Sunday, August 25, 2013

Turki Ada Bukti Israel Dalang Penggulingan Morsi


Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menuduh Israel sebagai pihak yang mendalangi penggulingan bekas Presiden, Mohammed Mursi sehingga menyebabkan tercetusnya keganasan politik pada minggu lalu yang mengorbankan hampir 3,000 orang.


Dalam ucapannya semasa menghadiri mesyuarat Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) semalam, Erdogan berkata, kerajaan Turki turut mempunyai bukti berhubung dakwaan itu.

"Apa yang mereka perkatakan tentang Mesir? Demokrasi bukan pada kotak undi.

"Siapa dalang kepada semua ini? Pastinya Israel. Bukti ada dalam tangan kami," katanya yang merujuk kepada kenyataan Menteri Kehakiman Israel, Tzipi Livni semasa satu mesyuarat di Perancis sebelum pilihan raya Mesir pada tahun 2011.

(Baca: Yahudi Menangis Darah Jika Kudeta Al-Sisi Gagal Halang Morsi)

Jelasnya, dalam mesyuarat itu, Livni menyatakan bahawa Ikhwanul Muslimin tidak akan berkuasa walaupun pergerakan itu memenangi pilihan raya.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi Associated Press, bukti yang dimaksudkan Erdogan merujuk kepada rakaman sidang akhbar antara Livni, ahli falsafah Perancis dan penulis, Bernard-Henri Levy.

Dalam video tersebut, Levy berkata, beliau akan terus melakukan tekanan walaupun terpaksa menggesa tentera Mesir untuk menentang Ikhwanul Muslimin.

"Saya akan menggesa (tentera Mesir) untuk menghalang Ikhwanul Muslimin daripada berkuasa walau apa cara sekalipun," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan sementara Mesir menolak tuduhan Erdogan itu yang 'disifatkan tidak berasaskan fakta'.

Malah Amerika Syarikat (AS) turut mengkritik komen berkenaan yang dianggap 'menyakitkan hati, tidak berasas dan salah' manakala sekutu kuatnya, Israel mendakwa tuduhan Erdogan itu sebagai karut.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri sementara Hazem al-Beblawi menegaskan, Mesir mampu bertahan tanpa bantuan dari AS selepas Washington dan Kesatuan Eropah mahu mengkaji semula hubungan dengan Kaherah ekoran pergolakan di negara itu. -AP/AFP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon