Friday, October 27, 2017

Video Gol Ajaib Sepakan Penalti Di Thailand

Video Gol Ajaib Sepakan Penalti Di Thailand

Sebuah video gol penalti ajaib, dalam satu perlawanan di Thailand, viral di laman sosial selepas dimuat naik ke sebuah akaun Facebook, 21 Oktober lalu.

Penalti ajaib

Baru beberapa hari, video itu telah menerima lebih 2 juta tontonan. Video tersebut dirakam dalam satu perlawanan antara Bangkok Sports Club dan Satri Angthong.

Perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti selepas masa penuh berakhir dengan seri 2-2.

Ketika penalti terikat 19-19, penjaga gol Bangkok Sports Club bersedia untuk mengambil sepakan penalti.

Namun, bola terkena palang gol sebelum melantun tinggi, menyebabkan penjaga gol Satri Angthong lari meninggalkan gawang sambil bersorak kegembiraan.

Ajaibnya, bola tersebut jatuh ke padang dan bergolek semula ke dalam gol, membuatkan penjaga gol Satri Angthong berlari semula ke gawang cuba menyelamatkan keadaan.

Bagaimanapun, ia sudah terlambat. Perlawanan berakhir dengan Bangkok menang 20-19.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Video Gol 'Berhantu' Stefan Kiessling


sumber: astroawani

Waswas, Penyakit Pada Akal Manusia Dari Bisikan Syaitan

Waswas, Penyakit Pada Akal Manusia Dari Bisikan Syaitan

Waswas daripada segi bahasa ialah bisikan halus daripada angin dan lain-lain. Rujuk: Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah (43/147).

Waswas

ALLAH SWT berfirman: "Dan sesungguhnya, Kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya." (Surah Qaf: 16)

Dari segi istilah, fuqaha membahagikan takrifan waswas kepada beberapa makna, antaranya:
  • Waswas bermaksud percakapan dalam diri sendiri seperti dibisikkan ke dalam diri insan perasaan berbolak-balik sama ada telah melakukan sesuatu atau belum melakukan sesuatu.
  • Waswas bermaksud sesuatu yang dibisikkan oleh syaitan ke dalam diri manusia.
  • Waswas ialah apa yang dibisikkan ke dalam diri manusia ketika melakukan sesuatu perkara kepada tahap yang terlalu berhati-hati sehinggakan apabila telah melakukan sesuatu, dia akan mengulangi perkara itu secara berlebihan dan keterlaluan.
  • Waswas ialah penyakit pada akal manusia yang apabila dia bercakap maka percakapannya sia-sia. (Rujuk: Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah, 43/147).

Permasalahan waswas

Terdapat beberapa nas dalam al-Quran dan hadis yang menyentuh berkenaan permasalahan waswas:

"Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dalam kalangan jin dan manusia." (Surah Al-Nas: 5-6)

Sayyid Qutb berkata: "Kita tidak mengetahui bagaimana berlakunya bisikan syaitan, tetapi kita berasakan kesannya dalam jiwa dan dalam realiti hidup kita. Kita sedar pertarungan Adam dan iblis adalah satu pertarungan yang amat lama."

"Walau bagaimanapun, ALLAH tidak membiarkan manusia mengharungi pertarungan itu tanpa senjata, malah ia telah menjadikan keimanan sebagai perisai untuk mereka, zikir sebagai kelengkapan perang dan doa memohon perlindungan sebagai senjata. Andainya manusia itu lupakan perisai, kelengkapan dan alat senjatanya, maka dialah sahaja yang patut dipersalahkan." (Rujuk: Tafsir Fi Zilalil Quran (17/604)

Syaitan akan membisikkan ke dalam hati anak Adam ketika anak Adam berada dalam keadaan sedih dan gembira. Jika manusia itu berjaya untuk mengingati Tuhannya, maka syaitan itu akan menjauhinya. Rujuk: Tafsir Ibn Kathir (4/750)

Bentuk Dan jenis Waswas

Ibnu Al-Jauzi berkata, syaitan menjalankan tipu daya pada manusia ketika solat, dengan cara mengganggu seseorang ketika sedang berniat untuk solat. Sebahagian mereka melafazkan usolli. Kemudian mengulanginya kerana menyangka niatnya batal sedangkan niatnya tidak batal. Sebahagian yang lain mengangkat takbir kemudian membatalkan lalu mengulang-ulanginya semula apabila imam rukuk barulah orang yang waswas itu mengangkat takbir lalu rukuk bersama imam. Hal ini tidaklah melainkan kerana iblis mahu menghilangkan kelebihan (fadilat takbir bersama imam) bagi orang yang waswas itu. Rujuk: Talbis Iblis (halaman: 169)

Tiga bahagian

Menurut Imam Al-Ghazzali dalam kitab Ihya' Ulum Al-Din, waswas terbahagi kepada beberapa bahagian:

Pertama

Bisikan kepada sesuatu kebenaran. Contohnya seseorang yang berkata: "Adakah patut aku meninggalkan kelazatan dunia? Kehidupan dunia sungguh panjang dan bersabar dalam meninggalkan kelazatan dunia sepanjang hidup adalah sangat pedih."

Namun, apabila mengingati agungnya kebesaran Tuhan dan nikmatnya syurga serta pedihnya azab neraka maka dia berkata kepada diri sendiri: "Menahan diri daripada kelazatan dunia amat pedih namun bersabar dengan seksa neraka adalah jauh lebih pedih. Tidak dapat tidak, aku harus memilih untuk bersabar dengan salah satu daripada keduanya. Dan apabila hamba itu terkenang kepada janji-janji Tuhannya, maka datanglah imannya dan larilah waswas syaitan tersebut."

Kedua

Bisikan yang mendorong syahwat untuk melakukan maksiat kepada ALLAH. Bisikan ini mampu dilawan dengan ilmu dan kefahaman sesungguhnya perbuatan tersebut adalah maksiat kepada ALLAH.

Ketiga: Bisikan kepada sesuatu perkara yang berlegar-legar dalam kepala. Bisikan itu pada perkara yang selain daripada solat. Jika seseorang manusia itu mengingati ALLAH, maka mampulah dia melawannya. Namun, bisikan itu akan datang semula dan hanya dengan mengingati ALLAH sahaja dapat mengatasi bisikan tersebut. Rujuk: Ihya' Ulum Al-Din (8/1416-1418)

Penyelesaian

Berdoa memohon pertolongan daripada ALLAH

Setiap hamba dituntut untuk berlindung dan meminta pertolongan daripada ALLAH Yang Esa. Ini kerana ALLAH amat suka hamba-Nya yang sentiasa meminta pertolongan daripada-Nya. Ini jelas berdasarkan kepada ayat dalam Surah Al-Baqarah: 186

Sentiasa mendampingi ulama dan orang soleh

Penekanan kepada pemilihan rakan taulan yang baik penting dalam aspek kehidupan seseorang kerana ia mempengaruhi akhlak dan adab seseorang itu dalam bermuamalah.

Justeru, teman yang baik dan soleh akan sentiasa mendorong seseorang itu untuk melakukan ketaatan kepada ALLAH maka sebaliknya teman yang buruk akhlaknya akan membawa kepada melakukan kemaksiatan dan prasangka yang buruk kepada ALLAH.

Sentiasa melazimi dan mendalami ilmu agama

Dalam isu ini, penekanan kepada pemilihan guru yang mursyid harus dititikberatkan bagi mencapai kefahaman maksud ilmu yang sebenar.

Kesilapan memilih guru yang sebenar sejak mula akan memberi kesan yang buruk terhadap keperibadian seorang penuntut ilmu.

Selain itu, penekanan kepada ilmu syariat juga penting kerana ia adalah tunjang dan satu ilmu teras yang wajib dikuasai setiap orang Islam.

Justeru, ilmu-ilmu yang lain yang dianggap sebagai fardu kifayah perlu dituntut namun penekanan yang lebih harus diberikan kepada ilmu syariat.

Sentiasa melazimkan zikir kepada ALLAH dalam apa jua keadaan

Berzikir amat penting dalam kehidupan seseorang Muslim kerana amalan tersebut dapat melawan segala bisikan syaitan yang datang dalam diri mereka.

Dengan melazimkan zikir, ia dapat menjadi benteng dan melindungi kita dalam melakukan ketaatan kepada ALLAH.

Sentiasa optimis dalam setiap amalan harian

Umat Islam diseru untuk fokus dalam setiap aktiviti yang dilakukan sehari-harian. Ini kerana fokus dan tumpuan yang jitu dapat mengelakkan fikiran kita daripada bercelaru seterusnya membawa kepada waswas.

Waswas ketika solat

Menurut Imam Nawawi, antara kelebihan yang akan diperoleh oleh sesiapa yang berwuduk dengan sempurna lalu sembahyang dua rakaat maka dia akan dijauhi daripada bisikan syaitan dan waswas. Rujuk: Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah (43/149).

Hal ini dapat dilihat berdasarkan sabda Nabi SAW; Daripada Khalid Al-Juhani RA, Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian dia bersolat dua rakaat dan tidak lalai ketika mengerjakannya (wuduk dan solat), maka diampunkan baginya dosanya yang telah lalu." (Riwayat Abu Daud (905).

Kesimpulan

Kami berpandangan penyakit waswas adalah satu perkara yang mampu diubati.Sifat prihatin dan mengambil cakna kepada cara-cara untuk mengatasi dan melawan penyakit waswas ini perlu ditekankan, agar dilindungi daripada tipu daya syaitan.

Seterusnya marilah sama-sama kita berdoa memohon perlindungan daripada ALLAH daripada godaan syaitan yang tercela kerana hanya ALLAH tempat kita memohon perlindungan dan penyembuhan daripada sebarang penyakit. Sepertimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Syu'ara' ayat 80.

Sesungguhnya, penyakit dan penyembuhan itu adalah daripada ALLAH semuanya. Kedua-duanya itu terjadi disebabkan qadak dan qadar ALLAH kepada hamba-Nya. Penyakit di sini menunjukkan kepada penyakit zahir (tubuh badan) dan penyakit batin (dalaman). Rujuk: Tafsir Al-Munir (19/168).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Tanda-Tanda Hati Yang Kotor

sumber: sinarharian

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (27 Oktober)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (27 Oktober)

Tanggal 27 Oktober merupakan hari ke 300 (hari ke 301 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 65 hari lagi sebelum memasuki tahun seterusnya.

Saturn I
Saturn I.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Kemerdekaan di Saint Vincent dan Grenadines (1979) serta di Turkmenistan (1991).

Peristiwa

1553 - Dihukum sebagai pembidaah, Michael Servetus dibakar di kayu pancang di luar Geneva.

1904 - Bahagian pertama Keretapi Bawah Tanah New York dibuka, menyambungkan Dewan Bandar Raya dan Harlem.

1944 - Perang Dunia II: Tentera Jerman menawan Banská Bystrica, pusat penentangan anti-Nazi di Slovakia, membantu menamatkan Pemberontakan Kebangsaan Slovakia keesokan harinya.

1958 - Jeneral Muhammad Ayub Khan menggulingkan Iskander Mirza dalam satu rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah untuk menjadi Presiden Pakistan kedua, tidak sampai tiga minggu selepas Mirza melantiknya sebagai penguatkuasa pemerintahan tentera.

1961 - NASA melancarkan roket Saturn I yang pertama, kapal angkasa lepas Amerika Syarikat yang pertama direka khusus untuk melancarkan muatan ke orbit Bumi.

1971 - Republik Demokratik Congo dinamakan semula sebagai Zaire.

1987 – Seramai 19 orang aktivis dan ahli politik telah ditangkap dan didakwa dibawah ISA pada hari pertama Operasi Lalang.

Kelahiran

1728 - James Cook, ahli pelayar Kerajaan Great Britain.

1858 - Theodore Roosevelt, Presiden Amerika Syarikat ke-26.

1953 - Robert Picardo, pelakon Amerika Syarikat.

Kematian

2007 - Othman Saat, Menteri Besar Johor ke-11.

2010 - Setiausaha Agung UNASUR dan bekas Presiden Argentina Néstor Kirchner.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (26 Oktober)

sumber: wikipedia

Thursday, October 26, 2017

Video Bripda Nindya Polis Mirip Nike Ardilla Viral Di Indonesia

Video Bripda Nindya Polis Mirip Nike Ardilla Viral Di Indonesia

Bripda Nindya Pratiwi seorang anggota polis wanita dari Indonesia yang kini sedang heboh diperkatakan di semua platform media sosial.

Bripda Nindya

Bukan hanya memiliki wajah yang ayu malah, Nindya juga dianugerahkan bakat suara yang merdu biarpun menyanyi tanpa diiringi instrumen muzik.

Nindya mula meraih perhatian netizen apabila dia memuatnaik sepotong video menyanyikan lagu Bintang Kehidupan (nyanyian asal Nike Ardilla) sambil diiringi keyboard di Instagramnya.

Video itu telah ditonton lebih 500,000 kali dan mendapat lebih 1,000 komen.

"Suara sangat mirip Nike Ardilla. Teruskan!" puji @cecepcitiis.

"Sudahlah cantik, suara pula bagus," tulis @ranran.maharani.

Sepotong video Nindya menyanyikan lagu Salahkan Bila Diriku Terlalu Mencintaimu (nyanyian asal Fatin Shidqia) secara akustik dengan petikan gitar dan lagu From This Moment (Shania Twain) juga mencuri tumpuan netizen.

Terbaharu, videonya menyanyikan semula lagu hits Armada Band, Asal Kau Bahagia secara bersahaja di lobi sebuah hotel mula mencuri perhatian.

Bukan hanya vokalnya dipuji netizen malah ada yang menyamakan Nindya mirip penyanyi berkenaan memandangkan potongan rambut yang seakan-akan serupa.

Selepas video nyanyiannya tular di Internet, Nindya yang bertugas di Polda Metropolitan Jakarta Raya telah beberapa kali diudang ke beberapa rancangan televisyen untuk mempersembahkan bakat nyanyiannya secara langsung.

Terbaharu, videonya menyanyikan semula lagu hits Armada Band, Asal Kau Bahagia secara bersahaja di lobi sebuah hotel mula mencuri perhatian.

Saksikan videonya dibawah.

BACA INI JUGA: Misteri Pintu Kaca Balai Polis Melaka Terbuka Sendiri!


sumber: astroawani

'Berian Mati' Suku Kaum Murut Di Sabah

'Berian Mati' Suku Kaum Murut Di Sabah

Kebiasaannya adat merangkumi dari aspek kelahiran, perkahwinan sehinggalah adat kematian dan pengurusannya dan adat-adat ini sebenarnya terdapat di dalam semua masyarakat di seluruh dunia.

Berian mati

Adat resam merupakan adat yang diperturunkan dan menjadi kebiasaan dalam sesebuah masyarakat atau kaum. Seperti pepatah yang mengatakan ‘ selagi adat di kandung tanah, selagi itulah adat dijunjung’ atau ‘biar mati anak jangan mati adat’.

Adat yang diamalkan oleh sesuatu kaum mempunyai kepentingan yang tersendiri samada adat tersebut bertindak sebagai hukuman atau sebagai alat sosialisasi dalam masyarakat.

Tidak dinafikan bahawa setiap adat yang diamalkan mempunyai kepentingan bagi sesebuah kaum mengekalkan keharmoniannya.

Untuk pengetahuan pembaca, suku kaum yang paling kuat berpegang dengan adat ialah kaum Murut dan mereka merupakan kaum ketiga terbesar di negeri Sabah.

Adat-adat yang mereka amalkan diwarisi oleh nenek moyang mereka sejak dahulu kala lagi dan adat-dat telah menjadi ikutan generasi hari ini, walaupun tidak semua yang masih berpegang dan mengamalkan adat yang diwarisinya.

Adat yang diwarisi dan dipercayai masih diamalkan sehingga kini ialah adat ‘berian mati’ adat yang sebati dan sinonim dengan masyarakat Murut Tagol di negeri Sabah yang biasanya tinggal di kawasan pedalaman khasnya di daerah Sepulut.

Adat ‘berian mati’ yang diamalkan oleh kaum ini telah memberikan tanggapan yang negatif kepada mereka sendiri kerana adat ini dikatakan sangat membebankan kehidupan seharian khususnya kepada pihak lelaki yang sudah berkahwin.

Berian mati membawa maksud ‘kemurahan hati’ anak menantu terhadap setiap permintaan daripada pihak keluarga mentua dan bukannya menginginkan sesuatu harta benda sehingga mati.

Namun begitu, masyarakat Murut menganggap berian mati bukanlah bererti membebankan akan tetapi sebagai platform dalam mengeratkan lagi hubungan tali persaudaraan di antara kedua-dua belah pihak keluarga

Dalam bahasa Melayu perkataan berian bermaksud ‘Mas Kahwin’ dan dalam bahasa Inggeris pula bermaksud ‘Dowry’.

Perkataan berian diberikan oleh bangsa Murut di Sabah dan perkataan ini bermaksud mas kahwin ataupun barang-barang hantaran yang diberikan kepada keluarga perempuan daripada keluarga pihak lelaki semasa berlangsungnya perkahwinan atau sepanjang tempoh perkahwinan.

Jadi secara ringkasnya ‘berian mati’ boleh disimpulkan sebagai mas kahwin atau barang-barang hantaran yang dituntut atau diminta oleh keluarga pihak perempuan daripada keluarga pihak lelaki bermula dari perkahwinan sehingga ke akhir hayat.

Berian mati telah lama diamalkan dan adat ini diperturunkan secara turun-temurun oleh generasi terdahulu oleh nenek moyang mereka.

Apabila anda ingin memperisterikan seorang gadis Murut, keluarga gadis tersebut akan menagih berian dari pihak anda (pihak lelaki) sehingga akhir hayat.

Walaupun sudah bertahun-tahun usia perkahwinan dan sudah beranak-pinak berian tetap ditagih dan perlu dibayar kepada keluarga gadis.

Menurut cerita yang disampaikan oleh kaum Dusun dan masyarakat atau kaum lain di Sabah mengatakan bahawa gadis Murut memiliki berian atau mas kahwin yang sangat mahal berbanding kaum-kaum lain di Malaysia.

Keluarga belah lelaki akan turut menanggung kesusahan yang sama jika keluarga isterinya menghadapi masalah seperti kematian, saudara mara berkahwin, menghadapi perkahwinan dan menghadiri ‘Tinauh’.

Keluarga suami akan turut membantu keluarga sebelah isterinya dengan memberi barang-barang atau arta benda kepada keluarga perempuan seperti tajau, kain sarung, emas, gong, duit dan sebagainya.

Selain ibubapa perempuan yang dikahwini meminta pertolongan, keluarga lain juga turut melakukan hal yang sama kepada pihak lelaki.

Adat ini amat membebankan masyarakat Murut tetapi memandangkan adat ini sudah lama diamalkan, maka adat ini terus menjadi amalan tradisi masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut Sabah.

‘Berian Mati’ juga dapat dilihat apabila keluarga pihak perempuan pergi mengunjugi rumah pihak lelaki selepas kahwin, keluarga pihak perempuan akan meminta apa saja yang disukai dan dijumpai oleh mata mereka dalam rumah menantu lelaki.

Pada masa itu juga, keluarga pihak perempuan akan terus mengambil benda ataupun barang tersebut misalnya televisyen, peti sujuk, tajau, gong, kain sarung, emas, basikal dan apa sahaja yang ditemui ketika berada di rumah pihak lelaki.

Pihak lelaki pula tidak berbuat apa-apa dan membenarkan saja permintaan keluarga pihak perempuan sebagai tanda hormat kepada mertuanya.

Untuk memiliki seorang gadis Murut, pihak lelaki terpaksa menanggung beberapa risiko tinggi untuk memenuhi tuntutan berian daripada keluarga pihak perempuan.

Keluarga pihak perempuan berhak menuntut berian apa saja pada bila-bila masa. Pihak lelaki pula terpaksa menurut permintaan daripada keluarga perempuan untuk menjaga maruah keluarga.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: urangsabah

21 Resepi Minuman Detox, Selamat Dan Menyihatkan Badan

21 Resepi Minuman Detox, Selamat Dan Menyihatkan Badan

Banyak kelebihan yang diperolehi melalui pengambilan air minuman detox ini terutamanya ia membantu menguruskan badan secara sihat tanpa mengambil sebarang produk pelangsingan badan.

Detox

Air detox memang sangat berkesan, jimat dan mudah untuk disediakan kerana bahan-bahan utama yang digunakan berasaskan air, campuran buah-buahan dan herba.

Antara kebaikan air detox:
  • mengawal keseimbangan paras gula dalam darah
  • membantu sistem pencernaan dan penghadaman lebih baik dan lancar
  • membantu mencairkan lemak
  • menyahtoksin dalam badan
  • menperkukuhkan sistem imun tubuh
  • mengatasi masalah sembelit
  • mengawal selera makan
  • mengempis dan menjadikan perut rata
  • pemulihan dan pembinaan semula sel dalam tubuh
  • menjadikan kulit lebih sihat dan berseri
  • sakit berkurangan dan alahan
  • membantu merawat pedih ulu hati
  • meningkatkan tenaga dan kadar metabolisme
  • menurunkan paras kolestrol
  • merawat stres dan sakit kepala

Tubuh kita mengandungi kira-kira 70 peratus air dan ini bermakna setiap hari, sekurang-kurangnya 8 hingga 10 gelas atau bersamaan dengan 2 hingga 3 liter air yang perlu kita minum.

Minum air dengan secukupnya akan memberikan banyak manfaat kepada kesihatan kita. Ia membantu menyingkirkan toksin dalam tubuh dan menjadikan kita lebih bertenaga, peka dan fokus. Di samping itu, ia menjadikan kulit kekal lembap dan berseri manakala rambut akan menjadi lebih kuat dan bersinar.

Tetapi mampukah kita minum air putih semata tanpa sebarang rasa? Pengambilan air yang disarankan boleh dicukupkan jika kita pandai mempelbagaikan rasanya dan penyediaannya.

Sekiranya anda dalam proses berdiet dan menguruskan badan, sebaik-baiknya elakkan pengambilan gula dalam makanan dan juga minuman. Kerana itulah diperkenalkan infused detox water atau lebih dikenali sebagai air detox.

Kami ingin kongsikan kepada anda 21 resepi minuman air detox yang telah dipelbagaikan dan anda mesti cuba dan buat sendiri di rumah.

Anda boleh minum air ini pada bila-bila masa sahaja seperti minum air kosong cuma air detox lebih menyihatkan, penyediaannya yang menarik dan berperisa, sedap baunya, malahan ianya juga amat menyegarkan.

21 Resepi Air Minuman Detox

1. Teh hijau + daun pudina + limau nipis

Ramai yang tahu teh hijau bagus untuk mengurangkan berat badan. Untuk membuat air detox atau infused water ini rendamkan 10 helai teh hijau dengan air panas.

Jika tiada daun teh hijau, boleh juga gunakan 2 sudu besar serbuk teh hijau. Rendam seketika dan tapis habuknya.

Kemudian ambil perahan jus sebiji limau nipis dan 5 helai daun pudina. Gaulkan semua bahan ini ke dalam teko yang berisi air.

Air ini sedap diminum ketika masih suam mahupun sejuk. Air detox ini membantu mempercepatkan proses pembakaran lemak dalam badan, melancarkan sistem pencernaan kita dan mengurangkan sakit kepala.

2. Strawberi + kiwi + daun pudina

Tubuh kita memerlukan glukosa untuk mendapatkan tenaga yang akan digunakan oleh tubuh agar dapat berfungsi dengan baik.

Campuran strawberi, kiwi dan daun pudina berfungsi untuk menyokong gula dalam darah dan membantu sistem penghadaman dengan lebih baik.

Resepi air minuman detox ini juga bagus diamalkan oleh mereka yang mengalami masalah kekurangan darah.

Gabungkan hirisan 2 biji buah kiwi dengan beberapa biji buah strawberi dan 7 helai daun pudina ke dalam jag minuman anda. Sejukkan seketika di dalam peti sejuk untuk lebih sedap.

Kiwi kaya dengan Vitamin A dan E yang membantu melawan radikal bebas serta mengeluarkan toksin, manakala strawberi pula bagus untuk kesihatan dan kecantikan kulit.

3. Timun + lemon + limau nipis

Air detox ini dipanggil juga sebagai ‘detox water 3-in-1’. Hasil campuran timun, lemon dan limau nipis membantu menjadikan kulit lebih lembut, membantu masalah pencernaan dan sekaligus dapat mengawal selera makan anda.

Jadi, kepada anda yang sedang berdiet, air minuman ini sangat sesuai untuk diamalkan kerana membantu mempercepatkan proses penurunan berat badan.

Kaedahnya, hiris sebatang timun, sebiji buah lemon dan sebiji limau nipis. Masukkan ketiga-tiga bahan ini ke dalam jag yang berisi 1 liter air.

Boleh simpankan ia di dalam peti atau masukkan beberapa ketul kiub ais untuk lebih kesegaran.

4. Limau nipis + buah oren + lemon

Sistem pertahanan dalam tubuh manusia sangat berguna bagi memastikan agar kita kekal sihat dan bertenaga untuk melakukan pelbagai aktiviti harian.

Dengan adanya sistem imun yang kuat, ia dapat melindungi tubuh kita seterusnya terhindar dari pelbagai jenis penyakit.

Gabungan rendaman air detox ini terhasil daripada 1/2 biji limau nipis, 1/2 biji buah oren dan 1/2 biji buah lemon yang diperahkan jusnya atau boleh juga dibiarkan terendam selama beberapa jam di dalam gelas yang berisi air kosong.

Boleh juga ditambahkan 3 helai daun pudina jika suka.

Amalan minum air ini bukan sahaja dapat meningkatkan sistem pertahanan tubuh malahan memudahkan sistem perncernaan dan membantu melegakan pedih ulu hati.

5. Timun + lemon + halia + daun pudina

Resipi air ini sangat membantu bagi mereka yang memiliki perut boroi atau buncit yang berhasrat untuk kempiskan perut.

Resepi air ini sangat mudah untuk disediakan kerana bahan-bahannya juga senang diperolehi.

Gabungan antara timun, lemon, halia dan daun pudina sangat bagus untuk mendapatkan perut yang menawan.

Caranya, sediakan 1 jag air masak dan hiris sebatang timun, 1/2 biji lemon, 1/2 inci halia.

Rendamkan kesemua bahan bersama segenggam daun pudina. Biarkan di dalam peti sejuk selama 2 hingga 3 jam sebelum nikmatinya ketika cuaca panas.

Wah, kesegarannya sampai bergetar tulang rusuk.

6. Grapefruit + halia + lemon + limau nipis + daun pudina

Ambil sebiji buah grapefruit, 1/2 batang timun, 1/2 biji buah lemon dan sebiji buah limau nipis, kemudian dihiris-hiris.

Campurkan kesemua bahan ini dengan beberapa helaian daun pudina ke dalam jag berisi air. Simpankannya di dalam peti sejuk selama 2 jam dan sedia untuk diminum.

Khasiat yang terkandung dalam buah grapefruit membantu dalam pembakaran lemak, manakala lemon dan limau nipis bertindak dalam penyingkiran toksin dalam badan.

Halia yang bersifat anti-radang membantu mempercepatkan penyembuhan serta membuang angin dalam badan. Daun pudina pula memudahkan aktiviti perkumuhan sistem badan.

7. Epal merah + epal hijau + kulit kayu manis

Masukkan hirisan sebiji buah epal merah dan sebiji epal hijau dengan 1 batang kayu manis ke dalam jag yang berisi air.

Sejukkan dalam peti ais selama 1 jam. Anda boleh menggunakan bahan ini berulang kali sehingga 4 kali.

Campuran bahan-bahan ini dapat membantu mengurangkan lemak, menurunkan paras kolestrol dan meningkatkan kadar metabolisme.

8. Strawberi + tembikai + daun pudina

Warnanya yang merah terang sudah tentu mampu memikat dan menaikkan hasrat anda untuk mencuba air detox hasil gabungan kedua-dua buah ini.

Campurkan secawan strawberi bersama 5 hirisan tembikai yang dipotong kecil dan rendamkannya ke dalam 1 jag air.

Untuk aroma yang lebih memikat, masukkan beberapa helai daun pudina. Sejukkan air minuman ini antara 4 hingga 6 jam di dalam peti sejuk dan nikmatinya pada bila-bila masa.

Khasiat air detox ini berfungsi sebagai anti-radang dan mencantikkan kulit.

9. Cuka epal + lemon + kulit kayu manis + epal

Cuka epal memang banyak khasiatnya. Tambahkan 2 sudu besar cuka epal pada pengisar yang sudah diisikan dengan 1 sudu jus lemon dan 1 serbuk kayu manis. Kisar sehingga halus.

Masukkan ke dalam setengah jag air dan jangan lupa letakkan sebiji epal yang telah dihiris nipis.  Gaul dan biarkan seketika supaya air sebati dengan bahan-bahan tersebut.

Buah epal kaya dengan serat yang membantu memudahkan perkumuhan sementara kayu manis pula membantu mengawal selera makan.

10. Halia + lemon

Halia merupakan penawar bagi banyak penyakit yang berkaitan dengan sistem penghadaman dan pencernaan.

Masukkan jus perahan 1/2 biji lemon dan hirisan 1/2 inci halia ke dalam air. Cuba amalkan air detox ini pada setiap pagi dan ia mampu merawat segala kesakitan dalam badan.

Campuran halia dan lemon berhasil sebagai agen penyahtoksin dalam badan dan begitu berkesan sebagai ubat semula jadi dalam merawat selesema.

11. Aloe vera + lemon

Aloe vera membantu memudahkan penghadaman dalam perut, selain menghilangkan rasa letih dan meningkatkan tenaga.

Kaedah penyediaannya adalah dengan mengambil sebatang aloe vera dan ambil isi berserta lendirnya, lalu dikisar halus dengan campuran perahan jus lemon sedikit air.

Anda boleh juga menggunakan pati atau ekstrak aloe vera yang telah dijadikan gel sekiranya tidak tahan dengan rasa dan bau aslinya yang agak kuat.

Campurkan 3 sudu gel aloe vera dan 2 sudu besar jus lemon. Kacau rata dan minum ketika sejuk.

12. Lemon + limau nipis + oren + timun + halia + daun pudina

Bagi yang sering kembung perut, boleh cuba amalkan minuman detox ini dengan mencampurkan 1/2 biji lemon, 1/2 biji limu nipis, 1/2 biji oren, 1/2 batang timun dan 1/2 inci halia.

Hiriskan kesemua bahan dan rendamkan ke dalam 1 jag berisi air bersama-sama dengan segenggam daun pudina.

Simpan dan sejukkan air ini ke dalam peti sejuk selama 2 jam. Kelebihan air detox ini ia dapat mencuci buah pinggang anda.

Namun, sekiranya air detox ini tidak diminum dan dihabiskan dalam masa 24 jam, buangkan ia dan buat air menggunakan bahan-bahan yang baru.

13. Strawberi + nanas + cuka epal + daun basil

Corak gaya hidup masa kini yang kian mencabar sering membuatkan kita rasa stress dan tanpa sedar apa sahaja makanan atau minuman yang manis akan menjadi ‘santapan’ untuk kita tenangkan diri.

Tetapi, tahukah anda bahawa pengambilan gula yang berlebihan terutamanya dalam minuman bikarbonat akan menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan terutamanya penyakit jantung, kegemukan dan diabetes.

Oleh itu, cara yang paling selamat dan berkesan untuk mengurangkan stres adalah dengan menggantikan segala manisan dengan minuman air detox yang berkhasiat iaitu campurkan 5 biji buah strawberi, 1/2 cawan nanas dipotong kecil, 2 sudu besar cuka epal, 5 helai daun basil dan beberapa kiub ais ke dalam jag yang berisi air.

Gaulkan kesemua bahan ini sehingga sebati dan nikmatilah air minuman segar ini dengan rasa yang sedikit masam dan manisnya.

14. Nanas + daun pudina

Nanas merupakan bahan anti-radang yang membantu melegakan sakit sendi dan artritis. Daun pudina menyokong sistem penghadaman dengan mengaktifkan kelenjar air liur dan enzim pencernaan.

Cara untuk membuat air ini ialah ambil 1/2 biji nanas dan potong kecil-kecil mengikut citarasa anda.

Masukkan potongan buah ini ke dalam jag yang berisi 1 liter air dan tambahkan dengan segenggam daun pudina.

Tutup dan simpankan ia ke dalam peti ais. Biarkan semalaman agar campuran ini sebati sepenuhnya.

15. Strawberi + limau nipis + timun + daun pudina

Penyediaannya mudah malah ia juga rendah kalori. Hanya belahkan 7 biji strawberi, kemudian hiriskan sebiji limau nipis dan 1/2 batang timun.

Masukkan kesemuanya ke dalam jag yang berisi air. Letakkan beberapa kiub ais dan 5 helai daun pudina.

Strawberi terkenal dengan khasiat buahnya yang kaya dengan antioksidan, timun pula bersifat deuretik yang membantu dalam penyahidratan, manakala limau nipis adalah sangat baik yang bertindak sebagai agen anti-penuaan serta memulihkan kembali rambut, kulit dan kuku.

16. Tembikai

Buah tembikai biasanya dimakan sebagai pencuci mulut. Khasiatnya kaya dengan air, serat, mineral dan vitaminnya.

Jika ada lebihan buah ini, jangan biarkan ia tersimpan di dalam peti begitu sahaja. Potong buah tembikai ini kecil-kecil, masukkan air masak ke dalam jag pengisar separas buah dan kisar halus. Sejukkan seketika dan sedia untuk diminum.

Tetapi harus diingat, jus tembikai tidak mampu bertahan lama, jadi buangkan ia jika tidak diminum dalam masa 24 jam dan buat sahaja yang baru.

17. Lemon + daun pudina

Air detox yang paling cepat dan mudah penyediaannya ialah dengan mengambil setengah biji lemon, lalu diperahkan ke dalam segelas air masak. Rendam seketika dengan beberapa helai daun pudina.

Minum dan amalkan setiap pagi sebaik sahaja bangun dari tidur.

Amalan meminum air ini dapat memecahkan lemak di samping membantu sistem tubuh menyahtoksin yang terkumpul dalam badan. Ini akan menjadikan anda lebih sihat dan cergas.

Jadi, bagi anda yang berhasrat ingin segera kurus, air detox ini sangat membantu.

18. Epal + kulit kayu manis + rhubarb

Hiris sebiji epal dan sebatang rhubarb, lalu masukkan bersama sebatang kulit kayu manis ke dalam segelas air yang berisi 3 ketul ais.

Buah epal membantu dalam mengekalkan kesihatan tulang dan otot, manakala kayu manis pula merupakan salah satu herba yang paling berkesan sebagai penggalak metabolisme.

Rhubarb pula merupakan sayuran merah yang mengandungi vitamin K yang membantu dalam pembekuan darah.

Ia juga mengandungi beberapa antioksidan yang membantu meningkatkan kesihatan kulit, mata, jantung dan sistem imun pada tubuh badan serta membantu metabolisma lemak.

Ia digunakan untuk merawat buasir, darah beku, sembelit dan kolesterol tinggi.

Namun begitu, tumbuhan rhubarb ini tidak sesuai untuk mereka yang menghidap gout, batu karang, wanita hamil, ibu yang menyusukan anak dan sewaktu haid.

19. Timun + raspberi + anggur

Apa yang anda perlu sediakan ialah 1/2 batang timun dihiris nipis, 5 biji raspberi dan 10 biji anggur hitam dibelah dua.

Masukkan kesemuanya di dalam segelas air dan biarkan sejuk selama 1 jam di dalam peti. Air ini bertambah sedap sekiranya bahan-bahan ini dibiarkan lebih lama terendam.

Timun membantu mengembalikan kesegaran akibat penghidratan dan juga baik untuk sistem pencernaan selain membantu membersih dan menyingkirkan toksin dalam badan.

Raspberi pula bertindak sebagai agen anti-radang, manakala khasiat yang terkandung dalam anggur bertindak sebagai anti-kanser.

Gabungan ketiga-tiga bahan ini sangat membantu anda yang mementingkan kesihatan dan kesejahteraan hidup.

Air detox ini sangat sesuai bagi perokok tegar yang berazam untuk berhenti dari merokok.

20. Beri

Inginkan kelainan rasa selain strawberi? Jom cuba resepi istimewa ini dengan masukkan secawan beri sama ada gabungan acai beri, bluberi, mulberi, raspberi dan kranberi atau boleh juga dicampurkan kesemua buah-buahan ini ke dalam mesin pengisar dan isikannya dengan sedikit air separas buah.

Untuk kesegaran, tambahkan beberapa kiub ais. Biarkan seketika dan sedia untuk diminum.

Keluarga beri dikatakan mengandungi antosianin dan paras antioksidan yang tinggi selain kaya dengan sumber fiber yang berfungsi menambah baik sistem penghadaman.

Manakala Vitamin C yang terkandung di dalamnya pula membantu meningkatkan tenaga dan sistem imunisasi, sebagai anti-radikal bebas, membantu menyihat dan mencerahkan mata, merawat serangan asma serta mengurangkan kolesterol dan memecahkan lemak.

Malah berita baiknya terutamanya bagi kaum wanita, khasiat keluarga beri ini membantu membuatkan kulit anda lebih awet muda, sihat dan berseri.

Jadi, tidak hairanlah semua produk kesihatan, kecantikan dan pelangsingan banyak menggunakan beri sebagai ramuan khusus.

21. Campuran buah-buahan (cocktail)

Di sini anda mempunyai kebebasan dalam penyediaan minuman detox yang mana anda punya banyak pilihan untuk menggabungkan buah-buahan yang disukai atau boleh juga dengan menambah semua buah-buahan untuk nikmati rasa yang pelbagai.

Tetapi harus diingat, tiada penggunaan buah pisang sebagai minuman detox anda kerana kandungan gula dan karbohidratnya yang agak tinggi.

Selamat mencuba.

BACA INI JUGA: Salah Ramuan Punca Diet Teh Gagal

sumber: diarikurus

Saintis Bingung Selepas Kanak-kanak Tertidur Selama 11 Hari

Saintis Bingung Selepas Kanak-kanak Tertidur Selama 11 Hari

Seorang budak lelaki berusia tujuh tahun membuatkan pakar perubatan bingung selepas dia tidur selama 11 hari. Wyatt Shaw yang berasal dari Elizabethtown, Kentucky baru bangun daripada tidur yang panjang itu dan dia menghadapi kesukaran bercakap dan bergerak.

Wyatt Shaw

Ibunya Shaw, Amy Thompson berkata, anaknya tidur seperti biasa selepas menghadiri majlis perkahwinan ibu saudaranya.

Katanya, pada waktu pagi, dia mengejutkan Shaw namun dia tidak bangun dan hanya membuka sedikit mata sebelum tidur semula.

“Saya memegang badannya dan memanggil namanya beberapa kali dan dia tidur semula. Ia sangat menakutkan,” katanya.

Kerana bimbang sesuatu yang buruk, Amy membawa anaknya berjumpa doktor sebelum budak itu dirujuk ke Hospital Kanak-Kanak Norton di Louisville di mana dia tidur selama 10 hari.

Selepas membuat beberapa ujian doktor mendapati Shaw bebas daripada sebarang penyakit atau jangkitan kuman atau virus.

“Doktor percaya Shaw mungkin mengalami sedikit gangguan di otaknya yang menyebabkan dia terus tidur,” jelasnya.

Doktor kemudiannya menggunakan ubat baru bagi merawat sawan untuk membangunkan Shaw dan selepas 11 hari kanak-kanak itu akhirnya terjaga.

Shaw pada mulanya tidak boleh bercakap atau bergerak tetapi selepas mendapat rawatan kanak-kanak itu semakin pulih.

Penyakit pelik!

BACA INI JUGA: Aneh! Penyakit Tiba-tiba Tertidur Yang Tiada Ubatnya

sumber: hmetro

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (26 Oktober)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (26 Oktober)

Tarikh 26 Oktober merupakan hari ke 299 (hari ke 300 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 66 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Pertempuran Teluk Leyte
Pertempuran Teluk Leyte.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Angam di Nauru, Hari Kebangsaan di Austria (1955), Hari Perayaan Demetrius dari Thessaloniki dan sambutan Hari Kemerdekaan di Austria 1955.

Peristiwa

1597 - Perang Imjin: 12 kapal Korea pimpinan Laksamana Yi Sun-sin menewaskan serangan armada besar Jepun dalam Pertempuran Myeongnyang.

1863 - Badan pentadbiran bola sepak yang tertua, The Football Association ditubuhkan di London, England.

1881 - Tembak-menembak di Kandang O.K. terjadi di Tombstone, Arizona, Amerika Syarikat antara puak Wyatt Earp dan geng Ike Clanton.

1937 - Perang China-Jepun Kedua: Xie Jinyuan dan askar Tentera Revolusi Nasional memulakan Pertahanan Gudang Sihang terhadap serangan Jepun semasa Pertempuran Shanghai.

1940 - P-51 Mustang North American Aviation, antara pesawat pejuang paling berkesan bagi Pihak Berikat semasa Perang Dunia II, menjalani penerbangan sulungnya.

1944 - Pertempuran Teluk Leyte mengesahkan kekalahan Tentera Laut Empayar Jepun dalam kancah Pasifik Perang Dunia Kedua.

1955 - Perdana Menteri Ngô Đình Diệm mengisytiharkan dirinya Presiden Vietnam Selatan yang pertama, menggantikan Maharaja Nguyễn Bảo Đại sebagai ketua negara.

2001 - Presiden A.S. George W. Bush meluluskan Akta Patriot, memperluas kuasa agensi penguatkuasa undang-undang negara itu dengan nyata sekali dalam melawan keganasan.

2009 – Zine El Abidine Ben Ali memenangi penggal kelimanya sebagai Presiden Tunisia.

2010 – Satu gempa bumi dan tsunami yang terhasil di persisiran Sumatera, Indonesia, mengorbankan lebih 400 orang dan menyebabkan ratusan lagi hilang.

Kelahiran

1884 - Andrew Caldecott, seorang pentadbir kolonial British.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (25 Oktober)

sumber: wikipedia