Thursday, May 15, 2014

Up Helly Aa, Festival Api Terbesar Eropah!


Setiap tahun masyarakat di bandar Lerwick di kepulauan Shetland, Scotland, yang memiliki populasi lebih kurang 7,000 orang akan meraikan satu festival unik yang diadakan sejak turun temurun.

Up Helly Aa

Upacara tahunan ini dikenali sebagai Up Helly Aa yang merupakan festival api terbesar di Eropah.

Up Helly Aa adalah satu festival terkenal yang meraikan warisan budaya bangsa Viking di kepulauan Shetland.

Diraikan pada hari Selasa terakhir pada bulan Januari setiap tahun, festival ini diadakan bagi menandakan berakhirnya musim Yule. Tahun ini perayaan telah dilangsungkan pada 28 Januari yang lalu.

Berdasarkan sejarah, ia merupakan sebahagian tradisi yang telah dijalankan sejak tahun 1880an dan hanya dibatalkan beberapa kali kerana Perang Dunia Kedua dan kematian Ratu Victoria.

Sebelum perayaan ini dimulakan, masyarakat di bandar Lerwick sering mengadakan pesta selepas sambutan Krismas dan membakar tong sebagai tanda keseronokan pada masa dahulu. Namun, aktiviti tersebut dihentikan kerana boleh mendatangkan bahaya.

Up Helly Aa [6]
Up Helly Aa [5]
Peserta festival akan berpakaian kostum lengkap Viking.

Pada tahun 1870an, sekumpulan anak muda bercadang mengembalikan semula pesta tersebut yang diubah kepada perarakan obor. Satu dekad kemudian tema Viking muncul dalam perayaan tersebut dan bermulalah festival Up Helly Aa yang pertama.

Jika pada zaman dahulu, acara ini dilakukan hanya untuk keseronokan tetapi kini makna festival sudah bertukar menjadi simbol warisan Viking. Setiap kali tibanya festival ini, bandar Lerwick akan dibanjiri oleh hampir 1,000 orang lelaki yang menyertai festival tersebut.

Festival yang akan berlangsung sepanjang hari ini terdiri daripada pesta kostum Viking dan acara kemuncak iaitu perarakan obor yang berakhir dengan upacara membakar replika kapal viking.

Perayaan biasanya bermula seawal 8.30 pagi dan peserta berpakaian kostum lengkap Viking berarak mengelilingi bandar dan akan singgah melawat di beberapa tempat. Acara ini berlangsung sehingga sekitar 5 petang dan selepas itu mereka akan berehat sebelum kemuncak yang akan berlangsung pada waktu malam.

Up Helly Aa Guizer Jarl

Perarakan akan diketuai oleh seorang ketua yang digelar Guizer Jarl, manakala peserta lain pula sebagai Guizer. Untuk menjadi Guizer Jarl, seseorang haruslah pernah menjadi Guizer sekurang-kurangnya 10 tahun.

Apabila malam menjelma, acara kemuncak Up Helly Aa pun bermula. Satu perarakan obor akan mengiringi replika kapal Viking. Lampu jalan dan bangunan akan ditutup dan bandar itu hanya akan diterangi cahaya obor perarakan.

Apabila perarakan obor tiba di destinasi terakhir, peserta akan mengelilingi replika kapal dan membentuk sebuah bulatan. Mereka kemudian akan bergerak mengelilingi replika kapal sambil menyanyi lagu tradisional Up Helly Aa.

Up Helly Aa [2]
Up Helly Aa [3]
Up Helly Aa [4]

Selepas selesai menyanyi, mereka akan membaling obor ke replika kapal untuk membakar kapal tersebut. Perayaan berakhir dengan melawat dewan-dewan tempatan di mana pesta keraian akan dijalankan. Pada setiap dewan, setiap Guizer akan menyanyi dan juga menari.

Up Helly Aa Party

Saban tahun, festival unik ini telah menarik perhatian ramai pengunjung dari seluruh dunia yang ingin menyaksikan festival menakjubkan ini.

Dan jika anda berkunjung ke Scotland pada minggu terakhir bulan Januari pada bila-bila masa, jangan lupa singgah ke bandar Shetland untuk merasai sendiri pengalaman festival menarik ini.

BACA INI JUGA: Deepavali, Diwali Dan Pesta Cahaya

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon