatang yang sangat cerewet dalam memilih makanan dengan hanya memilih biji-biji kopi terbaik untuk dimakan.

Luwak akan menghidu dan memakan sebahagian biji kopi yang dihidang itu dan kita percaya ia hanya memilih yang terbaik dengan biji yang kurang baik tidak disentuh langsung.

Selain itu, Kopi Luwak juga menjadi mahal kerana permintaan melebihi penawaran. Wilayah atau Kabupaten Lampung Barat dikatakan pengeluar kopi luwak terbesar dengan kawasan ladang hampir 60 hektar.

Para pengusaha ladang kopi di kawasan itu menternak berpuluh-puluh ekor luwak bagi proses pengeluaran kopi itu.

Risty berkata, luwak tidak menggigit biji kopi dan hanya menelannya sebelum mengeluarkannya semula bersama najis dalam keadaan biji kopi yang masih utuh.

Biji kopi yang menjalani fermentasi selama 8 hingga 12 jam dalam perut luwak apabila bercampur dengan enzim tertentu. Biji kopi itu kemudiannya dibersihkan sebelum dijemur di bawah terik matahari dan kemudiannya dipanggang.

APA KEISTIMEWAANYA KOPI LUWAK?

Setelah menghirup Kopi Luwak yang dihidangkan, sememangnya ada kelainan dan tidak dinafikan rasanya begitu sedap.

Menurut sebuah laman web mengenai kesihatan di sini, farmmedica.blogspot.com , Kopi Luwak baik untuk kesihatan kerana kandungan kafein yang rendah iaitu kira-kira 0.5 peratus sahaja berbanding kopi biasa sekitar dua peratus.

Satu kajian mendapati kandungan antioksida yang tinggi yang terdapat dalam Kopi Luwak juga dapat mencegah penyakit berkaitan saraf seperti Parkinson dan Alzheimer manakala enzim protelitik daripada luwak baik sebagai anti-radikal dan meningkatkan sistem kekebalan tubuh.

Kopi Luwak juga dipercayai sesuai untuk diminum oleh pesakit kencing manis dan jantung kerana kandungan kafeinnya mempunyai zat anti lengket dan mampu mencairkan kristal kolestrol yang terperangkap dalam hempedu.

FATWA KOPI LUWAK

Majis Ulama Indonesia (MUI) telah berdebat panjang apakah kopi itu halal untuk diminum kerana biji kopi itu diambil daripada najis binatang.

Bagaimanapun, setelah menjalankan kajian, MUI mengeluarkan fatwa ianya halal kerana biji kopi itu tidak digigit oleh luwak dan proses membuat kopi itu melalui cara pembersihan yang sangat meyakinkan.

Kulit biji kopi itu didapati tebal dan setelah membuang kulit itu, biji kopi berkenaan didapati bersih dan tidak berbau najis dan umat Islam tidak perlu khuatir untuk menikmati kopi itu.

BACA INI JUGA: Minum Kopi Mampu Menguatkan Gigi

Sumber: BERNAMA

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

3 comments

cik nor tak blh minum kot..hihi

ohhh ini lah kopi yang menajadi isu suatu masa dahulu

Kopi luwak ni mmg sedap.. dulu pernah rasa cuma masa tu tak tau mcmmana ia terhasil.. :D

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon