Tuesday, October 31, 2017

Kenapa Air Perlu Cukup Dalam Badan Terutamanya Ketika Cuaca Panas?

Kenapa Air Perlu Cukup Dalam Badan Terutamanya Ketika Cuaca Panas?

Keadaan cuaca yang tidak menentu di Malaysia amatlah membimbangkan, sekejap panas terik, tiba-tiba asyik hujan pula, perkara ini membuatkan badan kita terdedah dengan penyakit.

Minum air

Justeru itu, orang ramai dinasihatkan agar ambil langkah berjaga-jaga terutama dari segi kesihatan dan tentunya memastikan kandungan air di dalam badan cukup untuk menempuh kehidupan seharian.

Ahli Nutrisi Amerika Syarikat, Lisa Drayer menekankan pentingnya memastikan kandungan air dalam badan.

"Air mengawal suhu badan, memastikan kelicinan sendi-sendi, membantu cegah jangkitan serta menyalurkan nutrien ke sel-sel tubuh.

"Selain itu, buah pinggang dan hati yang bekerja keras membuang toksin dalam badan juga bergantung kepada air untuk menjalankan tugas mereka," katanya yang dipetik laporan CNN.

Air membentuk kira-kira 60 peratus daripada berat badan, walaupun kita boleh hidup berminggu-minggu tanpa makanan namun dehidrasi boleh membunuh dalam masa beberapa hari atau bahkan jam bergantung pada suhu dan persekitaran.

Dehidrasi bermaksud badan kita kekurangan air dan tubuh akan hilang air melalui proses pernafasan, peluh, air kencing dan pergerakan usus membuatkan anda akan cepat letih walaupun tidak berbuat apa-apa.

Sementara itu, dehidrasi yang berpanjangan boleh mengkristal garam dan mineral dalam air kencing membawa kepada pembentukan batu karang.

Selain itu, dehidrasi juga sering disalah ertikan dengan lapar menyebabkan berat badan boleh naik kerana tubuh cuba memenuhi keperluan tersebut.

Cara terbaik untuk mengurangkan berat badan ialah dengan minum air terutamanya sebelum dan selepas makan kerana ia membantu kita makan sedikit kalori sahaja namun berasa kenyang.

Kajian menunjukkan bahawa kekurangan air dalam badan juga membawa kepada migrain dan sakit kepala itu boleh berpanjangan sekiranya kita dehidrasi.

Di samping itu, dehidrasi menyebabkan kita tidak dapat menumpukan perhatian, masalah ingatan jangka pendek, murung dan berperasaan cemas.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Korey Stringer yang mengkaji prestasi atlet, Douglas Casa menjelaskan bahawa tanda-tanda dehidrasi berbeza mengikut kumpulan umur.

Bayi dan kanak-kanak kebiasaannya tidak dapat mengenal pasti keperluan mereka dalam pengambilan cecair oleh itu, penting untuk sentiasa memberikan mereka pengambilan cecair yang kerap.

Selain itu, simptom-simptom dehidrasi seperti kerengsaan, kelesuan, tiada air mata ketika menangis, lampin tidak basah setelah tiga jam, mulut kering, mata pipi tenggelam dan kecutan tempat lembut di kepala.

Bagi orang dewasa pula, simptom dehidrasi adalah keletihan, pening, keliru, kurang kencing dan sering dahaga, bagaimanapun, untuk mengenal pasti dehridasi untuk warga tua adalah menerusi air kencing mereka.

Apakah cara terbaik untuk mengekalkan dehidrasi?

'National Academics of Medicine' mencadangkan pengambilan 11 cawan air ( 2.7 liter) setiap hari bagi wanita dan 16 cawan (3.7 liter) bagi lelaki.

Kedengaran sukar, namun sumber air untuk tubuh juga boleh didapati melalui makanan.

Orang ramai disarankan untuk makan makanan berasakan sup atau minum minuman seperti kopi dan susu untuk pengambilan cecair harian.

Selain itu, boleh juga makan sayur-sayuran seperti timun, salad, saderi, tomato dan buah-buahan seperti tembikai, tembikai susu dan strawberi.

Kalau tidak suka minum air kosong sahaja, boleh juga tambahkan buah seperti lemon, beri, oren atau timun di dalamnya bagi menambahkan rasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Dehidrasi, Bahaya Kekurangan Air Dalam Tubuh

sumber: sinarharian

Vlada Dzyuba, Model Cantik Rusia Maut Selepas Keletihan Melampau

Vlada Dzyuba, Model Cantik Rusia Maut Selepas Keletihan Melampau

Seorang model remaja, Vlada Dzyuba, baru berusia 14 tahun dari Rusia disahkan meninggal dunia selepas mengalami keletihan melampau selepas bekerja tanpa henti selama 12 jam ketika berada di China.

Vlada Dzyuba

Vlada Dzyuba dikatakan rebah secara tiba-tiba dan dilaporkan koma sebelum dia terus beraksi di pentas peragaan ketika mengambil bahagian dalam satu pertunjukan fesyen hasil rekaan pereka Asia di Shanghai, China.

Ketika dia sedang menantikan giliran untuknya melakukan ‘catwalk’, suhu badannya naik secara mengejut namun, beberapa minit kemudian dia jatuh pengsan dan terus tidak sedarkan diri.

Ambulan telah sampai di tempat kejadian dan terus menggegaskan remaja itu ke hospital. Namun, Vlada telah disahkan meninggal dunia dua hari selepas itu.

Doktor telah mengesahkan penyebab kematian awal gadis itu adalah disebabkan menderita penyakit meningitis yang bermaksud keletihan yang amat teruk.

“Dia memanggil saya, berkata ‘Mama, saya sangat penat. Saya sangat ingin tidur’.

“Ia sememangnya permulaan penyakitnya…dan kemudian suhunya naik.

“Saya tidak tidur dan memohon berkali-kali agar dia pergi membuat pemeriksaan di hospital,” kata ibunya, Oksana, dipetik dari The Siberian Times.

Difahamkan juga, model muda itu sepatutnya mempunyai kontrak yang membolehkan dirinya bekerja maksimum hanya tiga jam seminggu.

Namun, dia berasa sangat takut untuk mendapatkan bantuan perubatan kerana masih lagi terikat dengan kontraknya.

Ibu gadis malang itu telah cuba untuk mendapatkan visa untuk bersama-sama menemani anaknya namun usaha itu menemui jalan buntu.

Vlada Dzyuba

Dengan berita kematian itu, orang ramai telah mempersoalkan penggunaan buruh kanak-kanak dalam industri fesyen di China.

Selain memilih model muda dari Rusia, beberapa agensi model di China turut mencari gadis dari Siberia untuk dijadikan model bagi majis-majlis tertentu.

Vlada telah terpilih untuk diwakili oleh sebuah agensi model terkenal di negara Tembok Besar itu.

Gadis malang itu juga mempunyai ‘personal admin’ yang dikenali sebagai Dmitry Smirnov, bagi mendapatkan khidmat perubatan namun tidak diketahui apa sebab utama dia memerlukan pembantu peribadi.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mendaptkan maklumat mengenai kematian mengejut gadis itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

Penyakit Cacar Air, Vaksin Sebagai Langkah Pencegahan

Penyakit Cacar Air, Vaksin Sebagai Langkah Pencegahan

Cacar air atau cengkering berpunca daripada virus varicella zoster sejenis penyakit virus sangat mudah berjangkit melalui sentuhan atau titisan cecair. Virus cacar biasanya didapati dalam bintik yang mengandungi cecair.

Cacar Air

Cacar air berlainan daripada penyakit kayap walaupun kedua-dua penyakit ini disebabkan oleh virus yang sama tetapi mempunyai simptom berbeza. Penyakit kayap dihidapi pesakit yang pernah dijangkiti cacar air dan akan menyerang apabila sistem imuniti pesakit ini rendah.

Pesakit boleh menjangkiti orang lain sehari atau dua hari sebelum ruam muncul, namun mereka yang dijangkiti mungkin tidak mengalami sebarang simptom hingga 10 ke 21 hari selepas bersentuhan dengan pesakit.

Bagaimanapun, cacar air boleh dicegah dengan proses vaksinasi, langkah paling berkesan untuk mencegah penyakit ini dan komplikasinya. Di Malaysia, cacar air tidak termasuk dalam jadual imunisasi wajib untuk anak tetapi digalakkan.

Pentingnya vaksin

Pakar kanak-kanak menyarankan vaksin cacar air patut diberikan kepada kanak-kanak pada umur 12 ke 15 bulan dengan dos tambahan diberikan di antara umur empat hingga enam tahun.

Untuk kanak-kanak berumur lebih daripada 13 tahun yang tidak pernah dijangkiti penyakit ini, mereka patut menerima dos pertama diikuti dos kedua empat ke lapan minggu kemudian.

Bagaimanapun, pesakit yang pernah mengalami penyakit cacar air atau kayap tidak memerlukan vaksin ini.

Selain kanak-kanak melebihi umur 12 bulan, orang dewasa yang belum dijangkiti patut mendapatkan vaksin cacar, namun tidak disyorkan untuk bayi bawah umur setahun.

Vaksin cacar tidak boleh diberikan kepada ibu mengandung manakala wanita yang baru menerima vaksin cacar air pula digalakkan supaya tidak hamil dalam tempoh sebulan selepas mendapatkan vaksin berkenaan

Jjika anak pernah dijangkiti cacar air atau menerima vaksin, tiada rawatan diperlukan manakala jika mereka sudah terdedah kepada pesakit cacar air tetapi belum menunjukkan tanda jangkitan, vaksin boleh didapati di klinik.

Vaksin cacar perlu diberikan dalam jangka masa tiga ke lima hari selepas pendedahan bagi mengelak daripada dijangkiti atau mengurangkan kemudaratan penyakit.

Ini kerana, walaupun anak tidak terjangkit, vaksin cacar air akan mengelakkan penyakit itu pada masa hadapan.

Kumpulan pesakit berisiko tinggi yang tiada imuniti kepada virus varicella seperti ibu mengandung, pesakit yang bermasalah imuniti rendah atau mengalami penyakit kronik perlu menerima suntikan VZIG yang boleh diberi hingga 10 hari selepas pendedahan.

VZIG (varicella zoster immunoglobulin) ialah vaksin yang memberi imuniti pasif kepada pesakit yang terdedah kepada virus cacar air. Jika mereka mula menunjukkan simptom cacar air, mereka perlu memulakan ubat antivirus.

Ubat antivirus seperti acyclovir atau valacyclovir digunakan untuk merawat pesakit berisiko tinggi seperti pesakit remaja, dewasa dan ibu mengandung. Ia juga digunakan untuk kes yang serius dan yang mengalami komplikasi.

Penyakit cacar tidak akan berulang untuk majoriti pesakit yang pernah dijangkiti, bagaimanapun ada juga kes pesakit yang dijangkiti buat kali kedua terutama jika jangkitan pertama sangat ringan.

Jangkitan kali kedua mungkin tidak terlalu serius dan pesakit hanya akan mengalami sedikit ruam dan jangka masa penyakit juga lebih singkat.

Untuk pesakit yang sudah menerima dos pertama vaksin cacar air, mereka akan mendapat perlindungan sehingga 80 ke 85 peratus dan ini akan meningkat ke 98 peratus selepas dos kedua.

Baki dua peratus pesakit yang mendapat cacar air akan mengalami jangkitan yang amat ringan. Oleh itu, pengambilan vaksin akan mencegah penyakit cacar air yang serius dan berkomplikasi.

Tanda-tanda awal cacar air

Untuk kanak-kanak, tanda awal penyakit cacar ialah ruam manakala pesakit dewasa mungkin akan mengalami demam, hilang selera makan, sakit otot atau pening sebelum ruam timbul.

Ruam merah yang akan berubah menjadi bintik mengandungi cecair dan sangat gatal itu akan berkuping dan akhirnya tanggal meninggalkan parut.

Ramai yang keliru antara ruam cacar air dengan demam campak tetapi ciri-ciri dan agihan ruam cacar air berbeza daripada demam ruam yang lain.

Katanya, penyakit cacar air lebih ketara dalam kalangan bayi dan dewasa. Golongan pesakit ini mungkin mengalami ruam yang lebih banyak, demam yang berpanjangan dan komplikasi seperti radang paru-paru dan jangkitan bakteria seperti staphylococcus dan streptococci.

Kadar mortaliti bertambah tinggi untuk pesakit yang mengalami komplikasi ini.

Ibu mengandung yang dijangkiti cacar air pada trimester pertama mempunyai risiko kepada janin untuk mengalami sindrom kongenital varicella yang boleh menjejaskan tumbesaran serta pembentukan sifat dan organnya.

Jangkitan cacar air pada trimester ketiga pula boleh berjangkit ke bayi yang baru lahir. Ia boleh mendatangkan bahaya kepada bayi yang baru dilahirkan dan kanak-kanak yang berimuniti rendah.

Rawatan cacar air

Kebanyakan pesakit yang sihat hanya memerlukan rawatan sokongan iaitu:
  • Rehat mencukupi
  • Banyakkan minum air
  • Ubat demam
  • Ubat dan krim untuk mengurangkan gatal

Ibu bapa digalakkan untuk memotong kuku anak supaya tidak melukakan bintik cacar air apabila digaru.

Jika luka, lebih mudah untuk kulit diserang bakteria lain yang mungkin menimbulkan lebih banyak komplikasi.

Penyakit cacar air dapat dikesan dari sejarah pesakit dan kemunculan ruam cacar air yang unik. Jika kurang pasti, dinasihatkan berjumpa doktor agar mendapatkan diagnosis yang tepat.

Pesakit mudah menjangkiti sehari ke dua hari sebelum ruam timbul hingga semua bintik kering dan berkuping serta tiada bintik baru yang timbul.

Proses itu akan mengambil masa seminggu hingga dua minggu. Dalam tempoh itu pesakit digalakkan berehat di rumah dan mengelak daripada mengunjungi tempat awam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Kepantasan Menakjubkan Terens Puhiri Menjaringkan Gol Menjadi Tumpuan Dunia!

Kepantasan Menakjubkan Terens Puhiri Menjaringkan Gol Menjadi Tumpuan Dunia!

Kepantasan menakjubkan seorang pemain bola sepak divisyen pertama Liga Indonesia, Terens Puhiri yang memecut laju sebelum menjaringkan gol berjaya mencuri perhatian media antarabangsa.

Terens

Gergasi media Daily Mail menganggarkan larian Terens Puhiri, 21, ketika menjaringkan gol ketiga Borneo FC ketika menentang Mitra Kukar pada 23 Oktober lalu lebih pantas dari pemain sayap Manchester City, Leroy Sana.

Terens Puhiri menyumbangkan satu gol pada minit ke-71 ketika membantu Borneo FC menewaskan Mitra Kukar 4-0 di Stadium Aji Imbut, Tenggarong, Kalimatan Timur.

Dalam artikel yang diterbitkan pada 25 Oktober 2017 lalu, larian solo pemain berusia 21 tahun itu dijangka telah mengatasi rekod Leroy yang mencatatkan 35.48 kilometer sejam ketika menewaskan Chelsea 1-0 di Stamford Bridge.

Terens Puhiri
Terens Puhiri.

“Disebabkan kekangan teknologi, kepantasan sebenar Terens Puhiri ketika menjaringkan gol ketiga Borneo FC tidak dapat dipastikan, namun mungkin telah mengatasi kepantasan Leroy Sane,” lapor Daily Mail.

Secara perbandingan, Leroy dikatakan mampu menamatkan acara pecut 100 meter dalam masa 10 saat, rekod yang hanya boleh dicatatkan oleh atlet pecut bertaraf dunia sahaja.

Perlu diingat, pemain itu membuat catatan tersebut di atas padang rumput, berbanding atlet olahraga yang berlari di atas trek khas.

Leroy Sane
Leroy Sane (Kiri).

Daily Mail turut mengandaikan bahawa akan ada beberapa siri pencari bakat dari kelab Eropah yang mungkin memerhati kemampuan Terens Puhiri selepas ini.

Kini, Terens Puhrini dinilai sebagai pemain bola sepak terpantas di dunia selepas video larian solo dan jaringan gol yang dilakukan di Stadium Aji Imbut, Tenggarong itu menerima pelbagai pujian.

Mengagumkan!

BACA INI JUGA: Sikap Cristiano Ronaldo Yang Menjadikannya Hebat!

sumber: mynewshub

Produk ‘Zero’ Alkohol Syarikat TIGER Halal Di Minum?

Produk ‘Zero’ Alkohol Syarikat TIGER Halal Di Minum?

Sebelum ini umat Islam di Malaysia pernah digemparkan dengan penghasilan ‘bir halal’ daripada sebuah syarikat antarbangsa susulan satu pameran produk halal di ibu negara suatu masa dahulu.

Zero Alkohol

Ia menjadi tular ketika itu kerana bentuk botol pada produk tersebut menyerupai bir biasa yang berada di pasaran sekali gus menimbulkan kegusaran dan persoalan dalam kalangan umat Islam tempatan mengenai statusnya.

Isu itu akhirnya ‘dimatikan’ apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan bahawa tiada sijil halal dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk minuman ‘bir halal’.

Ini termasuk mana-mana produk pengguna yang didapati sengaja menggunakan nama menyerupai atau dikaitkan dengan perkara jelas hukumnya memang haram tetapi dijenamakan semula konon sebagai sudah halal.

Jelas beliau lagi, penggunaan nama ‘bir halal’ adalah bertentangan dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan Standard Malaysia yang jadi rujukan Jakim serta Jabatan Agama Islam Negeri dalam urusan sijil halal.

Bagaimanapun pada kali ini, umat Islam sekali lagi dikejutkan dengan produk yang sudah jelas dikeluarkan oleh sebuah syarikat arak terkenal di Asia, Tiger tetapi mendakwa kononnya minuman itu sebagai sifar alkohol.

Menurut pendakwah terkenal, Fathul Bari Mat Jahya dalam catatan menerusi laman Twitter miliknya, minuman itu adalah halal diminum kerana ramuan pada label tin menyatakan ia tidak mengandungi sebarang alkohol.

Dalam pada itu, anak bekas Mufti Perlis tersebut memberi gambaran bahawa isu berkenaan timbul ekoran namanya kebetulan sama dengan syarikat arak seperti rujukan terhadap nama binatang yang haram iaitu babi dan anjing.

Justeru, walaupun haiwan itu namanya memang adalah haram seperti babi laut atau anjing laut, namun ia tidak pula merujuk sama seperti ‘babi’ sebenar daripada sudut sifat zatnya.

Malah, hujah pendakwah itu turut disokong pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengatakan sesuatu minuman yang mengandungi alkohol kurang daripada 0.5 peratus adalah dibenarkan.

Kenyataan mufti itu dirujuk menerusi hujah tokoh Islam kontemporari terkenal, Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi yang pernah mengatakan bahawa penggunaan kandungan alkohol hanya sebanyak 0.5 peratus adalah dibenarkan.

Selain itu, Zulkifli merujuk kepada kenyataan Muzakarah ke-22 Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan 1988 mengenai isu kordial yang mengandungi bahan perasa alkohol bagi tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya;

1. Alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak
2. Kuantiti alkohol dalam perasa itu sedikit iaitu tidak memabukkan.

Namun, pandangan ustaz, mufti dan ulama tersohor tersebut masih lagi dipertikaikan oleh ramai netizen yang dikatakan meragui terhadap cara penghasilan produk berkenaan pula.

Ada pihak mendakwa, sekiranya produk itu dihasilkan daripada bangunan yang sama satu bumbung mengeluarkan barangan haram, maka secara tidak langsung statusnya juga adalah tidak halal.

Malah lebih jelas, produk kontroversi sifar alkohol berkenaan pula secara terang langsung tidak memaparkan sebarang logo rasmi halal keluaran Jakim pada tin minuman tersebut.

Setakat ini, pihak Jakim dilihat masih belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara berkenaan minuman yang dikatakan sebagai bebas alkohol itu.

Namun secara umumnya mengikut sudut Fiqah, jika seseorang Muslim itu berasa ragu-ragu terhadap sesuatu perkara, maka lebih afdal untuk terus meninggalkannya.

Hal ini kerana bimbang ia menjadi perkara syubhah yakni samar-samar antara yang halal dan haram.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Alkohol 'Paracetamol Syrup' Tidak Membahayakan!

sumber: mynewshub

8 Hukuman Mati Paling Kejam Dalam Sejarah Manusia

8 Hukuman Mati Paling Kejam Dalam Sejarah Manusia

Selain teknik gantung, kita mungkin pernah mendengar beberapa kaedah lain yang dilaksanakan bagi hukuman mati dan antara yang paling popular adalah hukuman pancung dengan cara memenggal kepala, hukuman tembak, rejam sehingga mati atau dikenakan renjatan kerusi elektrik.

Dalam sejarah dunia, sebenarnya terdapat pelbagai kaedah hukuman mati yang dijalankan.

Secara rasmi, hukuman mati diakui tercatat ketika wujud undang-undang bertulis, iaitu ketika zaman pemerintahan Raja Hamurabi di Babylon pada abad ke-18 sebelum masihi.

Melangkah semula ke zaman silam, ini merupakan antara 8 kaedah perlaksanaan hukuman mati paling kejam dan menyakitkan pernah dijalankan dalam sejarah.

1. Tab Mandi

Tab Mandi

Hukuman yang satu ini antara yang menyiksakan. Hukuman ini dikenali sebagai hukuman ‘duduk di dalam tab mandi’.

Dalam kaedah ini, individu yang disabitkan dengan kesalahan akan diletak di dalam tab mandi, hanya kepala mereka dikeluarkan. Kemudian, Sang Al-Gojo akan melukis wajah mereka menggunakan susu dan madu.

Mangsa turut akan diberikan makanan secara berskala, ini menyebabkan lama-kelamaan mereka berenang di dalam najis sendiri yang berada di dalam tab tersebut.

Dalam beberapa hari tubuh mereka akan mula membusuk dan akan dimakan ulat dan cacing sehingga mati.

2. Brazen Bull

Brazen Bull

Brazen Bull juga dikenali dengan nama Sicilian Bull, hukuman mati ini dicipta ketika zaman Yunani Purba.

Dalam kaedah perlaksanaan, pesalah akan dimasukkan ke dalam patung lembu yang diperbuat daripada tembaga dan akan dipanggang secara hidup-hidup sehingga mati.

Apa yang lebih menakutkan, jeritan mangsa akan kedengaran seolah-olah suara yang keluar dari patung lembu tersebut.

3. Sula

Sula

Di era zaman Uthmaniyah iaitu pada ke-15, Vlad Tepes sangat terkenal dengan hukuman matinya sehingga ia digelar ‘Vlad the Impaler’. Hukuman berbentuk sulaan ini memaksa mangsa untuk duduk di atas sebatang tiang yang tajam.

Kemudian tiang tersebut akan dinaikkan di mana tubuh mereka kekal di bawah disebabkan menampung berat badan sendiri. Hukman ini boleh mengambil masa selama 3 hari untuk mangsa mati.

Lebih kejam, dikatakan Vlad pernah melaksanakan hukuman ini ke atas 20,000 secara serentak sambil menikmati hidangan. Dan ini merupakan kaedah hukuman mati paling disukai oleh Vlad.

4. Iron Maiden

Iron Maiden

Alat yang diciptakan untuk menyiksa manusia ini terdiri daripada kabinet besi dengan bahagian pintu yang tajam di hadapan. Dalam kaedah ini, mangsa akan dimasukkan di dalam kabinet besi yang sempit kemudian akan ditutup.

Satu cara yang cukup menyiksakan, mangsa yang berada di dalamnya tidak mampu bergerak oleh kerana ditusuk besi tajam dari pelbagai arah.

5. Sangkar Keranda

Sangkar Keranda

Hukuman menyeksa mangsa di dalam sangkar keranda ini sangat popular dijalankan pada abad pertengahan.

Hukuman mati berbentuk ini meletakkan manusia di dalam sangar keranda bersaiz manusia kemudian akan dibiarkan tergantung pada pokok atau tiang.

Dalam tempoh penyiksaan dijalankan, mangsa akan dibiarkan mereput sehingga mati dan menjadi makanan kepada burung gagak si pemakan bangkai.

6. Guillotine

Guillotine

Guillotine merupakan salah satu hukuman mati yang paling terkenal. Ia berbentuk seperti pisau cukur yang diikat pada tali. Mangsa akan diletakkan secara meniarap dengan kepala berada di tengah-tengah bingkai.

Pisau tajam kemudian akan dilepaskan menyebabkan kepala terpotong dari badan. Walaupun nampak agak menyeramkan, namun hukuman mati jenis ini dikatakan antara hukuman mati yang paling berperikemanusiaan.

7. Tikus

Tikus

Kaedah ini turut berlaku pada abad pertengahan di mana tikus digunakan untuk membunuh manusia. Cara perlaksanaannya sangat mudah, mangsa akan diikat terbaring dengan diletakkan tikus hidup di dalam sangkar berlubang di atasnya.

Di bahagian atas sangkar tersebut terdapat satu bahagian yang digunakan untuk memanaskan sangkar.

Apabila sangkar memanas, tikus tersebut akan marah dan cuba melepaskan diri dengan menggigit tubuh mangsa serta merobeknya sehingga mati. Biasanya diletak pada bahagian perut atau kepala.

8. Gergaji

Gergaji

Ini antara kaedah hukuman mati yang kejam. Mangsa akan dikikat pada kaki secara terbalik iaitu kaki di atas dan kepala di bawah terlebih dahulu. Ini supaya lebih banyak darah menurun di kepala.

Seterusnya, mangsa akan dipotong menggunakan gergaji tajam bermula di bahagian tengah tubuh sehinggalah perut dan dibiarkan meraung kesakitan sehingga mati. Aduh!

Apa pun bentuk penyeksaan, sememangnya detik yang amat menakutkan bagi semua pesalah yang dihukum.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Luarbiasa! Pesalah Yang Terselamat Selepas Hukuman Mati

sumber: thevocket

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (31 Oktober)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (31 Oktober)

Tarikh 31 Oktober merupakan hari ke 304 (hari ke 305 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 61 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Tun Mahathir bersara

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Halloween, Hari Reformasi dalam Protestan dan Hari Samhain bermula (Hemisfera Utara).

Peristiwa

1517 - Mengikut kisah tradisional, Martin Luther memaku 95 Dalilnya di pintu sebuah gereja di Wittenberg, Jerman kini, menandakan permulaan Reformasi Protestan.

1863 - Perang tanah New Zealand bersambung apabila tentera British di New Zealand pimpinan Jeneral Duncan Cameron memulakan Serangan ke atas Waikato di sepanjang Sungai Waikato.

1876 - Sebuah siklon gergasi meranapkan India dan mengakibatkan kehilangan 200,000 nyawa.

1922 - Benito Mussolini menjadi Perdana Menteri Itali paling muda dalam sejarah Itali pada umur 39 tahun.

1941 - Lebih 400 pekerja Gutzon Borglum menyiapkan patung badan raksasa Presiden A.S. George Washington, Thomas Jefferson, Theodore Roosevelt dan Abraham Lincoln di Gunung Rushmore, Dakota Selatan.

1984 - Perdana Menteri India Indira Gandhi dibunuh oleh dua pengawal peribadinya, mencetuskan rusuhan di Delhi dan sekitarnya.

2003 - Selepas 22 tahun memerintah, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad bersara sebagai Perdana Menteri Malaysia.

2010 - Dilma Rousseff memenangi pilihan raya dan bakal menjadi presiden wanita pertama Brazil.

2011 - UNESCO menjadi agensi PBB pertama menerima Palestin sebagai negara angggota penuh.

Kelahiran

1947 - Herman Van Rompuy, seorang Presiden Majlis Eropah.

Kematian

1984 - Indira Gandhi, Perdana Menteri India ke-3.

2006 - Pieter Willem Botha, Perdana Menteri Afrika Selatan ke-6.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (30 Oktober)

sumber: wikipedia

Monday, October 30, 2017

Curang Punca Hans Isaac Putuskan Pertunangan?

Curang Punca Hans Isaac Putuskan Pertunangan?

Pelakon dan penerbit, Hans Isaac baru sahaja mengeluarkan kenyataan mengenai pembatalan majis perkahwiannya bersama dengan bekas Ratu Cantik Pelancongan, Gabrielle Robinson.

Hans Isaac

Sebelum ini, Hans pernah mengumumkan mengenai penangguhan majlis kahwin mereka yang sepatutnya berlangsung pada 29 Julai lalu ke tarikh yang lain, iaitu pada 29 Februari 2018.

Namun kini, pelakon berusia 46 tahun itu telah mengambil keputusan untuk membatalkan terus majlis tersebut! Aiseh…Apa cerita ni?

“Salam sejahtera diucapkan kepada semua teman-teman seperjuangan dan rakan-rakan media.

“Dengan berat hati saya umumkan bahawa rancangan saya untuk berkahwin, setelah bertunang pada 29 Februari awal tahun ini, terpaksa dibatalkan,” tulis Hans yang ditujukan kepada semua media tempatan.

Kenyataan yang disertakan itu telah diberikan oleh Pengurus Perhubungan Awam (PR) Hans sendiri, iaitu Sue Hussin.

Namun kini, pelakon berusia 46 tahun itu telah mengambil keputusan untuk membatalkan terus majlis tersebut! Aiseh…Apa cerita ni?

“Salam sejahtera diucapkan kepada semua teman-teman seperjuangan dan rakan-rakan media.

“Dengan berat hati saya umumkan bahawa rancangan saya untuk berkahwin, setelah bertunang pada 29 Februari awal tahun ini, terpaksa dibatalkan,” tulis Hans yang ditujukan kepada semua media tempatan.

Hans Isaac

Kenyataan yang disertakan itu telah diberikan oleh Pengurus Perhubungan Awam (PR) Hans sendiri, iaitu Sue Hussin.

Tambah Hans lagi, dia telah berfikir panjang bagi membuat keputusannya untuk membatalkan perkahwinan itu.

Bagaimanapun, penerbit kelahiran negeri Johor itu turut memohon maaf kepada semua rakan dan ahli keluarganya yang sering menyokong dan mendoakan yang terbaik buatnya.

“Saya ingin memohon maaf kepada semua rakan dan keluarga yang telah memberikan sokongan yang tak terhingga dan hanya mendoakan yang terbaik untuk saya.

“Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kerana sudi memahami dan menyokong saya selama ini,” katanya lagi.

Pada Jun yang lalu, mereka terpaksa menangguh majlis perkahwinan kerana keluarga Gabrielle mempunyai urusan yang lain. Tapi sekarang, hubungan mereka dikatakan sudah berakhir.

Pelakon kacukan Filipina dan Spain itu turut memuat naik satu gambar dia Instagram miliknya seolah-olah memberi hint mengenai apa yang sedang berlaku kini.

Hans Isaac

Sekali lagi netizen membuat andaian kononnya model berkaki panjang itu telah curang buat kali kedua.

Kedua-dua pasangan itu juga telah pun unfollow sesama sendiri di akaun Instagram mereka.

Mungkin ada hikmah disebalik apa yang terjadi ini. Kita sebagai orang luar, jangan asyik nak buat andaian yang bukan bukan sahaja. Mana tahu barangkali ada masalah lain sebenarnya kan.

Memandangkan mereka masing-masing mempunyai kerjaya sendiri, mungkin faktor kesibukan itu sendiri yang menjadi penghalang.

Doa yang baik-baik sahaja okay.

BACA INI JUGA: Tiduri Beratus Lelaki Kecewa Putus Tunang

sumber: mynewshub

Lelaki Palembang Kahwini Dua Wanita Sekaligus Gemparkan Indonesia

Lelaki Palembang Kahwini Dua Wanita Sekaligus Gemparkan Indonesia

Undangan pernikahan seorang lelaki di Palembang bakal berkahwin dengan dua wanita sekaligus bulan depan, menggemparkan Indonesia dan tular di media sosial yang turut menyertakan kad undangan perkahwinan mereka.

Cindra

Cindra dari Kecamatan Sekayu, Muba, akan berkahwin dengan Indah Lestari pada 5 November 2017 ini dan dengan Perawati tiga hari kemudian. Majlis resepsi perkahwinan mereka akan diadakan pada 9 November.

Detik.com melaporkan Ketua Kampung Teluk Kijing di Las, Panser, berkata pengantin lelaki berasal dari kampung itu dan dia sendiri yang menyediakan borang pernikahan mereka.

“Iya benar, ada lelaki di kampung ini akan berkahwin dengan dua wanita.

“Seorang wanita itu ialah Indah juga penduduk kampung ini dan saya yang menyediakan dokumen pernikahan mereka,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa dan Indah sendiri datang ke pejabatnya bagi menguruskan pernikahan itu.

“Saya bertanya Indah adakah dia yakin dan sedia untuk bermadu dan gadis itu menjawab dia sangat mencintai Cindra.

“Bagi saya tiada yang pelik dengan pernikahan mereka ini yang kami gelar belum bernikah sudah dimadu,” jelasnya.

Tribun News melaporkan, bapa saudara Cindra, Rustam, berkata mereka tidak tahu Cindra ada hubungan dengan Indah dan Perawati sehinggalah kedua-dua wanita itu datang memberitahu ingin berkahwin dengan Cindra,

“Kami tidak tahu Cindra ada dua kekasih, kerana dia pendiam dan tidak bercerita ada pacar bahkan sampai dua," kata Rustam.

Cindra, anak ketiga daripada lima beradik itu berkerja dengan PT Petronesia Benimal di Bayung Lencir atau Jambi,

Menurut Rustam, Indah yang pertama datang ke rumah Cindra bertemu ibu bapanya memberitahu mahu berkahwin dengan Cindra dan 15 hari kemudian, Perawati pula datang menyatakan hasrat yang sama.

“Namun undang-undang tidak membenarkan pernikahan sekaligus menyebabkan Indah diputuskan menjadi isteri pertama dan Perawati isteri kedua,” katanya.

Menurut Detik.com, kedua-dua wanita itu kini wajib tinggal di rumah keluarga Cindra sehingga akad nikah dengan Indah dijemput keluarga Cindra Rabu lalu, manakala Perawati tiba hari ini. Kedua-dua wanita itu terlihat akrab seperti sudah lama kenal.

Indah yang lebih muda agak malu untuk menceritakan kisahnya dengan Cindra sehingga rela dimadu selain dia baru mengenali Cindra beberapa bulan lalu.

“Saya terlebih dahulu kenal Kak Cindra daripada Indah. Indah bulan Ogos, saya sejak 2016,” kata Perawati.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 4 Kos Utama Perkahwinan Yang Anda Perlu Tahu

sumber: hmetro

Kavita Devi Penggusti WWE Wanita Pertama India

Kavita Devi Penggusti WWE Wanita Pertama India

“Bagi saya, status sebagai wanita tidak seharusnya menghalang saya untuk menjadi sesiapa pun yang saya inginkan.

Kavita

“Semasa berada di dalam gelanggang gusti, saya lupa saya merupakan seorang wanita, seorang ibu dan juga seorang isteri

"Fokus saya hanyalah terhadap perlawanan,” tutur ahli gusti wanita pertama India itu dengan nada tegas.

Kavita Devi, 34, melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai ahli gusti wanita pertama dari India yang diiktiraf oleh syarikat gusti terbesar dan paling berpengaruh di dunia, World Wrestling Entertainment (WWE).

Ia seterusnya melayakkan wanita berambut panjang itu bersaing di peringkat dunia.

Berasal daripada Haryana, India Kavita yang memiliki ketinggian 176 sentimeter itu mengakui berasa cukup gembira atas pencapaian tersebut.

“Saya kini boleh berlatih dan berpeluang cerah untuk bergelar WWE Superstar.

“Tahun lalu, saya bertanding dalam pertandingan Mae Young Classic anjuran WWE dan ia merupakan satu pengalaman yang cukup berharga,” ujarnya.

Salwaar kameez

Kavita mula menjadi perhatian dunia apabila satu video yang memaparkan aksinya sedang bergusti dengan mengenakan pakaian tradisional India, salwaar kameez menjadi tular di media sosial pada bulan September 2017 lalu.

Aksi ganas serta kehebatannya menumpaskan lawan dalam WWE Tryout 2017 di Dubai itu menjadi bualan ramai.

Menurut Naib Presiden Pembangunan Bakat WWE, Canyon Cayman, dia cukup mengagumi kekuatan serta kecergasan Kavita dan yakin bahawa penceburannya dalam WWE akan menjadikan Kavita seorang yang berjaya di dalam arena sukan tersebut.

“Kavita menunjukkan aksi yang cemerlang dalam WWE Tryout 2017 di Dubai. Dia merupakan seorang wanita yang hebat dan memiliki kekuatan yang luar biasa.

“Dia juga mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan gusti dan saya yakin Kavita akan menunjukkan lebih banyak aksi cemerlang kelak,” ujarnya seperti dipetik portal Indian Express.

Kavita dibesarkan dalam sebuah keluarga sederhana di Haryana. Dia juga merupakan seorang pegawai polis dan mula menunjukkan minat terhadap sukan gusti sejak remaja.

“Begitu pun, selepas saya mendirikan rumah tangga dan melahirkan anak, ahli keluarga melarang saya untuk menceburkan diri dalam bidang sukan, terutamanya sukan gusti.

“Oleh itu, saya memilih kerjaya sebagai seorang pegawai polis,” ujar Kavita.

Begitu pun, minat yang mendalam mendorong Kavita untuk memujuk keluarganya supaya memberikan kebenaran untuknya kembali bergusti.

“Sebagai bukti kesungguhan, saya menghadiahkan ahli keluarga dengan pingat emas dalam acara gusti Sukan Asia Selatan 2016,” ujar Kavita.

Pegawai polis

The Great Khali

Biarpun mendapat pingat emas, Kavita merupakan seorang wanita yang cukup merendah diri dan tidak putus-putus memuji dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada idolanya, Dalip Singh Rana atau lebih dikenali sebagai The Great Khali.

“Kejayaan serta sejarah sebegini tidak mungkin dapat saya lakar tanpa bantuan Khali,” ujarnya.

Sebagai seorang guru, Khali berkata kepada portal berita India Today bahawa dia sudah melihat potensi serta bakat yang dimiliki Kavita.

“Semasa mula-mula melatih wanita berani itu, saya yakin dia akan dipilih untuk menyertai WWE satu hari nanti,” ujar Khali.

Biarpun Kavita kurang berpengalaman dalam sukan gusti, WWE yakin kekuatan fizikal wanita itu akan menjadikannya seorang ahli gusti wanita yang mampu bertahan lama dalam sukan tersebut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 5 Bintang Gusti Paling Kaya Di Dunia!

sumber: kosmo