Oct 22, 2014

Deepavali, Diwali Dan Pesta Cahaya

Deepavali dalam bahasa Sanskrit bermaksud 'Perayaan Cahaya' dengan rata-rata penganut Hindu menerangi rumah-rumah mereka dengan pelita yang diperbuat daripada tanah liat dengan sumbu yang dipanggil "diyas" atau bentuk lampu yang lain.

Deepavali, Diwali Dan Pesta Cahaya

Kilauan cahaya yang terpancar daripada lampu ini bukan sahaja mencerminkan kehangatan yang dibawakan cahaya berkenaan, malah menggambarkan pencapaian semua sifat-sifat kekayaan, kemasyhuran, pengetahuan, kejayaan atau keamanan.

Pintu masuk rumah juga dihiasi indah dengan motif tradisi Kolam Rangoli untuk menyambut Dewi Lakshmi, iaitu dewi kekayaan dan kemakmuran.

Festival penuh warna-warni yang dirayakan penganut Hindu seluruh dunia ini, biasanya jatuh pada sekitar penghujung Oktober atau awal November. Pada tahun 2014, hari yang penuh bermakna ini dirayakan pada 22 Oktober di Malaysia.

Penganut Hindu menganggap Deepavali, yang juga dikenali sebagai Diwali oleh masyarakat India Utara, sebagai antara perayaan terpenting yang mempunyai legenda di sebalik perayaannya iaitu, meraikan kemenangan Dewa Krisnan menentang pemerintahan kuku besi raja jahat, Narakasura di kerajaan Pradyoshapuram.

Persediaan untuk menyambut Deepavali biasanya bermula sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu sebelumnya dengan rumah dibersihkan, melakukan pengubahsuaian rumah atau sekadar mengecat rumah, menggantikan langsir dan sofa.

Biasanya sesebuah keluarga itu akan membeli pakaian dan aksesori baharu serta menambah barang perhiasan rumah serta membuat 'Kolam' di pintu masuk rumah.

Rekaan 'kolam' (motif rumit yang berwarna-warni) mencakupi unsur-unsur reka bentuk geometri dengan titik, garis, segi tiga, segi empat, bulatan, dan simbol keberuntungan lain seperti swastika, burung merak, cengkerang siput kon, bunga teratai, trisula, tapak kaki dan bintang mempunyai kaitan dengan ekspresi keharmonian kosmik dan tenaga spiritual dalam amalan veda tertentu.

Beras berwarna, kelapa parut bersama debu perak dan emas mungkin digunakan untuk membuat corak selain daripada tepung beras dan corak ini lazimnya dilukis di atas lantai berhampiran pintu rumah.

Pada hari yang penuh bermakna ini, penganut Hindu biasanya bangun awal pagi dan ritual pertama yang dilakukan ialah mandi dengan minyak secara hati-hati menggunakan serbuk kayu manis, yang merupakan amalan penting sejak sekian lama, meskipun generasi muda hari ini, lebih gemar mandi dengan menggunakan sabun dan syampu.

Seterusnya, mereka mengenakan pakaian baharu - lelaki memakai dhoti atau kurta, wanita mengenakan sari diperbuat daripada sutera, sut Punjabi, lengha, sut karisma yang pelbagai warna dan corak sebelum menuju ke kuil.

Mereka juga akan memberi hormat kepada orang tua serta yang sudah meninggal dunia. Ini merupakan upacara penting.

Mengunjungi rumah terbuka adalah suatu aktiviti yang pasti serta menarik pada hari kebesaran ini dengan pelbagai juadah, biskut dan kuih-muih masyarakat India dihidangkan.

'Marukku', yang bukan sahaja popular dalam kalangan masyarakat India malah Melayu dan Cina, turut menjadi kegemaran kerana keranggupannya ketika sambutan Deepavali.

Antara negara yang merayakan perayaan ini secara besar-besaran atau dengan cara unik tersendiri ialah India, Malaysia, Singapura, Sri Lanka, Mauritius, Fiji, Guyana, Thailand, Afrika Selatan, Trinidad dan Kanada.

Deepavali, yang merupakan hari kebesaran bagi penganut Hindu, turut diraikan bersama-sama rakyat Malaysia yang berbeza latar belakang, menjadi suatu perayaan utama di Malaysia.

BACA INI JUGA: Festival Bertumbuk Takanakuy!

Sumber: BERNAMA

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

5 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon