Friday, November 29, 2013

Panas! Luahan Terbuka Mantan Ketua Gengster 08 Buat Menteri Dalam Negeri!


Salam 1Malaysia yang berhormat Datuk Seri. Nama saya S. Suria Narayan, 49 tahun. Saya dilahirkan di Estet Sungai Kerawi, Teluk Intan Perak.

S. Suria Narayan - Mantan Ketua Gengster 08
S. Suria Narayan.

Kemudian keluarga kami berpindah ke Jalan Laksamana Teluk Intan Perak kerana ibu saya membeli rumah di kawasan tersebut.

Ketika itu saya berusia 18 tahun. Tinggal ditempat baharu tidak mencorakkan warna pelangi yang indah dalam hidup saya. Sebaliknya saya sering dibuli oleh 'kepala' gengster di situ. Sampailah suatu ketika saya dicabar.

"Kalau engkau anak jantan mari kita lawan satu sama satu!" kata Abang Long kepada saya.

Sebagai anak estet yang terbiasa dengan kerja berat, saya menghadapi Abang Long itu dengan mudah.

Bersama seluruh perasaan geram dan marah serta tenaga anak estet, langsung saya bantai Abang Long itu di tengah-tengah anak buahnya yang sekadar jadi penonton.

Oleh sebab malu, dengan muka pecah dan berlumuran darah, Abang Long meninggalkan Jalan Laksamana. Automatik saya dilantik sebagai kepala baru di situ. Mulai saat itu saya belajar menjadi gengster.

Semakin hari kumpulan kami makin besar dan kuat. Berani saya katakan, 'besar' daripada saya belum ada lagi pada masa itu!

Dan tentu Datuk Seri sudah maklum bahawa Jalan Laksamana adalah lokasi kumpulan gengster dan mafia terbesar sekali di negara ini!

Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri
Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri.

Datuk Seri, saya masih ingat detik-detik saya ditangkap. Walaupun saya sedar ada sekatan jalan raya di Bidor dan Teluk Intan, saya tetap lalui juga kerana dalam kereta saya tiada dadah dan senjata api. Tapi saya tetap ditahan lalu dibawa ke balai polis.

Di situlah saya difahamkan ditahan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas Dadah Berbahaya dan Ordinan Darurat.

Masa itu umur saya baru sahaja 27 tahun. Saya ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam Johor Baharu.

Tuhan masih sayangkan saya Datuk Seri. Jarak antara Teluk Intan ke Simpang Renggan jauh. Atas kasihkan suami, isteri bersama tiga anak saya serta segunung kebimbangannya menaiki bas pada pukul 9.00 malam dan tiba di Simpang Renggam pukul 4.00 pagi.

Tidurlah isteri dan anak-anak saya dihentian bas itu yang terdedah dengan berbagai-bagai kemungkinan buruk.

Datuk Seri. Antara isteri dan anak-anak kami dipisahkan oleh dinding kaca yang tebal. Kami hanya mendengar suara masing-masing melalui telefon sahaja. Hati suami mana yang tidak luluh apabila melihat isteri tercinta bercucuran air mata.

Gambar Tatu Geng 08

Penuhlah masa tiga puluh minit dengan tangisan dan keharuan semata-mata. Situasi ini benar-benar menyentuh hati saya. Situasi ini benar-benar menyentuh hati saya. Mulai hari itu saya tidak akan terjebak lagi dalam kumpulan gengster.

Apabila saya keluar dari pusat tahanan, saya bertekad melaksanakan azam baharu. Kedudukan sebagai kepala gengster saya tinggalkan.

"Suria, bolehkah?" tanya orang disekeliling saya. Ini kerana muka saya sudah terpampang di mana-mana sebagai ketua gengster.

Ya benar! Itu dulu! Sekarang saya sudah insaf dan berhenti melakukan kerja-kerja haram itu! Berikan saya peluang untuk masuk semula dalam masyarakat dan berbakti dengan cara saya sendiri!

Tanpa memperdulikan stigma negatif masyarakat, saya belajar mengimpal besi dan kemahiran perpaipan. Kemudian saya menceburi bidang kontraktor. Bermula secara kecil-kecilan hinggalah kini dengan nilai projek berangka tujuh digit.

Datuk Seri. Gengster dahulu tidak sama macam sekarang. Gengster dulu gentleman. Jika timbul ketidakpuasan hati dalam kawasan yang dikuasai mula-mulanya kita buat perbincangan dulu secara baik.

Tak boleh selesai. Masing-masing nak lepaskan geram dan marah. Baik. You cakap pukul berapa mahu jumpa. Baik. Umpamanya Gengster 08. Jumpa pukul 8.00 malam. Kita jumpa di tempat dijanjikan. Berapa orang mahu datang. Tapi tak ada parang, pisau, apatah lagi pistol.

Bila sudah jumpa, kita tak banyak cakap. Baik. Sekarang, kalau you kuat, you bantai saya. Nanti kami bantai you balik. Datuk Seri. Itulah antara cara gengster dulu bertindak.

Sebaliknya gengster moden sekarang suka 'curi makan'. Tiba-tiba serbu musuhnya di ruang awam. Terus cantas pakai senjata tajam. Atau...Dam!! Dam! Tembak terus.

Kenapa perkara ini berlaku Datuk Seri? Sebab sekarang senjata api mudah ditemui. Kenapa begitu mudah senjata api dimiliki di mana-mana sekalipun. Jadi tidak bermakna semua gengster itu memakai senjata api. Penggunaan senjata api oleh penjenayah bukan berpunca daripada gengsterisme.

Maaf Datuk Seri. Berikan masa tambahan kepada saya untuk meluahkan segala yang terpendam di hati. Apabila umur saya semakin bertambah dan punya anak yang sudah besar panjang. Saya jadi risau apabila memikirkan kegiatan gengster seolah-olah tidak dapat dibendung lagi.

Datuk Seri. Sebagai mantan Ketua Gengster 08, saya ingin bertanya. Bagaimana kita dapat tahu terdapat 49 kumpulan gengster dengan jumlah 'ahli berdaftar' seramai 40,313 ribu orang? Tetapi pada masa sama kita gagal membenterasnya!

Senarai Gengster Di Malaysia

Saya dulu kepala gengster satu Malaysia pun tidak tahu begitu banyaknya kumpulan gengster di negara kita dan begitu ramainya yang terlibat dalamnya!

Sekarang kita asyik bercakap 'jerung' dilepaskan, ikan 'bilis' sahaja yang ditangkap! Bagi saya penjenayah yang ditangkap ialah 'ikan gapi' dalam longkang yang lebih kecil daripada ikan bilis!

Datuk Seri, apa salahnya didirikan satu bit polis disetiap sekolah. Terus ambil tindakan jika ada sesuatu mencurigakan pada pelajar tersebut. Benar, pelajar sekolah tidak dapat ditahan tapi setidak-tidaknya elemen gengsterisme dapat dibanteras awal-awal lagi. Dan pelajar lain yang melihat tindakan pantas polis akan berfikir banyak kali untuk membuat perlakuan jahat.

Datuk Seri, sebagai mantan gengster saya bersedia membantu kerajaan membanteras gengsterisme hingga ke akar umbinya. Ini kerana saya masak benar selok belok dunia gengster.

Saya minta maaf Datuk Seri. Cara polis iaitu mengarahkan orang yang disangka gengster untuk membuka pakaian walau di ruang awam bukan cara yang betul. Tidak semua yang bertatu itu gengster!

Penangkapan segera juga berlaku dalam sekatan jalan raya bagi badan yang bertatu yang dipercayai kumpulan gengster. Jika betullah yang ditahan itu gengster tidak apalah.

Tapi kalau terkena gengster yang sudah insaf dan tatu masih di badannya, bukankah itu menyusahkan dia juga. Bukan senang untuk kita membuang tatu yang telah di tanam dalam kulit. Nasib baik saya tidak pakai tatu!

Datuk Seri. Saya menyarankan kerajaan mengumumkan semua orang yang ada tatu di badannya sila tampilkan diri di balai polis untuk penyaringan. Jika anda gagal hadir dalam tempoh yang diberikan anda adalah gengster!

Gengster Malaysia
Sedutan filem KL Gangster.

Jika anda adalah gengster yang telah insaf dan tatu masih ada pada badan anda jangan risau. Pihak berkuasa akan keluarkan surat pengesahan anda sudah insaf dan tidak lagi terlibat dalam aktiviti gengster.

Bagaimanapun Datuk Seri. Saya fikir langkah paling baik untuk kita lakukan sekarang ialah laksanakan hukuman ikut prosedur jenayah Islam! Saya mohon Datuk Seri ambil perhatian tentang cadangan saya ini demi menyelamatkan negara kita daripada gejala gengster dan jenayah yang semakin tidak terbendung!

Mengapa kita tidak boleh laksanakan hukuman jenayah mengikut cara Islam. Kalau hukuman sebat dalam Undang-undang Sivil dapat dilakukan maka apa salahnya hukuman jenayah Islam dilaksanakan!

Kegiatan gengster, bunuh, samun, tembak-menembak masih terus berleluasa. Sedangkan penjenayah terus dilaporkan di dada media.

Laksanakan hukuman jenayah Islam itu di tengah khalayak agar semua gengster takut untuk melakukan jenayah! Sebat mereka di khalayak ramai! Rejam mereka dengan batu! Itulah jawapan terbaik bagi membendung kes ini.

Hal ini kerana gengster dan penjenayah di luar sana tidak takut kerana tidak melihat sendiri bagaimana hukuman gantung itu dilaksanakan! Kalau hukuman jenayah Islam, setiap hukuman sudah pasti akan dipamerkan pada umum agar memberikan kesan mendalam kepada masyarakat agar menjauhi perbuatan jenayah!

Hukuman Sebat Buat Gangster
Gambar hiasan.

Datuk Seri. Izinkan saya menyampaikan pesan kepada gengster di luar sana. Wahai gengster yang membaca luahan hati saya ini. Taubatlah anda seperti saya. Kalau anda jadi gengster, anda buat sesuka hati, ia akan berakhir pada dua perkara sahaja.

Pertama, kalau anda kalah anda masuk hospital.

Kedua, kalau anda menang, anda akan masuk lokap!

Tinggalkan aktiviti gengsterisme ini. Sia-sia hidup anda menjadi gengster!

Sayangilah keluarga anda. Ibu bapa, saudara kandung, isteri dan anak-anda anda. Kalau anda kuat maka anda carilah rezeki dengan cara yang halal.

Saya bersedia untuk berkongsi ilmu dan pengalaman untuk berjaya dalam hidup. Berhentilah mencari rezeki dengan aktiviti gengster kerana ia tidak diberkati Tuhan.

Datuk Seri yang saya kasihi. Demikianlah luahan hati saya. Maafkanlah saya jika saya menggangu masa emas Datuk Seri.

Semoga Malaysia terus makmur sejahtera dan bebas merdeka daripada cengkaman gengster dan jenayah!

Nota: S. Suria Narayan mendapat anugerah Ahli Mahkota Perak dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dari Kerajaan Perak. Kini beliau menjadi Pengerusi Syarikat Suria Sinar Maju (M) Sdn. Bhd. yang terlibat dalam bidang kontraktor perpaipan dan berkaitan dengannya.

Artikel ini adalah luahan secara terbuka mantan Ketua Gengster 08 kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Malaysia seperti yang disiarkan di dalam majalah Mastika keluaran November 2013.

BACA INI JUGA: 5 Kumpulan Mafia Terkenal Antarabangsa

-SENTIASAPANAS.COM

1 comment

  1. woww...harap dato sri mendengar luahan ini dengan hati terbuka...

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon