Wednesday, May 15, 2024

Kemuliaan Mati Syahid

Kemuliaan Mati Syahid

"Dan jangan sekali-kali kamu menyangka orang yang terbunuh (gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki." (Surah Ali ‘Imran: 169)

Kemuliaan Mati Syahid

Pada asasnya, kita tidak boleh menentukan dengan khusus atau mengatakan seseorang itu mati syahid kecuali mereka yang telah dipersaksikan oleh Rasulullah SAW atau yang telah disepakati oleh umat atas kesyahidannya, kerana hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui hakikat seseorang itu sama ada syahid atau sebaliknya.

Syahid itu terbahagi kepada tiga jenis mengikut pandangan jumhur ulama, iaitu:

Pertama: Syahid Dunia dan Akhirat

Iaitu orang-orang beriman yang ikhlas berjuang di jalan Allah untuk meninggikan syiar agama dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata serta mati di medan peperangan. Mereka tidak lagi berada dalam keadaan hayah mustaqirrah (masih hidup) sebelum berakhirnya peperangan dengan golongan musyrikin (Rujuk: Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/164; Al-Iqna’, 1/414-415)

Dia dianggap syahid akhirat kerana di sisi Allah mereka mendapat pahala syahid dan dianggap sebagai syahid dunia kerana mereka tidak dimandikan, tidak dikafankan dan tidak disolatkan. Bahkan mereka ditanam secara terus bersama dengan darah dan pakaian mereka. (Rujuk: Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/164; Al-Iqna’, 1/414)

Hal ini berdasarkan hadis daripada Saidina Jabir R.A bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Nabi SAW pernah menghimpunkan dua lelaki dari mereka yang telah dibunuh di (peperangan) Uhud seraya baginda bertanya kepada mereka siapakah antara mereka yang mempelajari lebih banyak Al-Qur'an? Dan ketika salah seorang dari mereka ditunjuk, baginda mengarahkannya agar diletakkannya di lahad (kubur) terlebih dahulu. Baginda bersabda "saya saksi ke atas mereka." Maka baginda memerintahkan supaya mereka dikebumikan dengan darah mereka, tidak boleh disolatkan, dan mereka tidak boleh dimandikan." Riwayat al-Bukhari (1347)

Kedua: Syahid Dunia

Sesiapa yang meninggal dunia kerana berperang di jalan Allah tetapi dalam masa yang sama melakukan mawani’ al-syahadah (perkara yang menghalang daripada mendapatkan syahid) seperti berjuang di jalan Allah kerana inginkan ghanimah (harta rampasan) semata-mata atau berjuang untuk dikatakan berani atau untuk mendapatkan kedudukan di sisi manusia atau seumpamanya (dengan tujuan keduniaan), maka dia dianggap syahid dunia iaitu tidak disolatkan, dikafakankan dan dimandikan. Sementara itu dia tidak dianggap sebagai syahid akhirat iaitu tidak mendapat pahala syahid yang sempurna dan urusannya di akhirat adalah antara dia dengan Allah SWT. (Rujuk: Syarah al-Nawawi ‘ala Muslim, 2/164; Syarh Mukhtasar al-Kharqi, 72/14)

Ketiga: Syahid Akhirat

Adapun syahid akhirat ialah selain daripada golongan yang telah disebutkan di atas, iaitu sesiapa yang syahid bukan di medan peperangan akan tetapi disebutkan dalam hadis dengan istilah syahid.

Contohnya seperti orang yang meninggal dunia kerana penyakit perut, taun, ditimpa runtuhan bangunan dan lain-lain sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis sebagai syahid.

Mereka dikurniakan dengan pahala dan ganjaran sebagai orang yang syahid di akhirat tetapi ganjarannya tidak sama dengan golongan yang pertama (syahid dunia dan akhirat).

Adapun hukumnya di dunia adalah sama seperti kebiasaan orang yang meninggal dunia iaitu wajib dimandikan, dikafankan dan disolatkan. (Rujuk: Syarah al-Nawawi ‘ala Muslim, 2/164; Syarh Mukhtasar al-Kharqi, 72/14).

Di samping itu, terdapat juga hadis-hadis lain yang tidak dapat kami sebutkan di sini kerana jumlahnya yang banyak.

Secara ringkasnya, di sini kami simpulkan beberapa golongan yang diberi pahala syahid akhirat berdasarkan banyaknya hadis sahih yang menyebutkan sebab-sebab kesyahidan (tersebut) serta ia merupakan ciri-ciri yang masyhur dalam kalangan para ulama, antaranya seperti berikut:
  1. Orang yang mati kerana penyakit berjangkit.
  2. Orang yang mati kerana penyakit perut.
  3. Orang yang mati lemas.
  4. Orang yang mati dihempap bangunan.
  5. Orang yang mati kerana kebakaran.
  6. Orang yang mati kerana dizalimi.
  7. Orang yang mati kerana berkata benar dihadapan pemimpin yang zalim.
  8. Orang yang mati dalam keadaan menuntut ilmu.
  9. Wanita yang mati ketika bersalin.
  10. Orang yang mati kerana mempertahankan agamanya, nyawanya, hartanya dan keluarganya.
(Rujuk: Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 13/62-63; Fath al-Bari, 6/51-52)

Kelebihan mati syahid

Daripada Miqdam bin Ma’dikarib, Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya; "Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu: 1) Diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar, 2) melihat tempatnya didalam syurga, 3) dilindungi dari azab kubur, 4) terjamin keamanannya dari malapetaka besar merasakan kemanisan iman, 5) dikahwinkan dengan bidadari, 6) diperkenankan memberikan syafa’at bagi 70 orang kerabatnya."

Kesimpulan

Namun, kita hendaklah sedar bahawa hakikat sebenar seseorang mendapat ganjaran syahid atau sebaliknya hanyalah Allah SWT sahaja yang mengetahui kerana mati syahid merupakan satu kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya yang terpilih sahaja.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 199: Makhluk Halus Dalam Darah

SBDJ Siri 199: Makhluk Halus Dalam Darah

WALAUPUN waktu solat maghrib masih jauh, lebih kurang tiga jam lagi. Tetapi, saya dan Andi Kamarool sengaja pergi awal ke masjid kami berpendapat dari duduk di rumah, terlentang tertiarap, lebih baik duduk di masjid. Boleh juga membelek-belek kitab lama tulisan jawi.

Toyol jadi-jadian

Dengan berbuat demikian, dapat menambahkan pengetahuan tentang hukum-hukam yang ada hubungkaitnya dengan ilmu agama. Mana yang tidak faham atau ada perkara yang meragukan, bolehlah dirujukkan kepada datuk atau Haji Basilam.

"Bahasa kitab lama berbelit-belit. Ejaannya masih ejaan lama," tutur Andi Kamarool.

"Datuk dan Haji Basilam, boleh menolong," sanggah saya sambil menghayunkan langkah di bawah sinar matahari petang yang kian redup.

"Betul cakap kamu Tamar."

"Mereka berdua orang tua yang banyak pengalaman."

"Kita ni orang apa Tamar."

"Kita orang muda yang serba tak tahu, mesti belajar supaya tahu," kata saya. Dan kami segera ketawa.

Langkah menuju ke masjid dipercepatkan. Bila sampai di halaman masjid, apa yang direncanakan dalam kepala menjadi sebaliknya. Kami, berhadapan dengan kumpulan anak-anak muda dengan kegiatan masing-masing.

"Andi!"

Langkah Andi Kamarool terhenti, begitu juga dengan langkah saya.

"Kenapa Tamar."

"Kita patah balik, aku takut terjadi sesuatu yang tidak baik Andi."

"Aku tidak berfikir begitu, kita mencari persahabatan, bukannya musuhnya Tamar."

"Aku bimbang Andi."

"Lapangkan hati, otak dan perasaan kamu Tamar. Ayuh."

Andi Kamarool menyambung kembali langkah yang terhenti. Saya tiada pilihan lain, terpaksa akur dengan kemahuan Andi Kamarool. Dan kami kian menghampiri kawasan masjid.

Di halaman masjid yang berumput pendek, sekumpulan anak muda sedang bermain sepak raga. Mereka menyambut kehadiran kami dengan ramah sekali. Malah mempelawa kami agar turut serta dalam kumpulan mereka.

Manakala di sudut kanan surau, kelihatan sekumpulan anak muda menjalankan kegiatan latihan ilmu mempertahankan diri atau seni silat dengan diawasi oleh seorang guru berbadan tegap.

Si guru duduk atas tunggul kelapa, tidak memakai baju. Kedua-dua belah lengannya dililit dengan secebis kain berwarna kuning. Wajahnya serius bercampur bengis.

Ketika saya merenung ke arahnya, secara tidak sengaja pandangan kami bertembung. Dia meluahkan senyuman keramahan, wajah yang serius dan bengis tenggelam dalam senyuman yang manis macam senyum P. Ramlee dalam filem Bujang Lapok.

Senyum yang diberi saya sambut dengan anggukkan. Kerana tertarik dengan langkah dan buah silat yang dipamerkan oleh anak-anak muridnya, saya memutuskan untuk berada di tepi gelanggang. Duduk bersila di bangku panjang yang disediakan di situ.

"Kamu mahu duduk di sini, Tamar?" Tanya Andi Kamarool.

Saya segera anggukkan kepala.

"Aku mahu ke gelanggang sepak raga," susul Andi Kamarool lagi.

"Silakan."

"Jadi, kamu tak mahu ikut aku Tamar."

"Tak mahu," kata saya tegas.

Andi Kamarool pun ubah haluan, dia melangkah lemah menuju ke gelanggang sepak raga. Saya tahu, dia memang minat dengan permainan tersebut. Biarlah Andi Kamarool dengan halnya sendiri, bisik batin saya.

BERAKHIR

SELURUH perhatian, saya tumpukan ke gelanggang silat. Dari hujung mata saya dapat mengesan gerak geri si guru di atas tunggul kelapa.

Di samping melihat anak-anak muridnya, dia juga melihat gerak-geri saya, terutama cara saya duduk bersila, gerak badan saya pada setiap kali anak muridnya melakukan serangan. Saya cuba menghadkan gerak-geri, agar jangan ketara dimata guru silat. Ternyata usaha itu kurang berhasil.

Latihan di gelanggang pun berakhir, tanpa saya duga, setelah anak-anak muridnya bersurai. Si guru silat mendekati saya. Pasti, perasaan saya jadi gementar dan cemas. Bermacam-macam perkara buruk muncul dalam kepala.

"Anak tahu silat?" Tanyanya.

Saya gelengkan kepala.

"Jangan berbohong, cara anak duduk bersila serta gerak mata melihat orang bersilat. Juga bentuk tubuh anak ini, sudah cukup menerangkan yang anak ada isi," tambahnya dalam nada suara yang lembut.

"lya, tahu sikit-sikit saja," saya menjawab.

"Begitulah, bersikap jujur."

"Ilmu saya tidak setinggi mana."

"Tapi, cukup untuk diri saya."

Perlahan-lahan saya anggukkan kepala. Si guru silat senyum sambil memusingkan tubuhnya membelakangi saya. Kami melangkah mengikuti tujuan masing-masing. Pandai dia membaca rahsia diri, bisik batin sambil mempercepatkan langkah untuk mendapatkan Andi Kamarool di gelanggang sepak raga.

Dalam suasana langkah yang rancak itu. Gerak hati bagaikan memberitahu ada sesuatu yang bakal muncul cara mendadak. Jadi, harus berhati-hati. Bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Sukar untuk menduga dari arah mana bencana akan menjelma. Secara mendadak, saya bagaikan mendengar bunyi gumpulan ombak yang dutung dari arah belakang.

Dengan secepat kilat menoleh. Memang diluar dugaan dan mengejutkan. Guru silat melakukan serangan. Kerana belum bersedia, membuat saya jadi kelam-kabut.

Tetapi, saya berjaya mengelak dan menolak buah silat yang ditujukan betul-betul ke arah dada.

Kalau sasaran itu tepat, pasti jatuh terlentang dan darah keluar dari mulut. Akibatnya, saya boleh mengidap penyakit batuk darah. Mujurlah serangan itu dapat saya atasi.

Guru silat tersasar ke kanan, tidak berjaya mengimbangi kedudukan badannya. Dia jatuh, bagaikan kilat dia bangun, seolah-olah tidak jatuh tetapi, bagi orang yang tajam pandangan dan tahu gerak silat dapat mengesan kelemahan itu.

Apa yang berlaku menarik perhatian beberapa orang anak muda di gelanggang sepak raga. Andi Kamarool segera meluru ke arah saya.

"Kenapa Tamar?" Tanyanya cemas.

"Aku diuji Andi."

"Siapa yang menguji kamu, Tamar."

"Akulah yang mengujinya," sahut si guru silat yang berdiri di kanan.

Dia menghulurkan tangan. Saya sambut dengan ikhlas. Kemudian dia memeluk tubuh saya kemas-kemas. Orang-orang yang berada di sekeliling segera bertepuk tangan.

"Maafkan saya kerana menyusahkan kawan awak," si guru silat renung muka Andi Kamarool.

Saya lihat Andi Kamarool anggukkan kepala. Beberapa detik kemudian mereka berjabat salam.

"Saya tahu awak cuma mahu menguji, bukan begitu?" Tanya Andi Kamarool.

"Iya, memang betul apa yang awak kata, orang berilmu harus diuji, barulah boleh disukat tinggi rendah ilmunya," tingkah guru silat.

Saya dapat menerima alasan yang diberikan, saya tidak marah malah tidak menyimpan rasa dendam dalam hati.

"Anak memang cekap memanfaatkan gerak hati pemberian Allah untuk melindung diri. Memang, serangan yang dibuat, serangan maut. Kalau kepalang orang, pasti terima padahnya. Sengaja serangan itu aku atur dari arah yang baik, tujuannya sekadar menguji, kalau aku tewas, tidak membawa maut, begitu juga dengan kamu," siguru silat memberikan penjelasan.

"Saya faham, cuma untuk menguji, kalau betul-betul maut saya," nada suara saya lemah yang diakhiri dengan senyum. Serentak Andi Kamarool dan guru silat ketawa.

CERAMAH

SETELAH menunaikan sembahyang maghrib, kami berpeluang mendengar ceramah agama yang disampaikan oleh Kiai Musroh berhubung dengan seksa kubur.

Sungguh memikat dan berkesan di hati cara Kiai Musroh menyampaikan ceramah. Pandai sungguh dia memainkan emosi pendengar. Dia boleh membuat pendengar menangis dan ketawa.

Selepas menunaikan sembahyang Isyak, lagi sekali Kiai Musroh membuat kejutan.

Dia mengumumkan pada para jemaah, mulai malam esok akan diadakan pembacaan yassin selama tujuh malam yang dituruti dengan solat Qiamullail yang bertujuan untuk pengampunan dosa arwah isteri Syam.

Terbukti, pengumuman tersebut menyebabkan Syam jadi marah. Dia merasa malu.

Pada hemat saya perkara itu, adalah masalah peribadi yang tidak wajar dihebahkan kepada umum, meskipun niatnya baik.

"Kurang ajar, kiai ini mahu memalukan aku," bentak Syam dan bersedia untuk melakukan sesuatu kepada Kiai Musroh.

"Jangan Syam," tahan datuk.

"Kenapa pakcik tahan saya, dia dah keterlaluan. Saya tak dapat terima perkara macam ni."

"Syam kawal perasaan kamu, memang inilah caranya untuk menolong dan menyelamatkan harta benda arwah isteri kamu."

"Ikut saja cakap Kiai tu, Syam. Niatnya baik, bukan mahu menjahanamkan kamu," Haji Basilam turut menenangkan keadaan.

Syukur pada Allah, Syam anggukkan kepala. Dia terima nasihat datuk dan Haji Basilam. Tiada seorang pun para jemaah di dalam masjid membangkang cadangan Kiai Musroh. Semuanya setuju.

Para jemaah pun meninggalkan masjid dengan wajah yang tenteram.

"Tunggu."

Datuk menoleh ke arah suara itu. Belum pun sempat datuk membuka mulut, ketua kampung segera menerkam ke arahnya. Serentak dengan itu juga Kiai Musroh menghampiri datuk.

"Jangan bagi budak itu balik, bermalam di rumah arwah isterinya. Aku yakin kamu boleh mengawalnya," bisik Haji Musroh.

"Berapa lama?" Tanya datuk.

Tiada jawapan dari Kiai Musroh, dia renung muka ketua kampung dan Pak Imam, seolah-oalah minta bantuan bagi mengatasi masalah sekecil ini.

"Begini saja," ketua kampung tepuk bahu Pak Imam.

"Kamu (pak imam) Kiai Musroh pergi ke rumah mereka, di sana boleh bercakap panjang, bercakap disini tidak berapa baik, ramai orang yang mendengarnya, malu pula si Syam," sambung ketua kampung sambil merenung muka datuk, Haji Basilam, Syam, Andi Kamarool dan saya.

"Satu cadangan yang baik," celah Syam tanpa rasa malu.

"Saya setuju dengan cadangan itu, banyak perkara yang mahu saya cakapkan," Kiai Musroh meluahkan rahsia hatinya.

"Kalau begitu, kita berpisah saja di sini. Biar saya balik dulu," ketua kampung minta diri.

"Silakan tuk ketua," bersama senyum ketua kampung bersuara.

Ketua kampung pun keluar dari kumpulan kami, melangkah pulang ke rumah ikut jalan pintas di rusuk kanan masjid. Kami pun turut bergerak meninggalkan halaman masjid.

Sepanjang jalan pulang, kami tidak banyak bercakap tetapi langkah kami tidak mengenal perkataan perlahan atau lambat.

Saya kira bila sampai di rumah, banyak perkara yang akan dilakukan oleh Kiai Musroh untuk menangani masalah diri Syam.

Setidak-tidaknya dia akan bercakap panjang dengan Syam di samping membaca doa mentera untuk menghalau makhluk halus yang diduga sudah bersatu dengan darah dan semangat Syam.

Apa yang saya andaikan tidak pula menjadi kenyataan. Kiai Musroh hanya memberikan beberapa potong ayat suci untuk dibaca oleh Syam semasa mahu tidur, ketika terkejut dari tidur (jaga malam) serta semasa mahu bangun tidur.

HUJUNG

"TOLONG tengokkan dia, tegur dan betulkan bacaannya yang salah."

"InsyaAllah, Pak Kiai," datuk anggukkan kepala.

"Saya nak tanya Pak Kiai" Haji Basilam bersuara.

"Silakan haji."

"Berapa lama si Syam tak boleh balik dan tidur di rumahnya?"

"Inilah yang mahu saya terangkan. Dia boleh balik ke rumah tetapi, mesti ditemani, tidak boleh balik seorang diri. Masa yang boleh dia balik ke rumah arwah isterinya pada sebelah pagi."

"Pukul berapa Pak Kiai," datuk ajukan pertanyaan.

"Antara pukul tujuh membawa ke pukul lapan pagi. Dia tidak boleh tidur di rumah sendirian, mesti berkawan. Larangan ini berjalan selama tujuh hari tujuh malam."

"Ertinya, selama pembacaan yassin diadakan?" Tingkah Pak Imam.

"lya," angguk Pak Kiai.

"Kalau dah macam itu peraturannya, apa gunanya saya balik ke rumah waktu pagi, tak dapat nak buat apa-apa. Buang masa saja," Syam memperlihatkan sikap panas barannya.

Kiai Musroh mendengar pertanyaan yang diajukan oleh Syam. Dengan perlahan-lahan hujung jari kelingking Kiai Musroh mengaru hujung dagunya yang nampak berlekuk.

Perlahan-lahan dia mengangkat muka, hingga sepasang anak matanya bertemu dengan sepasang anak mata Syam. Saya lihat Syam agak tergamam dengan apa yang berlaku.

Kiai Musroh tetap tenang dan senyum. Anak matanya tetap terpaku ke wajah Syam.

"Begini Syam."

Kiai Musroh memperkemaskan silanya. Semua yang berada diruang rumah menumpukan perhatian ke arah Kiai Musroh. Berdebar, menanti ungkapan yang bakal diluahkan oleh si Kiai yang satu ini.

"Tujuannya untuk kamu melihat apakah ulat-ulat dan anai-anai itu bertambah atau kekurangan. Kalau kurang, ertinya usaha kita diberkati Allah, kalau bertambah atau tidak kurang, ertinya tidak diberkati dan kita terpaksa berikhtiar. Sebagai orang Islam, kita disuruh berusaha dan berikhtiar. Kita ditegah berputus asa," dalam nada suara yang lembut Kiai Musroh meluahkan penerangan.

"Hummmm. begitu," berkali-kali Syam anggukkan kepala.

"Kamu faham dan puas hati sekarang Syam membayangkan keyakinan yang tidak berbelah bagi. Semua yang berada dalam rumah menarik nafas lega mendengar pengakuan daripada Syam. Jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah semakin cerah.

DINGIN

SHAKA cengkerik di luar rumah, jelas kedengaran. Begitu juga deru angin yang menyentuh dedaun pokok. Dingin malam kian terasa mengigit kulit. Andi Kamarool panjangkan leher, melihat jam tua yang tergantung di dinding.

"Dah pukul dua belas," dia bersuara.

Saya mengangguk.

"Ada lagi perkara yang mesti dibuat," ujar Kiai Musroh yang berjanggut sejemput, bermata tajam dengan sepasang kening yang berbulu lebat. Biji mata datuk dan Haji Basilam terpaku ke wajahnya, begitu juga dengan Pak Imam.

"Apa dia yang lagi satu tu, Pak Kiai?" Syam bertanya.

"Satu perlima dari harta peninggalan si mati harus digunakan ke jalan Allah," jawab Kiai Musroh dengan wajah serius. Matanya tetap menyorot muka Syam yang tunduk merenung lantai.

Lebih dari tiga minit suasana dalam rumah terasa sepi sekali. Tiada sesiapa pun yang membuka mulut.

Kerana tiada sesiapa yang bertanya, Kiai Musroh menganggap kerjanya sudah selesai. Perlahan-lahan Kiai Musroh membuka sila dan terus bangun. Beberapa detik kemudian Pak Imam juga turut bangun.

"Maafkan saya, biar kami balik dulu. Pak Imam dah mengantuk nampaknya," sambil memicit-micit pergelangan tangan kanan Kiai Musroh bersuara.

Seluruh perhatian tertumpu kepada Pak Imam yang menggeliat semacam. Sungguh lucu serentak dengan itu berderai suara ketawa, menjadikan suasana dalam rumah agak meriah.

Akhirnya, semua yang duduk segera bangun, lalu mengiringi Pak Imam dan Kiai Musroh melangkah ke muka pintu. Dan berdiri di situ.

TAMAK

"SEMASA hayatnya, si mati terlalu tamak mengumpul harta hinggakan hak orang di rampas, kedekut pula tu. Tidak mahu membagi-bagikan hartanya walaupun sedikit untuk tujuan amal, menolong orang susah jauh sekali," tanpa diduga Kiai Musroh mengungkapkan kata-kata yang ditujukan untuk Haji Basilam dan datuk.

Dan untuk sekian kalinya, Haji Basilam dan datuk angguk kepala, macam belatuk mematuk batang pokok yang mati meragam.

Kiai Musroh dan Pak Imam pun melangkah bendul rumah. Akhirnya, mereka hilang daripada pandangan. Hilang ditelan kegelapan malam yang kian mengisut ke dinihari.

Saya diarahkan oleh datuk supaya tidur sebilik dengan Andi Kamarool dan Syam.

Sebilik dengan Andi Kamarool, tidak menjadi masalah, perkara begitu sudah biasa dilakukan. Tetapi, dengan Syam menimbulkan bermacam-macam persoalan dan prasangka yang bukan-bukan.

Apakan daya, arahan datuk tidak mampu dibantah. Sama ada suka atau tidak mesti diterima.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 199/284

BACA: SBDJ Siri 198: Terkapar Di Halaman Rumah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Thursday, May 09, 2024

Kemunculan 'As-Sufyani' Sebelum Keluarnya Imam Mahdi

Kemunculan 'As-Sufyani' Sebelum Keluarnya Imam Mahdi

Sebelum peristiwa terjadinya baiah Imam Mahdi, iaitu beberapa lama sebelum kemunculannya, akan berlaku beberapa fitnah yang dahsyat dari beberapa golongan. Akan berlaku pertempuran-pertempuran yang menyayat hati terlebih dahulu. Bangsa Arab akan didatangi oleh bangsa yang berkulit "lebih gelap" dari bangsa Arab, akan dikalahkan dan dicampak ke tempat yang paling bawah di muka bumi ini.

As-Sufyani
Gambar hiasan.

Memahami dan mengenali As Sufyani adalah sama penting dengan mengenali dan memahami Panji-panji Hitam. Kedua-dua pasukan ini mempunyai ciri-ciri yang sama dan kedua-duanya mengkui Allah sebagai tuhan.

Mengenali kedua-duanya seterusnya dapat membezakan antara kedua-dua pihak adalah sangat penting. Mereka muncul dalam masa yang tidak jauh bezanya dan mereka akan saling bertempur.

FITNAH YANG AKAN BERLAKU SEBELUM MUNCULNYA IMAM MAHDI

1. Sewaktu pecahnya Sungai Furat, keluarlah emas daripada bukit yang berdekatan. Akibatnya, muncullah tiga puak yang saling berebutkan harta emas itu.

Salah satu puak yang paling hampir dengan timbunan emas itu berkata, "Demi Allah, kami akan bunuh sekalian manusia kerana jika kami biarkannya, nescaya akan habislah ia."

Selepas itu tercetuslah pembunuhan besar-besaran sehingga dari setiap seratus orang, semuanya terbunuh melainkan seorang sahaja yang hidup.

Setiap yang pergi merebut harta itu berharap dialah orang yang seorang itu. Itulah lambang ketamakan mereka terhadap harta dunia pada zaman itu.

2. Keluar seorang dari keturunan as-Sufyani yang kafir daripada anak Khalid bin Sufyan di Syria hingga terjadi satu peperangan yang sangat besar. Imam Mahdi tidak akan muncul melainkan setelah as-Sufyani mendapat kuasa dan memerintah.

Kafir yang dimaksudkan adalah dia memerintah negaranya menggunakan sistem kafir, bukan sistem kenegaraan Islam.

Syria atau Syam yang dimaksudkan adalah umum, iaitu Amerika Syarikat dan sekutunya negara-negara Eropah, kerana Syam itu bersempadan dengan Rom pada zaman dahulu.

Khalid bin Sufyan itu bukan namanya seperti yang biasa kita fahami, tetapi bermaksud negara-negara maju yang mencipta teknologi dan alat-alat baru (Khalid), dan mereka pula bersatu tenaga menentang Islam, selain mahu kekal memerintah dunia ini (Khalid), dan penduduknya selalu mengamalkan cara hidup yang sihat dan bersih (Sufyan).

Atau mereka amat mementingkan kebersihan dan memakan makanan yang berkhasiat.

3. Berlaku peperangan yang berpunca dari puak Ibqak. Menurut para ulama, puak Ibqak ini adalah penduduk yang ada padanya warna putih dan hitam di Mesir.

Secara realitinya mereka adalah golongan yang datang dari Asia dan dari Afrika. Mesir yang dimaksudkan bukanlah negara Mesir yang kita kenali, tetapi adalah lambang sahaja. Sebab Mesir itu adalah negara penghubung antara benua Asia dan Afrika.

4. Muncul pula puak Ashab, suatu puak yang kulitnya bercampur warna putih dan merah. Mereka adalah golongan yang datang dari Eropah iaitu orang yang kulitnya kemerah-merahan.

Mereka bangun serentak menjadi satu kuasa dunia menjajah negara-negara di Asia dan Afrika, iaitu sewaktu penjajahan Eropah ke atas Asia dan Afrika sedikit masa dahulu.

Mereka juga bersekutu (Ashab) dalam tindakan dan matlamat, juga bersekutu dalam menentang Islam.

5. Muncul puak A'raj iaitu satu puak yang ketuanya adalah seorang yang berjalan capik dan datang dari arah Maghribi.

Mereka yang dimaksudkan adalah pasukan tentera yang datang dari Amerika Syarikat (disebutkan Maghribi).

Capik yang dimaksudkan adalah banyak kelemahan dalam pasukan tenteranya dan di dalam negaranya, bukan capik anggota badan.

Ia mengaku besar dan kuat sedangkan urusan dalamannya sendiri pun tidak terurus. Itulah capik yang dimaksudkan.

Iaitu negara kuasa besar dunia yang pincang masyarakat dan pentadbirannya, atau negara yang lengkap peralatan perangnya tetapi tidak tahu berperang dengan sebenar-benarnya.

6. Berlaku peperangan antara semua puak berkenaan yang berlanjutan selama setahun dan kemenangan adalah di pihak tentera Sufyani. Perang yang dimaksudkan di sini ada dua iaitu Perang Dunia Kedua (1941-45).

Puak Ibqak adalah gabungan Jerman dan Jepun (Ibqak) yang berjaya ditewaskan oleh pasukan as-Sufyani (Amerika) dan Ashab (sekutu di Eropah).

Dan yang kedua ialah Perang Teluk (1991) iaitu antara Iraq (Ibqak) dengan Amerika (as-Sufyani) dan sekutunya Eropah (Ashab).

Yang dilihat menang adalah tentera as-Sufyani (Amerika) dan yang dilihat kalah adalah puak Ibqak (Iraq).

7. Kemudian muncul pula seorang raja dari negeri Maghribi yang membunuh semua lelaki dan memperkosa wanita. Dia menunggu di bumi Arab untuk memerangi puak as-Sufyani sehingga segala harta bendanya dirampas.

Raja yang dimaksudkan adalah Presiden baru Amerika Syarikat, yang meneruskan usaha mengepung dan menyekat Iraq sehingga negara dan rakyat Iraq menderita kesempitan hidup.

Ramai yang mati kebuluran atau kekurangan zat, begitu juga wanita dan kanak-kanak turut mati akibat sekatan yang dikenakan itu.

Harta benda yang dimaksudkan itu adalah bahan-bahan makanan yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke Iraq, melainkan dengan dicatunya, dan kedua ialah sumber petroleum Iraq yang pengeluarannya amat dikawal oleh mereka.

8. Puak as-Sufyani meneruskan peperangan dengan puak Rom dan Turki sehingga berlaku berbagai-bagai penganiayaan dan kerosakan seperti perut perempuan mengandung dibelah dan kanak-kanak dibunuh.

Kali ini as-Sufyani yang dimaksudkan adalah puak di Eropah Timur yang membunuh ramai umat Islam tanpa pilih kasih lagi.

Rom dan Turki yang dimaksudkan adalah negara-negara yang pernah ditakluk oleh Kerajaan Osmaniyah dahulu termasuk di negara-negara bekas jajahan Rom yang pernah ditawan oleh Turki Osmaniyah.

Mereka amat zalim sehingga perempuan mengandung dan kanak-kanak yang tidak bersalah pun turut dibunuh.

9. Orang-orang as-Sufyani terus-menerus memburu orang-orang Quraisy, menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri ke Turki, di samping sebahagiannya menerima penyeksaan. Sebahagian yang lain pula berjaya melarikan diri ke Khurasan.

As-Sufyani yang dimaksudkan di sini adalah puak Badwi dari Bani Saud yang menawan Hijaz termasuk Makkah dan Madinah. Mereka membunuh semua keturunan Alawi, Hasani, Husaini dan Hasyimi.

Ramai yang lari menyelamatkan diri ke negara-negara lain seperti ke Afrika, ke Syria, ke Turki dan India. Ada yang berjaya diturut oleh mereka lalu dibunuh. Ramai yang menerima seksaan.

Akhirnya Ahlulbait yang dimulia dan didoakan oleh seluruh umat Islam itu, berpecah-pecah ke serata tempat. Ramai yang mati dan ramai yang diseksa. Yang selamat tidak berani menonjolkan diri.

Akhirnya pupuslah seluruh Ahlulbait daripada kota Makkah dan Madinah dan daripada kekuasaan terhadap umat Islam.

Kaum Quraisy juga turut diturunkan daripada menjawat sebarang jawatan pemerintahan. Mereka kini menjadi orang biasa, dan dibiarkan begitu sahaja - tanpa jawatan, tanpa penghormatan dan tanpa pembelaan.

10. Dalam usaha memburu saki-baki lelaki Quraisy itu, tentera as-Sufyani yang berkuda menuruti hingga ke Khurasan. Mereka telah membinasakan banyak bandar dan membunuh beratus ribu manusia, termasuk kanak-kanak dan wanita.

Khurasan yang dimaksudkan di sini adalah umum, ertinya jauh kerana Khurasan itu memang amat jauh pada pandangan orang zaman dahulu.

Tentera berkuda itu bukanlah kuda yang ditunggang, tetapi kenderaan tentera yang lengkap dan moden.

11. Semasa sampai di Khurasan, keganasan dan kezaliman mereka bertambah dahsyat. Setiap keluarga Rasulullah SAW dan Bani Hasyim serta penduduk Khurasan yang melindungi akan ditangkap lalu dibunuh.

Ini juga sudah berlaku di seluruh dunia Islam, sehingga orang yang berani mengaku dirinya sebagai Ahlulbait akan menerima seksaan, difitnah dan dipermalukan. Mereka sentiasa dipandang serong oleh pihak berkuasa.

Keadaan ini berlaku selama beberapa tahun, yang disebut sebagai zaman fitnah terbesar dan terhebat, yang langsung tidak dapat dibayangkan kedahsyatannya oleh manusia pada zaman dahulu akan bentuknya.

12. Setelah berlaku keganasan, kezaliman dan fitnah yang besar itu, zahirlah Imam Mahdi dengan tujuan menghapuskan segala kezaliman dan peperangan yang sedang dahsyat dilakukan oleh puak-puak manusia yang memusnahkan bumi Tuhan ini.

Memang Imam Mahdi zahir ketika manusia di seluruh dunia sedang berada di puncak penyelewengan dan kezaliman yang maha dahsyat itu.

Zahirnya Imam Mahdi itu membawa cahaya baru yang bersinar terang di dalam hati setiap orang yang beriman.

13. Semasa huru-hara dan peperangan itulah, Imam Mahdi bersama-sama dua orang pembantu dan tujuh orang lain, melarikan diri dari Madinah lalu bersembunyi di Makkah.

14. Apabila dikhabarkan kedatangan Imam Mahdi ke Makkah, rajanya amat gembira. Kedatangan Imam Mahdi disambut dengan gembira dan diizinkannya tinggal di Makkah dengan aman.

Asalnya begitulah yang berlaku, tetapi raja Makkah itu dihasut oleh syaitan dan ditakut-takutkan bahawa dia akan kehilangan kuasa pemerintahan kepada Imam Mahdi.

Maka terlintaslah di hatinya untuk berbaiat kepada Imam Mahdi. Terfikir padanya bahawa dia sudah tidak ada jalan lain lagi, melainkan tunduk kepada Imam Mahdi.

15. Namun keadaan sebaliknya yang berlaku. Raja Makkah itu telah mengkhianati dan menipu Imam Mahdi. Dia berjaya juga ditipu oleh syaitan yang membujuknya dengan pelbagai perkara dan bayangan menakutkan.

Dia cuba membunuh kedua-dua pembantu Imam Mahdi. Salah seorang daripadanya berjaya dibunuh di antara Rukun dan Maqam Ibrahim, manakala yang seorang lagi berjaya melepaskan diri lantas dengan segera memberitahukan hal ini kepada Imam Mahdi. Ini menyebabkan Imam Mahdi bersedih hati dan menyabarkan yang lain.

16. Imam Mahdi mengumpulkan jemaahnya untuk memerangi raja Makkah yang dimurkai oleh Allah dan segala isi langit itu. Imam Mahdi berkhemah di salah sebuah bukit di Taif.

Perang pun berlaku dan Imam Mahdi berjaya membunuh raja Makkah yang zalim. Itulah perang pertama daripada enam peperangan lain yang akan dilaluinya kelak.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 198: Terkapar Di Halaman Rumah

SBDJ Siri 198: Terkapar Di Halaman Rumah

SYAM tersentak. Dari gerak gerinya saya menduga, Syam memang tidak senang dengan katakata datuk itu. Tidak hairanlah, bila dia mempamerkan reaksi dengan menjeling tajam ke arah saya dan datuk.

Toyol jadi-jadian


Sesungguhnya, saya kurang senang dengan reaksi yang diperlihatkan oleh Syam itu.

"Apa sebab saya tak boleh balik?" Soal Syam garang. Demi untuk keselamatan kamu."

"Iya," angguk datuk.

Syam gigit bibir dengan sepasang mata tertumpu ke wajah datuk, penuh dengan tanda tanya dan persoalan yang tidak terpecahkan.

DEDAUN

ANGIN yang bertiup berguguran dedaun tua, melayang-layang di udara sebelum tersadai di bumi. Peluh yang meruap di pangkal kening dan dahi segera saya kesat dengan telapak tangan.

Syam yang duduk di tanah segera melunjurkan sepasang kakinya. Dan saya larikan perhatian dari batang tubuh Syam kepada tanah milik arwah isterinya.

Saya terkejut, pemukaan tanah sudah tidak merekah lagi, tidak bergelombang, tidak ada barisan ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai beralun. Semuanya seperti biasa.

"Ulat dan anai-anai semuanya sudah masuk ke dalam rumah," demikian datuk membuat kesimpulan.

Ertinya semua milik saya akan hilang, pakcik."

"Tak berani nak cakap, kita berusaha dan berdoa, selebihnya kita serahkan kepada Allah."

"Kamu mesti..." datuk meneruskan kata-kata.

"Mesti apa Pakcik?" Sanggah Syam.

"Ikut kami ke rumah, cuma dengan cara itu saja kamu selamat."

"Sebabnya Pakcik?"

"Jangan tanya sebabnya, kalau kamu sayangkan nyawa sayangkan harta benda arwah isteri kamu, ikut cakapku." Datuk memperlihatkan sikap tegasnya, mukanya mula kemerah-merahan.

"Eehhhhh...." Syam tergagap"

"Aku mahu keputusan dari kamu. Mahu atau tidak, itu saja yang aku mahu," atuk minta kepastian.

Tidak ada jawapan pasti dari Syam. Dia memperlihatkan protes dengan menumbuk bumi sebanyak dua kali berturut-turut.

Tidak ada tindak balas dari datuk, barangkali dia (Datuk) malas melawan karenah Syam yang dianggapnya terlalu mengikut perasaan.

"Mari Tamar, biarkan dia di situ." Datuk segera menarik tangan saya.

Syam pun kami tinggalkan melayani perasaannya.

Memang pelik, datuk yang banyak bertolak ansur dan bertimbang rasa dengan Syam, secara mendadak menjadi sebaliknya.

Barangkali, datuk sudah menghidu sesuatu yang kurang baik, kalau karenah Syam dilayani. Apa yang berlaku sungguh mengecewakan Syam.

Barang-barang kemas milik arwah isterinya tenggelam dalam timbunan anai-anai dan ulat-ulat makan bangkai. Lagi sekali Syam rebah dan pengsan di pangkuan datuk. Dan lagi sekali rawatan kecemasan terpaksa dilakukan hingga Syam pulih.

Keadaan sekeliling bertambah cemas, ulat-ulat makan bangkai dan anai-anai kian bertambah. Beberapa bahagian lantai yang tadi, tidak didekati ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai mula didatangi oleh serangga tersebut.

"Sebelum keadaan menjadi lebih teruk, kita mesti tinggalkan rumah ini," sepasang mata datuk merayap ke setiap sudut dan ruang dalam rumah.

Terpamer sekilas kecemasan di wajah datuk. Kerana belum merasa pulih, Syam tidak ambil kisah dengan apa yang datuk katakan.

"Kita bawa dia keluar dari rumah ini, Tamar."

"Baik tuk," jawab saya pendek.

"Ikut jalan kita datang tadi," arah datuk lagi.

Saya anggukkan kepala. Tanpa membuang masa, saya dan datuk terus memapah Syam turun dari perut rumah. Berhati-hati kami memijak anak tangga dan seterusnya menuju ke kaki lima rumah yang diturap dengan simen.

KHAYAL

"SEKARANG, kita ikut jalan tadi hingga sampai ke kawasan tanah sempadan, elakkan dari terkena ulat dan anai-anai."

"Baik Tuk."

"Mulakan sekarang."

Langkah untuk sebuah perjalanan yang penuh cabaran pun bermula. Syukur, kami selamat sampai ke kawasan tanah sempadan.

Kerana keadaan Syam tidak pulih sepenuhnya, (dia seperti orang khayal) datuk terpaksa melakukan rawatan untuk memulihkan semangat dan keyakinan diri.

Setelah dibacakan beberapa potong ayat, lalu dihembuskan ke mukanya barulah keadaan Syam berubah. Dia kelihatan seperti orang baru bangun dari tidur. Termagu-magu, lupa dengan semua perkara yang pernah dilalumya.

"Di mana saya pakcik?"

"Di tanah orang, tanah yang bersempadan dengan tanah arwah bini kamu," jelas datuk.

"Hahhhh..." mulut Syam terlopong.

"Jangan bimbang kita selamat di sini," saya cuba memujuk.

"Hantarkan saya balik, pakcik."

"Tak boleh," suara datuk meninggi.

Sepanjang perjalanan balik ke rumah, berkali-kali datuk mengingatkan saya supaya jangan menoleh ke kiri, ke kanan atau menoleh ke belakang. Mesti berjalan dengan tunduk sambil bertasbih.

Arahan datuk itu saya patuhi hingga sampai ke kaki tangga.

"Syukur, anak dan cucu selamat balik." Saya segera panggungkan kepala, mencari arah suara datang.

Rupa-rupanya Haji Basilam menyambut kepulangan kami dengan wajah riang di tepi tingkap. Andi Kamarool yang bertenggek di bendul pintu, lambaikan tangan ke arah saya. Cepat-cepat saya membalasnya bersama segaris senyum.

"Kenapa tinggalkan Syam jauh sangat di belakang." Haji Basilam panjangkan leher, macam leher itik angsa melihat sesuatu dikejauhan.

Saya dan datuk segera menoleh ke belakang. Syam tercungap-cungap mengekori kami.

"Pelik budak ni, diajak tak mahu tetapi, mengikut dari arah belakang. Memanglah dia ni banyak karenahnya," datuk merungut.

Andi Kamarool dan Haji Basilam segera turun ke kaki tangga yang kemudiannya mendekati saya dan datuk.

Kami berempat (Datuk, Haji Basilam, Andi Kamarool dan saya) tumpukan perhatian pada Syam yang melangkah lemah.

"Saya mahu ikut pak cik," katanya sebaik sahaja sampai di hadapan kami.

Mungkin kerana keletihan, Syam tidak mahu berdiri dan dia terus rebah di kaki datuk.

"Sudah kamu fikirkan semasak-masaknya tentang perbuatan kamu ini, Syam," tanya datuk.

"Sudah," balas Syam tercungap-cunngap sambil menelentang tubuhnya merenung langit dan awan gemawan.

"Kau tak menyesal."

"Tidak pakcik, apa yang penting bagi saya, selamatkan rumah pusaka dan harta benda arwah isteri saya."

"Hummm..." suara datuk terkulum.

Syam masih terlentang dengan kedua belah tangan dan kakinya terkedang. Dari hujung bibir (kiri dan kanan ) meleleh air liur. Sesekali kaki dan tangannya tersentap-sentap. Panas yang menarik membuatkan badannya berpeluh-peluh.

"Kita naik," beritahu datuk pada Haji Basilam.

"Budak Syam ni macammana?"

"Biarkan dia di situ."

"Kejam membiarkan budak yang letih ni terkadang atas tanah di bawah matahari yang terik," Haji Basilam meluahkan keresahan hatinya.

"Ada sebabnya, saya berbuat macam tu, mari kita naik. Sampai di atas nanti kita bercerita panjang."

Tidak ada yang membantah arahan datuk, semuanya naik dan duduk bersila di ruang tamu rumah. Tidak ada sesiapa pun yang memikirkan tentang nasib Syam yang tekapar di halaman rumah.

Rasa belas dan kasihan muncul dalam hati saya. Tetapi, saya tidak berani menyuarakannya.

"Tamar."

"Iya tuk."

"Kamu berdiri dekat tingkap, tengok ke bawah perhatikan budak Syam tu, kalau lain macam aje, beritahu aku."

"Iya tuk." Saya segera berdiri di tepi tingkap.

Datuk pun berkisah tentang pengalaman yang dilaluinya semasa berada di rumah peninggalan arwah isteri Syam. Semua yang mendengar gelengkan kepala.

Malah, Andi Kamarool sendiri mencadangkan supaya datuk jangan campur dalam urusan Syam. Biarkan dia selesaikan sendiri.

"Aku tidak setuju, rasanya tidak berakal benar, kita membiarkan manusia seagama hidup menderita, sedangkan kita hidup senang. Padahal kita boleh berikhtiar dengan memohon pada Allah supaya sahabat kita tu terlepas dari bencana tersebut," datuk menumpahkan pandangan dan pendapatnya pada dua orang sahabatnya.

"Apa yang mahu kamu buat?" Haji Basilam merenung muka datuk.

"Kita berunding dengan ketua kampung, Pak Imam, Guru Agama, sepas sembahyang zuhur kita bincang, kamu boleh membantu."

"Aku?" Haji Basilam membeliakkan biji matanya.

"Iya," angguk datuk.

"Si Syam tu bagaimana? Kau nak biarkan dia mati kering di halaman rumah?" Soal Haji Basilam.

"Nanti aku suruh Tamar uruskan," Saya jadi termagu-magu bila nama saya disebut.

AIR

TIDAK lama berselang, datuk mengotakan kata-katanya. Dia menyuruh saya mengambil air satu baldi besar di perigi untuk disiramkan ke tubuh Syam yang terkapar.

Ada beberapa syarat yang mesti di patuhi, setelah air satu baldi itu dibacakan dengan seratus kali Fatihah oleh datuk, barulah saya disuruh menjirus air tersebut ke kepala Syam hingga ke kaki.

Perkara itu dilakukan sebanyak tiga kali berturut-turut. Apa yang di suruh oleh datuk saya lakukan dengan sebaik mungkin.

Selesai saja kerja itu saya buat, Syam terus bangun. Dia nampak gagah tidak lemah. Pergerakannya cergas.

"Bawa Syam ke perigi, mandikan dia Tamar."

"Baik tuk." Sebaik sahaja saya mahu melangkah, terdengar lagi suara datuk.

"Tukarkan pakaiannya dan bawa dia masuk ikut pintu belakang," Datuk mencampakkan kain sarung dan baju melayu ke arah saya. Dengan tenang saya menyambutnya.

Syam pun saya bawa ke telaga. Semua arahan datuk saya laksanakan dengan sebaik mungkin. Tepat jam dua belas, lima minit tengahari, Syam yang sudah berpakaian rapi kemas duduk berhadapan dengan datuk di ruang tengah rumah.

Syam nampak tenang dan penuh keyakinan menyandarkan badan ke dinding. Saya dan Andi kamarool di suruh oleh datuk duduk di sebelah kiri dan kanan Syam.

Tanpa kehadiran Haji Basilam membuat saya bertanya ke mana dia menghilang.

"Aku agak kamu lapar Syam," tanya datuk.

Saya lihat Syam Syam mengangguk.

"Tunggu sekejap lagi makanan akan tiba, Syam."

"Terima kasih pakcik." Saya dan Andi kamarool saling berpandangan, masing-masing mencari jawapan siapakah yang akan membawa makanan untuk Syam.

Beberapa minit selang, Haji Basilam muncul membawa secawan kopi, sepiring rebus keledek dan sepiring kelapa parut.

"Jangan," datuk datuk bersuara lembut.

Syam tidak jadi menyuapkan keledek rebus ke dalam mulut.

"Minum air kopi dulu, lepas tu baru makan ubi keledek. Air tu untuk mencuci tekak dan melancarkan yang kamu telan," datuk memberikan kuliah pendek.

"Terima kasih pakcik."

Syam pun ikut nasihat datuk. Dia makan penuh selera, keledek rebus, kelapa perut dan air habis tanpa kesan.

Semasa Syam makan, saya nampak datuk dan Haji Basilam berbisik, macam ada sesuatu yang mereka bincangkan.

"Tamar, bawa cawan dan piring kosong ke dapur, bersihkan," arahan dari datuk yang kurang saya senangi tetapi, saya tidak boleh membantah.

Bila saya datang semula ke ruang tengah, saya lihat Pak Imam, Ketua kampung dan seorang lelaki tua dalam lingkungan usia lapan puluhan, memakai serban hijau berada di ruang tengah, mereka duduk dekat datuk sedangkan Haji Basilam mengambil tempat saya (disebelah Syam), keadaan ini memaksa saya duduk berhampiran dengan ketua kampung.

"Boleh kita mulakan," Ketua kampung ajukan pertanyaan pada datuk.

"Silakan," sahut datuk.

Saya lihat Haji Basilam anggukkan kepala, begitu juga dengan Andi Kamarool. Saya keresahan dan kebingungan, masih tercari-cari apakah perkara yang akan diperkatakan oleh mereka.

Agaknya, semasa saya menguruskan diri Syam tadi, mereka sudah pun menyusun agenda yang tersendiri. Semuanya berlaku secara mengejut dan diluar dugaan saya.

"Syam," datuk renung ke arahnya.

"Iya Pakcik."

"Bila kamu ikut aku, ertinya kamu masih mengharapkan pertolongan dari aku, Syam."

"Iya pakcik."

"Semasa kamu mandi tadi, aku suruh Haji Basilam berjumpa ketua kampung dan Pak Imam, berbincang dan mencari jalan untuk menolong kamu. Sekarang mereka ada di sini, saya minta ketua kampung sendiri menerangkannya," datuk berhenti bercakap, matanya renung muka ketua kampung yang mengangguk lemah, tanda setuju.

WAJAH

SEBELUM memulakan percakapan, ketua kampung menatap setiap wajah yang berada di ruang tengah. Renungannya agak lama tertumpu ke wajah saya. Tentu sahaja saya jadi resah.

"Terima kasih," ketua kampung memulakan percakapan.

"Kerana memanggil saya, terima kasih juga kepada Haji Basilam yang telah menerangkan tujuan sebenar menjemput saya kemari," ketua kampung berhenti bercakap sebentar, dia merenung ke arah Pak Imam dan seorang haji yang berada di sebelah Pak Imam.

Sejak tadi, Haji yang duduk di sebelah Pak Imam, tidak banyak cakap. Mudah tersenyum, air mukanya nampak bersih dan tenang.

"Orang di sebelah Pak Imam itu namanya Kiai Masruh," ketua kampung menyambung percakapan yang terhenti.

"Dia saudara saya, orang Tasik Malaya, bila mendengar masalah si Syam dia mahu pula menolong membantu, sekarang minta Syam mendekatinya."

Tanpa membuang masa Syam segera mendekatinya. Kiai Masruh meletakkan telapak tangan kirinya atas bahu kanan Syam.

Dia menyuruh Syam membaca Al-Fatihah dan Syam dapat membaca dengan lancar. Dia juga menyuruh Syam membaca ayatu-Kursi. Semuanya dapat dilakukan oleh Syam dengan baik dan lancar. Kiai Masruh tersenyum senang.

"Orang lain yang makan nangka, kamu yang kena getah," ucap kiai Masruh dengan nada suara yang perlahan sekali.

Semua yang ada di ruang tengah rumah menarik nafas lega. Malah saya lihat Haji Basilam tersenyum panjang.

"Tak mengapa, dengan izin Allah semuanya dapat kita selesaikan," sambung Kiai Masruh penuh keyakinan. Semua yang berada di situ anggukkan kepala.

Perlahan-lahan Kiai Masruh menjatuhkan tapak tangan kirinya dari bahu Syam. Hujung serbannya yang terjuntai di atas dada segera dibetulkan, diletakkan kembali atas bahu.

"Kita jumpa di masjid waktu maghrib, lepas sembahyang Isyak saya beritahu apa yang patut kita buat," begitu mengejutkan kiai Masruh menamatkan ucapannya, membuat yang hadir di situ terpinga-pinga.

Kiai Masruh segera bangun dan bersalaman dengan Datuk, Haji Basilam, Andi Kamarool, Syam dan saya. Dengan diiringi ketua kampung dan Pak Imam, Kiai Masruh menuju ke pintu.

"Kami balik," tutur Pak Imam dan ketua kampung serentak.

"Terima kasih kerana sudi datang," balas Haji Basilam.

"Jangan lupa, jumpa di masjid," Pak Imam tepuk bahu datuk.

"Dengan izin Allah, kami sampai," jawab datuk selamba.

"Saya yakin, awak boleh mengawal budak ni, berusahalah dengan sebaik mungkin. Jangan sampai dia lari ke rumahnya," bisik Kiai Masruh pada datuk.

Bersama senyum yang lebar, datuk anggukkan kepala. Datuk memanfaatkan segala kebolehan yang ada dalam dirinya untuk mengawal gerak-geri dan tingkah laku Syam.

Saya dilantik oleh datuk sebagai pengawal peribadi Syam. Di mana Syam berada, di situ saya berada.

Apa yang menguntungkan, gerak balas Syam terhad di dalam rumah sahaja. Dia tidak dibenarkan oleh datuk keluar rumah.

Bagi menghalang perbuatannya itu daun sirih bertemu akar dan daun buluh berbatang kuning, diletakkan bertindih tiga di muka pintu.

Tetapi, andainya Syam bertindak agak keterlaluan, Andi Kamarool bersedia membantu saya.

Apa yang merisaukan hati saya, bila datuk dan Haji Basilam pergi ke masjid untuk sembahyang Zuhur dan Asar. Mujurlah, kerisauan atau kebimbangan itu tidak terjadi.

Bila sampai waktu zuhur, saya ajak Syam berjemaah, begitu juga sampai waktu Asar. Dia tidak menolak, malah bersikap baik dan ramah dengan Andi Kamarool yang turut berjemaah sama.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 198/284

BACA: SBDJ Siri 197: Rahsia 4 Peti Hitam
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Wednesday, May 08, 2024

Kisah Pemuda Bani Tamim Di Akhir Zaman

Kisah Pemuda Bani Tamim Di Akhir Zaman

Kali ini kami ingin berkongsi satu persoalan penting tentang perkara yang terbuku di fikiran kita semua tentang kisah pemuda Bani Tamim yang pernah disebutkan dalam hadis oleh Rasulullah SAW di akhir zaman nanti.

Panji Hitam Bani Tamim

Melihat kepada hadis, keadaan dunia yang parah dan tanda akhir zaman yang jelas, sudah tentu tidak lama lagi akan zahirnya kisah ini. Oleh itu, tentera Bani Tamim seharusnya sudah menyusun strategi yang tersembunyi dari logik akal manusia.

Persoalannya;

1. Pemuda Bani Tamim dari keturunan Abu Bakar r.a. dan Abu Bakar r.a. adalah dari keturunan Bani Tamim, jadi siapakah keturunan Abu Bakar r.a. yang dikenali sehingga hari ini?

2. Diantara keturunannya tersebut adakah dia tinggal di timur dan berbahasa ajam?

3. Setelah itu, adakah keturunan Abu Bakar r.a. tersebut sedang memimpin jemaah yang besar dan sudah semestinya bertaraf antarabangsa kerana pemuda Bani Tamim harus mengumpul umat islam diseluruh dunia tanpa sempadan untuk bersedia dibawah satu khalifah?

4. Sudah tentu pemuda Bani Tamim tidak bergerak dalam hirarki, gerakan atau parti politik atau gerakan ketenteraan radikal saat ini, tetapi bergerak dalam satu pergerakan yang diketahui tetapi tidak diduga bahawa itu adalah sebuah rekrut tentera pejuang walaupun pada zahirnya dilihat bukan. Jadi, pergerakan apa yang dipimpin pemuda Bani Tamim?

5. Sekiranya pemuda Bani Tamim menonjolkan perjuangannya saat ini sebelum fasa yang sepatutnya, maka sudah tentu ketenteraannya telah dihapuskan oleh pihak yahudi.

6. Fasa diakhir zaman ini adalah masa untuk memilih, melihat dan menguji siapakah yang layak menjadi tentera Mahdi, maka tanggungjawab itu dipikul oleh pemuda Bani Tamim.

Fikirkan;

1. Adakah seorang manusia, sama ada agamawan atau tidak yang hanya duduk di negerinya, bekerja dengan selesa, duduk bersama sanak saudara, berada di hadapan tv dan hanya melihat berita dan rancangan hiburan, layak untuk merangkak digunung salji tanpa melalui proses rekrut?

2. Adakah rekrut tersebut berbentuk rekrut tentera biasa yang mudah diketahui oleh pihak musuh yang bila-bila masa sahaja mampu mennghancurkan?

3. Adakah rekrut tersebut seperti 1400 tahun dahulu, kerana sebelum berlakunya Peperangan Badar, sahabat-sahabat dilatih oleh Nabi Muhammad SAW dengan iman dan yakin hanya kepada Allah.

Mereka berjihad di jalan Allah dan sanggup meninggalkan kampung halaman semata-mata untuk menegakkan agama Allah.

Dengan pengorbanan inilah, Allah telah menurunkan malaikat-malaikatnya untuk membantu jamaah Badar pada masa itu.

Logik sekiranya kita semua mengutarakan soalan seperti di atas setelah kita mengagak-agak siapakah pemuda tersebut, lalu mengikuti beliau dibawah kepimpinannya.

Cuba kita selidiki dan mengikuti perkembangannya setelah anda merasakan hint ini dapat membantu.

Segalanya tidak terlepas dari salah dan betul, hanya Allah yang maha mengetahui dan maha benar.

NEGARA QATAR DAN BANI TAMIM

Qatar, negara pulau kecil di Timur Tengah, sekarang sedang disekat oleh Arab Saudi, Mesir, UEA dan rejim-rejim Arab sekutu Amerika dan Zionis Israel.

Negara-negara Arab penyokong Zionis itu marah terhadap Qatar, yang membuka negaranya untuk menjadi suaka ulama-ulama dan pejuang-pejuang Islam.

Qatar memang saat ini membela ramai ulama-ulama yang diburu Arab termasuk Dr Yusuf Qaradhawi.

Qatar juga mengizinkan pejuang-pejuang Hamas dari Palestin untuk tinggal di negaranya, bahkan secara konsisten membantu secara kewangan kerajaan Hamas di Gaza.

Qatar juga melindungi ramai aktivis Ikhwanul Muslimin yang sekarang diburu oleh rejim As Sisi yang bengis dan kejam.

Ketika Presiden Mohammad Mursi berkuasa, Qatar adalah negara pertama dan paling banyak membantu pemerintahan Mursi dengan bantuan kewangan.

Tidak ramai yang tahu, Dinasti Emir Tamim bin Hamad Al Thani yang berkuasa di Qatar sekarang berasal dari Bani Tamim.

Ini bukan saja salah satu kabilah atau suku Arab terbesar, tetapi juga suku sahabat Rasullullah, Abu Bakar As Siddiq.

Bani Tamim juga salah satu suku yang dicintai Rasulullah SAW dan kabilah yang akan membantu Imam Mahdi melawan Dajjal.

Berikut Adalah Hadis-hadisnya:

Dari Ibnu Umar r.a., Rasulullah SAW telah mengambil tangan Ali r.a. dan bersabda, "Akan keluar dari sulbi pemuda ini (Ali) yang memenuhi dunia dengan keadilan (Imam Mahdi). Bilamana kamu melihat yang demikian itu, maka wajib kamu mencari Putera dari Bani Tamim, dia datang dari sebelah Timur dan dia adalah pemegang panji-panji Al Mahdi." (HR. Tabrani)

Dari Abu Hurairah r.a. dia berkata, "Saya akan sentiasa mencintai Bani Tamim, kerana tiga hal yang pernah saya dengar dari Rasulullah SAW tentang mereka: Pertama saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Mereka (Bani Tamim) adalah umatku yang paling gigih melawan Dajjal.

Kedua, ada seorang tawanan wanita dari Bani Tamim di rumah Aisyah. Kemudian Rasulullah bersabda: "Hai Aisyah, bebaskanlah ia! Kerana ia adalah keturunan Ismail."

Ketiga, Rasulullah SAW pernah bersabda ketika ada zakat dari Bani Tamim: "Ini adalah zakat kaum kami."(HR. Bukhari)

Ikrimah r.a. berkata; "Seorang lelaki sahabat Nabi SAW menceritakan kepadaku, bahawa pernah Bani Tamim disebut-sebut di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba seorang lelaki berkata; "Suku dari Bani Tamim ini berlambat-lambat dalam perkara ini (zakat)."

Rasulullah SAW kemudian memandang ke arah lelaki suku Muzainah itu seraya berkata: "Mereka (Bani Tamim) tidak lebih lambat dari kalian."

Suatu hari seorang lelaki juga pernah berkata, "Mereka dari suku Bani Tamim itu lambat dalam memberikan sedekahnya." Ikrimah melanjutkan, "Maka datanglah unta dan kain indah milik suku Bani Tamim. Rasulullah SAW lantas bersabda: "Ini adalah unta kaumku."

Kemudian, suatu hari ada seorang lelaki dari suku Bani Tamim berada di sisi Rasulullah SAW, beliau lalu bersabda, "Janganlah kalian katakan sesuatu kepada Bani Tamim kecuali yang baik, sebab mereka adalah orang-orang yang lemparannya paling jauh kepada Dajjal." (HR. Ahmad)

Antara Hadis-hadis Nabi SAW Mengenai Imam Mahdi

1. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Al-Mahdi akan datang setelah muncul Panji-panji Hitam dari sebelah Timur yang mana pasukan itu selalu tidak pernah kalah dengan pasukan mana pun." (Ibnu Majah)

2. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Orang ramai daripada Timur akan muncul, kemudian menyerahkan kekuasaannya kepada al-Mahdi."

3. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Panji-panji Hitam akan keluar dari Khurasan (Setelah Pemuda Bani Tamim bertemu al-Haris Harras dan pada masa itu juga kawan-kawan al-Mahdi (tentera-tenteranya) keluar menuju Baitulmaqdis."

4. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Al-Mahdi akan dibaiat di antara Hajar Aswad dan Makam Ibrahim oleh sejumlah orang yang mengikuti Perang Badar (iaitu Pemuda Bani Tamim dan pasukannya), kemudian datang kumpulan orang dari Iraq, dan para Wali Abdal dari penduduk Syam untuk berikrar kepadanya. Dan akan datang pula pasukan daripada Syam (sufyani) yang kemudiannya ditelan bumi di al-Baidak dekat Zul Hulaifah. Semuanya binasa melainkan si pembawa berita sahaja." (Abu Daud & Al-Hakim)

5. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Tiga ratus empat belas orang yang di antaranya adalah perempuan, bergabung dengan al-Mahdi yang akan bertindak ke atas setiap pemimpin yang berbuat zalim dan menegakkan keadilan seperti yang diharap-harapkan oleh semua orang. Setelah itu, tidak ada kebaikan lagi di muka bumi ini yang melebihi kebaikan pada masa al-Mahdi.

6. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Pembawa bendera al-Mahdi adalah seorang lelaki daripada suku Tamim yang datang dari Timur."

7. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Jika kamu semua melihat Panji-panji Hitam datang dari arah Khurasan, maka sambutlah ia walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya di tengah-tengah panji-panji itu ada Khalifah Allah yang mendapat petunjuk. Maksudnya ialah al-Mahdi." (Ibnu Majah, Abu Nuaim & Al-Hakim)

8. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Sebelum al-Mahdi (muncul), As-Sufyani akan muncul dengan 360 pasukan berkuda. Kemudian dengan diiringi 30,000 pasukan yang dipimpin oleh Kalb, iaitu bapa saudaranya. As-Sufyani kemudian mengerahkan askarnya ke Iraq. Dalam serangan ini, 100,000 orang terbunuh di Zaura iaitu suatu bandar di Timur. Setelah itu mereka menyerang Kufah pula. Ketika itu muncullah Panji-panji (Hitam) dari Timur. Lantas ada satu pertanyaan, wahai Rasullulah, bagaimana kami dapat mengenalinya? Nabi SAW menjawab, Dia adalah dari keturunanku, perawakannya mirip kepada Bani Israel, seolah-olah wajahnya bercahaya-cahaya laksana bintang, pipi kanannya bertahi lalat hitam. Dia tampan orangnya, yang berusia 40 tahun. Dia akan didatangi oleh Wali-wali Abdal dari Syam, tokoh-tokoh Nujabat dari Mesir, Asoib dari Timur dan para pengikutnya."

9. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Sentiasa akan ada satu toifah dari kalangan umatku yang sanggup menzahirkan kebenaran. Mereka tidak dapat dirosakkan (dikalahkan) oleh orang-orang yang menentangnya, hinggalah datang perintah Allah (hari kiamat)."

10. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Dari Ibnu Masud RA, katanya, ketika kami berada di sisi Rasullulah SAW, tiba-tiba datang sekumpulan anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terlihat mereka, maka kedua-dua mata banginda SAW dilinangi air mata dan wajah baginda berubah. Aku pun bertanya, Mengapakah kami melihat pada wajah Tuan sesuatu yang tidak kami sukai? Baginda menjawab, Kami Ahlul Bait telah Allah pilih untuk kami akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dari penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang suatu kaum dari Timur yang membawa bersama-sama mereka Panji-panji Hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya, maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerima sehinggalan mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabatku yang akan memenuhkan bumi ini dengan keadilan seperti halnya bumi ini dipenuhi dengan kedurjanaan sebelumnya. Sesiapa yang sempat menemuinya, maka datangilah mereka itu, walaupun terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya dia adalah al-Mahdi." (Ibnu Majah)

11. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Daripada al-Hasan, bahawa Nabi SAW menyebut bala yang akan menimpa kaum keluarganya, hinggalah Allah mengutuskan Panji-panji Hitam dari Timur. Sesiapa yang menolongnya akan ditolong pula oleh Allah. Sesiapa yang menghinanya akan dihinakan pula oleh Allah, hinggalah mereka mendatangi seorang lelaki yang namanyna seperi nama aku. Mereka pun melantiknya memimpin mereka, maka Allah pun membantu dan menolongnya." (Nuaim bin Hammad)

12. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Akan datang Panji-panji Hitam dari Timur, seolah-olah hati mereka adalah kepingan-kepingan besi. Sesiapa mendengar tentang mereka, hendaklah datang kepada mereka dan berbaiatlah kepada mereka, sekalipun merangkak di atas salji." (Al-Hafiz Abu Naim)

13. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Akan keluar seorang lelaki dari seberang sungai yang dikatakan Al-Haris bin Harras, yang di hadapannya ada seorang lelaki yang dikatakan al-Mansur, dialah yang akan memudahkan urusan atau membela keluarga Nabi SAW seperti pihak Quraisy yang membela Rasulullah SAW. Wajib setiap mukmin menolongnya atau baginda bersabda, Wajib setiap orang mukmin menerimanya." (Abu Daud, an-NasaâI, al-Baihaqi & al-Husin)

14. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Sesungguhnya ketika zahir al-Mahdi, menyerulah malaikat dari atas kepalanya, Ini al-Mahdi Khalifah Allah, maka kamu ikutilah dia. Seluruh manusia tunduk dan patuh kepadanya dan mengecapi kasih sayangnya. Sesungguhnya al-Mahdi itu menguasai Timur dan Barat. Dan adalah yang berbaiat kepadanya di antara Rukun dan Maqam, yang pertama adalah sejumlah pasukan Badar (314 orang). Kemudian Abdal dari Syam mendatanginya, dikuti oleh Nujabak dari Mesir dan Asoib dari Timur. Setelah itu Allah mengutuskan kepadanya tentera dari Khurasan dengan Panji-panji Hitam dan mereka menuju ke Syam. Allah menutus kepadanya 3,000 malaikat dan ahli (Ashabul) Kahfi adalah antara pembantunya."

15. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Sesiapa yang berpegang (teguh) dengan sunnahku ketika umatku sedang rosak, baginya seratus pahala syahid." (Iman Muslim)

16. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Ada tiga orang adik-beradik yang saling berperang sesama sendiri berhampiran tempat simpanan Kaabah kamu. Ketiga-tiganya adalah anak seorang khalifah. Kemudian tidak seorang pun antara mereka yang menjadi khalifah. Kemudian muncullah Bendera Hitam dari arah Timur, lalu mereka membunuh kamu semua (yang sedang berperang saudara itu) dengan satu pembunuhan yang (sangat banyak) belum pernah berlaku sebelum ini oleh sesuatu kaum. Kemudia baginda menuturkan sesuatu yang tidak saya ingatinya. Kemudian baginda bersabda, apabila kamu semua melihatnya, hendaklah berbaiat kepadanya walaupun terpaksa merangkak di atas salji kerana dia adalah Khalifah Allah, iaitu al-Mahdi." (Ibnu Majah)

17. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Akan ada orang-orang yang keluar dari sebelah Timur, lalu mereka mempersiapkan segala urusan untuk al-Mahdi, yakin pemerintahnya." (Ibnu Majah)

18. Sabda Nabi SAW yang maksudnya, "Apabila keluar Panji-panji Hitam dari arah Khurasan, tidak akan ada sesuatu apa pun yang dapat menolaknya hinggalah dipacakkan di Ilya." (At-Tarmizi)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 197: Rahsia 4 Peti Hitam

SBDJ Siri 197: Rahsia 4 Peti Hitam

Pada mulanya, saya tidak yakin Syam boleh menunaikan kata-katanya itu. "Boleh kami buat," ulang datuk yang meragui kemampuan Syam. "Boleh pakcik," suaranya meninggi, penuh semangat. Saya senyum sinis, mana mungkin dia boleh melakukannya, bisik hati kecil saya sambil menatap batang tubuh Syam dari atas ke bawah berkali-kali.

Toyol jadi-jadian


"Sekarang pakcik."

"Iya, sekarang, jangan bertangguh," kata datuk.

Saya terpampan, Syam melaksanakan apa yang dikatanya. Dia berlari pantas atas simen hingga sampai ke bucu dapur rumah. Semasa Syam berlari (atas simen) ulat-ulat pemakan bangkai bermunculan di kiri kanan landasan simen.

Ulat-ulat pemakan bangkai yang melompat agak tinggi, jatuh atas permukaan landasan simen yang panas. Ulat-ulat itu menggelepar lalu mati.

Sambil berlari, Syam cuba dengan sedaya upaya mengelak dari memijak hangkai-bangkai ulat atas simen. Syam berpatah balik ke arah saya dan datuk.

Cukup pantas dia bergerak dan saya kagum dengan kemampuannya yang diluar dugaan. Tiba-tiba sahaja dia sudah terpacak dihadapan kami.

"Mari Pakcik." Syam memegang pergelangan tangan kanan datuk.

"Ayuh," sahut datuk.

Dengan tenang datuk mengangkat kaki kanan, melangkah ke atas permukaan landasan simen. Saya lihat tanah dikiri kanan landasan simen berombak dan merkah.

Dari rekahan tanah itu, ulat-ulat pemakan bangkai menghulurkan kepala. Saya jadi cemas, berat rasa kaki mahu melangkah.

"Mari Tamar," Datuk segera menarik tangan kanan, saya tidak ada pilihan dan terpaksa patuh.

Atas nasihat datuk, kami terpaksa berlari sambil melompat, agar tidak terkena ulat-ulat yang cuba melompat ke atas landasan simen.

Saya merasa lega kerana ulat-ulat pemakan bangkai, mati serta merta bila jatuh atas simen yang panas. Makin hampir ke kawasan rumah, rekahan tanah makin menjadi-jadi.

Kepala ulat pemakan bangkai dengan mata yang tertonjol tersembul dalam jumlah beratus-ribu dari rekahan tanah lalu bersatu, berkeliaran dalam barisan yang rapat. Bergerak dan meloncat mengikut bunyi atau irama hentakkan kaki kami bertiga.

Akhirnya, kami sampai ke kawasan rumah yang bahagian bawah serta bahagian kaki limanya diturap dengan simen. Mungkin ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai tidak mampu menolak simen menyebabkan kumpulan ulat dan anai-anai tidak kelihatan di kawasan tersebut.

Sebelum memasuki rumah besar, saya dan datuk mengelilinginya terlebih dahulu.

Gegendang telinga menangkap bunyi berdenggung macam bunyi nyamuk, suara yang berdenggung halus itu datang dari dinding, lantai, gelegar dan tiang rumah. Semuanya itu membuat saya jadi resah.

"Jangan cakap apa-apa, Tamar." Itu yang datuk bisikan ke telinga, saya anggukan kepala sambil terus bergerak dari bucu ke bucu rumah.

Syam yang mengekori di belakang, tidak bersuara sepatah apa pun. Secara mengejut datuk berhenti melangkah, saya hampir-hampir saja melangar belakang datuk, begitu juga dengan Syam.

"Kenapa Tuk?"

"Lihat tu."

Mulut saya separuh terbuka dengan sepasang biji mata terbeliak melihat ke arah rekahan simen yang memanjang bermula dari hujung dapur kerana rekahan itu terlalu kecil dan sempit, saya yakin ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai tidak akan bermunculan disitu.

"Tak mungkin ulat-ulat itu boleh keluar dari sini."

Rupa-rupanya datuk sependapat dengan saya dan rekahan itu tidak kami pedulikan. Kami meneruskan pemeriksaan tetapi, kali ini kami berpecah.

Datuk menuju ke arah dapur, saya ke arah tangga tengah dan Syam ke tangga depan. Semuanya melangkah tunduk dengan berhati-hati merenung kepermukaan simen.

Dalam bahang panas yang kian menyengat itu, badan kami terus berpeluh.

"Pakcik mari lihat ini," jerit Syam yang berdiri kaku didepan tangga depan.

Tanpa mahu menanti arahan dari datuk, saya segera mendekati Syam. Tidak lama kemudian, datuk bergabung dengan saya dan Syam.

"Kenapa Syam?" Tanya datuk.

"Kita naik ke rumah," kata Syam.

"Naik....," datuk tidak meneruskan kata-kata. Dia gosok hujung hidung berkali-kali, macam ada sesuatu yang difikirkannya.

Angin yang bertiup mengurangkan rasa panas yang mengigit tubuh.

"Kita selamat, binatang laknat tu, tak ada di sini," Syam memberikan semangat dan bunyi berdenggung hilang secara tiba-tba saja. Datuk tidak memperlihatkan sebarang reaksi.

"Ayuh pakcik." Syam terus mendesak dan menarik tangan datuk.

Sepasang matanya tertumbuk ke wajah datuk. Dalam hati, saya mengharapkan datuk tidak akan memenuhi permintaan Syam.

"Iya Syam, kita naik sekarang." Datuk bagaikan dipukau tanpa mengucapkan sesuatu, tanpa toleh kiri kanan, datuk pun memijak mata tangga.

Saya gigit bibir sambil mengharapkan supaya tidak terjadi sebarang keburukan.

PIJAK

Saya terpaksa mengikuti kerenah mereka (datuk dan Syam). Dengan penuh debar mata tangga saya pijak dengan penuh hati-hati, saya menduga dalam kayu tangga itu penuh dengan anai-anai dan boleh patah atau relai bila dipijak.

Mata tangga pertama Mata tangga kedua dan mata tangga ketiga, selamat dipijak dan dilangkah. Tidak ada bahaya menghalang, tidak ada kecelakaan yang terjadi saya bertambah yakin dan berani melangkah dan memijak tangga hingga mata terakhir.

Bila melangkah masuk ke ruang rumah, baru hati saya benar-benar tenang. Semua kayu dan papan yang digunakan memang jenis yang baik, kerawang dan ukiran yang terdapat pada setiap pintu bilik memang menarik, penuh dengan ukiran tradisional.

Syam segera menjenguk setiap bilik dalam rumah. Datuk pula memeriksa dan menjentik jentik tiang seri, setiap kali dijentik terdengar suara seperti denggung nyamuk.

Saya bergerak dari jendela ke jendela meninjau-ninjau keadaaan pemandangan diluar. Cara kebetulan ditingkap terakhir, saya terus meninjau ke bawah ke arah kaki lima dekat sudut bahagian dapur.

Saya tersentak, dua tiga kali kelopak mata saya gosok, tidak begitu yakin dengan apa yang terpamer di depan mata. Ada sesuatu yang keluar dan bergerak dalam jumlah yang banyak dari rekahan simen.

Kerana ingin mengetahui lebih terperinci tentang benda yang bergerak itu, saya pun tidak mengalih pandangan ke arah lain.

"Allahhu akhbar." Terpancut dari kelopak bibir, degup jantung, bertambah kencang. Benda hitam halus yang bergerak itu adalah kepala ulat pemakan bangkai.

Rekahan yang kecil menjadi lebar. Ulat-ulat pemakan bangkai itu sudah berhasil meluluskan diri dari lubang (rekahan) simen lalu bergerak menuju ke arah tiang, ke arah tangga tengah dalam jumlah yang banyak hinggakan permukaan simen bagaikan dibalut dengan ulat-ulat tersebut.

Tidak lama kemudian, muncul pula barisan anai-anai, bergerak bagaikan riak air. Semuanya menuju ke arah tiang dan tangga tengah.

"Oh Tuhan, kenapa semuanya ini berlaku didepan mata saya," batin saya mula dihimpit ketakutan.

"Mungkin ada maksud tertentu dari semua kejadian ini," oleh batin saya lagi.

Rasa cemas dan takut bergolak dalam diri, cukup sukar untuk dilukiskan dengan kata-kata.

"Pakcik." Pekik Syam dari ruang tengah.

Saya segera berlari ke arahnya dan saya dapati datuk sudah pun berada disisinya.

"Lihat tu." Jari telunjuk Syam mengarah ke dinding. Biji mata datuk dan saya tertumpu ke arah tersebut.

Apa yang datuk dan saya lihat sungguh mengejutkan. Berjuta-juta anai-anai dan ulat pemakan bangkai memanjang dinding bilik, memutih dan nampak sekata.

Ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai yang lemah berjatuhan dilantai. Wajah Syam cemas sekali. Datuk nampak tenang dan keresahan terus memukul tali gantung saya.

Entah apa yang mendorongnya, secara tiba-tiba Syam jadi tidak tentu arah. Sambil berlari dia memukul-mukul kepala dan dadanya, mengoyak-goyakkan baju yang dipakai.

"Syam, bawa bertenang." Datuk cuba mendamaikan perasaan Syam yang bercelaru.

Ternyata usaha datuk itu tidak berhasil, tidak diendahkan oleh Syam. Dia terus mengubah haluan, kali ini Syam berlari ke arah ruang dapur.

Ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai, tindih menindih memanjat dinding bilik. Mana yang jatuh atas lantai terus berlompatan seolah-olah berpesta ria.

"Bagaimana tuk?" Tanya saya.

"Bersabar Tamar, bilik ini agak istimewa keadaannya, kau lihat keadaan di dalamnya," bisik datuk pada saya.

"Iya," saya mengangguk.

Melihat keadaan atau susunan dalam bilik itu, saya segera meramalkan bilik yang dikuasai olah ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai ini, bukannya sebarang bilik, memang bilik istimewa.

Tetapi, siapa yang tinggal di dalamnya? Adakah Syam atau bekas isterinya? Timbul persoalan dalam hati kecil saya.

PETI

Saya lihat ada empat peti yang berukuran lebar sekitar dua kaki setengah dan panjangnya kira empat kaki.

Dicat dengan warna hitam dan terletak pada setiap sudut bilik, beralaskan dengan kain dua warna, separuh hitam dan separuh merah, bahagian yang bersambung dijahit dengan benang besar berwarna kuning. Setiap peti dikunci dengan mangga tembaga besar.

Di tengah-tengah bilik terdapat sebuah pangkin (tempat tidur) yang dibuat daripada kain belacu. Ada dua biji bantal biasa dan sebiji bantal panjang yang sarungnya dari kain dua warna, hitam dan merah.

Terdapat dua dupa yang terletak di kaki pangkin di bahagian kepala bersama dengan arang. Di tepi dupa terdapat beberapa ketul kemenyan putih dan biasa.

Saya merasa pelik, lantai dibawah pangkin tidak dihampiri oleh ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai. Begitu juga dengan lantai sekitar peti hitam.

Antara jelas dengan tidak, sayup-sayup terdengar suara perempuan merintis.

"Itu suara isteri saya," kata Syam.

Dia terus merempuh saya dan datuk, hampir saja saya mahu jatuh dibuatnya.

"Pelik perangainya," saya merunggut.

"Jaga mulut," kata datuk yang dapat menangkap rungutan saya itu.

Syam terus meluru dan masuk ke bilik sebelah kanan. Tetapi, dia bagaikan tercampak keluar, macam ada sesuatu yang menendangnya dari dalam. Dia jatuh terduduk atas lantai.

Cepat-cepat Syam bangun lalu berdiri di muka bilik dengan kedua tangannya memegang jenang pintu.

Saya dan datuk segera mendekatinya. Datuk di kanan, manakala saya disebelah kiri.

"Pakcik dengarsuara isteri saya." Datuk dan saya berpandangan.

"Itu suara isteri saya," ulangnya lagi.

Bila sepasang matanya menghala ke wajah saya, cepat-cepat saya alihkan pandangan ke arah jendela yang terdedah. Ternyata diluar panas terlalu terik, tidak ada angin yang bertiup. Dedaun nampak kaku dalam sinaran matahari yang menyengat.

"Dengar suaranya pakcik," kali ini sepasang mata Syam tertumpu ke wajah datuk.

Saya nampak datuk mengangguk lemah. Memang saya mendengar suara perempuan merintih, tenggelam timbul bersama suara anai-anai dan ulat pemakan bangkai.

"Ulat-ulat dan anai-anai memakan daging isteri saya pakcik. Tolong dia pakcik," Syam merayu bersama isak tangis memanjang.

Tubuhnya menggeletar. Matanya merenung tajam ke arah anai-anai dan ulat-ulat pemakan bangkai yang merayap didinding bilik.

"Bertenang Syam, kami tak nampak apa-apa, melainkan ulat dan anai-anai memakan dan memanjat papan dinding," kata datuk.

"Huuuhhhhhh..." Syam terus mengeluh, bersama sedu, bersama air mata.

Ulat-ulat dan anai-anai yangmerayap didinding menimbulkan bunyi suara berdecut decut yang halus dan nyaring membuat saya menggigil.

"Isteri saya lari ke bilik sebelah."

Syam segera menerkam ke bilik yang menempatkan ranjang dan peti kayu yang bercat hitam. Kali ini, dia tidak terus masuk, sekadar berdiri dimuka pintu. Saya dan datuk mengekorinya.

"Ini bilik isteri saya." Tanpa diminta Syam memberi penerangan.

"Bilik untuk apa?" Secara tidak sengaja saya meningkah.

"Untuk beramal, di malam-malam tertentu dia bersemadi disini." Keterangan yang datuk ungkapkan membuat datuk menarik nafas panjang.

Saya kedutkan dahi sambil merenung ke dalam bilik. Keadaannya, tidak banyak berubah dari tadi. Ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai masih berkeliaran. Malah ada yang sudah menghampiri lantai dibawah pangkin dan peti kayu hitam.

Empat penjuru dinding bilik terus dikuasai ulat-ulat pemakan mayat dan anai-anai. Apa yang berlaku di depan mata menimbulkan seribu persoalan dalam kepala saya.

BANYAK

Dari manakah datangnya binatang yang menjijikkan ini? Pertanyaan ini, bagaikan tidak mahu lekang dari dalam kepala saya.

Mungkin sudah berjuta-juta ulat dan anai-anai mati akibat tindih menindih dan berebut-rebut untuk memamah papan dinding. Namun jumlahnya, tidak juga berkurangan malah bertambah banyak.

"Pakcik tak dapat menolong kamu Syam."

Sepasang anak mata datuk tertumbuk ke wajah Syam yang nampak panik dan kecewa. Dia melagakan gigi atasnya dengan gigi bawah berkali-kali.

"Habis, pakcik mahu biarkan saya begini? Pakcik mahu membiarkan mata saya digigit ulat dan anai-anai ganjil ni."

Kata-kala yang Syam luahkan membuat datuk resah, keningnya berkedut, sekali sekala dia mengaru hujung dagu tidak gatal. Datuk bagaikan berada di dalam dilema.

"Jadi pakcik mahu balik sekarang?" Menyusul pertanyaan dari Syam, sinar matanya nampak layu.

"Begitulah kira-kiranya," jawab datuk dalam keriuhan suara ulat pemakan bangkai dan anai-anai mengunyah papan dinding.

Saya tersentak, kain dua warna penutup keempat-empat peti kayu hitam bergerak sendiri macam ada tangan halus yang menariknya.

Kain penutup terbang dari penjuru ke penjuru dinding dan akhirnya bercantum bergulung-gulung menjadi seketul tanah merah seperti kubur lalu jatuh ditengah-tengah pangkin. Terus diam disitu.

Dan tanpa berkata sesuatu Syam terus berlari ke arah dapur. Kemudian datang ke arah kami dengan sebilah parang ditangan kanan. Tangan kirinya membawa sebotol penuh minyak tanah bersama sekotak mancis.

Sudah tentu perbuatan Syam itu membuat saya jadi resah dan datuk bertambah binggung. Tetapi, kami tidak memberikan sebarang komentar terhadap tindak tanduknya itu.

"Tak mengapa, kalau pakcik nak balik, baliklah. Biar saya bunuh ulat dan anai-anai ni. Saya nak bakar sampai mampus, mana yang hidup saya nak cincang," tutur Syam, nada suaranya keras.

Dia pun menyiram minyak tanah ke atas lantai bilik, semasa mancis api dinyalakan, datuk segera menepis sehingga anak mancis bertaburan dilantai, manakala kotak mancis terpelanting ke tengah bilik.

Dalam sekelip mata, kotak mancis terus dikerumuni anai-anai. Tidak sampai lima minit, kotak mancis hancur lebur dimamah anai-anai.

"Perbuatan kamu membahayakan diri sendiri, Syam."

"Saya tak boleh tahan lagi pakcik, biar saya bunuh ulat dan anai-anai laknat ini."

"Sabar Syam." Sebaik saja Syam mengakhiri kata-kata, dia mengadu kepalanya terasa pening.

Syam segera dipimpin ke suatu sudut rumah yang belum didatangi ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai. Syam segera didudukkan di situ, datuk pun memulakan rawatan singkatnya.

Sebaik sahaja telapak tangan kiri datuk menjamah batang leher Syam, terdengar bunyi dentuman yang kuat dari bilik yang menempatkan empat peti hitam.

Syam yang kurang sihat segera bingkas lalu menerpa ke arah bilik yang berdentum. Saya dan datuk turut bergerak ke arah yang sama.

Sungguh mengejutkan, dinding bilik roboh sendiri. Seluruh ruang bilik dikuasai asap nipis bersama bau kemenyan yang semerbak. Kami bertiga tergamam.

Syam yang tadi mengadu sakit kepala nampak sihat dan bertenaga sekali. Bila bau kemenyan dan asap hilang, segala-galanya menjadi jelas.

Papan dinding yang roboh menghempap semua peti hitam hingga pecah berderai. Saya menarik nafas dalam-dalam.

"Emas," kata saya perlahan-lahan.

Dan biji mata saya menatap barang-barang kemas yang bertaburan atas lantai, begitu juga dengan kain baju dan barang-barang yang lain.

Semua barang-barang tersebut terus dikerumuni anai-anai serta ulat pemakan bangkai.

"Itu harta bekas isteri saya pakcik, mesti diselamatkan sebelum hancur," Syam segera mengangkat kaki kanannya.

"Jangan Syam," tegah datuk sambil memegang bahu Syam yang kelihatan tidak keruan. Syam patuh dengan permintaan datuk.

"Semuanya punah," Syam bagaikan mengeluh.

"Sabar," datuk terus memujuk.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 197/284

BACA: SBDJ Siri 196: Dikejar Ulat Bangkai
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, May 07, 2024

Sejarah Ringkas Siapa Yahudi, Israel dan Zionis

Sejarah Ringkas Siapa Yahudi, Israel dan Zionis

Kita semua perlu tahu asal usul bangsa Yahudi agar tidak terus tertipu dengan penyebaran berita yang cuba menimbus kebenaran dan menutup kezaliman mereka. Bagai melepaskan anjing tersepit, sedikit demi sedikit tanah Palestin di rampas dan kini rakyat Palestin berada di penjara terbesar dunia menanti ajal datang menjemput.

Yahudi, Israel dan Zionis

Dan sebut sahaja nama Yahudi, pasti kita tergambar kekejaman yang tidak terjangkau oleh akal ke atas rakyat Palestin. Sudah lupakah mereka suatu ketika dahulu merayu perlindungan di tanah Palestin akibat kekejaman Jerman?

Asal usul Yahudi

Pada mulanya, bumi Palestin diduduki oleh kabilah Arab yang berhijrah dari Semenanjung Tanah Arab ke arah utara kerana kemarau teruk.

Kabilah ini dikenali dengan nama Phoenicia kira-kira 3000 Sebelum Masihi (SM), kemudian beberapa kabilah lain seperti Kan'aan mendiami kawasan ini lalu ia dikenali sebagai bumi Kan'aan sekitar tahun 2500 SM.

Nabi Ibrahim dan pengikutnya adalah antara kabilah yang mengembara dan menetap di Kan'aan ini.

Kisah perpindahan ini dirakamkan dalam surah al-Anbiyak ayat 71 yang bermaksud, "Dan Kami selamatkan Ibrahim dan Luth ke sebuah negeri yang Kami berkatinya untuk sekalian manusia."

Kelompok ini dan seluruh keturunannya dinamakan Ibrani.

Nabi Ibrahim mempunyai dua orang anak iaitu Ismail dan Ishak.

Ismail merupakan putera sulung hasil perkahwinan dengan Siti Hajar manakala Ishak anak hasil perkahwinan yang pertama dengan Siti Sarah.

Dari keturunan Ismail inilah lahirnya bangsa Arab yang digelar Arab Musta'ribah. Ishak dilantik untuk memimpin kaum Ibrani selepas kewafatan ayahnya.

Setelah kewafatan Ishak, tanggungjawab memimpin kaum Ibrani itu diambil oleh anaknya, Yaakub.

Nabi Yaakub mempunyai 12 orang anak dari empat orang isteri. Beliau digelar Israil iaitu hamba atau pejuang Allah. Keturunannya digelar Bani Israil atau anak-anak Yaakob. Keturunannya juga disebut dengan bangsa Yahudi merujuk kepada salah seorang anaknya iaitu Yahuda.

Bani Israil sebelum memasuki Palestin

Yaakub dan keturunannya mendiami bumi Kan'aan (Palestin). Oleh kerana terjadi kemarau yang panjang, mereka telah berpindah dari Palestin ke Mesir atas anjuran salah seorang anaknya yang menjadi pembesar Mesir iaitu Nabi Yusuf.

Di Mesir, mereka hidup dengan baik bersama rakyat tempatan namun, setelah berkembangnya Bani Israil, mereka tidak disukai dan dimusuhi oleh penduduk Mesir.

Ini kerana, sebahagian besar Bani Israil bersikap sombong dan berbangga dengan status mereka sebagai bangsa pilihan. Kemuncaknya, Firaun selaku raja Mesir mengeluarkan perintah agar dibunuh anak-anak lelaki Bani Israil sehinggalah lahirnya Nabi Musa.

Oleh kerana Bani Israil menanggung ujian yang berat, Nabi Musa menyelamatkan kaumnya dengan membawa mereka keluar dari Mesir menuju ke Palestin.

Setelah terselamat dan ditunjukkan pelbagai mukjizat, kaumnya tetap ingkar arahan Nabi Musa untuk masuk ke Palestin. Mereka tidak mahu berjuang sebaliknya ingin masuk dengan mudah tanpa perang.

Disebabkan itu, Allah menghukum Bani Israil dengan dibiarkan tersesat di lembah sekitar Sinai selama 40 tahun dan tempat itu digelar sebagai Lembah Tih.

Setelah wafatnya Nabi Musa sekitar 1200 SM, tanggungjawab kepimpinan diserahkan kepada Yusya' bin Nun atau disebut Joshua bagi orang Yahudi. Beratus-ratus tahun selepas itu, barulah orang Bani Israil berjaya memasuki bumi Palestin.

Bani Israil selepas memasuki Palestin

Setelah berjaya menguasai sebahagian bumi Palestin, Yusya' bin Nun telah membahagikan kawasan tersebut kepada 12 bahagian sesuai dengan 12 puak yang ada ketika itu.

Selepas itu, kepimpinan Bani Israil dipegang oleh Thalut sekitar tahun 1100 SM. Kerajaan mereka ketika itu berperang dengan Raja Jalut atau Goliath.

Dalam satu peperangan, Jalut mati dibunuh seorang tentera bawahan bernama Daud dan akhirnya diangkat menjadi raja Bani Israil yang agung.

Ketika pemerintahan Nabi Daud dan anaknya Sulaiman inilah telah dibina Haikal Sulaiman, sebuah tempat ibadat suci mereka.

Orang Yahudi mendakwa di bawah Masjidil Aqsa terdapat Haikal Sulaiman yang hilang.

Menurut sejarah, kerajaan Bani Israil di Palestin hancur setelah ditewaskan oleh tentera Babylon di bawah Raja Nebukhadnesar.

Kemuncak Yahudi dihalau keluar dari bumi Palestin ialah setelah mereka melakukan pemberontakan pada zaman pemerintahan Rom sekitar tahun 70 Masihi. Mereka lari bertebaran di serata dunia dan hidup sebagai komuniti kecil tanpa negara sendiri.

Yahudi Itu zionis?

Adakah Yahudi itu semuanya zionis dan sebaliknya? Zionis itu pada asalnya satu gerakan keagamaan Yahudi sebelum berubah menjadi gerakan politik.

Ia berkait dengan konsep Messiah atau penyelamat yang akan datang akhir zaman untuk menyelamatkan mereka.

Yahudi di bawah Theodor Herzl (1860-1904) telah menubuhkan Pertubuhan Zionis Sedunia. Maka bermulalah Zionisme sebagai sebuah gerakan politik.

Theodor Herzl dikatakan sudah berputus asa dengan keadaan Eropah yang memusuhi bangsa Yahudi. Satu-satunya jalan penyelesaian kepada masalah tersebut adalah dengan kelahiran sebuah negara Israel.

Yahudi yang ada sekarang bukan semuanya zionis. Bahkan banyak pertubuhan dan mazhab dalam Yahudi yang tidak bersetuju dengannya.

Ia sudah berubah dari pertubuhan agama kepada gerakan politik yang bermatlamat untuk mengembalikan semangat kaum Yahudi yang tersebar ke seluruh pelosok dunia ke Palestin iaitu di bukit Zion dan sekitarnya.

MENANTI 'PENYELAMAT' PALSU

Dajjal seperti juga Yakjuj dan Makjuj, mempunyai kaitan yang rapat dengan Yahudi dan Kerajaan Israel di Palestin. Orang Yahudi mempunyai kepercayaan bahawa pada suatu hari nanti, mereka akan dipimpin untuk memasuki Baitulmuqaddis di Palestin dan mendirikan kerajaan mereka sendiri.

Siapakah yang akan memimpin mereka ketika itu? Dialah "al-Masih" seperti yang didakwa dan dipercayai oleh mereka.

PENENTANGAN AHLI KITAB YAHUDI SEBENAR

Pembentukan negara Zionis Israel sekarang ditentang oleh segolongan orang Yahudi yang berpegang teguh kepada ajaran kitab Taurat yang sebenar.

Mereka beranggapan bahawa penubuhan negara Zionis Israel sekarang menyalahi apa yang diterangkan dalam kitab Taurat. Orang Yahudi tidak sepatutnya mendirikan negara Yahudi Israel sekarang.

Mereka tidak berhak untuk memasuki Baitulmuqaddis sekarang kerana "al-Masih" belum muncul untuk memimpin mereka semua memasukinya.

Orang Yahudi yang menggelar diri mereka Kumpulan Yahudi Ortodoks serta Naturei Karta (www.nkusa.org) ini menganggap bahawa apa yang dilakukan oleh Orang Yahudi di bumi Israel sekarang adalah salah.

Tangan mereka berlumuran dengan darah. Mereka banyak melakukan dosa dan melanggar segala ajaran yang terdapat dalam kitab Taurat. Oleh itu, mereka tidak berhak memasuki Baitulmuqaddis!

Hanya Orang Yahudi yang sudah bertaubat dan kembali berpegang kepada ajaran Allah yang diturunkan kepada Nabi Musa, berhak memasuki kota Baitulmuqaddis dengan dipimpin oleh "al-Masih".

Orang Yahudi sememangnya menanti-nantikan kedatangan "al-Masih". Tetapi adakah "al-Masih" itu adalah Nabi Isa, sedangkan orang Yahudi juga seperti orang Kristian mempercayai bahawa Nabi Isa telah mati disalib.

Dalam kitab Talmud yang menjadi pegangan orang Yahudi moden, Nabi Isa tidak pernah mendapat tempat di hati mereka. Baginda dicemuh sebagai anak haram. Begitu juga dengan ibu-nya Maryam yang digelar oleh orang Yahudi sebagai wanita penzina.

Jadi, "al-Masih" yang dinantikan oleh orang Yahudi itu sebenarnya adalah Dajjal yang menyamar sebagai al-Masih, bertujuan untuk menyesatkan orang yang beriman dan mempercayai bahawa Nabi Isa a.s. belum wafat dan akan turun semula pada akhir zaman.

Wallahu a'lam.

SBDJ Siri 196: Dikejar Ulat Bangkai

SBDJ Siri 196: Dikejar Ulat Bangkai

Bagi memastikan apa yang berada di dalam perut bumi, datuk segera mengambil sepotong kayu yang panjangnya kira-kira tiga kaki. Pada pengamatan saya, kayu tersebut adalah dahan pokok manggis yang patah. Dengan dahan kayu manggis itu juga, datuk menekan permukaan tanah yang berombak.

Toyol jadi-jadian


Sungguh mengejutkan, dalam sekelip mata saja dahan manggis yang dibenamkan terus hancur. Bagi menggelakkan kehancuran itu melarat ke bahagian atas, datuk terus menyentap bahagian dahan yang terselamat.

Dari lubang kayu yang dicabut, muncul beratus ribu anai-anai dan ulat pemakan bangkai.

"Pelik," datuk merunggut.

"Memang pelik tuk," secara tidak sengaja saya bersuara.

"Humm..." datuk seperti mengeluh.

Bahagian kayu yang berada ditangan segera dilemparkan ke arah kumpulan anai-anai dan ulat pemakan bangkai yang keluar membuak-buak dari lubang.

Merayap dipermukaan bumi, kemudian berebut-rebut masuk ke lubang, saling tindih-menindih, gigit-mengigit. Akibatnya, ada yang mati.

Sebaik saja puntung kayu yang dilemparkan oleh datuk jatuh atas tanah milik bekas isteri Syam, ulat pemakan mayat dan anai-anai membuak-huak keluar dari lubang, berkejaran menuju ke arah puntung kayu yang tersadai lalu menghurungnya.

Dalam sekelip mata, puntung kayu itu hilang tanpa kesan. Dan anai-anai serta ulat pemakan mayat kembali berebut-rebut masuk ke lubang.

Semua yang terjadi didepan mata, memang tidak masuk di akal. Sukar untuk dipercayai oleh orang lain.

"Lihat saja Tamar, jaga mulut jangan celupar," datuk mengingatkan saya sambil merenung ke tanah yang kembali berombak, beralur memanjang menuju ke arah rumah arwah isteri Syam.

Bunyi anai-anai dan ulat pemakan bangkai jelas kedengaran seperti desiran angin. Adakalanya, memekakkan anak telinga.

"Belum pernah aku melihat kejadian seperti ini," terkeluar ungkapan dari kelopak bibir datuk, matanya tidak berkedip melihat tanah yang beralun dan berombak.

KERING

Semua pepokok yang tumbuh di kawasan tanah tersebut kelihatan mati kekeringan. Dedaun yang mati kering berguguran, kulit pohon merkah dan terkoyak.

Setiap kali dahan atau ranting yang kering jatuh ke bumi terus hilang dimamah anai-anai dan ulat pemakan bangkai.

Saya yakin, sama ada di rempuh angin atau tidak pokok-pokok yang mati kekeringan itu akan rebah ke bumi untuk habuan ulat pemakan bangkai dan anai-anai dibumi.

"Sejak bila keadaan jadi begini?" Sepasang anak mata datuk meraut tajam ke wajah Syam.

Sebelum meluahkan jawapan, Syam mengedutkan dahi seolah-olah mengingati sesuatu ditengah-tengah pancaran matahari yang terik.

"Selepas berpisah dengan pakcik di jalan besar, saya terus balik. Tapi, sepanjang malam tu, saya tak dapat tidur."

"Kenapa pula?" Soal datuk.

"Pintu bilik saya diketuk orang bertalu-talu, bila dibuka tak ada apa-apa. Perkara macam tu berlaku setiap malam hingga ke subuh."

"Selalunya, pukul berapa pintu bilik kamu mula diketuk?"

"Kira-kira pukul sebelas malam, pada kebiasaannya ada tanda-tanda dulu."

"Apa tanda-tandanya," datuk memintas.

"Saya terdengar suara anjing menyalak panjang. Sayup-sayup. Kemudian saya terasa seram, bulu roma saya tegak dan saya tercium bau hapak, macam bau bangkai kering. Bila semuanya hilang, barulah pintu bilik saya diketuk. Bila gangguan itu hilang..." Syam tidak meneruskan ceritanya.

Syam terus mengigit ibu jari kanan dan menghisapnya macam budak kecil menghisap puting. Biji matanya terbeliak, bila pokok durian dibucu sempadan yang mati kering, cara mendadak tumbang ke bumi.

Dalam sekelip mata, anai-anai dan ulat pemakan bangkai menghurungi batang durian hingga hilang tanpa meninggalkan sebarang bekas.

Sesungguhnya, apa yang berlaku membuat kami (datuk, saya dan Syam) terpegun kehairanan. Perlahan-lahan datuk gelengkan kepala.

Saya tidak dapat menangkap maksud dari gelenggan kepada datuk itu, sama ada bermaksud kagum atau menafikan kejadian yang dilihatnya.

"Pedulikan apa yang terjadi, sambung cerita kamu yang terputus tadi, Syam," perlahan sekali nada suara datuk.

Tetapi, senyuman untuk Syam bertali arus dikelopak bibirnya.

"Bila gangguan itu hilang, saya terdengar macam ada sejenis binatang mengigit kayu yang ada di dalam rumah seperti papan dinding, kayu tingkap, palang pintu. Pendek kata mana-mana alat-alat atau perkakas rumah yang dibuat dari kayu. Bila saya ketuk bahagian kayu yang dijangka ada binatang kecil, bunyi bising itu terus hilang."

"Masa bila bunyi bising dalam kayu itu betul-betul berhenti?" Tanya datuk.

"Bila matahari terbit."

"Kamu tidak cuba mengesannya, Syam."

"Tidak pula, kerana saya tak perlu. Sebabnya, semua kayu dalam rumah nampak teguh dan utuh."

MANGSA

"Habis macamana, secara tiba-tiba saja kamu datang mencari aku dengan Haji Basilam?" Pertanyaan yang membuatkan Syam membeliakkan biji mata ke arah datuk.

Saya tumpukan seluruh perhatian ke arah Syam kerana saya mahu mendengar apa jawapan yang akan diberikan oleh Syam terhadap pertanyaan yang diajukan oleh datuk padanya sebentar tadi.

Peluh yang meleleh dihujung kening kiri, segera dikesatnya dengan jari telunjuk. Panas semakin terik dan angin kering yang bertiup menerbangkan dedaun kering.

Burung helang mula terbang diangkasa sambil berbunyi mengintai mangsa yang terdiri dari tikus atau anak ayam.

"Pada mulanya, saya ambil sikap tunggu dan lihat. Saya tidak mahu menyusahkan pakcik. Saya mula pada pakcik dengan kejadian ditepi jalan besar," Syam gosok pangkal telinga.

"Teruskan," desak datuk.

"Bila saya nak buka reban ayam, saya lihat semua ayam peliharaan arwah isteri saya mati, padahal sebelum itu semua ayam sihat segar," sambung Syam lagi.

Saya kira, cerita selanjut dari Syam pasti menarik dan memikat. Sudah sewajarnya, saya menumpukan perhatian pada diri Syam dan datuk, demikian saya merumuskan dalam hati kecil.

KERING

Angin kering yang tadi bertiup agak lemah kini bertukar menjadi agak kencang. Rerumput yang kering berterbangan diudara dan dedebu bergerak bebas.

Suara helang kian gamat di angkasa, sesekali menjunam ke bumi menyambar mangsa. Tidak dinafikan, angin kencang memberikan rasa sejuk pada diri saya.

"Kamu tak siasat, kamu tak cari puncanya Syam?" Sepasang anak mata datuk tertumpu ke arah sepasang mata milik Syam.

"Saya siasat pakcik."

"Apa puncanya?"

"Saya lihat beribu-ribu ulat dalam reban."

"Dari mana ulat-ulat itu datang?" Soal datuk.

"Ulat-ulat itu keluar dari dalam tanah. Saya tengok dengan mata kepala saya sendiri ulat-ulat itu menghurung ayam yang masih bernyawa. Ulat-ulat itu masuk ke dalam badan ayam melalui dubur, telinga, mulut. Dalam masa beberapa saat saja seekor ayam lenyap dari pandangan, bulunya juga tidak kelihatan."

"Dahsyatnya serangan ulat itu, berapa jumlah ayam ada dalam reban tu, Syam?" sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya, datuk mengemukakan pertanyaan pada Syam.

Syam mengaru-garu batang lehemya beberapa kali sambil merenung ke arah bucu sempadan, mata berkedip dan keningnya kelihatan berkedut dan bergaris. Agaknya, dia cuba mengingati jumlah ayam peliharaan arwah isterinya.

"Kalau tak silap saya, jumlah ayam dalam reban tu lebih dari enam puluh ekor," mendadak saja Syam bersuara.

"Semuanya habis dimakan ulat?"

"Iya pakcik, tidak sampai satu jam semuanya ranap hinggakan sehelai bulu pun tak tinggal. Badan ulat yang sudah kekenyangan itu nampak kemerah-merahan bila kena cahaya matahari. Ulat-ulat itu terus masuk ke dalam tanah. Besar ini badannya," Syam terus menegakkan jari kelingkingnya. Diwajahnnya, tergambar rasa jijik dan ngeri yang amat sangat.

Saya dapat membayangkan bagaimana rupa atau bentuk ulat yang sudah kenyang. Tidak jauh bezanya dengan lintah atau pacat yang sudah buncit dengan darah, sukar untuk membawa badan dengan pantas, bergerak dalam keadaan mengisut atau berguling-guling dengan ekor terkedik-kedik macam ekor babi.

Hodoh rupanya dan mengelikan, boleh membuat tekak menjadi loya. Kalau tidak tahan boleh muntah dibuatnya.

"Bala apa yang menimpa saya pakcik," Syam bersuara minta simpati.

Tidak ada jawapan atau pertanyaan susulan dari datuk. Dia asyik termenung saja. Barangkali ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepalanya.

"Saya takut pakcik," secara mengejut Syam bersuara.

Anehnya, kata-kata itu tidak diteruskan, sebaliknya dia menelan air liur berkali-kali.

"Apa yang kamu takutkan?" saya memberanikan diri mengambil alih tugas datuk untuk menyoal Syam.

Saya tidak peduli, sama ada perbuatan itu direstui oleh datuk atau sebaliknya. Pokoknya, saya tidak mahu Syam kerap sangat berhenti, semasa bercerita. Dia harus meneruskan ceritanya hingga tamat.

"Bila semua ulat-ulat masuk ke dalam tanah, saya jadi binggung kerana lantai, dinding, tiang, bumbung reban dipenuhi dengan anai-anai yang bentuknya agak berbeza dengan anai-anai biasa, badannya sebesar anak mancis muncungnya macam muncung belalang. Suaranya macam kumbang kayu. Tidak sampai sepuluh minit, seluruh reban hancur hilang dari pandangan saya, tidak ada sebarang kesan atau tanda yang dikawasan itu pernah didirikan reban ayam," cukup lancar Syam bercakap.

Dan dia berjaya menarik perhatian datuk.

"Kerana kamu tidak tahu, apa yang harus kamu lakukan, jadi kamu cari aku dan Haji Basilam."

"Iya pakcik," Syam anggukkan kepala.

"Macamana kamu memijak tanah yang berombak ni?" Tanya datuk.

"Semasa saya meninggalkan kawasan rumah ni, keadaan tanah macam biasa, tidak macam ini. Cuma saya terdengar bunyi berdengggung halus dan nyaring, macam bunyi nyamuk di setiap sudut tanah milik arwah isteri saya." Syam tersedak.

BANGKAI

Datuk menggelengkan kepala, kemudian merenung daun dan ranting pokok pauh. Angin yang bertiup menggugurkan daun pauh yang tua.

Dan saya mula merasa resah serta bosan yang berpanjangan dalam menghadapi masalah yang kira tiada penghujungnya.

"Kita balik saja, tuk."

"Jangan pergi pakcik, tolonglah saya," Syam merayu dengan wajah penuh kehibaan.

Datuk jadi serba salah.

"Kamu nak suruh aku buat apa, Sham?"

"Tolong selamat rumah dari anai-anai, selamatkan saya dari jadi korban ulat pemakan bangkai."

"Kalau kamu nak selamat dari semuanya ini, ikut aku ke Tanah Melayu."

"Tak mungkin pakcik," Syam gelengkan kepala.

Datuk termenung panjang. Dia berhadapan dengan masalah yang sulit. Dari gerak matanya, saya dapat menduga yang datuk memang berhasrat mahu melepaskan Syam dari masalah yang melingkari dirinya.

"Hidup mati saya mesti disini, itulah wasiat arwah isteri saya. Tolong selamatkan barang-barang bekas isteri saya," tambah Syam, kelopak matanya mula digenangi air jernih.

Tiba-tiba saja muncul rasa marah dan benci terhadap Syam. Rayuan dan permintaannya pada datuk memang berat. Kalau dipenuhi pasti membawa kecelakaan pada datuk.

Siapalah yang berani memperjudikan diri memijak tanah yang dibawahnya penuh anai-anai dan berjuta-juta ulat pemakan bangkai yang kehausan darah dan daging busuk.

"Apa yang ada dirumah bekas isteri kamu Syam?" Datuk sandarkan tubuh ke pohon pauh.

"Ada emas, ada berlian, mutiara dan intan permata disimpan dalam kotak-kotak khas, selain dari kain baju, wang ringgit. Arwah isteri berpesan supaya saya menjaga barang-barang tersebut dengan sebaik mungkin. Saya boleh menggunakannya bila saya susah."

"Berapa kotak emas berlian tu Syam?" Saya lihat Syam menggaru pangkal telinga kanannya. Dua tiga kali dia mundar mundir didepan datuk.

Mungkin ada keraguan dalam dirinya, kenapa datuk bertanya jumlah intan dan emas berlian peninggalan isterinya.

"Aku cuma nak tahu saja, bila tahu jumlahnya senanglah kita membuat perhitungan untuk membawa barang-barang itu keluar dari rumah," datuk menekan akar pauh dengan tumit kaki kanan.

"Banyak, lebih dari dua ratus kotak pakcik."

"Banyak tu."

"Iya pakcik," angguk Syam sambil matanya merenung ke arah tanah yang berombak.

Beberapa ekor ulat pemakan bangkai melompat-lompat dipermukaan tanah sebelum masuk ke perut bumi kembali.

"Macammana kita nak masuk ke rumah, kalau kita pijak tanah arwah isteri kamu, hancurlah tubuh badan kita, nanti kita tinggal nama saja Syam. Cuba kamu fikirkan, bagaimana caranya kita boleh sampai ke sana," ucap datuk dengan tenang.

"Iya, bagaimana caranya?" ulang Syam dalam nada suara yang amat lemah sekali.

Dia kembali berlegar-legar dihadapan datuk dan saya. Syam terus duduk, kedua belah kakinya dilunjurkan dan badan disandarkan ke pangkal perdu pauh. Sepasang kelopak matanya dirapatkan dan dahinya mula berkerut.

Datuk masih bersandar diperdu pokok pauh, mungkin dia mencari ketenangan. Sepasang tangan datuk memeluk tubuh dengan erat, kicau burung diranting pauh jelas kedengaran, matahari terus bersinar.

"Ada satu jalan selamat," pekik Syam sambil melompat kegirangan.

Saya dan datuk tercenggang dengan perubahan sikap Syam yang mendadak itu.

"Ikut saya pakcik," sambungnya lalu menarik tangan datuk sambil matanya merenung ke arah saya, seolah-olah memberitahu bahawa saya harus ikut serta.

"Ke mana Syam," ada keraguan bersarang dalam hati datuk.

"Ikut saja pakcik, ini jalan selamat untuk kita semua."

"Jangan banyak tapi lagi pakcik, kita ada jalan selamat. Cuma dengan cara ini saja pakcik boleh menolong saya, boleh menyelamatkan harta benda arwah isteri saya," cukup riang suara Syam.

SAMBIL

Sambil berlari Syam terus menarik tangan datuk menuju ke arah kawasan sempadan tanah. Sebaik saja sampai diperdu pisang nangka, Syam berhenti berlari.

"Kita mulakan dari sini," Jari telunjuk Syam menuding ke arah tanah yang diturap dengan simen.

Lebamya kira-kira dua kaki dan panjangnya bermula dari bahagian tanah orang lain dan berakhir dibahagian dapur bekas isteri Syam.

"Kamu ada jalan rahsia?" Tanya datuk.

"Tak ada jalan rahsia pakcik, ini simen penutup longkang yang mengalirkan air dari rumah ke parit besar dan terus ke sungai," Syam terus mengaiskan-ngaiskan daun-daun yang menutup permukaan simen dengan reranting kayu bercabang lima hingga sampai kawasan parit besar yang bersambung dengan sebatang anak sungai, airnya mengalir kotor.

"Tuan tanah yang bersempadan dengan tanah arwah isteri kamu, tidak marah tanahnya dikorek untuk dijadikan saluran air. Agak luas juga tanahnya digunakan," risik datuk lagi.

"Begini pakcik, dari tempat sempadan tanah orang lain hingga sampai ke parit besar, panjangnya lebih kurang dua kaki dan lebarnya kira-kira dua kaki. Tanah yang seluas itu diberi sagu hati hampir dua ribu oleh isteri saya," kata Syam dengan wajah yang bangga.

"Begitu, isteri kamu memang pemurah Syam."

"Kira-kiranya, begitulah pakcik," muka Syam bertambah kembang.

"Hum..." Datuk anggukkan kepala.

Setelah puas berlegar-legar diperdu pisang nangka, Syam tersenyum ke arah saya dan datuk.

"Ada apa Syam?" Tanya datuk.

"Biar saya uji dulu, kalau saya selamat baru pakcik ikut."

"Silakan Syam dengan syarat."

"Apa syaratnya pakcik."

"Bila kamu sampai ke bahagian belakang rumah, kau berpatah balik ke sini."

"Boleh pakcik," sahut Syam.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 196/284

BACA: SBDJ Siri 195: Terkapar Di Pangkal Pokok
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com