Tuesday, June 03, 2014

Fakta Di Sebalik Coklat Babi Cadbury


Saya kira, pihak JAKIM tidak pernah membuat tindakan U-TURN sepertimana yang mewarnai ruangan komen terhadap kenyataan pihak JAKIM dan sebelum itu, mari kita ikuti kronologi isu ini terlebih dahulu.

Cadbury Halal

Bermula dengan ketirisan 'screenshot' dokumen sulit pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tentang pencemaran DNA babi bagi 2 produk Cadbury ke laman sosial pada 23 Mei 2014.

Dalam masa tidak sampai satu hari isu ini dimainkan dengan panasnya oleh orang ramai sehingga 'memaksa' pihak KKM mengeluarkan kenyataan rasmi pada hari berikutnya.

Jika difikirkan kesahihannya, ya, berita ini memang benar kerana ia disahkan sendiri oleh pihak KKM.

Namun perlu diingat, pengesahan seperti ini sepatutnya tidak berlaku kerana tidak mengikut prosedur yang sepatutnya. Ketua Pengarah JAKIM, sebaik sahaja menerima berita ini seolah-olah terkejut dan terus mengambil tindakan serta merta menggantung sijil halal untuk produk yang terlibat sebelum bertindak memulakan siasatan.

Beliau menyatakan sepatutnya hal ini dimaklumkan kepada beliau terlebih dahulu untuk tindakan peringkat dalaman sebelum sampai ke tangan orang ramai.

Menurut beliau, kuasa yg diberikan kepada makmal ujian tersebut hanyalah mengesahkannya sahaja, bukan menghebahkan kepada umum.

Jika diteliti secara logik, ia hanyalah satu pencemaran DNA, bukan kandungan yang sengaja diadun oleh pihak Cadbury.

Jadi, ia hanyalah satu pemboleh-ubah yang masih boleh dikaji dan dibincangkan, bukan terus dihukum sepertimana sumpah seranah yang kita hamburkan!

Setakat itu, 2 persoalan yang timbul;

Keputusan ujian dikeluarkan pada Februari, tapi kenapa Mei baru dihebahkan?

Soalan ini sebenarnya perlu diajukan kepada KKM. KENAPA DI'BOCOR'KAN PADA MEI? Malah sepanjang tempoh Februari hingga Mei, langsung tiada penjelasan yang dibuat oleh KKM kepada JAKIM. Salah siapa?

Pihak JAKIM menegaskan jika Februari isu ini timbul, maka Februarilah tindakan diambil. Namun begitu, JAKIM yang dihukum oleh rakyat..

Kenapa logo halal boleh diluluskan kepada Cadbury?

Diingatkan sekali lagi, ini hanyalah satu isu pencemaran yang mungkin boleh berlaku diluar kilang dan di kedai-kedai. Cadbury memiliki sijil halal seawal 2004 dan sehingga Februari lalu masih tidak ada penyelewengan tentang status halal dalam pemprosesan harian mereka.

Namun rakyat terlebih dahulu menghukum JAKIM sebelum kata putus dikeluarkan. JAKIM sekali lagi dipijak-pijak!

Pada 26 Mei, JAKIM telah mengambil kedua dua jenis produk yang terlibat itu bersama-sama 4 produk lain serta 5 jenis bahan mentah yang berpotensi mengandungi unsur haiwan DARI KILANG untuk diserahkan kepada pihak Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bagi tujuan ujian dan pengesahan.

Berbeza dari ujian yang dilakukan oleh KKM tempoh hari yang mana sample diambil dari kedai, bukan dari kilang. Hal ini yang mungkin mengakibatkan berlakunya pencemaran tersebut.

Alhamdulillah, pada 2 Jun, pihak JKM telah tampil dengan keputusan ujikaji dan mengesahkan bahawa tiada DNA babi dikesan pada 2 jenis produk tersebut.

Walau bagaimanapun, pemeriksaan keseluruhan akan dijalankan keatas kilang Cadbury mengikut prosedur-prosedur yang sepatutnya.

1 lagi persoalan timbul. Adakah ini satu sandiwara untuk menyelamatkan syarikat Cadbury dan adakah disana telah berlaku transaksi rasuah disebalik keputusan ini?

Persoalan ini sering berlegar bila terbit sebarang kekeliruan dalam pengurusan pihak kerajaan. Janganlah kita mengambil isu ini sebagai bayangan kepada isu-isu rasuah yang pernah terbukti berlaku sebelum ini.

Hanya berbekalkan kebarangkalian yang direka sendiri, kita tidak berhak menuduh itu dan ini! Ini soal darah daging umat Islam di Malaysia.

Adapun tersiar kenyataan dari Majlis Fatwa Kebangsaan yang menyatakan coklat Cadbury Halal dimakan sebelum didakwa tercemar.

Ia bertujuan untuk meredakan perasaan orang ramai yang sangat beremosi sehingga ada yang mahu menyamak, menyucikan darah, membakar bangunan dan sebagainya dek takutnya akan coklat tersebut yang sudah menjadi darah daging mereka.

Kenyataan ini boleh digunapakai samada sekiranya produk Cadbury itu terbukti haram, mahupun terbukti tiada DNA babi dikesan.

Asasnya, kita sebagai orang awam yang tidak mampu untuk menyelidik setiap makanan secara saintifik dan hanya mampu bergantung kepada logo halal JAKIM, bukan menjadi kesalahan kita jika ia haram.

Sebaliknya pihak yang bertanggungjawab itulah yang akan menanggung dosa disebabkan pengkhianatan terhadap amanah yang diberi.

Kecuali memakan daging yang dilabel Pork yang bercop halal.

Pegawai JAKIM Sedia Makan Coklat Cadbury!

Bagi membuktikan status halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap coklat Cadbury benar-benar meyakinkan, pegawai jabatan itu sedia pada bila-bila masa untuk membuat demonstrasi memakan coklat tersebut.

Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal JAKIM, Mohd Amri Abdullah berkata pihaknya berpegang kepada keputusan yang telah mereka keluarkan dan tidak ada masalah untuk pihaknya membuktikan kepada orang ramai bahawa coklat Cadbury adalah halal.

Mohd Amri berkata, proses memberikan status halal kepada sesuatu produk dibuat setelah prosedur dan standard yang ditetapkan ditepati.

“Sebagaimana yang disebutkan bahawa status Cadbury yang diputuskan adalah halal. Kalau diminta kami makan coklat Cadbury kami yakin bahawa apa yang diberikan status pensijilan itu adalah halal sepenuhnya.

“Dalam hal ini, ia memerlukan keyakinan yang begitu utuh, yang begitu kuat untuk menentukan konsep halal.

“Kalau di pihak pengguna jika adanya was-was, adanya keraguan yang melampau, lebih baik tinggalkan,” katanya ketika kepada Astro AWANI menerusi AWANI745 malam tadi.

Mohd Amri berkata keputusan yang dibuat oleh Jakim terhadap coklat Cadbury itu adalah sama dengan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia.

Katanya, ini bermakna JAKIM membuat keputusan berdasarkan apa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kimia dan prosedur lain yang perlu dipatuhi.

“Untuk keputusan pensijilan halal ini, pihak JAKIM hanya menggunakan makmal jabatan kimia yang dibenarkan sahaja.

“Standard dan prosedur yang JAKIM gunakan untuk memberikan pensijilan halal ini adalah sama dengan apa yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Beliau juga menafikan keputusan yang dibuat JAKIM pada Isnin merupakan satu tindakan membuat pusingan U sepertimana yang didakwa sesetengah pihak.

Selain itu Mohd Amri masyarakat juga perlu faham bahawa semua perkara berkaitan pensijilan halal perlu dirujuk kepada JAKIM iaitu pihak yang diberi kuasa dalam bidang itu.

“JAKIM diibaratkan sebagai imam, pengguna adalah sebagai makmum, perlu mengikut apa yang ditentukan JAKIM dalam soal halal atau haram ini.”

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan adanya DNA babi (porcine) dalam dua produk coklat susu Cadbury Dairy Milk.

Hasil siasatan oleh KKM mendapati tiga (3) sampel coklat Cadbury telah diambil untuk analisis DNA babi (porcine) bagi tujuan pemantauan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Isnin bagaimanapun mengumumkan tiada DNA babi dikesan dalam dua produk coklat Cadbury berkenaan. Pengumuman dibuat selepas ujian dijalankan oleh Jabatan Kimia ke atas sampel yang diambil dari kilang.

Namun pengumuman yang dibuat oleh Jamil Khir itu masih menimbulkan was-was di kalangan pengguna berkenaan status coklat Cadbury.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon