Wednesday, July 17, 2013

Pelakon Siri TV Termahal Hollywood


Semakin ramai pelakon filem yang kini membintangi siri di televisyen. Steve Buscemi ("Boardwalk Empire"), Jennifer Love Hewitt ("The Client List", "Ghost Whisperer"), Zooey Deschanel ("New Girl"), Glenn Close ("Damages"), Patrick Wilson ("The Gifted Man") merupakan antara pelakon yang berhijrah dari layar perak ke kaca televisyen.


Tapi anda salah jika anda sangka mereka yang suatu masa dahulu dibayar berpuluh juta untuk berlakon filem, mungkin boleh menguasai carta pelakon televisyen dengan bayaran termahal. Tidak. Kerana para veteran televisyen ini masih mengungguli kedudukan:

Ashton Kutcher. Menjelang Jun 2013, Ashton Kutcher disahkan sebagai pelakon televisyen dengan bayaran termahal. Untuk menggantikan ruang yang ditinggalkan Charlie Sheen dalam "Two and A Half Men", Kutcher menerima bayaran sebanyak AS$24 juta (RM75.7 juta).

Hugh Laurie. Pelakon British yang suatu masa dahulu lebih sinonim dengan komedi, dibayar AS$18 juta (RM56.8 juta) untuk melakonkan watak doktor sarkastik, Gregory House dalam siri perubatan titular, "House", menjadikan dia pelakon lelaki kedua dengan bayaran termahal di Amerika.

Ray Romano. Pelawak kesayangan ramai pula mungkin sudah lama meninggalkan sitkom popular "Everybody Loves Raymond", tapi dia tetap berjaya mengungguli tempat ketiga dengan bayaran kemunculan televisyen sebanyak AS$18 juta (RM56.8 juta).

Alec Baldwin. Bekas pelakon utama kebanyakan filem era 80-an dan 90-an ini membuat kemunculan semula yang gah melalui watak Jack Donaghy dalam sitkom "30 Rock", sekaligus menempatkan dia di kedudukan keempat dengan pendapatan sebanyak AS$15 juta (RM47.3 juta).

Mark Harmon. Bintang "NCIS" ini bukan sahaja dihormati ramai kerana memiliki pengalaman paling banyak berlakon dalam siri televisyen, malah memiliki pendapatan sebanyak AS$15 juta (RM47.3 juta) untuk lakonannya dalam siri tersebut.

Eva Longoria. Pelakon wanita termahal untuk siri televisyen jatuh kepada Gabrielle Solis dari "Desperate Housewives" ini. Bukan sahaja dia memenangi anugerah Pelakon Terbaik di Anugerah Golden Globe, Longoria juga muncul di tempat pertama sebagai pelakon TV dengan bayaran termahal, dengan pendapatan sebanyak AS$13 juta (RM41 juta).

Tina Fey. Tina Fey bukan sekadar seorang pelakon dan pelawak wanita, tapi dia juga seorang penerbit eksekutif, pencipta siri "30 Rock", penulis skrip dan lain-lain lagi. Semua usahanya itu membuahkan hasil lumayan sebanyak AS$13 juta (RM41 juta) setahun.

Mariska Hargitay. Anak kepada simbol seks Hollywood Jayne Mansfield ini memiliki jumlah pendapatan sebanyak AS$10 juta (RM31.5 juta) dari peranannya sebagai Detektif Olivia Benson dalam "Law & Order: Special Victims Unit".

Marcia Cross. Memegang peranan sebagai si 'perfectionist' Bree Van de Kamp dalam "Desperate Housewives", pelakon berambut merah dan bintang "Melrose Place", Marcia Cross menduduki tempat keempat sebagai pelakon wanita televisyen termahal di Amerika dengan pendapatan sebanyak AS$10 juta (RM31.5 juta).

Marg Helgenberger. Bekas ketua pasukan "CSI Las Vegas", Catherine Willows, atau nama sebenarnya Marg Helgenberger merupakan pelakon wanita kelima termahal di Amerika, dengan pendapatan sebanyak AS$10 juta (RM31.5 juta) yang dihasilkan daripada siri forensik tersebut.

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon