Sunday, January 26, 2014

Filem-filem Sekuel Terhebat Hollywood 2014


Berakhirnya 2013 bermaksud bermulanya tahun baru dengan pilihan filem-filem baru yang pastinya menghiburkan. Ramai yang pasti menantikan "Interstellar", sebuah lagi filem dari pengarah inovatif, Christopher Nolan, atau menyaksikan Angelina Jolie sebagai si ahli sihir jahat titular Maleficent yang sebelum ini popular dalam "Sleeping Beauty".

Sleeping Beauty

Tentu ramai juga mahu menonton animasi "The Leggo Movie" yang menampilkan lakonan suara Will Chris Pratt, dan Will Ferrell, atau menyaksikan karya Hisroshi Sakurazaka, "All You Need is Kill" menjadi sebuah filem adaptasi lakonan Tom Cruise berjudul "Edge of Tomorrow".

Tapi 2014 juga merupakan tahun kemunculan semula karakter popular, sekuel dan sambungan francais terkemuka.

"Robocop"
Tarikh tayangan: 30 Januari

Robocop

Selepas lebih dua dekad, francais klasik sains fiksyen Paul Verhoeven ini dibangkitkan kembali dengan lakonan Joel Kinnaman sebagai Alex Murphy, seorang pegawai polis yang ditubuh kembali sebagai si separuh manusia, separuh robot, Robocop oleh empayar multinasional, OmniCorp.

Filem arahan pengarah Brazil Jose Padilha ini turut menampilkan beberapa pelakon hebat lain seperti Michael Keaton, Gary Oldman, Jackie Earle Haley dan Samuel L. Jackson. Pastinya figura aksi Robocop akan kembali memenuhi kedai mainan tidak lama lagi!

"300: Rise of an Empire"
Tarikh tayangan: 6 Mac

300 Rise of an Empire

Sekuel kepada filem "300" (2007) ini berkisar mengenai jeneral Greek, Themistocles yang harus berdepan dengan serangan tentera Parsi yang dipimpin Raja Xerxes. Sekalipun tidak lagi diarahkan oleh Zack Snyder (tugas tersebut diberikan kepada Nuam Murro), Snyder masih bertanggungjawab menulis lakon layar dan menerbitkan sekuelnya.

Filem ini juga bakal menjelaskan bagaimana Xerxes diangkat menjadi "Raja Tuhan". Selain Rodrigo Santoro yang melakonkan watak Xerxes, filem ini turut dibintangi Sullivan Stapleton, Eva Green, dan Lena Headey.

Adakah kita akan mendengar ayat "This. Is. Athens!" pula?

"Captain America: The Winter Soldier"
Tarikh tayangan: 3 April

Captain America The Winter Soldier

Selepas kejayaan filem pertamanya "The First Avenger" pada tahun 2011, Chris Evans kembali menyarung kostum patriotiknya sebagai Steve Rogers/Captain America. Tapi kali ini, dia mengalami kesukaran untuk membiasakan dirinya hidup dalam dunia moden, dalam masa yang sama harus berdepan dengan antagonis baru, si ejen Soviet yang dikenali sebagai Winter Soldier.

Selain Evans, Scarlett Johansson kembali memegang wataknya sebagai Natasha Romanoff. Begitu juga dengan bintang francais "Avengers" yang lain termasuk Samuel L. Jackson, Cobie Smulders, Sebastian Stan dan Hayley Atwell.

"Muppets Most Wanted"
Tarikh tayangan: 24 April

Muppets Most Wanted

Selepas kejayaan filem reboot "The Muppets" (2011) yang diarahkan oleh James Bobbin dan ditulis oleh bintang utamanya Jason Segel sendiri, Bobbin kembali mengarahkan filem seterusnya ini yang turut dibintangi pelawak British Ricky Gervais dan bintang "30 Rock", Tina Fey.

Dalam "Muppets Most Wanted", Kermit, Miss Piggy, Fozie, Bear, The Great Gonzo dan lain-lain secara tidak langsung telah terperangkap dalam jenayah secara tidak sengaja ketika sedang membuat persembahan jelajah di Eropah.

"The Amazing Spider-Man 2"
Tarikh tayangan: 1 Mei

The Amazing Spider-Man 2

"The Amazing Spider-Man" mungkin tidak mendapat populariti segah versi Sam Raimi yang ditayangkan sedekad lalu, namun itu tidak bermakna ia tidak diberikan peluang kedua.

Dalam sekuelnya, Peter Parker/Spider-Man (Andrew Garfield) harus berdepan dengan cabaran dan musuh lebih hebat termasuk Electro (Jamie Foxx), Rhino (Paul Giamatti) dan rakannya sendiri, Harry Osborn (Dale DeHaan). Malah treler pertamanya turut memberi petunjuk akan kehadiran Sinister Six (Doctor Octopus, Vulture, Electro, Kraven the Hunter, Mysterio, dan Sandman!)

"Godzilla"
Tarikh tayangan: 15 Mei

Godzilla 2014

Pada tahun 1998, "Godzilla", kisah raksasa radioaktif gergasi Jepun yang menyerang New York arahan Roland Emmerich ini, merupakan antara filem yang gagal di pawagam.

Lebih sedekad kemudian, "Godzilla" kembali menyerang dan kali ini, filem yang diarahkan oleh Gareth Edwards dalam filem bajet besar pertamanya nampak lebih meyakinkan. Apatah lagi bila ia turut menampilkan para pelakon hebat seperti Aaron Taylor-Johnson, Elizabeth Olsen, Bryan Cranston, Juliette Binoche, David Strathairn, Sally Hawkins, dan Ken Watanabe.

"X-Men: Days of Future Past"
Tarikh tayangan: 22 Mei

X-Men Days of Future Past

Dengan menggabungkan plot dan barisan pelakon filem hebat "X-Men: First Class" dan trilogi "X-Men" sebelum ini, "X-Men: Days of Future Past" mempersembahkan sebuah kisah tentang pertempuran hidup golongan mutan yang melibatkan dua era untuk menyelamatkan masa depan mereka.

Sekalipun Matthew Vaughn, pengarah di sebalik kejayaan "X-Men: First Class" tidak kembali ke kerusi pengarah, tugas tersebut diambil alih oleh pengarah asalnya Bryan Singer.

Barisan pelakon yang terlibat termasuk Hugh Jackman, James McAvoy, Michael Fassbender, Jennifer Lawrence, Halle Berry, Ellen Page, Peter Dinklage, Patrick Stewart, Ian McKellen, Shawn Ashmore, Daniel Cudmore, Nicholas Hoult, Omar Sy, Booboo Stewart, Fan Bingbing, Adan Canto, Evan Peters, Josh Helman dan Lucas Till.

"Transformers: Age of Extinction"
Tarikh tayangan: 26 Jun

Transformers Age of Extinction

Kejayaan filem pertama, kedua dan ketiga membolehkan Michael Bay menghasilkan filem keempat dengan barisan pelakon baru, tak kisahlah kalaupun kegilaannya menghasilkan filem "Transformers" dianggap sebagai cara mudah Bay untuk mengaut keuntungan.

"Age of Extinction" bermula empat tahun selepas kejadian dalam "Transformers: Dark of the Moon", dan membangkitkan semula pertempuran antara Autobot dan Decepticon, manakala seorang mekanik bernama Cade dan anaknya Tessa terperangkap di antara keduanya.

Pelakon utamanya sebelum ini, Shia LaBeouf tidak lagi muncul untuk siri keempat dan digantikan oleh Mark Wahlberg dan Nicola Petz. Ia turut dibintangi beberapa bintang dari China, termasuk pelakon "Resident Evil: Retribution", Li Bingbing.

"Dawn of the Planet of the Apes"
Tarikh tayangan: 10 Julai

Dawn of the Planet of the Apes

Pada tahun 2011, prekuel francais "Planet of the Apes" muncul dalam bentuk "Rise of the Planet of the Apes" lakonan James Franco, Freida Pinto dan Andy Serkis (yang memenangi piala Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Anugerah Saturn melalui lakonannya sebagai si cimpanzi Caesar dalam bentuk performance capture).

Kejayaan filem tersebut agak mengejutkan, tapi membolehkan pihak penerbit untuk menghasilkan sekuel kepada prekuel tersebut, "Dawn of the Planet of the Apes", di mana bangsa mawas pimpinan Caesar kini diancam oleh sekumpulan manusia yang terselamat daripada virus fatal yang tersebar sedekad lalu.

"The Hunger Games: Mockingjay – Part 1"
Tarikh tayangan: 20 November

The Hunger Games - Mockingjay – Part 1

Selepas kejayaan filem pertamanya, "The Hunger Games" pada tahun 2012 dan yang kedua, "Catching Fire" (2013), francais adaptasi trilogi Suzanne Collins ini bakal kembali dengan bahagian pertama filem ketiganya, "Mockingjay" yang menyaksikan girl-on-fire Katniss memimpin wilayah-wilayah Panem dalam pemberontakan ke atas Capitol yang korup.

Selain pelakon asalnya, Jennifer Lawrence, Josh Hutcherson dan Liam Hemsworth, bahagian pertama pengakhiran siri THG ini turut menampilkan muka-muka baru seperti Julianne Moore sebagai Presiden Alma Coin, Stef Dawson sebagai Annie Cresta, dan Lily Rabe sebagai Komander Lyme.

"The Hobbit: There and Back Again"
Tarikh tayangan: 18 Disember

The Hobbit - There and Back Again

Akhirnya, filem yang sebenarnya berasal dari sebuah novel kanak-kanak 310 muka surat ini bakal ditamatkan dengan filem terakhirnya, yang menggunakan judul asal "There and Back Again".

Dalam bahagian terakhirnya, Bilbo dan golongan kerdil yang diketuai Thorin Oakenshield harus menemukan Arkenstone, sementara si naga Smaug pula melepaskan kemarahannya ke atas para penduduk Lake-town yang telah membantu Bilbo dan yang lain-lain kembali ke istana mereka di Lonely Mountain.

Sumber: Tupai.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon