Sunday, September 08, 2013

Sembilan Ahli Kongsi Gelap 04 Dan 08 Tertangkap Di Sempadan!


Polis menahan sembilan lelaki yang dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap 04 dan 08 di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam di sini ketika cuba melarikan diri ke negara jiran untuk bersembunyi malam semalam.


Ketua Penolong Pengarah D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hasan berkata kesemua mereka berusia antara 24 hingga 47 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.30 malam oleh pasukan Cantas Khas Bukit Aman ketika cuba melepasi pintu sempadan negara.

(Baca: Senarai 49 Kumpulan Kongsi Gelap)

Katanya hasil siastan awal mendapat salah seorang daripada mereka tidak mempunyai sebarang pasport atau dokumen untuk masuk ke negara jiran itu.

Beliau berkata mereka melintasi sempadan dengan berjalan kaki bagi mengelak dikesan pihak berkuasa yang giat menjalankan Ops Cantas Khas terhadap kumpulan kongsi gelap.

“Kita kesan mereka masuk sempadan setiap hari berdasarkan cop Imigresen pada pasport mereka dan kita percaya mereka cuba melarikan diri daripada dikesan polis serta ada yang masuk untuk membuang tatu mereka.

“Kita percaya sembilan individu yang ditahan itu mempunyai jawatan dalam kongsi gelap itu dan ada di kalangan mereka adalah ‘fighter’ yang terlibat dalam kes pergaduhan. Kita akan siasat perkara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di CIQ Bukit Kayu Hitam awal pagi Sabtu.

Abd Jalil berkata kesembilan lelaki itu berasal dari negeri ini, Perak dan Selangor.

Katanya pihaknya akan meminta bantuan daripada polis negara jiran bagi membantu menjejaki saki baki anggota kumpulan haram itu yang masih aktif dalam negara ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan terus mengetatkan pintu kawalan bagi mencantas semua penjenayah yang juga anggota kongsi gelap yang cuba memboloskan diri ke sempadan negara jiran itu.

Beliau turut berterima kasih kepada anggota masyarakat yang turut sama membantu polis dalam usaha mengekang kumpulan kongsi gelap haram dan pihaknya tidak akan berkompromi dalam perkara itu.

Nama Ahli Politik Yang Ada Kaitan Kongsi Gelap Bakal Didedahkan?


Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada pihak polis untuk mendedahkan nama individu yang mempunyai kaitan dengan kongsi gelap dan dikatakan turut bergiat dalam bidang politik di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis akan mendedahkan nama individu terlibat bila tiba masanya.

(Baca: Geng 36, 04 dan 08 Kumpulan Kongsi Gelap Paling Bahaya)

“Bila akan didedahkan saya serah pada pihak polis.

“Tiba masanya polis akan dedahkan dan tindakan undang-undang akan dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Skuad 1Malaysia Negeri Perak bersama Menteri di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Puan Sri Zuraidah Mohamed dan Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani. -Bernama

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon