Saturday, May 10, 2014

Misteri Sumpahan Ladang Myrtles

Loading...

Ladang Myrtles merupakan sebuah kawasan ladang yang luas beserta sebuah rumah agam yang terletak di St. Francisville dalam daerah Louisiana, Amerika Syarikat. Ia dibina lebih 200 tahun lalu.

Ladang Myrtles

Terdapat pelbagai versi yang diceritakan tentang asal usul rumah ini. Salah satu versi mengatakan, rumah ini dibeli oleh Ruffin Gray Stirling pada tahun 1834. Dia membawa isterinya, Mary Catherine Cobb serta sembilan anak mereka untuk menetap di dalam rumah mereka.

Dikatakan waktu itu, keluarga Ruffin terkenal diseluruh kawasan St. Francisville atas kemewahan hidup mereka. Malah, Ruffin sempat mengubah hampir keseluruhan kawasan rumah agam itu sebelum dia meninggal dunia empat tahun kemudiannya.

Selepas kematian Ruffin, isterinya menjadi satu-satunya penjaga yang menguruskan ladang dan segala perniagaan milik mereka. Sekalipun dilimpahi kekayaan, keluarga itu sering ditimpa nasib malang.

Daripada sembilan orang anak, hanya empat daripada mereka hidup sehingga menginjak usia remaja. Lima anak Mary yang lain meninggal sewaktu kecil kerana penyakit berjangkit yang menyerang kawasan tersebut.

Tambah menyedihkan selepas kematian Ruffin, pelbagai masalah kewangan mula menghimpit keluarga tersebut. Mary kehilangan hampir semua harta yang pernah dimilikinya kecuali ladang Myrtles.

Dia cuba mempertahankan satu-satunya harta peninggalan suaminya sehingga meninggal dunia pada tahun 1880.

Ladang Myrtles kemudiannya diambil alih oleh anak perempuan mereka, Sarah dan suaminya, William Winter.

Tragedi malang keluarga ini tidak terhenti di situ, Menurut akhbar Point Coupee, menantu kepada keluarga ini, William telah dibunuh diluar rumah Ladang Myrtles. Ketika itu dia sedang mengajar disalah satu ruang tamu rumah agam tersebut. Motif pembunuhan dan siapa pembunuhnya masih kekal misteri sehingga ke hari ini.

Selepas kematian suaminya, Sarah menjadi tertekan. Dia terus tinggal dirumah tersebut sehingga ke akhir hayatnya.

Ladang Myrtles kemudian diambil alih oleh salah seorang abang Sarah yang akhirnya menjual rumah tersebut kepada Oran D Brooks kerana tidak mampu menanggung hutang yang banyak.

Oran hanya menjadi tuan rumah sementara sebelum dia menjual rumah itu kepada Harrison Williams pada tahun 1889. Harrison membawa anak bongsunya dan isteri keduanya berpindah ke rumah tersebut pada tahun 1891.

Dikatakan, sumpahan ladang Myrtles terus mengejar penghuninya. Pada suatu hari, anak bongsu Harrison yang cuba membantu seekor anak lembu yang terjatuh ke dalam kolam berhampiran turut lemas di situ.

Kecewa dengan kejadian itu, Harrison telah menyerahkan ladang Myrtles kepada anak sulungnya, Surget Minor Williams.

Pada tahun 1950, kawasan tanah di sekitar rumah tersebut telah dibahagikan dalam kalangan waris keluarga Williams. Rumah 'pembunuh' itu pula akhirnya dijual kepada Marjorie Munson, seorang janda yang berasal dari Okhlahoma. Namun, kisah misteri yang dikaitkan dengan rumah itu masih belum berhenti.

Sejak tinggal di rumah agam itu, Marjorie sering melihat bayangan seorang wanita berselendang hijau merayau di sekitar kawasan rumah tersebut.

Bukan itu sahaja, Marjorie juga mendakwa pernah terlihat bekas tapak tangan pada cermin rumahnya selain sering terhidu bau wangi yang tidak diketahui dari mana datangnya.

Malah, dia juga pernah terlihat bayangan kanak-kanak bermain dan berlari di sekitar kawasan balkoni rumah itu.

Bingung dengan kejadian misteri tersebut, Marjorie cuba mencari jawapan. Hasil siasatannya berdasarkan cerita penduduk tempatan, rumah agam ini asalnya dimiliki pasangan Clark Woodruff dan Sarah Mathilda. Kononnya, pasangan itu mempunyai dua orang anak perempuan.

Clark dikatakan telah menjalin hubungan sulit dengan Chloe, salah seorang pembantu rumah mereka. Namun, selepas beberapa ketika, Clark yang sudah bosan dengan Chloe mula mengabaikannya dan mencari mangsa baru.

Chloe yang bimbang nasib yang bakal menimpa dirinya mula resah. Dia sering menghendap dan memasang telinga mendengar perbualan Clark dan Sarah.

Sehinggalah pada suatu hari, Chloe telah ditangkap atas perbuatannya dan sebagai hukuman, sebelah cuping telinganya telah dipotong. Sejak kejadian itu, Chloe akan menutup kepalanya dengan selendang hijau bagi menyembunyikan kecacatan dirinya.

Tidak lama kemudian, Chloe dikatakan telah meracun isteri dan kedua-dua anak perempuan Clark dengan meletakkan racun di dalam kek hari jadi anak pertama mereka. Kesemua mereka mati beberapa jam selepas memakan kek tersebut.

Kerana takut Clark bakal menghukum kesemua pekerjanya, pembantu rumah yang lain sepakat mengheret Chloe keluar dari rumah sebelum menggantung Chloe sehingga mati di sebatang pokok besar di hadapan rumah tersebut.

Tiada siapa dapat mengesahkan sejauh mana kebenaran kisah kewujudan Chloe dan pembunuhan yang telah dilakukannya.

Namun, kejadian pelik masih kekal menghantui rumah di ladang Myrtles sehinggakan ada pengkaji aktiviti paranormal datang untuk merasakan sendiri pengalaman di ganggu 'penghuni' di situ.

Yang pasti, bukan hanya roh Chloe saja dikatakan berkeliaran dalam rumah tersebut. Ada antara pengunjung mendakwa terlihat bayangan seorang gadis cantik yang sedang merenung ke luar jendela. Mungkin gadis itu adalah salah seorang anak pemilik terdahulu yang dikatakan meninggal sewaktu muda.

Piano yang terletak dalam ruang tamu utama juga sering berbunyi sendiri, memainkan not yang sama berulang-kali hampir setiap malam. Ia hanya akan berhenti jika ada sesiapa masuk ke ruangan itu, tetapi kembali berbunyi apabila mereka meninggalkan ruang tersebut.

Tuan rumah ladang Myrtles juga sering bertukar ganti. Kini, khabarnya rumah itu telah dijadikan hotel dan bilik penginapan untuk memberikan peluang kepada pengunjung merasakan sendiri pengalaman bertemu dengan entiti yang masih berkeliaran di sekitar kawasan itu.

Mungkinkah kejadian malang yang sering menimpa penghuni rumah itu sebelum ini berpunca daripada Chloe yang cuba membalas dendam? Tiada siapa yang tahu.

Namun, jika anda mahu cuba bertemu dengan penghuni ghaib di situ, bolehlah datang bermalam di sana.

Anda berani?

BACA INI JUGA: Misteri Sumpahan Pulau Gaiola

-SENTIASAPANAS.COM

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon