Sunday, March 22, 2015

Tetamu Misteri Hotel Fairmont


Hotel mewah yang dikenali dengan nama 'Fairmont Banff Springs Hotel' ini terletak di Gunung Rocky, Alberta, Kanada.

Fairmont Banff Springs Hotel

Ia dibina pada tahun 1888 kerana kawasan hotel tersebut merupakan salah satu dari perhentian laluan kereta api Kanada Pasifik. Pemandangan persekitaran yang cantik menjadi tarikan utama pelancong untuk singgah ke tapak warisan dunia UNESCO ini.

Pada tahun 1926, hotel yang pada mulanya dibina menggunakan kayu telah hangus terbakar dalam satu kebakaran besar. Namun, sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku. Khabarnya, sebuah bilik rahsia telah ditemui selepas kecelakaan itu.

Menurut cerita, pemilik hotel juga tidak mengetahui kewujudan bilik misteri tersebut.

Walaupun tiada kematian dilaporkan, tetapi semenjak kebakaran itu, Hotel Fermont mula menerima kunjungan 'tetamu' misteri. Ia telah dibina semula menyerupai seni bina Istana Scotland yang kemudiannya terkenal dengan julukan nama 'Istana Gunung Rockies'.

Semenjak pembukaan semula, ramai pengunjung dan pekerja hotel mengadu pernah terserampak dengan beberapa 'tetamu' misteri.

Antaranya, hantu seorang pelayan bar yang selalu menasihati pengunjung yang minum terlalu banyak untuk pulang ke bilik masing-masing.

Mereka yang pernah terserempak dengannya mengatakan bahawa hantu pelayan bar ini sangat mesra dan sopan. Tetapi, apabila mereka datang untuk mencarinya keesokan hari, ternyata pelayan bar tersebut sebenarnya tidak wujud!

Hotel ini juga dihantui oleh jelmaan pengantin yang dikatakan mati pada hari perkahwinannya.

Menurut kisah, pengantin perempuan yang memakai gaun panjang meleret sedang berjalan menaiki tangga untuk ke dewan. Malangnya, lilin yang dinyalakan ditepi tangga telah terjatuh keatas gaunnya.

Panik dengan keadaan itu, dia tersadung lantas terjatuh dari anak tangga tersebut dan mati serta-merta akibat kecederaan di leher.

Selepas peristiwa itu, ramai pengunjung dan pekerja di hotel berkenaan sering terserempak dengan bayangan seorang wanita yang sedang menari bersendirian.

Ada juga diantara pengunjung yang mendakwa selalu terlihat bayangan seorang wanita memakai gaun pengantin berlari menaiki tangga untuk ke dewan makan.

Tidak cukup dengan itu, hotel ini juga pernah ditutup selama beberapa tahun ekoran Perang Dunia Kedua yang meletus. Selepas dibuka semula, satu pembunuhan misteri telah berlaku dalam bilik 873.

Seorang lelaki telah membunuh isteri dan anaknya sebelum bertindak mencabut nyawanya sendiri. Motif pembunuhan tidak dapat dikenal pasti sehingga ke hari ini.

Ketika mayat mangsa dikeluarkan, dua orang tukang cuci telah diarahkan untuk membersihkan bilik tersebut.

Salah seorang daripada mereka telah menemui kesan tapak tangan berdarah pada cermin yang dipercayai milik anak perempuan kepada pasangan itu.

Namun, sesuatu yang pelik telah berlaku apabila kesan tapak tangan yang berdarah itu akan muncul semula biarpun telah dibersihkan berkali-kali. Akhirnya, pihak pengurusan hotel memutuskan untuk menutup bilik berkenaan.

Semenjak peristiwa itu, pengunjung sering melihat bayangan seorang wanita dan kanak-kanak berlegar-legar di sepanjang lorong di tingkat lapan.

Kadangkala, mereka terdengar laungan anak kecil meminta tolong dan suara wanita menangis meratap disepanjang tingkat 8 tersebut.

Kisah lagenda

Fairmont Banff Springs Hotel - Sam Mc Cauley

Kisah yang paling menjadi buah mulut pengunjung hotel sehingga ke hari ini ialah tentang lagenda Sam Mc Cauley si penjaga pintu. Sam adalah pekerja di Hotel Fairmont sebagai penjaga pintu masuk sebelum bersara pada tahun 1970an.

Ketika hari terakhir perkhidmatan, Sam memberitahu rakan-rakannya yang dia akan 'kembali'. Sam meninggal dunia pada tahun 1975. Tidak lama selepas itu, pengunjung sering terserempak dengan seorang lelaki yang memakai uniform lusuh.

Dia sering membantu mengangkat bagasi dan juga membantu membuka pintu tetamu yang terkunci di luar bilik mereka. Apabila si tetamu ingin mengucapkan terima kasih dan memberikan tip, lelaki tadi hilang secara tiba-tiba.

Sehingga kini, gangguan-gangguan yang terjadi di hotel tersebut masih berlaku. Namun, ramai yang menganggapnya sebagai tarikan bagi hotel yang berusia lebih satu abad itu.

Walaupun banyak kisah misteri menyelubungi Hotel Fairmont, ia tidak menghalang orang-orang kenamaan untuk menginap disini.

Antara tetamunya ialah Marilyn Monroe, King George IV dan juga Ratu Elizabeth.

BACA INI JUGA: Misteri Sumpahan Ladang Myrtles

-SENTIASAPANAS.COM

2 comments

  1. Adakala dgn adanya misteri2 mcm ni membuatkan tempat tersebut semakin ingin dikunjungi. Hanya Allah jua yg tahu makhluk apakah yg ada di situ... wallahualam

    ReplyDelete
  2. huihh...serammnyeeee...kalau sy mesti xsnggup duduk hotel tuh hihihi

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon