Wednesday, September 20, 2017

Butang Snooze Facebook Cara 'Padam' Rakan Menjengkelkan

Butang Snooze Facebook Cara 'Padam' Rakan Menjengkelkan

Facebook kini sedang dalam proses menguji butang snooze, yang merupakan salah satu pembaharuan untuk menaik taraf elemen 'mesra pengguna' laman sosial paling popular itu.

Snooze

Opsyen snooze boleh digunakan pengguna yang tidak mahu melihat kemas kini terbaharu mereka yang berada dalam senarai rakan.

Ia juga tidak memerlukan pengguna menyingkirkan mana-mana rakan dalam senarai.

Snooze sedikit berbeza dengan butang unfollow yang telah diperkenalkan sebelum ini, di mana snooze memberi pilihan kepada pengguna memilih garis masa untuk tujuan berkenaan, iaitu dari 24 jam sehingga 30 hari.

Ia dilihat jawapan kepada masalah 'rakan yang menjengkelkan', di mana snooze membolehkan anda mengawal post mana untuk dilihat dalam tempoh masa yang diinginkan.

Buat masa ini, belum diketahui bila butang ini akan diperkenalkan secara menyeluruh kepada semua pengguna.

BACA INI JUGA: Sejarah Facebook Yang Anda Mungkin Belum Tahu!

sumber: astroawani

Nama Pelik 'Siti Mula' Dan 'Siti Jadi'

Nama Pelik 'Siti Mula' Dan 'Siti Jadi'

"Mak bagi nama lain, pak pi buh (daftar) nama lain." Itu reaksi Siti Mula Senik, 60, dari Kampung Batu Besar, Sik ketika berkongsi mengenai sejarah nama unik diberikan arwah ayah kepadanya dan dua adik yang lain.

Siti Mula.

Berkongsi kisah, Siti Mula berkata, timbul pergeseran antara arwah ibu dan ayahnya ketika nama itu diberikan.

“Arwah ibu, Che Dah Jaafar sebenarnya cadangkan arwah ayah, Senik Wan Ismail letakkan nama saya sebagai Siti Melor.

“Tapi bila pi daftar dekat pejabat pendaftaran, pak letak nama Siti Mula. Dari cerita arwah ibu, mereka berdua bertikam lidah sebab nama Siti Mula,” katanya.

Menurutnya, arwah ayahnya mempunyai alasan tersendiri terhadap nama tersebut.

“Mak bagitau, pak saya pilih nama ni sebab senang nak panggil. Tapi nama saya akhirnya dipanggil sebagai 'Murah' dalam kalangan keluarga.

“Murah pun cadangan ayah, dia kata dekat mak kalau tak mau panggil nama Siti Mula panggil nama Murah saja,” katanya.

Tambah Siti Mula, peristiwa sama berulang apabila adik kedua Mat Dali, 58, dan adik bongsu, Siti Jadi, 56, dilahirkan.

“Adik kedua dan adik bongsu pun pak tukar nama. Mak bagi nama lain, dia daftar nama lain.

“Nama adik kedua mak letak Zakaria, tapi ayah daftar Mat Dali, nama adik bongsu mak letak Che Gayah pak daftar dengan nama Siti Jadi,” katanya.

Menurutnya, timbul pertelingkahan selepas ayahnya mendaftarkan nama adik-adiknya, namun lama kelamaan ibunya terpaksa akur dengan nama mereka bertiga.

Tak pernah rasa janggal

Siti Mula berkata, namanya diletak sebagai Siti Mula mungkin kerana masalah mental dihadapi bapanya.

“Pak bukannya gila, cuma kadang-kadang fikirannya tidak waras. Waktu hayatnya, arwah pernah dihantar ke Tanjung Rambutan.

“Mungkin waktu nak pi daftar nama saya fikirannya terganggu. Sampai hari ni kami sekeluarga tak tahu sebab apa nama saya diberi Siti Mula,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah berasa janggal dengan nama diberi.

“Kawan-kawan di sekolah atau di kampung pun tak pernah usik nama saya. Sebab tu tak rasa pelik sangat,” katanya yang mempunyai dua anak.

Sementara itu, Mat Dali berkata, baginya nama diberikan itu mudah dikenali masyarakat.

“Nampak macam pelik, tapi sebenarnya orang lain mudah ingat dan mudah kenal,” katanya.

Serik nak pergi sekolah

Bagaimanapun, lain pula cerita Siti Jadi yang mendakwa sering diusik rakan dan guru ketika di sekolah.

“Di sekolah, kawan-kawan selalu usik dengan nama 'Jadi-jadi'. Dulu makcik cukup tak suka dengan nama tu.

“Cikgu pun panggil dengan nama Siti Jadi. Kalau jalan dengan kakak di sekolah lagi la kena usik. Nanti mesti kawan-kawan kata 'dah mula lepas tu jadi'.

“Makcik memang marah sangat bila orang ejek. Memang kena kejar siapa-siapa yang ejek makcik," katanya.

Menurutnya, akibat tidak tahan diejek, dia hanya bersekolah setakat darjah dua sahaja.

“Tak tahan sangat kena ejek, makcik tak mau pi sekolah lagi. Mak angkat suruh pi pun makcik degil tak mau pi,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tupai.

Tak tahu nama sebenar

Siti Jadi
Siti Jadi.

Siti Jadi yang digelar Che Gayah sejak kecil hanya mengetahui nama sebenarnya pada usia 12 tahun daripada ibu angkat.

“Menurut cerita mak angkat, selepas tiga hari dilahirkan, makcik diserahkan pada keluarga angkat. Dari kecil hinggalah besar, mak angkat panggil dengan nama Che Gayah.

“Rupanya bila umur lebih kurang 12 tahun, baru makcik dapat tau kenapa orang ejek 'Jadi', rupanya nama sendiri,” katanya.

Menurutnya, nama itu lama kelamaan dapat diterima dengan hati terbuka.

“Lama-lama tu makcik reda jelah dengan nama tu, tapi tu pun bila besar ada lagi yang mengusik. Kalau pi kedai tauke kata “kira jadi ambil barang ni”?.

“Pengurus Felcra tempat makcik kerja menoreh pada 1989 sampai 2001 pun panggil nama makcik Jadi.

"Dah suruh panggil Gayah pun tetap nak panggil Jadi,” katanya yang kini tinggal di Kampung Baru Sri Dacing bersama suami dan dikurniakan enam anak berusia 16 hingga 35 tahun.

Jiran takut nak tanya

Jiran, Rodziah Hashim, 55, pula berkata, dia suka dengan nama Siti Mula dan Siti Jadi kerana baginya nama dua beradik itu unik.

“Mula-mula kenal pun saya hairan sebab apa nama dua beradik ni nama Siti Mula dan Siti Jadi. Nak tanya pun takut tergelak pula.

“Tapi bila dah lama kenal baru rahsia nama depa saya tau. Bagi saya susah nak dapat nama macam ni,” katanya.

BACA INI JUGA: Nama Paling Unik Di Malaysia, Viva anak Proton Saga!

sumber: sinarharian

Mistik Dan Pantang Larang Gunung Kinabalu

Mistik Dan Pantang Larang Gunung Kinabalu

Jam suah menunjukkan pukul 7.30 malam. Perjalanan Rhino Saynan masih berbaki satu kilometer lagi. Sudah hampir lima jam dia berjalan, bermakna sudah sejauh enam kilometer dia melangkah dari kaki gunung.

Gunung Kinabalu

Sementara melepaskan penat, pemuda kurus tinggi ini berhenti sebentar di pondok rehat, check point terakhir sebelum tiba di Laban Rata,lokasi penginapan sementara bagi pendaki sebelum meneruskan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu.

Keadaan di situ sunyi sepi tanpa dendangan cengkerik hutan. Pada yang tidak biasa, mungkin rasa menakutkan, namun bagi Rhino keadaan itu cukup memberi kedamaian.

Sedang dia asyik mengelamun menghilangkan sisa penat yang berbaki, tiba-tiba telinganya menangkap suara azan Maghrib berkumandang dengan jelas.

Pelik, dari mana datangnya laungan azan itu?

Setahu Rhino, tiada perkampungan dalam hutan begini. Nak kata suara azan dari Laban Rata juga mustahil.

Laban Rata masih jauh sedangkan bunyi azan itu benar-benar jelas, seperti sangat dekat dengan tempat dia berehat.

Mungkin ada dikalangan pendaki yang lambat sampai lalu melaungkan azan untuk mendirikan solat Maghrib, fikir Rhino untuk menyedapkan hati.

Ketika azan masih lagi berkumandang, kedengaran pula bunyi derap tapak kaki, seolah-olah ada orang yang akan sampai ke pondok itu.

"Ada juga yang lambat sampai rupanya," getus Rhino dalam hati.

Beberapa minit berlalu, namun tiada kelibat empunya derap tapak kaki masih belum kelihatan.

Ketika itu juga Rhino teringat kisah yang sering bermain di bibir rakan pemandu arah, Mountain Guide, yang bertugas membawa pendaki ke puncak Gunung Kinabalu.

Menurut mereka, kawasan pondok ini memang keras.

Dada Rhino tiba-tiba berdebar, bulu romanya berdiri tegak seperti disambar arus elektrik.

Misteri Lelaki Tua

Rhino masih ingat ada seorang rakannya bercerita, dia berselisih dengan seorang lelaki tua ketika sedang mendaki dalam waktu senja begini.

Keadaan lelaki tua itu sangat uzur dengan memakai jubah lusuh. Langkahnya perlahan dengan sebelah tangan memegang sebatang tongkat.

Baru beberapa langkah melepasi orang tua tersebut, rakan Rhino berpaling ke belakang untuk melihat semula ke mana arah destinasi lelaki tua itu.

Hilang! Sekelip mata lelaki tua itu ghaib dari pandangan. Tiada lagi kelibatnya.

Hendak kata masuk ke dalam hutan, mustahil.

Apatah lagi hanya beberapa langkah saja dia baru melepasi orang tua tersebut.

Penunggu Pondok

Bukan itu saja cerita yang Rhino dengar. Ada juga pengalaman pemandu arah lain yang diganggu ketika berehat di dalam sebuah pondok rehat yang ada.

Kali ini pengalamannya lebih hebat. Ketika terlena seketika di pondok tersebut, tiba-tiba dia merasakan pondok itu bergegar seperti digoncang sesuatu. Apa lagi, tidak cukup tanah dia berlari.

Kini giliran Rhino pula. Hendak tunggu lama, dia rasa bimbang. Seberani-berani Rhino pun, dia juga punyai sisi gementarnya.

Tidak mahu perkara buruk berlaku, Rhino segera angkat kaki meninggalkan pondok tersebut.

Sampai saja di Laban Rata, dia terus bertemu dengan pegawai bertugas bagi memastikan masih adakah pendaki yang belum sampai.

"Awak yang terakhir. Semua pendaki sudah sampai dari tadi," jawab pegawai itu.

Terfana Rhino mendengar jawapan tersebut. Fikirannya ligat berputar mencari jawapan.

Siapa yang mengalunkan azan tadi. Siapa empunya derap tapak kaki yang didengarnya?

Pantang Larang Gunung Kinabalu

Malim Gunung Kinabalu
Malim Gunung Kinabalu - Gambar hiasan.

Gunung Kinabalu sememangnya menyimpan banyak cerita mistiknya yang tersendiri.

Sepanjang menjadi Mountain Guide, Rhino Saynan, lelaki berbangsa Tidung ini telah melalui pelbagai kisah dan pengalaman menarik.

Ada pantang larang yang perlu dipatuhi bagi sesiapa yang ingin mendaki ke puncaknya.

Kerana itulah, setiap pendaki yang ingin ke puncak perlu mendapatkan seorang pemandu seperti Rhino bagi menjaga dan mengawal pendaki daripada melakukan perbuatan dilarang.

Ketika mendaki Gunung Kinabalu, pendaki perlu menjaga tingkah-laku.

Mereka diingatkan supaya tidak memetik atau membawa pulang apa saja flora dan fauna yang ditemui.

Pendaki dilarang membuat bising, gelak ketawa atau melakukan perkara yang tidak bermoral sepanjang mendaki.

Wanita Datang Haid Di Larang Mendaki

Apa yang Rhino ketahui, jika pendaki membuat bising atau menjerit terutama ketika berada di puncak gunung, hujan lebat pasti akan turun.

Jadi, masa hendak turun nanti mereka akan dibasahi hujan di sepanjang perjalanan.

Bukan itu saja. Ada lagi peringatan penting. Khas untuk wanita.

Jika wanita itu dalam haid, tidak kiralah apa bangsa, mereka pasti akan berputih mata.

Dalam mimpi sekalipun jangan haraplah untuk mendaki Gunung Kinabalu sehingga ke puncak.

Pada kebiasaannya ketika dipertengahan jalan, wanita yang datang haid terpaksa turun semula kerana akan mengalami senggugut teruk sehingga tidak larat untuk mendaki dan tidak dapat dipastikan mengapa begitu.

Adakah kerana berpunca dari sudut kesihatan atau kepercayaan 'penghuni' gunung yang tidak menerima wanita dalam keadaan 'kotor'? Tiada siapa yang tahu.

Semoga memberi manfaat.

nota editor: artikel ini dipetik dari majalah mastika edisi suatu ketika dahulu dan disiarkan buat pertama kali di blog sentiasapanas.com

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Hikmah, Amalan Dan Bidaah Di Bulan Muharam

Hikmah, Amalan Dan Bidaah Di Bulan Muharam

Allah SWT berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi ALLAH adalah 12 bulan sebagaimana ketetapan ALLAH ketika DIA menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.” (Surah at-Taubah, 9: 36)

Muharam

Nabi SAW bersabda, “Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak ALLAH menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Muharam ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya tersendiri. Nabi SAW menyatakan Muharam ialah bulan ALLAH dan puasa yang paling afdal setelah Ramadhan ialah puasa dalam Muharam.

Kata Nabi SAW, “Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadhan ialah puasa di bulan ALLAH, al-Muharam. Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan haram, terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri.

Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya.

Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.

Cuma dalam sebahagian kepercayaan masyarakat Melayu pada hari ini, mereka ada yang mempercayai Muharam ini adalah bulan yang membawa sial sehingga mereka sangat takut untuk menikahkan anak-anak mereka pada bulan ini.

Kepercayaan ini sangat popular dalam kalangan masyarakat jawa khususnya.

Setakat kajian penulis tidak ditemui sebarang dalil yang menguatkan kesahihan kepercayaan tersebut, maka kepercayaan yang tidak dilandaskan kepada dalil yang benar ini, hanya tinggal khurafat dan tahyul semata-mata.

Hikmah bulan haram

Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan lagi dengan menyendiri adalah bagi memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji.

Iaitu Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan haji. Seterusnya bulan Zulhijah di mana umat Islam disibukkan dengan ibadah haji dan melaksanakan manasiknya.

Kemudian dijadikan bulan yang seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam supaya pada bulan tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling berjauhan secara aman.

Manakala Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi Kaabah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148)

Ini adalah kerana dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi.

Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.

Amalan sunnah Muharam

Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah.

Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadhan adalah puasa Muharam.

Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum dengan memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.

‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).”

Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”

Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada ALLAH dan kami pun turut serta berpuasa.

”Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa

Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa.

Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.

Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan.

Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.

Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”

Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.

Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Salah faham Muharam

Dalam kalangan masyarakat Islam hari ini, terdapat beberapa salah faham tentang Muharam. Selain kepercayaan khurafat sebagaimana telah penulis sentuh, terdapat beberapa amalan lain yang turut perlu diambil perhatian.

Antaranya adalah seperti amalan doa khusus awal dan akhir tahun hijriah, perayaan maal hijrah, puasa awal dan akhir tahun, dan perayaan meratap kematian Hussein B ‘Ali r.a.

***

Kata Syaikh Bakr B Abdillah Abu Zaid rahimahullah, “Tiada dalam syariat ini sedikit pun doa atau zikir-zikir khusus untuk awal tahun Muharam.

Umat Islam pada hari ini banyak membuat tokok-tambah (bidaah dalam agama) berupa doa, zikir, atau saling bertukar ucapan selamat.

Demikian juga dengan puasa awal tahun baru, menghidupkan malam pertama Muharam dengan solat, zikir, atau doa-doa yang khusus, serta puasa akhir tahun dan seumpamanya yang sebenarnya semua ini tidak ada dalilnya sama sekali.

Tidak juga ada satu pun doa atau zikir-zikir khusus sempena akhir tahun yang memiliki sandaran dalil syarak’.

Di setiap akhir tahun, ramai orang yang berdoa dan menyusun doa-doa khusus tertentu yang tidak pernah ditetapkan oleh syarak’.

Ini semua adalah contoh perbuatan bidaah yang padanya tidak memiliki asas sandaran dalam agama.” (Tashhiih ad-Du’a, m/s. 107 – Daar al-‘Aashimah)

***

Demikian juga dengan amalan khusus ratapan sempena kematian Saidina Hussein B Ali r.a dan perayaan maal hijrah sempena bertukarnya angka tahun baru hijriah.

Tidak ada sama sekali sandaran dalinya dari sunnah Rasulullah SAW mahupun contoh daripada amalan para sahabat ridhwanullah alaihim ajma’in sedikit pun.

Maka, cukuplah sunnah Rasulullah SAW dan contoh pedoman para sahabatnya sebagai qudwah tauladan dalam beragama.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (20 September)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (20 September)

Tarikh 20 September merupakan hari ke 263 (hari ke 264 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 102 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Grand Theft Auto V

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Perayaan Martir Korea (Gereja Roman Katolik).

Peristiwa

451 – Flavius AĆ«tius, dengan pertolongan foederati Rom, menewaskan Atilla dalam Pertempuran Chalons, dan memberhentikan serangan Gaul oleh Huns dan sekutu mereka.

1187 – Salahuddin al-Ayyubi memulakan Pengepungan Baitulmuqaddis.

1378 – Perpecahan Paus: Tidak bersetuju dengan Paus Urban VI, sekumpulan kardinal melantik Clement VII sebagai paus lain, meletakkan Gereja Roman Katolik dalam kekacauan.

1854 – Perang Krimea bermula dengan kemenangan Perancis-British ke atas Rusia dalam Pertempuran Alma, berhampiran Sungai Alma, Krimea.

1906 – Kapal samudera RMS Mauretania, kapal terbesar dan terpantas di dunia ketika itu, dilancarkan di Newcastle, England.

1946 – Pesta Filem Cannes pertama bermula. Hadiah Palme d'Or, pada masa itu dipanggil Grand Prix du Festival, dikongsi bersama oleh 11 filem.

1954 – Atur cara pertama dalam bahasa pengaturcaraan FORTRAN dijalankan.

2001 – Semasa suatu sesi bersama Kongres Amerika Syarikat, Presiden A.S. George W. Bush mengisytiharkan "Perang Terhadap Keganasan" terhadap Al Qaeda dan kumpulan militan sejagat lain.

2008 – Sebuah lori meletup di luar hotel Marriott di Islamabad, Pakistan, membunuh 54 orang dan mencederakan 266 yang lain.

2013 – Permainan video Grand Theft Auto V mencapai jualan AS$1 bilion dalam masa tiga hari, lebih pantas daripada mana-mana produk hiburan lain.

2013 – Syria menyerahkan data berkenaan senjata kimianya kepada Pertubuhan Larangan Senjata Kimia.

Kelahiran

1940 - Taro Aso, seorang Perdana Menteri Jepun.

Kematian

2011 - Burhanuddin Rabbani, mantan Presiden Afghanistan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (19 September)

sumber: wikipedia

Tuesday, September 19, 2017

Tahukah Anda Di Mana Terletaknya Tasik Buatan Pertama Di Malaysia?

Tahukah Anda Di Mana Terletaknya Tasik Buatan Pertama Di Malaysia?

Untuk pengetahuan anda, tasik Bukit Merah adalah tasik buatan manusia tertua di Malaysia yang di bina pada tahun 1906.

Tasik Bukit Merah

Ketika itu, sebuah empangan telah dibina yang kemudian menenggelamkan sebahagian kawasan ini, lalu membentuk tasik air tawar dengan keluasan 40 kilometer persegi dengan kapasiti takungan kira-kira 70 juta meter padu air.

Air dari empangan ini sebahagiannya dialirkan ke kawasan sawah padi di sekitarnya menerusi dua buah terusan iaitu Terusan Besar dan Terusan Selinsing.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 10 Bentuk Tasik Paling Unik Di Dunia

-SENTIASAPANAS.COM