Monday, November 18, 2013

Vaksin Imunisasi Kanak-kanak Tiada Bahan Haram


Info Kesihatan. Kerajaan sudah ­banyak melaburkan jutaan ringgit untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang terbaik bagi meningkatkan tahap penjagaan kesihatan serta memperbaiki taraf kehidupan masyarakat di negara ini, bermula dari awal kelahiran.

Vaksin

Malah, jutaan ringgit diperuntukkan setiap tahun bagi mendapatkan vaksin terbaik, termaju dan paling berkesan untuk melindungi kanak-kanak di negara ini, bermula pada usia bayi hing­ga mereka menjejakkan kaki ke sekolah demi melindungi setiap orang daripada jangkitan berbahaya yang mengancam nyawa.

Semua orang tahu, kita sentiasa terdedah kepada pelbagai ancaman virus, selesema dan kuman yang boleh menyerang organ penting serta mengancam nyawa orang dewasa, apatah lagi kanak-kanak kecil.

Bukan sedikit maklumat disebarkan mengenai kebaikan imunisasi kepada manusia sejagat, tambahan pula Islam sendiri tidak pernah melarang umat daripada maju dalam semua bidang termasuk dari segi perubatan.

Malangnya, masih ada ibu bapa yang ragu-ragu dan rela membiarkan pemikiran mereka dikaburi oleh dakyah yang bertebaran di alam maya, yang menghalang mereka untuk menerima kaedah imunisasi sebagai pencegah penyakit, biarpun mereka berpelajaran tinggi.

Mereka enggan anak diberi imunisasi dan sanggup membiarkan bayi yang baru dilahirkan terdedah kepada pelbagai jangkitan demi mempertahankan ideologi yang tersemat kukuh dalam pemikiran dan hati mereka, biarpun mereka sendiri pernah mendapat imunisasi ketika masih kecil.

Mereka merasakan lebih baik sistem pertahanan tubuh anak itu belajar dengan sendirinya sekiranya dijangkiti sebarang penyakit, bukannya dibantu oleh kaedah vaksin.

Ada yang mengaitkan imunisasi mengandungi bahan haram, tidak kurang juga yang mengaitkan imunisasi dengan anak autisme yang mana kedua-duanya tidak dapat dibuktikan oleh tanggapan kurang bijak itu.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan imunisasi?

Ia adalah proses sistem imunisasi individu diperkukuhkan menentang sesuatu ejen yang melemahkan imun tubuh.

Apabila sistem ini didedahkan kepada molekul yang asing kepada tubuh, ia akan mengatur tindak balas imun. Ia akan membina keupayaan untuk bertindak balas ­dengan cepat terhadap jangkitan seterusnya pada masa akan datang disebabkan oleh memori imunologikal.

Oleh itu, dengan mendedahkan tubuh kepada ejen yang menyebabkan jangkitan secara terkawal, tubuh mampu belajar dengan sendiri cara untuk melindungi dirinya dengan lebih baik.

Imunisasi dilakukan dalam pelbagai teknik dan kebanyakannya menerusi vaksinasi. Vaksin menentang mikro organisma yang me­nyebabkan jangkitan boleh mempersiapkan sistem pertahanan badan untuk melindungi dirinya, mencegah dan menentang jangkitan.

Sebelum vaksin mula diperkenalkan kepada masyarakat dunia sejagat, satu-satunya cara individu menjadi kebal terhadap sesuatu ­jangkitan penyakit adalah dengan cara dijangkiti terlebih dulu ­dengan penyakit berkenaan dan selamat.

Imunisasi sudah tentu cara yang lebih mudah dan kurang risiko untuk menjadi imun terhadap beberapa jenis penyakit

Malah, melalui imunisasi yang dijalankan sejak ia diperkenalkan, sesetengah jang­kitan dan penyakit hampir dihapuskan sepenuhnya di seluruh dunia misalnya polio.

Imunisasi memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pegawai perubatan dan ibu bapa yang berdedikasi mendapatkan vaksin me­ngikut jadual untuk anak-anak mereka.

Bagaimanapun, polio masih wujud di beberapa bahagian dunia dan ia masih boleh menyebabkan ­jangkitan kepada orang yang tidak pernah mendapatkan vaksin polio, orang yang tidak ­mendapat dos yang cukup bagi polio dan mereka yang mengembara ke bahagian dunia yang masih diancam polio.

Vaksinasi juga dinamakan satu daripada 10 pencapaian terhebat dunia perubatan dalam kurun ke-20.

Menurut kenyataan secara bersama oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dikeluarkan baru-baru ini, dakwaan kononnya vaksin mengandungi bahan haram dan membahayakan nyawa adalah tidak benar.

Malah, mereka menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa vaksinasi yang diberikan kononnya bertujuan melemahkan umat Islam, sebaliknya menasihatkan masyarakat tidak terpengaruh dengan berita yang disebarkan oleh golongan tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya timbul keraguan atau perlukan pengesahan, elok rujuk kepada pihak berkuasa supaya penyebaran isu seumpama itu tidak menimbulkan kegelisahan kepada masyarakat seluruh­nya,” menurut kenyataan terbabit.

Semua vaksin berkenaan didaftar di bawah Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan dinilai mengikut keperluan piawaian antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

Kenyataan itu melaporkan, kesan sampingan akibat imunisasi selalunya ringan dan tidak berbahaya berbanding kesan jangkitan penyakit itu sendiri dengan kesan sampingan kerap dilaporkan seperti demam dan sakit di tempat suntikan.

“Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan sentiasa memantau kesan sampingan akibat imunisasi di semua kemudahan kesihatan. Sehingga kini, tiada tindakan terhadap vaksin akibat kesan sampingan,” menurut laporan berkenaan.

Dari sudut pandangan syarak, kenyataan itu menjelaskan, imunisasi sebagai jalan pencegahan adalah perkara dituntut dalam Islam sesuai dengan kaedah usul fikah.

Maklumat lanjut mengenai penggunaan vaksin dari sudut syarak boleh didapati di portal e-Fatwa iaitu www.e-fatwa.gov.my.

Sementara itu, menurut pakar perunding pediatrik dan kardiologi pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, imunisasi terbahagi kepada dua iaitu pasif dan aktif iaitu kedua-duanya sama penting untuk kesejahteraan anak.

Imunisasi pasif adalah pemberian susu ibu kerana ia membekalkan nutrien secukupnya kepada bayi, bersih, steril serta mempunyai antibodi yang disalurkan daripada tubuh ibu kepada anak dan melindungi bayi.

“Sepanjang anak menerima susu ibu, ia seolah-olah diberi imunisasi secara harian namun imunisasi aktif iaitu suntikan vaksin yang diberi mengikut umur ­bersesuaian berdasarkan carta yang disediakan Kementerian Kesihatan juga penting.

“Memang ibu bapa mempunyai hak untuk mendapatkan suntikan vaksin atau sebaliknya buat anak mereka berdasarkan apa yang mereka percaya, tetapi sanggupkah kita melihat anak kita dalam keadaan kesakitan?

“Kebanyakan penyakit yang dihidapi anak ketika itu sebenarnya boleh dielakkan menerusi pencegahan vaksin yang mudah. Tidak semestinya mereka langsung bebas daripada jangkitan tetapi jika terkena sekalipun, tubuh sudah mampu melawan dengan lebih berkesan,” katanya.

BACA INI JUGA: Makanan Terbaik Untuk Kecerdasan Otak

Sumber: Harian Metro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon