Wednesday, May 15, 2024

Kemuliaan Mati Syahid


"Dan jangan sekali-kali kamu menyangka orang yang terbunuh (gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki." (Surah Ali ‘Imran: 169)

Kemuliaan Mati Syahid

Pada asasnya, kita tidak boleh menentukan dengan khusus atau mengatakan seseorang itu mati syahid kecuali mereka yang telah dipersaksikan oleh Rasulullah SAW atau yang telah disepakati oleh umat atas kesyahidannya, kerana hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui hakikat seseorang itu sama ada syahid atau sebaliknya.

Syahid itu terbahagi kepada tiga jenis mengikut pandangan jumhur ulama, iaitu:

Pertama: Syahid Dunia dan Akhirat

Iaitu orang-orang beriman yang ikhlas berjuang di jalan Allah untuk meninggikan syiar agama dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata serta mati di medan peperangan. Mereka tidak lagi berada dalam keadaan hayah mustaqirrah (masih hidup) sebelum berakhirnya peperangan dengan golongan musyrikin (Rujuk: Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/164; Al-Iqna’, 1/414-415)

Dia dianggap syahid akhirat kerana di sisi Allah mereka mendapat pahala syahid dan dianggap sebagai syahid dunia kerana mereka tidak dimandikan, tidak dikafankan dan tidak disolatkan. Bahkan mereka ditanam secara terus bersama dengan darah dan pakaian mereka. (Rujuk: Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/164; Al-Iqna’, 1/414)

Hal ini berdasarkan hadis daripada Saidina Jabir R.A bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Nabi SAW pernah menghimpunkan dua lelaki dari mereka yang telah dibunuh di (peperangan) Uhud seraya baginda bertanya kepada mereka siapakah antara mereka yang mempelajari lebih banyak Al-Qur'an? Dan ketika salah seorang dari mereka ditunjuk, baginda mengarahkannya agar diletakkannya di lahad (kubur) terlebih dahulu. Baginda bersabda "saya saksi ke atas mereka." Maka baginda memerintahkan supaya mereka dikebumikan dengan darah mereka, tidak boleh disolatkan, dan mereka tidak boleh dimandikan." Riwayat al-Bukhari (1347)

Kedua: Syahid Dunia

Sesiapa yang meninggal dunia kerana berperang di jalan Allah tetapi dalam masa yang sama melakukan mawani’ al-syahadah (perkara yang menghalang daripada mendapatkan syahid) seperti berjuang di jalan Allah kerana inginkan ghanimah (harta rampasan) semata-mata atau berjuang untuk dikatakan berani atau untuk mendapatkan kedudukan di sisi manusia atau seumpamanya (dengan tujuan keduniaan), maka dia dianggap syahid dunia iaitu tidak disolatkan, dikafakankan dan dimandikan. Sementara itu dia tidak dianggap sebagai syahid akhirat iaitu tidak mendapat pahala syahid yang sempurna dan urusannya di akhirat adalah antara dia dengan Allah SWT. (Rujuk: Syarah al-Nawawi ‘ala Muslim, 2/164; Syarh Mukhtasar al-Kharqi, 72/14)

Ketiga: Syahid Akhirat

Adapun syahid akhirat ialah selain daripada golongan yang telah disebutkan di atas, iaitu sesiapa yang syahid bukan di medan peperangan akan tetapi disebutkan dalam hadis dengan istilah syahid.

Contohnya seperti orang yang meninggal dunia kerana penyakit perut, taun, ditimpa runtuhan bangunan dan lain-lain sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis sebagai syahid.

Mereka dikurniakan dengan pahala dan ganjaran sebagai orang yang syahid di akhirat tetapi ganjarannya tidak sama dengan golongan yang pertama (syahid dunia dan akhirat).

Adapun hukumnya di dunia adalah sama seperti kebiasaan orang yang meninggal dunia iaitu wajib dimandikan, dikafankan dan disolatkan. (Rujuk: Syarah al-Nawawi ‘ala Muslim, 2/164; Syarh Mukhtasar al-Kharqi, 72/14).

Di samping itu, terdapat juga hadis-hadis lain yang tidak dapat kami sebutkan di sini kerana jumlahnya yang banyak.

Secara ringkasnya, di sini kami simpulkan beberapa golongan yang diberi pahala syahid akhirat berdasarkan banyaknya hadis sahih yang menyebutkan sebab-sebab kesyahidan (tersebut) serta ia merupakan ciri-ciri yang masyhur dalam kalangan para ulama, antaranya seperti berikut:
  1. Orang yang mati kerana penyakit berjangkit.
  2. Orang yang mati kerana penyakit perut.
  3. Orang yang mati lemas.
  4. Orang yang mati dihempap bangunan.
  5. Orang yang mati kerana kebakaran.
  6. Orang yang mati kerana dizalimi.
  7. Orang yang mati kerana berkata benar dihadapan pemimpin yang zalim.
  8. Orang yang mati dalam keadaan menuntut ilmu.
  9. Wanita yang mati ketika bersalin.
  10. Orang yang mati kerana mempertahankan agamanya, nyawanya, hartanya dan keluarganya.
(Rujuk: Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 13/62-63; Fath al-Bari, 6/51-52)

Kelebihan mati syahid

Daripada Miqdam bin Ma’dikarib, Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya; "Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu: 1) Diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar, 2) melihat tempatnya didalam syurga, 3) dilindungi dari azab kubur, 4) terjamin keamanannya dari malapetaka besar merasakan kemanisan iman, 5) dikahwinkan dengan bidadari, 6) diperkenankan memberikan syafa’at bagi 70 orang kerabatnya."

Kesimpulan

Namun, kita hendaklah sedar bahawa hakikat sebenar seseorang mendapat ganjaran syahid atau sebaliknya hanyalah Allah SWT sahaja yang mengetahui kerana mati syahid merupakan satu kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya yang terpilih sahaja.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon