Sunday, April 19, 2015

Emily Bridge, Misteri Penunggu Jambatan Tua


Stown, merupakan sebuah pekan kecil di daerah Lamoille, Amerika Syarikat. Tiada apa yang menarik tentang pekan ini yang kebanyakannya dihuni kaum peladang.

Emily Bridge

Namun, kisah 'Jambatan Emily' banyak mewarnai pekan ini hingga menarik orang luar datang berkunjung. Semuanya mahu tahu mengenai kebenaran cerita seorang gadis yang kononnya mati akibat cinta.

Pada tahun 1844, sebuah jambatan kecil dibina dipekan itu. Ia merupakan sebuah jambatan kayu yang mempunyai dinding dan berbumbung sepanjang 49 kaki.

Setelah jambatan siap, ia dinamakan sebagai Gold Brook Covered Bridge. Ada juga yang memanggilnya sebagai Stowe Hollow Bridge.

Namun, lama-kelamaan nama jambatan ini mula berubah. Ia lebih dikenali sebagai Emily Bridge (Jambatan Emily). Semuanya bermula daripada 'hantu' gadis bernama Emily yang dikatakan menghuni kawasan jambatan tersebut.

Terdapat pelbagai versi kisah hantu Emily yang diceritakan. Ada yang mengatakan gadis bernama Emily ini bercinta dengan seorang pemuda, namun tidak direstui keluarga.

Mereka mengatur pertemuan dijambatan itu tetapi harapannya lebur. Pemuda yang dicintainya tidak muncul. Akibat kecewa, Emily dikatakan bertindak membunuh diri dengan menggantung diri dijambatan tersebut.

Versi lain pula, Emily dikatakan sedang bergembira pada hari perkahwinannya. Namun, pengantin lelaki tidak muncul-muncul. Kerana kecewa dan malu, Emily yang memakai gaun pengantin melarikan diri dengan memecut kereta kuda.

Sebaik sampai dijambatan tersebut, Emily gagal mengawal kenderaan dipacunya menyebabkan ia terbabas dan terhumban. Emily terbunuh dalam kemalangan itu.

Kemudian, pelbagai cerita seram mula muncul dan dikaitkan dengan nama Emily. Ada yang berkata, mereka terdengar suara jeritan wanita dan bunyi cakaran aneh sewaktu melalui jambatan kayu tersebut.

Ada juga yang mendakwa, kenderaan mereka diganggu ketika diletakkan disitu. Mereka mendengar seakan ada lembaga berjalan diatas bumbung kenderaan. Ada kalanya kedengaran ia seperti mencakar-cakar kereta.

Tidak kurang juga yang bercerita, mereka turut berasa seperti dicakar sesuatu. Suara aneh juga sering kedengaran dijambatan ini. Ada pula yang melaporkan, mereka terlihat bayangan lembaga putih dan lenyap secara tiba-tiba.

Semakin lama, kian popular nama Emily, hantu yang kecewa kerana cinta tidak kesampaian dan terus menggangu pengguna jambatan.

Papan Ouija

Sebenarnya, tiada bukti kukuh yang menyokong kisah Emily. Tiada hitam putih menyatakan kewujudan gadis itu. Bahkan, tidak ada kisah hantu menyelubungi jambatan tersebut sehinggalah pada tahun 1960an.

Nama hantu itu hanya muncul pada tahun 1968. Kali pertama jambatan itu dikatakan berhantu apabila seorang pelajar sekolah tinggi bernama Susan menulis kisah Emily, entiti yang 'berborak' dengannya dijambatan itu menggunakan papan Ouija.

Menurut Susan, hantu tersebut memperkenalkan diri sebagai Emily dan menceritakan ia dibunuh disitu oleh ibu tunangnya.

Apabila Susan menulis kisah tersebut dalam akhbar sekolahnya, ia serta-merta menjadi popular dan merebak dengan pantas. Malah, kisah itu antara yang terhangat pernah dipaparkan dalam penulisan berita sekolah tersebut.

Namun, muncul pula cerita daripada penduduk asal pekan yang Emily sebenarnya sudah wujud sejak awal tahun 1950an, sebelum Susan menulis dan menjadikannya popular.

Malah, sewaktu Susan ditemuramah pada tahun 2012 tentang lagenda Emily yang pernah ditulisnya, dia mengakui telah mendengar kisah Emily sebelum menulisnya. Dia lalu mendapat idea untuk menulis kisah itu dengan cara menggunakan papan Ouija sebagai sumber penulisan.

Kisah hantu jambatan Emily meletup, menjadi bualan orang ramai. Taktik itu menjadi.

Walaupun tiada bukti yang mengesahkan kisah Emily dan hanya dikatakan sebagai dongeng, namun sehingga kini orang masih memperkatakan tentang gangguan dijambatan itu. Malah, penduduk tempatan enggan melintas jambatan tersebut pada waktu malam.

Para pengkaji paranormal juga pernah datang ke jambatan ini, yang telah diiktiraf sebagai National Register of Historic Places pada tahun 1974, namun tidak menemui sebarang entiti misteri.

Mungkin Emily tidak ada mood hendak mengusik mereka atau mungkinkah yang mengganggu itu bukan Emily, tapi entiti lain?

BACA INI JUGA: Misteri Penemuan Jambatan Purba Nabi Adam!

-SENTIASAPANAS.COM

2 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon