Thursday, October 26, 2017

'Berian Mati' Suku Kaum Murut Di Sabah


Kebiasaannya adat merangkumi dari aspek kelahiran, perkahwinan sehinggalah adat kematian dan pengurusannya dan adat-adat ini sebenarnya terdapat di dalam semua masyarakat di seluruh dunia.

Berian mati

Adat resam merupakan adat yang diperturunkan dan menjadi kebiasaan dalam sesebuah masyarakat atau kaum. Seperti pepatah yang mengatakan ‘ selagi adat di kandung tanah, selagi itulah adat dijunjung’ atau ‘biar mati anak jangan mati adat’.

Adat yang diamalkan oleh sesuatu kaum mempunyai kepentingan yang tersendiri samada adat tersebut bertindak sebagai hukuman atau sebagai alat sosialisasi dalam masyarakat.

Tidak dinafikan bahawa setiap adat yang diamalkan mempunyai kepentingan bagi sesebuah kaum mengekalkan keharmoniannya.

Untuk pengetahuan pembaca, suku kaum yang paling kuat berpegang dengan adat ialah kaum Murut dan mereka merupakan kaum ketiga terbesar di negeri Sabah.

Adat-adat yang mereka amalkan diwarisi oleh nenek moyang mereka sejak dahulu kala lagi dan adat-dat telah menjadi ikutan generasi hari ini, walaupun tidak semua yang masih berpegang dan mengamalkan adat yang diwarisinya.

Adat yang diwarisi dan dipercayai masih diamalkan sehingga kini ialah adat ‘berian mati’ adat yang sebati dan sinonim dengan masyarakat Murut Tagol di negeri Sabah yang biasanya tinggal di kawasan pedalaman khasnya di daerah Sepulut.

Adat ‘berian mati’ yang diamalkan oleh kaum ini telah memberikan tanggapan yang negatif kepada mereka sendiri kerana adat ini dikatakan sangat membebankan kehidupan seharian khususnya kepada pihak lelaki yang sudah berkahwin.

Berian mati membawa maksud ‘kemurahan hati’ anak menantu terhadap setiap permintaan daripada pihak keluarga mentua dan bukannya menginginkan sesuatu harta benda sehingga mati.

Namun begitu, masyarakat Murut menganggap berian mati bukanlah bererti membebankan akan tetapi sebagai platform dalam mengeratkan lagi hubungan tali persaudaraan di antara kedua-dua belah pihak keluarga

Dalam bahasa Melayu perkataan berian bermaksud ‘Mas Kahwin’ dan dalam bahasa Inggeris pula bermaksud ‘Dowry’.

Perkataan berian diberikan oleh bangsa Murut di Sabah dan perkataan ini bermaksud mas kahwin ataupun barang-barang hantaran yang diberikan kepada keluarga perempuan daripada keluarga pihak lelaki semasa berlangsungnya perkahwinan atau sepanjang tempoh perkahwinan.

Jadi secara ringkasnya ‘berian mati’ boleh disimpulkan sebagai mas kahwin atau barang-barang hantaran yang dituntut atau diminta oleh keluarga pihak perempuan daripada keluarga pihak lelaki bermula dari perkahwinan sehingga ke akhir hayat.

Berian mati telah lama diamalkan dan adat ini diperturunkan secara turun-temurun oleh generasi terdahulu oleh nenek moyang mereka.

Apabila anda ingin memperisterikan seorang gadis Murut, keluarga gadis tersebut akan menagih berian dari pihak anda (pihak lelaki) sehingga akhir hayat.

Walaupun sudah bertahun-tahun usia perkahwinan dan sudah beranak-pinak berian tetap ditagih dan perlu dibayar kepada keluarga gadis.

Menurut cerita yang disampaikan oleh kaum Dusun dan masyarakat atau kaum lain di Sabah mengatakan bahawa gadis Murut memiliki berian atau mas kahwin yang sangat mahal berbanding kaum-kaum lain di Malaysia.

Keluarga belah lelaki akan turut menanggung kesusahan yang sama jika keluarga isterinya menghadapi masalah seperti kematian, saudara mara berkahwin, menghadapi perkahwinan dan menghadiri ‘Tinauh’.

Keluarga suami akan turut membantu keluarga sebelah isterinya dengan memberi barang-barang atau arta benda kepada keluarga perempuan seperti tajau, kain sarung, emas, gong, duit dan sebagainya.

Selain ibubapa perempuan yang dikahwini meminta pertolongan, keluarga lain juga turut melakukan hal yang sama kepada pihak lelaki.

Adat ini amat membebankan masyarakat Murut tetapi memandangkan adat ini sudah lama diamalkan, maka adat ini terus menjadi amalan tradisi masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut Sabah.

‘Berian Mati’ juga dapat dilihat apabila keluarga pihak perempuan pergi mengunjugi rumah pihak lelaki selepas kahwin, keluarga pihak perempuan akan meminta apa saja yang disukai dan dijumpai oleh mata mereka dalam rumah menantu lelaki.

Pada masa itu juga, keluarga pihak perempuan akan terus mengambil benda ataupun barang tersebut misalnya televisyen, peti sujuk, tajau, gong, kain sarung, emas, basikal dan apa sahaja yang ditemui ketika berada di rumah pihak lelaki.

Pihak lelaki pula tidak berbuat apa-apa dan membenarkan saja permintaan keluarga pihak perempuan sebagai tanda hormat kepada mertuanya.

Untuk memiliki seorang gadis Murut, pihak lelaki terpaksa menanggung beberapa risiko tinggi untuk memenuhi tuntutan berian daripada keluarga pihak perempuan.

Keluarga pihak perempuan berhak menuntut berian apa saja pada bila-bila masa. Pihak lelaki pula terpaksa menurut permintaan daripada keluarga perempuan untuk menjaga maruah keluarga.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: urangsabah

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon