Thursday, October 01, 2015

Bagaimana Mahu Menjadi Jutawan?

Bagaimana Mahu Menjadi Jutawan?

Saya mahu jadi jutawan! Namun, tidak semudah itu menjadi kaya hanya dengan menyebutnya. Perlu ada keinginan yang sangat kuat. Cukup kuat dan luarbiasa sehingga kesemua perkara lain yang diperlukan untuk berjaya akan menjadi seperti tersusun dengan sendirinya.

Bagaimana Saya Menjadi Jutawan
Gambar hiasan.

Apakah rahsia kejayaan para usahawan dan jutawan? Jawapannya ada di sini. Jika anda ingin berjaya dan menjadi kaya-raya seperti mereka, ikut sahaja!

Rahsia 1: Matlamat Kebebasan Dari Segi Kewangan

Rahsia ini milik Robert T. Kiyosaki, jutawan, penasihat kewangan dan penulis buku Rich Dad Poor Dad.

Menurut Robert Kiyosaki, semua ini bermula daripada matlamat. Cuba bayangkan 10 ke 20 tahun akan datang. Itulah matlamat anda. Kebanyakan orang impikan hidup kaya-raya dan bukannya kebebasan dari segi kewangan.

Padahal, menjadi kaya sahaja tidak cukup. Banyak orang kaya yang kemudiannya jatuh miskin tidak begitu faham sifat-sifat wang.

Rahsia 2: Hukum Balasan "Reciprocal"

Ini rahsia kejayaan Estee Laude, pengasas Estee Lauder Inc. Menurut Estee Lauder, orang yang kedekut tidak akan menjadi kaya kerana orang lain akan membalas sikap kedekut ini.

Orang yang benar-benar kaya tidak memberi tumpuan untuk mengurangkan perbelanjaan. Mereka sebaliknya cuba untuk memaksimakan pendapatan.

Rahsia 3: Berhutang Mengikut Kemampuan

Rahsia ini milik Aristotle Onassis, jutawan dan raja kapal Yunani. Prinsip Onassis, tidak salah untuk berhutang asalkan untuk tujuan produktif.

Hutang yang produktif dianggap sebagai bukan hutang kerana ia akan menghasilkan pendapatan dengan lebih cepat. Hutang untuk perbelanjaan yang tidak dapat dikawal pula akan menyita seluruh pendapatan di masa depan.

Rahsia 4 : Gunakan Wang Secara Bijak

Andrew Carnegie, pengasas Carnegie Steel Company pemilik rahsia ini. Kebanyakan orang terlalu sibuk mendapatkan wang tanpa berfikir apa yang akan dilakukan selepas wang itu diperolehi. Padahal, mereka akan jatuh miskin lagi jika tidak merancang strategi pelaburan yang baik.

Jadi, jangan hanya memikirkan cara mencari wang, tanpa merancang cara untuk memanfaatkannya dengan bijak kerana itulah yang paling penting.

Rahsia 5: Alasan Penting

Dan Benson, perunding kewangan dan penulis buku 12 Stupid Mistakes People Make With Their Money mengatakan setiap orang harus mempunyai alasan yang kuat setiap kali mengeluarkan wang.

Pada usia di bawah 30 tahun, hanya ada dua matlamat utama iaitu matlamat untuk terus hidup dan melabur. Maka setiap kali pelaburan berkembang, anda mampu meletakkan pengeluaran untuk memperbaiki kehidupan.

Rahsia 6: Kaya = Sedikit Hutang

Ini resepi Kiyosaki lagi. Kalau anda berhutang dengan ramai orang, maksudnya kamu semakin miskin. Formulanya, Aset – Hutang = Kekayaan. Jika mahu kaya, tingkatkan asset dan kurangkan kerugian.

Memang aset dapat diperolehi daripada hutang namun begitu, jangan membeli aset dengan hutang yang jauh lebih besar dari nilai aset. Jangan pula menambah hutang untuk sesuatu yang tidak menambah aset, misalnya keperluan perbelanjaan.

Rahsia 7: Tambah Pengetahuan

Henry Ford, pengasas Ford Motor Company mendedahkan rahsia kejayaannya. Jika wang anda menjadi sumber ketenangan, maka anda tersilap.

Satu-satu perkara yang mampu menjamin ketenangan hidup di dunia ini adalah pengetahuan, pengalaman dan kemampuan. Tanpa tiga perkara ini, berapa banyak wang dalam tangan pun tiada gunanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: usahawan

1MDB, Amalan Rasuah Peringkat Paling Teruk?

1MDB, Amalan Rasuah Peringkat Paling Teruk?

Pada 7 September lalu, Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin menegaskan hanya Speaker Dewan Rakyat boleh menerima atau menolak sesuatu Usul Undi Tidak Percaya kepada Perdana Menteri.

Usul Undi Tidak Percaya kepada PM

Keesokkannya, pada 8 September, beliau berkata pula, "Tidak ada dalam peraturan mesyuarat. Jika ada ahli parlimen yang lebih arif, datang dan beritahu saya. Memang tidak peruntukan sedemikian."

Perkara yang dibenarkan oleh Perlembagaan jangan pula kata tidak dibenarkan.

Tidak timbul soal interpretasi yang berbeza sebab Perlembagaan sebut dengan jelas dalam bahasa yang semua rakyat faham.

Dahlah diheret parti, kemudian diheret pula kerajaan, takkan sampai Perlembagaan pun nak diubah demi mempertahankan jawatan PM!?

Gentleman la sikit, berdepanlah dengan cabaran, jangan asyik mengelak memanjang.

Sepatutnya Najib jawab, Bring it on!

Apakah Speaker cuba membelakangi Perlembagaan? Tanya Tun Mahathir dalam artikel terbarunya - NO CONFIDENCE VOTE.

NO CONFIDENCE VOTE (Undi Tidak Percaya)

1. Saya membaca laporan bahawa Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak akan membenarkan usul undi tidak percaya dibentangkan di Dewan oleh sesiapa pun.

2. Beliau menegaskan bahawa hanya dia boleh membuat keputusan sama ada usul boleh dibentangkan di dalam Dewan itu atau tidak.

3. Beliau berkata sebabnya ialah kerana perintah tetap (standing order) Parlimen bisu mengenai perkara ini. Juga ia tidak pernah dilakukan sebelum ini.

4. Benar, ia tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ini adalah kerana tiada seorang pun daripada lima Perdana Menteri sebelum ini mempunyai 2.6 bilion ringgit dalam akaun peribadi mereka, dan tiada pula mereka terlibat dalam skandal kewangan dan tuduhan pembunuhan sesiapa.

5. Tidak ada seorang daripada Perdana Menteri sebelum ini telah membongkarkan institusi-institusi penyiasat asal-usul dan di mana adanya wang yang mereka miliki.

6. Tidak ada seorang daripada Perdana Menteri sebelum ini meminjam RM42 bilion pada kos yang tinggi untuk menubuhkan dana pembangunan yang terlibat dalam urus niaga yang curigakan.

7. Tiada seorang pun daripada mereka telah melabur lebih satu bilion USD dalam projek usaha sama dengan syarikat-syarikat Arab yang kredibilitinya juga meragukan.

8. Tiada seorang pun daripada mereka telah membubarkan syarikat usaha sama hanya 6 bulan selepas pembentukan dan menukar modal 1MDB menjadi pinjaman dengan pasangan usaha sama itu yang mereka fikir tidak perlu lagi teruskan usaha sama itu.

9. Tetapi Najib terlibat dalam semua ini. Dan kini, selain daripada berkata aset 1MDB bernilai lebih daripada 42 bilion Ringgit yang dipinjam, dia tidak dapat membuktikan di mana wang itu berada. Aset ini adalah sebenarnya tanah Kerajaan yang Najib membenarkan 1MDB mengambil alih pada harga yang amat murah, dan kemudian dinilai semula lebih 500 kali ganda.

10. Suatu undi tidak percaya benar-benar demokratik. Parlimen mungkin tidak mempunyai apa-apa peruntukan untuk itu tetapi Perlembagaan, undang-undang tertinggi di negara ini dengan jelas menyatakan bahawa jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan daripada majoriti ahli-ahli Parlimen, beliau harus meletakkan jawatan. Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, maka, melainkan jika atas permintaannya Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen, Perdana Menteri hendaklah menawar perletakan jawatan keseluruhan Kabinet “.

11. Jadi, adakah Yang di-Pertua Dewan cuba mengabaikan perlembagaan?

12. Hari ini, jika anda pergi ke luar negara, warga asing, terutama akhbar mereka akan bertanya, “Hai, apa yang berlaku kepada negara anda?” Anda akan berasa malu, tetapi anda tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya. Mereka yang boleh melakukan sesuatu langsung tidak berasa malu. Mereka secara terbuka mengaku telah menerima jutaan wang daripada Perdana Menteri. Ini adalah rasuah pada peringkat paling teruk. Mereka menyokong PM kerana dia memberikan mereka wang, wang yang beliau sendiri tidak dapat menjelaskan dengan sebarang kredibiliti yang ianya diperolehi secara sah.

13. Tidak hairanlah Malaysia kini disenaraikan sebagai antara negara-negara korup di dunia. Dan kini penyokong kerajaan tidak langsung menghormati Perlembagaan.

14. Tiada undi tidak percaya kerana Yang di-Pertuan Dewan tidak akan membenarkannya.

BACA INI JUGA: Sekadar Bertanya Kepada Najib, Adakah Itu Fitnah?

Sumber: Chedet

Wednesday, September 30, 2015

Bayi 8 Bulan Perlu RM160,000 Untuk Pembedahan Hati

Bayi 8 Bulan Perlu RM160,000 Untuk Pembedahan Hati

Muhammad Syaffiq Mohd Saharuddin, bayi lapan bulan yang menghidap penyakit kegagalan hati memerlukan bantuan kira-kira RM160,000 untuk membolehkannya melakukan pembedahan hati di China.

Muhammad Syaffiq Mohd. Saharuddin
Muhammad Syaffiq, 8 bulan, dipangku ibunya Zuraitun bersama keluarga.

Ibunya, Zuraitun Zakaria berkata Muhammad Syaffiq, anak kelimanya yang dilahirkan normal itu, dikesan menghidap penyakit tersebut semasa berusia empat bulan.

Zuraitun, 34, berkata ketika itu Muhammad Syaffiq, yang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Mas di sini, dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultan Ismail Johor Baharu berikutan terdapat kesan kuman pada darahnya.

"Selepas itu, Muhammad Syaffiq dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah Johor Baharu tiga hari kemudian bagi menjalani pembedahan segera.

"Bagaimanapun pembedahan itu gagal dan tidak boleh diteruskan berikutan doktor mengesahkan Muhammad Syaffiq menghidap penyakit ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Semenchu, di sini.

Zuriatun, berkata selain mempunyai kulit pucat dan matanya yang kekuningan, perut anaknya juga mengeras dan buncit.

Muhammad Syaffiq turut membesar seperti biasa di mana berat badannya kini adalah tujuh kilogram berbanding berat badan ketika dilahirkan iaitu 3.01 kilogram.

"Bagaimanapun, doktor yang merawat Muhammad Syaffiq memberitahu itu adalah berat air yang berada dalam perutnya akibat kegagalan hati untuk berfungsi secara normal," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank 101075481127 atas nama Zuraitun Zakaria atau menghubunginya di talian 019-7043423 lapor BERNAMA.

BACA INI JUGA: Kekeliruan Derma Organ, Islam Mengharuskan, Kemuncak Sedekah

'Malaysia Menjadi Begitu Hina Oleh Perdana Menterinya Sendiri!'

'Malaysia Menjadi Begitu Hina Oleh Perdana Menterinya Sendiri!'

Minggu lalu, Tun Mahathir dalam artikel terbarunya diblog chedet, bertajuk 'Najib', sekali lagi menyenaraikan masalah-masalah tentang urusniaga 1MDB yang masih belum terjawab.

1MDB

Apa yang basinya persoalan-persoalan dari Tun? Semua persoalan 1MDB masih belum terjawab sepenuhnya maka Tun terus bertanya. Yang basi adalah jawapan-jawapan balas dari 1MDB yang sentiasa mengulangi jawapan sama yang langsung tidak lengkap.

1. Saya telah bekerja keras untuk menjadikan Najib Perdana Menteri Malaysia.

2. Tetapi sekarang saya mahu dia disingkirkan, meletak jawatan daripada menjadi Perdana Menteri.

3. Ia bukan hal peribadi.

4. Ia adalah kerana dia telah gagal teruk sebagai Perdana Menteri.

5. Daripada awal lagi saya perhatikan perkara-perkara salah yang dia lakukan.

6. Kita telah merdeka semenjak 1957. Kita sepatutnya dapat mentadbir negara kita sendiri. Sesungguhnya kita telah pun berbuat demikian selama beberapa dekad sebelum Najib, dan kita telah melakukannya dengan cemerlang.

7. Tetapi Najib melantik beberapa pegawai British sebagai penasihatnya.

8. Najib telah melantik ramai perunding asing untuk menasihatinya bagaimana mentadbir negara.

9. Orang-orang ini melibatkan kos berbilion-bilion ringgit tetapi nasihat mereka secara amnya tidak baik untuk negara ini. Mereka tidak tahu apa-apa tentang politik, ekonomi dan sensitiviti Malaysia. Akibatnya pembangunan Malaysia lembab dan bangsa-bangsa berada dalam keadaan menentang satu sama lain.

10. Kerajaan di bawah pimpinan Najib menjadi sangat tidak popular. Walaupun memberi banyak wang kepada rakyat, mereka menolak beliau dalam Pilihan Raya 2013. Prestasi beliau lebih buruk daripada Abdullah, yang juga telah ditolak oleh rakyat. Orang Cina menolaknya sama sekali walaupun beliau mengisytiharkan dirinya sebagai saudara mereka.

11. Dia menimbulkan kemarahan kakitangan awam dengan menubuhkan Pemandu untuk mengambil alih tugas EPU. Kakitangan Pemandu yang bukannya pegawai Kerajaan telah dibayar gaji yang tinggi, jauh lebih tinggi mengatasi Skim Gaji Kerajaan. Begitu marah, sebilangan pejawat awam sebaik sahaja bersara mereka telah menyertai parti pembangkang dan bertanding sebagai calon pembangkang, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

12. Pertumbuhan ekonomi jatuh di bawah paras pertumbuhan ekonomi Filipina dan Indonesia.

13. Mata wang telah susut dan harga saham susut dengan teruk mengakibatkan masalah untuk perniagaan, pengimport dan pengeksport. Kos sara hidup meningkat terutama selepas GST.

14. Kemudian datang pula skandal 1MDB. Suatu dana yang sama sekali tidak perlu telah diwujudkan yang akan dibiayai oleh pinjaman yang besar. Kerajaan telah memberi satu juta Ringgit sebagai modal tetapi 1MDB (1Malaysia Development Berhad) telah meminjam 42 bilion Ringgit daripada pasaran. Ia membayar faedah yang tinggi sebanyak 5.9% dan memberikan komisen 10% kepada Goldman Sachs. Kerajaan tidak pernah meminjam begitu banyak atau membayar kadar yang begitu tinggi itu.

15. 1MDB membeli loji kuasa elektrik pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran. Ia juga membeli/mengambil alih hutang piutang syarikat-syarikat janakuasa. Jumlah kos adalah 18 bilion Ringgit. 1MDB kehilangan begitu banyak wang sehingga ia tidak boleh membayar faedah ke atas pinjaman.

16. 1MDB membeli tanah Kerajaan pada 60 Ringgit kaki persegi sedangkan harga sebenarnya adalah lebih daripada RM3,000 kaki persegi. Dengan menilai semula tanah itu sebanyak 50 kali ganda, ia mendakwa asetnya adalah lebih besar daripada hutangnya. Ini adalah seperti menjual permit import yang didapati secara percuma daripada Kerajaan.

17. Kemudian 1MDB telah menyertai perniagaan yang mencurigakan dengan Petro Saudi sebagai rakan usaha sama. Ia membayar USD1 bilion bagi saham 40 peratus miliknya itu. Enam bulan kemudian usaha sama ini telah dibubarkan. Akan tetapi USD1 bilion itu bersama dengan USD700 juta yang lain telah ditukar menjadi pinjaman kepada Petro Saudi. Wang ini kini telah lesap.

18. Satu-satunya aset yang dipunyai oleh 1MDB sekarang adalah loji kuasa dan tanah di Kuala Lumpur. Lebih daripada RM20 Bilion daripada 42 Bilion ringgit itu tidak dapat dikesan atau dihitung.

19. Kemudian tiba-tiba Wall Street Journal melaporkan bahawa Najib mempunyai USD700 juta dalam akaun peribadinya di Bank Arab-Malaysia (bersamaan RM2.6 bilion pada masa itu).

20. Tidak ada PM Malaysia atau Presiden UMNO yang boleh mempunyai wang sebanyak itu. Semua sumbangan kepada UMNO biasanya diterima dan dibankkan oleh Bendahari UMNO. Semua aset diletakkan di bawah nama tiga pemegang amanah.

21. Tidak pernah dalam sejarah UMNO terdapat lebih daripada RM250 juta secara tunai. Semua aset lain adalah dalam bentuk saham, tanah dan bangunan. Presiden adalah bertanggungjawab untuk menyerahkan semua sumbangan kepada Bendahari untuk perbankan. Presiden tidak pernah menyimpan wang UMNO atau wang didermakan kepada UMNO, untuk pilihan raya misalnya, di dalam akaun peribadinya. Tiada peruntukan untuk akaun UMNO dikendalikan oleh Presiden.

22. Najib dan isterinya terkenal dengan gaya hidup yang mewah. Jelas sekali jutaan telah dibelanjakan untuk pertunangan dan pelbagai majlis perkahwinan di Malaysia dan Kazakhstan. Anak tiri Najib membelanjakan ratusan juta dolar membeli hartanah di London, New York dan California. Beliau juga membiayai pembikinan filem Hollywood, “The Wolf of Wall Street” dengan perbelanjaan melebihi USD100 juta.

23. Dengan gaji Najib sebagai Perdana Menteri, adalah mustahil baginya untuk membelanjakan jutaan ringgit bagi semua ini. Ada satu kenyataan oleh PMO yang mendakwa bahawa wang bagi harta-harta luar negara dan filem itu telah diwarisi. Adalah mustahil bagi Tun Razak, atau Haji Noah atau bapa Rosmah untuk memiliki dan mewariskan ratusan juta ringgit. Malah mereka tidak dikenali sebagai jutawan pun. Adik beradik Najib menafikan dakwaan itu.

24. Jadi dari mana datangnya wang itu? Najib mendakwa 2.6 bilion Ringgit itu telah didermakan kepadanya oleh seorang Arab. Ini tidak masuk akal. Tiada siapa yang pernah memberikan wang sebanyak itu kepada sesiapa. Dan Najib tidak dapat membuktikan bahawa orang Arab itu telah memberinya wang.

25. Dan dengan itu sebuah pasukan petugas khas yang terdiri daripada Peguam Negara, Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah, Gabenor Bank Negara dan Ketua Polis Negara telah ditubuhkan untuk menyiasat punca RM2.6 bilion berada dalam akaun peribadi Najib di Bank Arab-Malaysia.

26. Jawatankuasa Kira-Kira Dewan Rakyat juga sedang menyiasat apa yang berlaku kepada RM42 bilion Ringgit yang dipinjam oleh 1MDB. Begitu juga Ketua Audit Negara.

27. Tiba-tiba Najib memecat Peguam Negara dengan mendakwa dia sakit. Peguam Negara menafikan beliau sakit. Tidak ada sijil oleh doktor membuktikan dia sakit. Najib tidak mempunyai hak untuk mendakwa bahawa Peguam Negara sedang sakit.

28. Pada masa yang sama, ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dikatakan telah pergi bercuti. Gabenor Bank Negara membisu. Kemudian dia menyatakan dia takut ditangkap.

29. Dua daripada ahli-ahli Kerajaan PAC dilantik Timbalan Menteri dan dua lagi diberi pekerjaan lain. Mereka tidak dapat meneruskan kerja-kerja mereka sebagai ahli PAC. PAC adalah tanpa seorang Pengerusi dan siasatan 1MDB telah berhenti.

30. Dua anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah telah ditangkap, dibebaskan dan dipindahkan ke Pejabat Perdana Menteri. Selepas komplen dibuat mereka telah dipindahkan semula ke Suruhanjaya.

31. Penolong Ketua Cawangan Khas telah dipindahkan keluar. Beliau kemudian membuat kenyataan yang keras terhadap pemindahannya.

32. Orang yang bercakap mengenai 1MDB dan 2.6 bilion ringgit dalam akaun Najib, atau melaporkan mengenainya telah ditangkap, pasport mereka dirampas dan diancam oleh polis dengan soal siasat. Ianya seolah-olah sebarang soalan mengenai 1MDB dan Najib 2.6 bilion merupakan tindakan untuk melemahkan demokrasi dan menjatuhkan Kerajaan yang dipilih dengan betul. Orang boleh ditahan sehingga 28 hari tanpa perbicaraan di bawah undang-undang baru yang bertujuan untuk mencegah tindakan keganasan. Bercakap tentang 1MDB dan RM2.6 bilion kepunyaan Najib seolah-olah merupakan tindakan keganasan. Najib lupa bahawa beliau sendiri terlibat dalam penyingkiran pemimpin terdahulu yang juga dipilih secara demokrasi.

33. Kemudian datangnya sesuatu yang menggemparkan. Al Jazeera menayangkan kisah pembunuhan gadis Mongolia, Altantuya. Adalah jelas daripada kisah itu bahawa Najib mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu.

34. Ramai rakyat Malaysia tidak mahu mempercayainya. Tetapi orang di seluruh dunia mempercayai cerita itu. Ia telah menjadi satu skandal antarabangsa. Ia telah memalukan Malaysia. Di mana-mana sahaja sesiapa pergi, ada yang bertanya, “Apa yang telah berlaku kepada Malaysia”.

35. Di antara 1MDB, 2.6 bilion ringgit dalam akaun peribadi Najib dan pembunuhan Altantuya, nama baik Malaysia benar-benar rosak. Tidak pernah sebelum ini, Malaysia menjadi begitu hina oleh Perdana Menterinya sendiri. Tidak pernah orang memandang rendah negara ini. Tidak pernah sebelum ini rakyat Malaysia begitu malu dengan negara mereka.

36. Najib telah membayar orang untuk menunjuk perasaan di jalan-jalan untuk menyokong beliau. Dengan sewenangnya beliau juga mengharamkan usaha orang-orang tunjuk perasaan bagi memecatnya.

37. Untuk mata wang dan ekonomi pulih, Najib mesti berhenti menjadi Perdana Menteri Malaysia. Rakyat Malaysia mesti menuntut penyingkiran Najib. Ianya sesuatu yang amat demokratik untuk menuntut penyingkiran beliau. Tindakan yang diambil beliau untuk menahan seseorang untuk mengadakan perhimpunan untuk menuntut penyingkiran beliau adalah apa yang tidak demokratik dan bercanggah dengan undang-undang negara ini.

38. Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk menuntut Najib membenarkan siasatan terhadapnya yang akan dijalankan oleh orang-orang bebas yang tidak dilantik olehnya. Najib mesti membenarkan proses undang-undang berjalan. Jika didapati bahawa dia telah melakukan kesalahan dia perlu didesak untuk
meletakkan jawatan.

39. Hanya dengan pengundurannya sebagai Perdana Menteri Malaysia barulah ekonomi akan pulih, nilai ringgit akan meningkat, dan kos sara hidup akan turun. Hanya selepas penyingkirannya rakyat Malaysia akan mampu berdiri semula.

BACA INI JUGA: Mengarutlah Suruh Orang Berhenti Bercakap Tentang 1MDB - Tun Mahathir

Sumber: Chedet

Anak Paul Walker Saman Porsche

Anak Paul Walker Saman Porsche

Anak pelakon terkenal, mendiang Paul Walker dilaporkan telah memfailkan saman terhadap syarikat pengeluar kereta Porsche yang dinaiki bapanya ketika kemalangan sehingga menyebabkan kematian, dua tahun lalu.

Meadow Rain Walker
Gambar kenangan Paul Walker bersama Meadow ketika masih kecil.

Meadow Rain Walker, 16 mendakwa kenderaan yang dinaiki Paul, Porsche Carrera GT mempunyai beberapa kekurangan dalam reka bentuknya daripada segi ciri-ciri keselamatan.

Tuntutan mahkamah itu difailkan minggu ini oleh Meadow, mendakwa bahawa pelakon Fast and Furious itu masih selamat dalam kemalangan itu namun terbakar hingga menyebabkan kematian dalam kereta tersebut.

Dalam rekod tersebut menyebut, kereta itu dipasarkan sebagai kereta lumba jalanan yang sah tapi kawalan keselamatan kurang stabil untuk melindungi penumpang dan mengelak ia daripada terbakar selepas perlanggaran.

Dakwaan itu juga menyatakan bahawa tali pinggang keselamatan yang dipakai Paul menarik tubuhnya ke belakang dengan kuasa seribu paun hingga menyebabkan tulang rusuk dan pinggulnya patah.

Malah tuntutan itu juga menyatakan bahawa api tercetus hanya dalam seminit selepas kemalangan dan Paul masih hidup ketika kebakaran bermula.

Wakil Porsche Cars North America, Calvin Kim memberitahu CNN bahawa Porsche masih belum melihat tuntutan tersebut dan tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan.

Meadow Rain Walker [2]

Sebelum ini, Porsche mendakwa kematian Paul adalah disebabkan kesilapan pemandu, Roger Rodas dan bukannya berpunca dari kereta buatan syarikat itu.

Paul dan Roger Rodas maut selepas kereta jenis Porsche Carrera GT yang dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan ngeri pada Disember 2013 ketika dalam perjalanan menuju acara amal di Los Angeles.

Sebelum ini, balu kepada Roger, Kristine Rodas, telah menfailkan saman terhadap Porsche mendakwa kereta buatan syarikat itu mempunyai masalah teknikal yang menyebabkan kemalangan tersebut.

Porsche berkata kematian, kecederaan dan kerosakan yang didakwa adalah berpunca daripada kesilapan pemandu berkenaan.

BACA INI JUGA: Selebriti-selebriti Terkenal Yang Meninggal Sebelum Tamat Penggambaran

Sumber: Sinarharian.com.my

Luahan Terakhir Khir Toyo Disebalik Tirai Besi

Luahan Terakhir Khir Toyo Disebalik Tirai Besi

Petikan daripada blog rasmi Khir Toyo. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Luahan Khir Toyo

1. Ketika anda membaca catatan ini saya mungkin sudah ke penjara kerana saya jadualkan tulisan ini diterbitkan selepas hukuman dijatuhkan.

2. Saya mohan maaf kepada seluruh keluarga, sahabat, rakan-rakan dan penyokong yang mungkin terpalit malu kerana kes ini. Saya juga berterima kasih kepada mereka yang masih memberi kata-kata semangat dan bersimpati dengan saya.

3. Saya tahu sebahagian orang di media sosial bertepuk tangan dan memaki hamun saya sebagai penerima rasuah. Adakah mereka faham bahawa rumah tersebut saya beli separuh siap, dengan pinjaman bank dan masih membayar ansuran bulanan sehingga sekarang? Saya maafkan mereka.

4. Saya juga tahu rumah saya menjadi kontroversi apabila seorang pemimpin UMNO mengupah jurugambar mengambil gambar rumah saya menggunakan helikopter menunjukkan seolah-olah ia sebesar istana. Hakikatnya, rumah saya antara bukanlah antara terbesar di kawasan terbabit. Tidak mengapa, saya telah maafkannya.

5. Saya hanya ingin menyatakan bahawa sepanjang perbicaraan Pendakwa Raya tidak pernah mengemukakan sebarang fakta yang menunjukkan berlaku unsur rasuah. Secara asasnya, unsur rasuah harus dalam keadaan saya mendapat habuan kerana meluluskan sesuatu kepada Shamsuddin.

6. Tidak pernah ada sebarang fakta dan bukti menunjukkan pembelian rumah saya dengan harga RM 3.5 juta yang dikatakan murah oleh pendakwa raya, dibalas dengan sebarang keistimewaan pemberian projek atau kelulusan tender oleh saya. Yang ada hanyalah surat sokongan yang diberi kepada syarikat Shamsuddin seperti mana saya sokong puluhan malah mungkin ratusan syarikat lain.

7. Jika tidak korup mengapa saya didapati bersalah? Saya dituduh dan didapati bersalah di bawah Perkara 165 Kanun Keseksaan yang merupakan satu kesalahan teknikal dengan hukuman maksimum ialah 2 tahun penjara.

8. Dalam tuduhan ini pendakwa raya tidak memerlukan sebarang bukti ada keistimewaan diberikan kepada Shamsuddin. Apa yang perlu dibuktikan ialah saya telah membeli sesuatu barangan dengan harga (balasan) yang tidak mencukupi, daripada seseorang yang diketahui mempunyai hubungan rasmi dengan saya sebagai penjawat awam.

9. Demikianlah kesungguhan Peguam Negara terdahulu mahu memenjarakan saya. Saya tidak pasti rumah saya akan dirampas atau tidak. Mereka membicarakan saya di bawah Perkara 165 tetapi mereka menggunakan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merampas rumah saya.

10. Adillkah, saya dituduh di bawah kesalahan yang memerlukan pembuktian ringan, tapi menggunakan akta yang memerlukan pembuktian berat untuk merampas rumah saya? Hanya Allah yang tahu niat sebenar beliau.

11. Semasa hendak membeli rumah separuh siap tersebut saya memaklumkan kepada pemegang jawatan penting ketika itu termasuk Perdana Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak SPRM sendiri.

12. Untuk rekod, saya juga membeli hartanah tersebut dengan pinjaman bank dan meminta penilaian hartanah dilakukan. Sehingga kini saya masih mempunyai baki hutang lebih dari RM 2 juta. Adakah ini menunjukkan saya korup? [Lihat: Fakta dan Angka Tidak Boleh Menipu]

13. Jika saya mahu mengambil rasuah saya hanya minta Shamsuddin beri percuma kepada saya dan namakan atas nama sesiapa sahaja sebagai proksi.

14. Saya redha dengan keputusan ini sungguhpun sehingga hari ini saya tidak tahu berapakah balasan yang mencukupi.

15. Mungkin kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa yang membolehkan penjawat awam membuat rujukan, bagi memenuhi ukuran balasan yang mencukupi, agar tidak ada lagi yang terperangkap seperti saya. [Lihat: Putus Sudah Harapan?]

The Sun

16. Minggu lalu ketika merayu agar dikurangkan hukuman saya menyatakan antara sumbangan yang dibuat ialah mencapai matlamat Selangor Maju 2005 seperti mana yang disasar oleh kerajaan sejak 1990-an.

17. The Sun tampil mempertikaikan kenyataan tersebut. Saya tidak lagi berniat mahu berhujah sejauh mana layak atau tidak Selangor disiytihar negeri maju. Ini kerana kerajaan yang disokong oleh The Sun juga sehingga hari ini mengekalkan status Selangor Negeri Maju.

18. Sehingga di saat akhir, ketika tiada kuasa dan jawatan, The Sun memilih untuk melanyak saya. Saya tidak pasti apakah punca kemarahan mereka sedemikian rupa.

19. Adakah kerana saya dilihat sebagai anti-kaum India kerana merobohkan beberapa kuil yang dibina secara haram? Atau adakah kerana saya tidak meluluskan pusat Lumba Kuda di Bukit Tagar, Selangor?

20. Saya tidak fikir ia sekadar soal “good governance”, kerana sesiapa sahaja yang membaca The Sun dari dulu sehingga hari ini boleh membezakan tahap dan jenis kritikan akhbar atau pengarang akhbar tersebut kepada Menteri Besar selepas saya. Malah ada ketika mereka mempertahankan Menteri Besar selepas saya biarpun kesilapan yang dibuat sangat nyata.

Kuil

21. Saya juga ingin memohon maaf jika masyarakat beragama Hindu marah kepada saya akibat perobohan kuil Hindu di Rimba Jaya. Kes kuil Rimba Jaya telah dibawa ke Mahkamah sejak tahun 1998 lagi. Ia dibina secara haram atas tanah persendirian. Kerajaan negeri telah membuat perbincangan dengan pentadbir kuil dan mereka bersetuju menerima pampasan sebanyak RM 40 ribu dan juga diberi tapak baru.

22. Keputusan merobohkan kuil Rimba Jaya adalah keputusan Mahkamah bukannya keputusan saya mahu pun kerajaan negeri. Mahkamah memutuskan kuil dan setinggan disitu hendaklah dirobohkan. Mahkamah telah menolak rayuan 11 orang penduduk yang enggan berpindah.

23. Saya, selaku Menteri Besar ketika itu, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Shah Alam hanya melaksanakan keputusan Mahkamah. Namun saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya.

24. Jika masih ada yang berdendam, saya berharap mereka juga dapat mengingati saya sebagai Menteri Besar pertama yang memberi peruntukan kepada semua kuil Hindu dan rumah ibadat lain yang berdaftar. Di bawah pentadbiran saya juga Kerajaan Negeri menubuhkan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang.

Penyapu

25. Sebahagian membenci saya bukan kerana kesalahan ini. Mereka marah kerana saya beri “Anugerah Penyapu” kepada penjawat awam dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Daerah Hulu Selangor. [Untuk huraian panjang sila lihat artikel lama: Padah Penyapu atau Padah Sikap Kita?]

26. Sungguhpun ia bukan idea saya, dan telah dipersetujui dalam mesyuarat bersama semua PBT ketika itu, saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya. Saya pohon maaf jika masih ada yang berkecil hati.

27. Baru-baru ini saya ada berjumpa dan bercakap dari hati ke hati dengan En Tukiman Nail, bekas Presiden Majlis Daerah Hulu Selangor, yang menerima anugerah penyapu tersebut dan isteri beliau. Saya anggap telah selesaikan dengan beliau sebagai sesama muslim.

Setinggan

28. Ada yang masih berkecil hati dengan cara saya menyelesaikan isu setinggan. Saya tidak boleh memuaskan hati semua penghuni setinggan. Apa yang boleh saya katakan, saya telah membuat yang terbaik dalam kemampuan saya dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu setinggan; (i) memberi penempatan yang lebih baik, (ii) menyelesaikan isu tuan tanah dan setinggan, (iii) memberi subsidi RM7,000 untuk setiap setinggan membeli pangsapuri baru.

29. Akhirul kalam, saya mohon maaf jika ada salah dan silap kepada seluruh penduduk Selangor.

30. Jika ada hayat dikandung badan, in sha Allah saya akan terus menulis selepas keluar penjara nanti.

Wassalam.
Dr Mohamad Khir Toyo

BACA INI JUGA: Derma Zionis, Punca Pembangkang Enggan Isytihar Dana Politik?

Tuesday, September 29, 2015

Kisah Hancurnya Kaum Nabi Luth Akibat Hubungan Sejenis

Kisah Hancurnya Kaum Nabi Luth Akibat Hubungan Sejenis

Nabi Luth adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim. Ayahnya bernama Hasan bin Tareh. Nabi Luth diutuskan sebagai rasul kepada satu kaum Sadum yang mendiami sepanjang timur laut (Dari Israel - Yordania), Laut Mati. Ibukota Sodom terletak di Utara Basin Laut Mati.

Kisah Kaum Nabi Luth
Gambar hiasan.

Hampir keseluruhan kaum ini mengamalkan gaya hidup songsang, iaitu lelaki melakukan hubungan kelamin sejenis ( Homoseksual). Bagi wanita pula mereka juga melakukan perbuatan seksual sesama jenis (Lesbian).

Perbuatan ini merupakan sesuatu penyelewengan fitrah semulajadi manusia yang diciptakan oleh Allah. Nabi Luth telah menyeru mereka untuk menghentikan perbuatan tersebut di samping menyampaikan seruan-seruan Allah, tetapi mereka mengabaikannya dan malah mereka mengingkari kenabiannya.

Akhirnya, kaum Nabi Luth dimusnahkan dengan bencana yang sangat mengerikan dan dahsyat. Kejadian ini berlaku pada kira-kira tahun 1800 sebelum Masihi.

Firman Allah s.w.t, "Ketika seksaan dari Kami (Allah) itu datang, maka Kami jadikan dari negeri kaum Luth itu yang atas dibalikkan ke bawah dan kami turunkan hujan seksa ke atas mereka, yang berupa batu, tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, sebagai yang diberi tanda oleh tuhanmu, dan negeri itu tiadalah jauh dari orang-orang yang zalim"(Surah Hud : 82-83)

Di dalam Kitab Al-quran menceritakan kisah Nabi Luth yang menasihati kepada kaumnya seperti mana dalam Surah As-Syuara;

"Kaum Luth telah mendustakan para Rasul", "Ketika saudara mereka Luth berkata kepada mereka,"Mengapa kamu tidak bertakwa?". "Sungguh, aku ini seorang rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu,". "Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepada ku"."Dan aku tidak meminta upah kepadamu atas ajakan itu, upahku hanyalah dari Tuhan seluruh alam"."Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki (Homoseks) di antara manusia". "dan kamu tinggalkan (perempuan) yang diciptakan Tuhan untuk dijadikan sebagai isteri kamu? Kamu memang orang-orang yang melampaui batas'. " Mereka menjawab, " Wahai Luth! Jika engkau tidak berhenti, engkau termasuk orang-orang yang terusir". " Dia (Luth) berkata, " Aku sungguh benci kepada perbuatan mu"(Surah As-Syuara':160-168).

Kaum Luth telah mengancam Nabi Luth dan membencinya kerana mengajak kaumnya beriman. Ayat seterusnya dalam kitab Al-quran dikisahkan dalam Surah Al-Araf:

"Dan (Kami juga telah mengutus) Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah ) tatkala dia berkata kepada mereka: "Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelummu?". Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melampiaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. Jawab kaumnya tidak lain hanya mengatakan: "Usirlah mereka (Luth dan para pengikutnya) dari kotamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berpura-pura mensucikan diri ." (Surah Al A'raaf: 80-82)

Gejala songsang kaum Nabi Lut

Kaum Sadum adalah masyarakat yang mempunyai paras moral dan rosak yang amat rendah. Masyarakat Sadum tidak mempunyai pegangan agama atau nilai kemanusiaan.

Maksiat dan kemungkaran bermaharajalela dalam pergaulan hidup mereka. Mencuri menjadi rutin kehidupan mereka.

Mereka yang kuat dan berkuasa menindas golongan yang lemah. Maksiat yang paling menonjol dalam kehidupan mereka adalah perbuatan Liwat ( homosesual ) di kalangan lelakinya dan lesbian di kalangan wanitanya.

Kedua-dua jenis kemungkaran ini begitu bermaharajalela di dalam masyarakat sehinggakan ia merupakan satu budaya bagi kaum Sadum. Gejala aneh dan songsang ini berlaku bukan kepada semua orang.

Apabila kaum lelaki dari kalangan mereka melihat pemuda yang tampan, muda, mempunyai dada yang bidang, punggung yang menawan, maka nafsu mereka ( lelaki ) akan cepat terangsang. Begitu pula halnya dengan mereka sesama wanita.

Seorang pendatang yang masuk ke Sadum tidak akan selamat dari diganggu oleh mereka. Jika ia membawa barang-barang yang berharga maka dirampaslah barang-barangnya, jika ia melawan atau menolak menyerahkannya maka nyawanya tidak akan selamat.

Akan tetapi jika pendatang itu seorang lelaki yang bermuka tampan dan berparas elok maka ia akan menjadi rebutan di antara mereka dan akan menjadi korban perbuatan keji lelakinya dan sebaliknya jika si pendatang itu seorang perempuan muda maka ia menjadi mangsa bagi pihak wanitanya pula.

Seruan Nabi Lut

Nabi Luth berseru kepada mereka agar meninggalkan adat kebiasaan iaitu melakukan perbuatan homoseksual dan lesbian.

Luth menyatakan perbuatan itu bertentangan dengan fitrah dan hati nurani manusia serta menyalahi hikmah yang terkandung di dalam penciptaan Allah.

Juga kepada mereka diberi nasihat dan diajukan supaya menghormati hak dan milik masing-masing dengan meninggalkan perbuatan rampasan, rompakan serta pencurian yang selalu mereka lakukan di antara sesama mereka dan terutama kepada orang yang datang ke Negeri Sadum.

Doa Nabi Lut

Permohonan Nabi Luth dan doanya diperkenankan oleh Allah s.w.t. Lalu di hantar kepadanya tiga orang malaikat menyamar sebagai manusia biasa.

Mereka adalah malaikat yang bertemu kepada Nabi Ibrahim dengan membawa berita gembira atas kelahiran Nabi Ishaq, dan memberitahu kepada mereka bahawa dia adalah utusan Allah dengan tugas menurunkan azab kepada kaum Luth penduduk kota Sadum.

Dalam kesempatan pertemuan mana Nabi Ibrahim telah mohon agar penurunan azab keatas kaum Sadum ditunda, kalau-kalau mereka kembali insaf serta bertaubat dari segala maksiat dan perbuatan mungkar.

Juga dalam pertemuan itu Nabi Ibrahim mohon agar anak saudaranya, Luth diselamatkan dari azab yang akan diturunkan ke atas kaum Sadum.

Para Malaikat telah sampai di Negeri Sadum dengan menyamar sebagai lelaki muda yang mempunyai paras rupa yang tampan dan badan yang tegap dan sasa tubuhnya.

Dalam perjalanan mereka hendak memasuki kota, mereka berselisih dengan anak gadis Nabi Luth yang sedang mengambil air dari sebuah perigi.

Lelaki muda (malaikat) bertanya kepada anak nabi Luth kalau-kalau mereka diterima ke rumah sebagai tetamu. Anak gadis Nabi Luth tidak berani memberi keputusan sebelum ia beruding terlebih dahulu dengan ayahnya.

Mendengar khabar berita anak perempuannya, Nabi Luth merasa bingung, apakah yang harus yang dilakukan dengan permintaan tetamu tersebut kerana mereka akan menjadi mangsa kelakuan kaumnya yang akan melakukan perbuatan yang terkutuk itu.

Ini kerana tetamu tersebut mempunyai paras yang tampan dan kacak akan mengundang risiko gangguan kepadanya dan kepada tetamu dari kaumnya yang tergila-gila untuk melakukan hubungan seks sejenis dengan anak muda yang mempunyai tubuh bagus dan paras wajah elok.

Nabi Luth memutuskan untuk menerima lelaki-lelaki muda itu sebagai tetamu di rumahnya. Nabi Luth hanya pasrah kepada Allah dan berlindung kepadanya sekiranya terdapat segala rintangan yang akan datang.

Lalu pergilah ia sendiri menjemput tetamu yang sedang menanti di pinggir kota dan diajaklah mereka bersama-sama ke rumah. Ketika itu, kota Sadum sudah diliputi kegelapan dan manusia sudah nyenyak tidur di rumah masing-masing.

Nabi Luth telah pun berpesan kepada isteri dan kedua puterinya agar merahsiakan kedatangan anak-anak lelaki muda itu. Jangan sampai terdengar dan diketahui oleh kaumnya.

Namun, kedegilan isteri Nabi Luth, yang juga sehaluan dan sependirian dengan penduduk Sadum, telah membocorkan berita kedatangan tetamu Luth kepada mereka. Berita kedatangan tetamu Luth tersebar kerana isteri Nabi Luth memberitahu kepada kaumnya.

Oleh yang demikian datanglah beramai-ramai lelaki-lelaki Sadom, yang buta seks ini, ke rumah Nabi Luth, berhajat untuk memuaskan nafsu seksual mereka, setelah lama tidak mendapat anak muda.

Berteriaklah mereka memanggil Luth untuk lepas anak-anak muda itu, agar diberi kepada mereka untuk memuaskan nafsu.

Mendengar teriakan mereka, Nabi Luth tidak membuka pintu bagi mereka dan berseru agar mereka kembali ke rumah masing-masing dan jangan mengganggu tetamu yang datangnya dari jauh yang sepatutnya dihormati dan dimuliakan.

Mereka diberi nasihat agar meninggalkan perbuatan kebiasaan mereka yang keji itu kerana perbuatan mereka yang bertentangan dengan fitrah manusia dan sunnatullah di mana Allah telah menciptakan manusia berpasangan antara lelaki dan perempuan untuk menjaga kelangsungan perkembangan umat manusia sebagai makhluk yang termulia di atas bumi.

Nabi Luth berseru agar mereka kembali kepada isteri-isteri mereka dan meninggalkan perbuatan maksiat dan kemungkaran yang tidak senonoh, sebelum mereka dilanda azab dan seksaan Allah.

Seruan dan nasihat-nasihat Nabi Luth tidak dihiraukan dan dipedulikan, mereka bahkan mendesak akan menolak pintu rumahnya dengan paksa dan kekerasan jika pintu tidak di buka dengan sukarela.

Merasa dirinya sudah tidak berdaya untuk menahan arus orang-orang lelaki kaumnya itu yang akan memaksakan kehendaknya dengan kekerasan berkatalah Nabi Luth secara terus terang kepada para tamunya, "Sesungguhnya aku tidak berdaya lagi menahan orang-orang itu menyerbu ke dalam .Aku tidak memiliki kekuatan fizikal yang dapat menolak kekerasan mereka".

Mendengar kata-kata Nabi Luth, lantas tetamunya yang merupakan malaikat Allah itu memberitahu hal yang sebenar.

Mereka sebenarnya adalah malaikat-malaikat Allah yang menyamar sebagai manusia yang diutus oleh Allah untuk menurunkan azab dan seksaan atas umatnya kerana kemungkaran dan kemaksiatan mereka.

Bermula Azab Allah

Malaikat-malaikat itu menyuruh Nabi Luth membuka pintu rumahnya seluas mungkin agar dapat memberi kesempatan bagi kaumnya itu masuk.

Namun sebaik sahaja pintu dibuka dan mereka masuk, tiba-tiba gelaplah pandangan mereka dan tidak dapat melihat sesuatu kerana mata mereka menjadi buta. Lalu, diusap-usap dan digosok-gosok mata mereka, ternyata mereka sudah menjadi buta.

Kaum Nabi Luth yang telah menjadi buta menjerit-jerit dan berlanggar antara satu sama lain. Lantas Malaikat memerintahkan kepada Nabi Luth agar meninggalkan segera negeri itu bersama keluarganya kecuali isterinya, kerana masanya telah tiba bagi azab Allah yang akan ditimpakan pada malam itu juga.

Para malaikat berpesan kepada Nabi Luth dan keluarganya agar perjalanan ke luar kota jangan seorang pun dari mereka menoleh ke belakang.

Nabi Luth keluar dari rumahnya selepas tengah malam, bersama keluarganya meninggalkan negeri mereka, tidak menoleh ke kanan mahupun ke kiri sesuai dengan petunjuk para malaikat yang menjadi tamunya.

Sewaktu fajar mula menyingsing, bergegar bumi dengan teramat dahsyatnya. Getaran itu mendahului suatu gempa bumi yang kuat dan hebat disertai angin yang kencang dan hujan batu sijjil ( batu daripada api ) yang menghancurkan dengan serta-merta kota Sadum berserta semua penghuninya.

Lalu matilah mereka dan bertebaran mayat-mayat yang dilaknat oleh Allah S.W.T. Kesan dari bala Allah dapat dilihat hingga hari ani apabila penemuan sebahagian kaum nabi Lut yang telah dibinasakan oleh Allah keras menjadi batu.

BACA INI JUGA: 10 Negara Dengan Budaya Seks Paling Bebas Di Dunia

sumber: jais.gov.my