Nov 2, 2014

'Sekeping' Ciuman Untuk Terus Bernyawa

Informasi Dunia. Pada pertengahan Julai 1967, seorang jurugambar berita dari akhbar Jacksonville Journal, Rocco Morabito telah ditugaskan untuk membuat liputan mengenai mogok yang berlaku di pusat pentadbiran ibu negeri Florida.

The Kiss of Life

Ia merupakan salah satu siri mogok yang diketuai oleh kesatuan sekerja di Jacksonville bagi menuntut kenaikan gaji yang setimpal.

Rocco Morabito menerima arahan tersebut tanpa banyak persoalan. Lelaki itu mencapai beg galasnya yang berisi sebuah kamera dan bergegas ke lokasi kejadian.

Apa yang ada didalam kepalanya ketika itu ialah, dia perlu mendapatkan sudut gambar terbaik untuk disiarkan dalam laporan akhbarnya.

Namun, ketika melewati jalan West Street 26, matanya terpandang satu sosok tubuh yang tersangkut pada salah satu tiang utiliti elektrik di tepi jalan.

Seorang lelaki yang merupakan pekerja penyelenggara utiliti dilihat tergantung dalam keadaan terbalik dengan kakinya diatas dan kepalanya dibawah. Hanya tali keselamatan abah-abah yang menjadi penghalang daripada lelaki itu jatuh ke tanah.

Ketika itu, tugasannya untuk membuat liputan mengenai mogok dipusat bandar Jacksonville masih belum berjalan. Tetapi Rocco nekad memberhentikan kenderaan untuk meninjau apa sebenarnya yang berlaku kepada lelaki itu.

The Kiss of Life [2]

Dari pandangan jauh, Rocco menganggap lelaki tersebut mungkin tergelincir ketika melakukan tugasnya menyelenggara pendawaian utiliti.

Namun, apabila dia melihat sisa-sisa percikan arus elektrik masih memancar pada puncak tiang berkenaan, Rocco tahu ia adalah kes kecemasan. Lelaki itu berkemungkinan terkena renjatan elektrik talian voltan tinggi dan tergantung dalam keadaan kejang serta tidak sedarkan diri.

Tanpa membuang masa, Rocco segera menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan. Sekiranya lambat, nyawa lelaki itu pasti melayang. Dari sudut kemanusiaan, satu perkara telah selesai.

Namun, Rocco masih mempunyai dua pilihan, sama ada beredar dan bergerak menuju ke pusat bandar Jacksonville bagi membuat liputan mengenai mogok kesatuan sekerja atau terus berada disitu untuk merakamkan satu kes kecemasan.

Rocco membuat keputusan untuk kekal dan melupakan tugas sebenarnya hari itu.

Lantas, Rocco mencapai kamera dan mengacukan lensa 120mm untuk merakamkan detik-detik mencemaskan itu.

Rocco Morabito Camera
Kamera yang digunakan oleh Rocco Morabito.

Jari kanannya tidak lekang menekan punat kamera bagi mendapatkan foto terbaik, yang memberi gambaran antara hidup dan mati seorang lelaki.

Diperkarangan lokasi, hanya ada beberapa orang sahaja yang melihat kejadian itu. Pada salah satu tiang yang lain, seorang lagi pekerja utiliti, JD Thompson, hanya mampu melihat rakan sekerjanya yang hampir tersungkur ke bawah.

Thompson segera turun dan bergegas mendapatkan sahabatnya itu, Randall G. Champion.

Jika dilihat dari bawah, keadaan Randall dilihat agak kritikal. Renjatan elektrik setinggi 26,000 volt telah menyebabkan sebahagian anggota tubuhnya terbakar.

Sebahagian besar, termasuklah muka dan tangannya hampir hangus terkena arus voltan yang sangat tinggi.

Darah juga dilihat mengalir keluar melalui hidung dan telinga lelaki berkenaan. Berkemungkinan organ dalamannya juga mengalami masalah. Jika tidak diberi bantuan segera, Randall pasti menemui ajal.

Masalahnya, tali abah-abah yang mengikat pinggangnya tersekat pada bahagian puncak tiang yang menyukarkan proses bantuan. Randall perlu diturunkan terlebih dahulu sebelum bantuan susulan dapat dilakukan.

Namun, risikonya terlalu tinggi kerana kemungkinan di dalam tubuhnya masih mengalir arus elektrik.

Thompson, tanpa berlengah terus memanjat tiang tersebut untuk memberikan bantuan kepada sahabatnya. Sebaik tiba diatas, dia mendapati jantung dan nadi Randall sudah berhenti berdenyut.

Dalam keadaan tergantung, Thompson nekad memberi bantuan kecemasan dengan melakukan pernafasan mulut ke mulut. Selepas beberapa ketika, dia dapat merasai semula denyutan nadi sahabatnya itu.

Dia kemudiannya meleraikan tali abah-abah yang mengikat Randall dan menurunkannya kebawah. Rakan-rakan lain juga berusaha memberikan bantuan CPR sehingga pasukan paramedik tiba dilokasi kejadian.

Menjadi Sejarah

Rocco Morabito Potret
Karyanya diiktiraf diseluruh dunia.

Detik-detik mencemaskan itu telah berjaya dirakam oleh seorang jurugambar, Rocco Morabito. Foto itu dianggap sebagai suatu yang sangat dramatik dan menyentuh hati.

Nilai sentimentalnya terlalu tinggi sehinggakan lidah pengarang akhbar Jacksonville Journal meletakkan gambar tersebut dimuka hadapan sebagai tajuk utama berita.

Dalam masa yang sama, kes tersebut turut mendapat liputan meluas daripada pelbagai media diseluruh Amerika.

Melalui gambar bertajuk The Kiss of Life itu, Rocco Morabito telah dianugerahkan hadiah Pulitzer dalam kategori fotografi berita tahunan terbaik.

Rocco menggondol penghargaan tertinggi dalam bidang kewartawanan dan kesusasteraan tersebut pada tahun 1968.

Penganugerahan itu telah memartabatkan nama Morabito dalam bidang fotografi. Karyanya diiktiraf diseluruh dunia. Lebih daripada 100 buah akhbar dari segenap pelosok merentasi benua Eropah dan Amerika telah menggunakan gambar berkenaan untuk siaran akhbar.

Rakaman foto detik-detik mencemaskan tragedi itu telah menjadi antara gambar paling epik pada dekad 60an.

Malah, sehingga kini pun, gambar tersebut turut dianggap sebagai salah satu bahan sejarah oleh penduduk di Jacksonville, Florida, Amerika Syarikat dan menjadi daya tarikan pelancongan dibandar berkenaan.

Randall terselamat dalam tragedi itu namun pergelangan tangan kirinya mengalami sedikit masalah sehingga menyukarkan pergerakan ibu jarinya.

Rocco Morabito visiting Randall
Thompson dan Rocco melawat Randall pada tahun 1988.

Selepas peristiwa berkenaan, kedua-dua mereka, Randall dan Champion masih lagi meneruskan khidmat mereka sebagai penyelenggara utiliti. Satu tugas yang berisiko tinggi demi kelangsungan hidup seluruh warga di Jacksonville.

Ketika tragedi itu berlaku, Randall baru berusia 29 tahun, namun dengan hanya satu 'ciuman', dia dapat menikmati kehidupan selama 35 tahun lagi.

Randall meninggal dunia pada tahun 2002 ketika berusia 64 tahun kerana masalah jantung. Manakala sahabatnya, Thompson masih lagi hidup sehingga kini.

Walaupun peristiwa itu telah hampir setengah abad berlalu, tetapi ia masih lagi hangat diperkatakan oleh generasi muda di Jacksonville.

Sekeping gambar bersejarah yang menceritakan tentang kemanusiaan, persahabatan dan ciuman. Muahh!!

-SENTIASAPANAS.COM

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

5 comments

kamera x canggih , tapi hasilnya sgt menarik .

Niat yg baik utk menolong orang...di balas dgn perkara baik juga...

Alhamdulillah.. keputusan yang diambil memang tepat!

Mmg terkesan tngok gmbar tu. Mmg klasik & amat bermakna. Gmbr yg berharga..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon