Tuesday, May 26, 2015

Etnik Rohingya Dibunuh, Tapi Bantu Penganut Buddha Di Nepal

Etnik Rohingya Dibunuh, Tapi Bantu Penganut Buddha Di Nepal

Inilah ajaran Islam yang sebenar! Walaupun warga minoriti Muslim Rohingya dibunuh oleh ekstremis Buddha di Myanmar, namun sedikit pun tiada perasaan dendam umat Islam untuk membalas segala kejahatan tersebut.

Rohingya dibunuh

Itulah yang terjadi di Nepal, saat terjadinya gempa bumi dahsyat yang hampir memusnahkan sebahagian bumi Nepal pada 25 April lalu, umat Islam Nepal tangkas bangun untuk membantu warga Buddha dan Hindu (penduduk majoriti Nepal) dari segi apa yang terdaya.

Memetik laporan Merdeka.com, seorang anggota Masjid Jami Nepal, Mohammad Rizwan, berkata, masjid-masjid yang selamat dari gempa bumi telah dijadikan sebagai pusat pengumpulan barangan bantuan untuk mangsa korban dan ahli keluarga mereka.

Jelas Mohammad lagi, setelah gempa melanda Nepal dengan magnitud 7.8 skala richter, 25 April lalu, seluruh ahli masjid berkumpul, mereka mencari info adakah warga muslim yang terkorban.

Ternyata di sekitar Kathmandu hanya ada dua warga yang meninggal dunia dan belasan yang lain cedera. Tapi majoriti keluarga Islam selamat.

“Oleh sebab itu, kini Masjid Jami menjadi pusat pengumpulan bantuan logistik untuk mangsa korban Buddha dan hindu.

“Beras, air bersih, dan makanan siap disediakan.Ini bantuan yang datang dari komuniti muslim Nepal. Kami mengirim ke manapun warga Nepal yang memerlukannya," katanya.

BACA INI JUGA: Selamatkan Etnik Islam Rohingya, Mereka Sedang Disembelih!

Sumber: Sinarharian.com.my

129 Kubur Rohingya Ditemui Di Sempadan Malaysia!

129 Kubur Rohingya Ditemui Di Sempadan Malaysia!

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam, mengesahkan 139 kubur dan 28 kem berkaitan isu pemerdagangan manusia yang ditinggalkan, ditemui dalam kawasan Malaysia di Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand.

129 kubur  Rohingya

Beliau berkata, penemuan kubur itu termasuk satu kawasan perkuburan dan mayat yang reput yang hanya tinggal kulit dan tulang sahaja, dipercayai ditinggalkan tidak sampai dua minggu.

Bercakap kepada pemberita Malaysia dan asing, beliau berkata penemuan itu hasil 'Op Wawasan Khas JKDNKA 2015' oleh 300 anggota polis komando VAT 69 dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dari 11 Mei hingga Sabtu lepas.

"Pendedahan ini membuktikan kerajaan Malaysia bersikap telus dan tidak menyembunyikan sebarang maklumat membabitkan isu pemerdagangan manusia," kata Khalid.

Menurutnya reka bentuk kem berkenaan yang dipagar dan sentri menggambarkan ia dikawal dan orang-orang yang hendak diseludup tidak bebas bergerak.

"Secara fakta kem-kem ini ditemui, ada yang dipercayai diduduki sejak 2013 dan terbaru dua kem ditinggalkan antara dua hingga tiga minggu lepas.

"Polis masih belum dapat memastikan sama ada semua kubur ini mengandungi mayat manusia atau tidak sehingga semuanya digali," katanya.

Khalid berkata operasi itu dilancarkan susulan penemuan beberapa kubur besar mengandungi mayat manusia dipercayai pendatang asing membabitkan sindiket pemerdagangan manusia ditemui pihak berkuasa Thailand di sekitar Padang Besar dan Songkhla, baru-baru ini.

Menurutnya kumpulan mayat pertama dijangka dapat dikeluarkan petang ini (kelmarin) oleh pasukan forensik terdiri 31 orang yang memasuki kawasan kem tersebut.

Katanya kawasan pencarian dalam operasi itu di bahagikan kepada sektor A, B dan C sepanjang 59.5 kilometer dari Kampung Wai dekat sini hingga tembok terakhir atau Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar.

"Keadaan di sektor A (Tangga 100 ke Wang Kelian) sepanjang 11 kilometer di sebelah Malaysia adalah berbukit dan tebing sangat curam. Dalam sektor inilah semua 28 kem haram ini ditemui tetapi tiada lorong atau kesan dilalui orang.

"Sektor B (Wang Kelian-Kurong Batang) sepanjang 24 kilometer terlalu sukar untuk dimasuki. Sektor C (Kurong Batang-Kampung Wai) pula sepanjang 14.5 kilometer adalah kampung dan sawah. Sebab itu aktiviti hanya berlaku di sektor A," katanya.

Khalid berkata, beberapa tangkapan membabitkan penyeludup tempatan dibuat di Kampung Wai.

Katanya kedudukan kem haram tersebut kira-kira 100 meter dalam kawasan Malaysia dari sempadan Malaysia/Thailand manakala yang ditemui pihak berkuasa Thailand dalam kawasan negara itu antara 300 hingga 500 meter dari sempadan.

Menurutnya, setiap kem itu dibina untuk menempatkan sehingga 200 orang, 10 hingga 20 orang dan ada yang menempatkan dua orang sahaja.

"Maklumat-maklumat yang diperolehi menunjukkan sindiket membawa masuk tahanan mereka ke Malaysia melalui jalan yang sah atau lorong-lorong tikus di Padang Besar atau Wang Kelian selepas mendapat bayaran daripada orang-orang tertentu," katanya.

Ketua Polis Negara berkata mayat yang dikeluarkan nanti akan dibedah siasat untuk menentukan punca kematian dan akan 'disempurnakan' dan diberi penghormatan sebaik-baiknya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata 90 peratus dari 37 orang yang ditangkap tahun ini kerana terbabit dengan pemerdagangan manusia adalah penduduk Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan.

Katanya jumlah tangkapan pendatang asing tanpa izin di sempadan Perlis tahun lepas sebanyak 1,914 orang manakala dari Januari hingga April lepas berjumlah 1,305 orang.

"Tangkapan di sempadan Kedah pula berjumlah 2,094 tahun lepas, Kelantan (3,462 orang) dan Perak (966 orang) manakala dari Januari hingga April tahun ini sebanyak 853 orang (Kedah), 498 orang (Perak) dan 88 orang (Kelantan)," katanya.

Sementara itu, Pemerintah Rejimen Ke-9 Thailand Mejar Jeneral Ekaphop Prasitwattanchai yang turut hadir, berkata pihak berkuasa Thailand akan memberi kerjasama penuh termasuk pertukaran maklumat dengan Malaysia.

"Kami juga seperti Malaysia berazam membanteras perbuatan tidak berperikemanusiaan dan pemerdagangan manusia khususnya di kawasan sempadan kedua-dua negara," katanya. -Bernama

BACA INI JUGA: Nasib Rohingya Lebih Teruk Daripada Pelarian Vietnam

Monday, May 25, 2015

Makanan Tambahan Kolagen Pembunuh Dalam Senyap!?

Makanan Tambahan Kolagen Pembunuh Dalam Senyap!?

Makanan tambahan kolagen semakin mendapat tempat di hati masyarakat memandangkan khasiatnya dikatakan mampu mengembalikan keanjalan dan mencerahkan kulit. Namun, tahukah bahawa kolagen boleh menjadi pembunuh dalam senyap?

Kolagen

Di pasaran, terdapat pelbagai produk dengan kandungan kolagen yang dijual sehingga 20,000Mg.

Pengambilan kolagen dalam kuantiti banyak boleh memberikan kesan kepada fungsi hati dan buah pinggang yang akan menyebabkan kegagalan kepada fungsi kedua-dua organ penting ini.

Pastikan, jangan tersalah langkah, lihat dahulu kondisi kandungan dan lebih penting dapat nasihat daripada pakar.

PPIM terima aduan pengguna

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima aduan mengenai produk makanan tambahan seperti kolagen yang dibeli tidak memberikan hasil seperti dijanjikan.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, keadaan itu seolah-olah menipu pengguna untuk membeli produk tersebut.

“Pada kebiasaannya harga untuk produk kolagen itu mencecah ratusan ringgit dengan menjanjikan bahawa ia akan memberikan hasil menakjubkan.

“Tetapi ada yang datang kepada kami menyatakan mereka ditipu setelah membelanjakan ratusan ringgit, tetapi hasil yang diperoleh tidak memuaskan,” katanya.

Menurutnya, tidak semua pengeluar produk makanan tambahan menipu pengguna sebaliknya ada segelintir cuba mengaut keuntungan dengan cara mudah.

“Mereka (pengeluar produk) perlu wujudkan satu persatuan dalam kalangan mereka supaya wujud etika dalam setiap pengeluaran produk dan tidak mengambil kesempatan menjual dengan harga tinggi.

“Terdapat juga pengeluar produk berasaskan krim kolagen meletakkan bahan yang merbahaya. Memang akan nampak kesan positif tetapi untuk jangka masa panjang ia akan menyebabkan masalah kulit,” katanya.

Katanya, pengguna perlu peka dengan kandungan dalam makanan tambahan diambil dan tidak terlalu mempercayai promosi yang dibuat syarikat pengeluaran produk makanan tambahan.

“Kadang-kadang yang datang untuk jual produk itu adalah rakan-rakan sendiri ataupun daripada kalangan keluarga sendiri yang menjual produk.

“Pengguna perlu tahu sesuatu produk sesuai atau tidak sebelum membelinya walaupun yang menjual adalah kenalan kita sendiri,” katanya.

Kolagen Rosakkan organ dalaman

Makanan tambahan seperti kolagen jika diambil secara berlebihan bakal mengundang risiko terhadap sistem dalam badan.

Pakar Toksikologi, Keselamatan dan Terapi Makanan Jabatan Sains Nutrisi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Norazlanshah Hazali berkata, kesan pengambilan kolagen tanpa had tidak akan dilihat serta-merta sebaliknya, pada jangka masa panjang jika digunakan secara berterusan.

“Apabila produk dengan kandungan kolagen masuk dalam badan, ia akan diproses di hati dan dipecahkan kepada molekul kecil.

“Jika diambil berlebihan, ia memberikan beban kepada hati yang perlu bekerja keras memproses bahan tersebut,” katanya.

Katanya, selepas selesai proses di hati, kolagen akan diangkut dalam darah untuk dihantar ke seluruh badan.

“Kolagen akan diuraikan kepada asid amino dan diangkut melalui darah ke kawasan diperlukan seperti otot dan kulit.

“Lebihan kolagen pula tidak boleh disimpan di dalam badan sebaliknya perlu dikumuhkan keluar melalui air kencing dan najis,” katanya.

Katanya, pengguna berisiko mengalami kerosakan sel hati.

“Suplemen ini tidak mengandungi kolagen semata-mata, tetapi berkemungkinan ada pengawet digunakan bagi memastikan produk itu stabil,” katanya.

Dr Norazlanshah berkata, proses ini berlaku di buah pinggang dan jika dikumuhkan secara berlebihan, sel buah pinggang akan rosak dalam jangka masa panjang.

Beliau menasihati pengguna supaya mendapatkan konsultasi daripada pakar perubatan sebelum mengambil kuantiti kolagen yang sesuai.

“Daripada segi kuantiti kolagen, biasanya wanita memerlukan lebih berbanding lelaki kerana ia mudah dicerna dalam tubuh,” katanya.

Katanya, pembaziran berlaku jika badan tidak memerlukan banyak kolagen tetapi ia diambil tanpa mendapatkan sebarang nasihat pakar.

“Sekiranya ingin mencuba kolagen, pengguna perlu menyedari industri suplemen ini tidak dipantau. Kandungan kolagen dan keberkesanan sesuatu produk sukar diketahui.

“Dari sudut perubatan, pengambilan kolagen sebenarnya adalah suntikan yang bukan melalui salur darah tetapi dimasukkan di bawah lapisan kulit (filler),” katanya.

Rumpai laut tidak mengandungi kolagen

Rumpai laut yang dibungkus di pasaran dengan label menarik seperti ‘marin kolagen’, 'ibu kolagen' atau ‘kolagen mentah’ sebenarnya tidak mengandungi kolagen.

Herbalis, Bahrain Samah berkata, setakat ini tiada sebarang kajian sains dilaporkan dalam jurnal terkemuka menunjukkan rumpai laut dari mana asalnya didapati mengandungi kolagen.

“Kolagen hanya terdapat dalam tubuh haiwan sama ada bertulang belakang atau tiada tulang belakang.

"Ia tidak wujud dalam tumbuh-tumbuhan. Kajian-kajian terhadap komposisi rumpai laut hanya menemui protein. Kolagen adalah sejenis protein,” katanya.

Menurutnya, protein memiliki sifat-sifat kimia dan fizikal, menepati sifat kolagen barulah boleh dipanggil sebagai kolagen.

“Kenyataan rumpai laut mengandungi kolagen semata-mata kerana terdapat protein di dalamnya adalah tidak tepat," katanya.

Katanya, istilah kolagen menarik perhatian orang ramai kerana mereka mengetahui bahawa kolagen merupakan sejenis protein penting kepada tubuh.

"Lebih kurang 30 peratus daripada keseluruhan protein dalam tubuh manusia adalah kolagen," katanya.

Tambahnya, ramai wanita mengamalkan pengambilan gel rumpai laut kerana percaya ia mengandungi kolagen.

“Pengambilan pada dos sesuai dan konsisten boleh menghasilkan kesan positif terutama pada kesihatan kulit.

"Jika tidak terdapat kolagen adakah kandungan protein dalam rumpai laut membantu mencantikkan kulit dan membantu proses awet muda?

Jawapannya ialah paras protein rendah dalam pengambilan harian gel rumpai laut dipercayai tidak memenuhi keperluan asas tubuh untuk membina dan memulihara pelbagai jenis protein,” katanya.

Bergantung pada badan

Keberkesanan produk kolagen bergantung kepada keupayaan badan untuk menyerapnya.

Pakar Kulit Poliklinik Dr Suraya, Dr Suraya Sudin berkata, kandungan kolagen tinggi dalam produk di pasaran tidak menjamin keberkesanan produk itu.

“Pada usia 40 tahun, kolagen semakin berkurangan dan perlu ada pengganti. Kerana itu ramai yang mengambil produk tambahan,” katanya.

Produk kolagen terdapat di pasaran berfungsi mencantikkan kulit.

"Vitamin C perlu dititikberatkan dalam menghasilkan kembali kolagen kepada badan. Ada produk mengandungi 20,000Mg kolagen untuk setiap penggunaan.

"Jumlah tinggi tidak menjamin hasil yang bakal diperoleh. Pengguna perlu cuba dan melihat hasilnya sendiri," katanya.

Beliau berkata, tiada kesan juga mungkin disebabkan ia adalah kolagen tiruan atau tidak sesuai dengan tubuh badan seseorang.

"Kolagen disuntik lebih diyakini berkesan kerana ia diserap kulit. Pastikan ia asli supaya tidak memudaratkan kesihatan," katanya.

Jelasnya, pengambilan kafein bersama kolagen juga antara penyebab ia tidak berkesan pada tubuh.

“Bukan tidak boleh minum kafein, cuma itu antara faktor menyebabkan kolagen cepat hilang. Jika ambil gula yang banyak boleh kurangkan kolagen.

“Asap rokok dan cahaya matahari terik juga menyebabkan kolagen pecah dan terurai,” katanya.

Pengambilan Kolagen pada kuantiti betul

Pengguna seharusnya tidak mengambil makanan tambahan seperti kolagen dalam kuantiti banyak. Pengguna seharusnya mengikut sukatan yang di tulis pada pembalut produk.

Jangan kerana hendak cepat cantik, soal kesihatan diabaikan. Sesuatu produk perlu mengambil masa tertentu supaya ia boleh memberikan kesan kepada badan.
Walaupun pengguna makan kolagen dalam kuantiti banyak, ia tetap diserap pada kuantiti tertentu yang diperlukan tubuh.

Perkara paling penting adalah minum air pada kuantiti banyak selepas makan kolagen itu. Hentikan pengambilan sekiranya terdapat gejala atau tanda luar biasa pada kulit.

Pengambilan produk tiruan kolagen juga dikhuatiri menjadi punca masalah kesihatan. Sekarang ini berlaku lambakan produk makanan tambahan di pasaran dan kita tidak tahu mana asli atau palsu. Produk tiruan dijual dalam pembungkusan yang lebih kurang sama dengan yang asli

Kebanyakan produk tiruan ini bakal menyumbang kerosakan organ dalaman kerana di campur dengan bahan pengawet tidak dibenarkan.

Pengguna perlu memperhalusi label pada pembungkus produk dan membeli daripada penjual yang diyakini.

BACA INI JUGA: Habbatus Sauda, Ubat Penawar Semua Penyakit Kecuali Mati

Sumber: Sinarharian.com.my

Dua Pembohongan Najib Kes Kehilangan Wang 1MDB - Tun Mahathir

Dua Pembohongan Najib Kes Kehilangan Wang 1MDB - Tun Mahathir

Tun Mahathir Mohamad melahirkan kesedihannya apabila terpaksa mengakui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbohong dalam kes wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Melalui catatan terbaharu di blognya, Dr Mahathir menyenaraikan dua pembohongan yang didakwanya dilakukan oleh Najib.

Pembohongan Najib Wang 1MDB

"Amatlah menyedihkan apabila saya dapati saya tidak dapat elak daripada kenyataan bahawa Perdana Menteri berbohong. Dalam kes wang 1MDB yang dikatakan telah dibawa balik dari Pulau Cayman dan disimpan dalam bank BSI Singapura, jawapan bertulis oleh Perdana Menteri kepada soalan Parlimen tidak menepati kebenaran sama sekali.

"Pembohongan yang pertama ialah tidak ada wang tunai 1MDB yang dibawa balik. Kedua, tidak ada wang tunai yang dimasukkan ke dalam bank BSI di Singapura.

"Ini jelas dari pindaan kepada jawapan yang pertama, iaitu bukan wang tunai berjumlah USD 1.103 billion (RM3.6 billion), dimasukkan dalam bank BSI tetapi dokumen (surat pengakuan) yang disimpan dengan bank. Apa dia nya surat ini tidak dijelas tetapi yang jelas ialah ia bukan wang tunai," katanya.

Rabu lalu, Najib melalui jawapan bertulis di Parlimen menjelaskan baki pelaburan 1MDB yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority sebanyak AS$1.1 (RM4.022) bilion ditebus dalam bentuk aset dan bukannya wang tunai.

Menurut Najib, penjelasan itu merupakan pindaan kepada jawapan kerajaan sebelum ini bahawa baki dana pelaburan 1MDB ditebus dalam bentuk wang tunai.

Menyentuh bank BSI, Dr Mahathir membangkitkan soal laporan yang dibuat bank tersebut kepada Penguasa Kewangan Singapura (MAS)

"Bank BSI telah menyatakan selepas itu bahawa dokumen yang menyatakan simpanan dibuat oleh anak syarikat 1MDB, Brazen Sky adalah palsu dan bukan daripadanya. Maka jelaslah kenyataan bertulis yang kedua oleh Najib kepada Parlimen bahawa yang disimpan adalah dokumen juga tidak benar.

"BSI bank telah lapor kepada MAS bahawa tidak ada wang 1MDB yang disimpan dengannya. Pada kebiasaannya MAS melapor maklumat ini kepada Bank Negara.

"Ini jelas daripada pengakuan bahawa kononnya laporan ini tertakluk kepada protokol kerahsiaan antarabangsa (Egmont principles of information exchange) dan kehendak kerahsiaan di bawah seksyen 10 AMLA. Dari kenyataan ini adalah jelas bahawa Bank Negara telah terima laporan Monetary Authority Singapore.

"Tujuan merahsiakan tentulah kerana ada sesuatu yang tidak kena atau pembohongan yang telah dilakukan apabila Najib menjawab soalan bahawa wang tunai telah disimpan dengan bank BSI di Singapura," katanya.

Menurut Dr Mahathir, perbuatan menyembunyikan kesalahan dalam urusan kerajaan adalah salah di sisi undang-undang malah beliau berkata, wujud unsur jenayah yang memerlukan siasatan dan jika wang itu tidak juga dapat dikesan maka proses undang-undang hendaklah diambil terhadap semua pihak yang terlibat.

"Adalah jelas bahawa dalam kes wang tunai yang didakwa oleh Perdana Menteri dan pegawai-pegawai kerajaan, Bank Negara dan 1MDB telah dibawa balik dari Pulau Caymans dan disimpan di bank BSI di Singapura serta pindaan kepada jawapan pertama bahawa bukan wang tunai yang dibawa balik dan disimpan di Singapura, tetapi dokumen, kesemuanya tidak benar.

"Mereka yang membuat laporan yang salah ini telah melanggar undang-undang jenayah Seksyen 218," katanya.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com
The Rock Pegang Rekod Paling Banyak Ambil Gambar Selfie

The Rock Pegang Rekod Paling Banyak Ambil Gambar Selfie

Pelakon The Rock atau nama sebenarnya Dwayne Johnson melakar sejarah Guinness World mengambil gambar selfie paling banyak dalam tempoh masa bawah tiga minit.

Dwayne Johnson

The Rock mengambil sebanyak 105 gambar selfie bersama peminatnya yang menghadiri majlis tayangan perdana filem lakonan terbaharunya, San Andreas di London, baru-baru ini.

Rekod itu disahkan oleh wakil Guinness World Records, Mark McKinley yang turut memantau sendiri proses selfie itu di mana The Rock perlu memastikan ianya mengikut peraturan selfie yang ditentukan antaranya muka dan leher The Rock dan peminatnya mesti masuk dalam frame gambar selain imej jelas dan tidak kabur.

Mesti lenguh tangan The Rock, mananya tak letih 105 selfie dalam masa hanya tiga minit! Pergh hebat!

BACA INI JUGA: Selfie Yang Membawa Padah

Sumber: Mynewshub.cc

Saturday, May 23, 2015

10 'Supercar', 'Hypercar' Paling Mahal Di Dunia

10 'Supercar', 'Hypercar' Paling Mahal Di Dunia

Harga bukan menjadi satu masalah buat ramai jutawan kerana apa yang penting bagi mereka adalah memiliki kereta paling eksotik dalam koleksi mereka.

Apa yang anda akan terbayangkan jika kereta tersebut berada dalam kategori kereta 'supercar' atau 'hypercar'? Pastinya kemewahan, kelajuan dan semestinya pada harganya yang amat mahal.

Berikut merupakan 10 jenis 'supercar' dan 'hypercar' paling mahal di dunia!

Zenvo ST1
Harga: RM4.39 juta

Zenvo ST1

Kereta buatan Denmark ini hanya dihasilkan sebanyak 15 unit sahaja. Ia mampu mencapai kelajuan maksima pada 375km/jam dan boleh memecut dari 0 ke 100km/jam dalam masa 2.9 saat sahaja.

Apa yang membuatkan kereta ini sangat eksklusif adalah setiap pembeli akan mendapat khidmat servis di mana-mana sahaja berada.

Bermakna mereka akan menerbangkan pakar ke serata dunia di mana pembeli berada untuk memastikan kereta pembeli sentiasa berada dalam keadaan baik.

Maybach Landaulet
Harga: RM4.94 juta

Maybach Landaulet

Kereta ini adalah kereta sedan paling mahal di dunia yang berada dalam pasaran dan ia boleh memecut dari 0 ke 100km/jam dalam masa 5.2 saat.

Kereta sedan ini mempunyai pelbagai fungsi mewah antaranya kerusi urut di belakang dan banyak lagi.

Kereta mewah ini sangat sesuai untuk golongan Ketua Pegawai Eksekutif yang mempunyai pemandu peribadi.

Lamborghini Reventon
Harga: RM5.73 juta

Lamborghini Reventon

Sebuah lagi kereta Lamborghini yang tersenarai dalam kereta termahal adalah Lamborghini Reventon. Apa yang membuatkan kereta ini mahal adalah ia edisi terhad iaitu hanya 20 unit sahaja dihasilkan.

Reventon mampu mencapai kelajuan maksima pada 339km/jam dan boleh memecut dari 0 ke 100 dalam masa 3.3 saat.

Koenigsegg Agera R
Harga: RM5.73 juta

Koenigsegg Agera R

Ya, kereta ini memang sudah untuk disebut kerana boleh membuatkan anda lidah anda terbelit. Unit dan eksotik. Itulah yang boleh dikatakan mengenai Agera R ini.

Ia mampu mencapai kelajuan maksima pada 418km/jam dan boleh memecut dari 0 ke 100 dalam masa 2.8 saat.

Namun kelajuan kereta ini telah dihadkan kepada 378km/jam secara elektronik. Jika anda mahu pada kelajuan 418km/jam, anda perlu menandatangi dokumen pengecualian.

Aston Martin One-77
Harga: RM6.63 juta

Aston Martin One-77

Kereta yang popular dengan filem perisik terkenal dunia "James Bond" ini salah sebuah kereta mewah dan ia hanya dihasilkan sebanyak 77 unit sahaja.

Kereta ini mampu mencapai kelajuan maksima pada 354km/jam dan boleh memecut dari 0 ke 100km/jam dalam masa 3.4 saat.

Pagani Zonda Cinque Roadster
Harga: RM6.63 juta

Pagani Zonda Cinque Roadster

Sekali pandang pastinya akan membuat sesiapa sahaja terpukau dengan kecantikan kereta dan juga merupakan antara kereta paling eksotik di dunia.

Setanding dengan reka bentuknya yang menawan, Pagani Zonda Cinque Roadster ini boleh mencapai kelajuan maksima pada 349km/jam dan boleh memecut dari 0 ke 100km/jam dalam masa 3.4 saat.

Bugatti Veyron Super Sports
Harga: RM8.6 juta

Bugatti Veyron Super Sports

Sebelum ini Buggati Veyron Super Sports merupakan antara kereta paling termahal di dunia iaitu berharga RM8.6 juta.

Ia mampu mencapai kelajuan maksima pada 430km/jam dan boleh memecut dari 0 ke 100km/jam dalam masa 2.5 saat.

Walaupun tidak lagi memegang takhta kereta termahal di dunia, namun baru-baru ini mereka telah mengumumkan tidak akan menghasilkan lagi kereta ini dan pastinya harga kereta ini akan naik pada masa hadapan.

Lykan Hypersport
Harga: RM12.18 juta

Lykan Hypersport

Orang Arab sememangnya terkenal dengan kereta-kereta mewah, jadi demi cinta terhadap kereta mewah ini sebuah syarikat di Dubai, W Motors telah menghasilkan kereta 'hypercar' yang dipanggil Lykan Hypersport.

Dijana dengan 6 twin-turbo enjin yang mana menghasilkan sebanyak 750 kuasa kuda, Lykan Hypersport mampu memecut dari 0 ke 100km/jam dalam masa 2.8 saat dan boleh mencapai kelajuan maksima pada 394km/jam.

Bagaimanapun, tidak semua orang boleh membelinya kerana kereta ini hanya dibina sebanyak tujuh buah sahaja.

Lamborghini Veneno
Harga: RM16.12 juta

Lamborghini Veneno

Satu dunia sudah mengetahui mengenai Lamborghini kerana mereka sangat terkenal dengan kereta-kereta keluaran mereka yang berharga jutaan ringgit.

Terbaru, mereka muncul dengan model terbaru iaitu Lamborghini Veneno yang berharga sekitar RM16.12 juta.

Kereta ini boleh mencapai kelajuan maksima pada 355km/jam dan boleh memecut 0 ke 100km/jam dalam masa 2.8 saat.

Apa yang membuat kereta ini tersenarai dalam kereta eksotik adalah hanya tiga buah sahaja akan dihasilkan setiap tahun.

Maybach Exelero
Harga: RM28.65 juta

Maybach Exelero

Maybach adalah syarikat pengeluar kereta buatan German yang menghasilkan kereta-kereta mewah dan kereta termahal yang pernah mereka hasilkan adalah Maybach Exelero iaitu kereta konsep.

Kereta ini boleh mencapai kelajuan maksima pada 351km/jam dan boleh memecut 0 ke 100km/jam dalam masa 4.4 saat.

Maybach Exelero hanya dihasilkan sebuah sahaja, jadi tidak hairanlah harga kereta ini sangat mahal iaitu sekitar RM28.65 juta.

*Harga dalam RM berubah mengikut tukaran matawang semasa.

BACA INI JUGA: Koleksi Supercar Dalam Filem Need For Speed

Sumber: Tupai.com.my

Pelaris Berwajah Hitam Bertenggek Di Restoran!

Pelaris Berwajah Hitam Bertenggek Di Restoran!

Jam mula menunjukkan pukul 12:00 tengah malam. Menurut orang tua-tua dahulu, waktu tengah malam adalah peak hours untuk 'mereka' keluar dan menggangu.

Seram
Gambar hiasan.

Namun pada saya, tiada siapa tahu bilakah waktu sebenar makhluk-makhluk ini keluar 'bertugas' kerana mata saya masih lagi terlihat kelibat-kelibat ini.

Apabila kepala mula berdenggung dan mata mula berair, ini adalah masa untuk merehatkan kepala dan mata. Kunci kereta dicapai. Stereng kereta dipulas ke sebuah restoran 24 jam. Dalam kepala sudah terbayang teh tarik halia yang lemak pedas dan pekat berbuih.

Sampai di kedai lebih kurang jam 12:30 malam. Ramai juga yang masih tidak tidur pada waktu-waktu begini. Dada mula berdebar bila mula menjejakkan kaki ke dalam restoran tersebut. Hndak pergi ke tempat lain, malas pula. Punggung dihenyekkan ke atas kerusi dan mula memesan.

Sementara menunggu minuman, mata mula meliar memerhatikan sekeliling kedai sehingga ke siling. Entah bagaimana tiba-tiba mata tertumpu ke arah penjuru pintu masuk. Hati mula resah. Mungkin salah pandang tetapi rasanya kelihatan seperti sebutir botol kecil diselitkan di sudut restoran itu. Tak semena-mena bulu roma mula meremang.

Mata terus memandang sekeliling restoran. Disatu sudut restoran pula kelihatan seorang perempuan berpakain serba hitam sedang bertenggek di alang pintu. Matanya memerhatikan setiap pelanggan yang datang. Sesekali badannya diayun ke kiri dan kanan, macam monyet di dalam zoo apabila dicampakkan kacang.

Rambutnya yang menggerbang dibiarkan kusut masai, bagaikan setahun tidak mandi. Mukanya pula hitam dan terkopek-kopek, bagai daging yang terbakar hangus. Tangannya kelihatan seperti batang mop yang dibalut plastik nipis, terlalu kurus! Ia menjuntaikan tangannya hingga menyentuh kepala setiap pelanggan yang baru masuk.

"Ini tehnya. Makan tak mahu?" tiba-tiba kedengran satu suara menyapa. Mug berisi teh diletakkan diatas meja sehingga tertumpah sedikit. Hentakan di meja membuatkan saya menoleh ke arah pelayan itu. Di dalam hati mula menyampah dengan layanan restoran ini.

Mata mengerling semula ke arah perempuan berpakaian serba hitam tadi. Entah kemana pula ia menghilang. Teringat petua selamat daripada orang lama, lidah mula dilagakan ke lelangit. Menurut orang tua-tua, sekiranya lelangit tidak terasa apa-apa dan lidah terasa kebas, eloklah dielakkan untuk memakan atau meminum juadah yang terhidang.

Begitu juga dengan merasa dibawah bekas minuman atau makanan. Sekiranya minuman panas dan dibawah cawan atau bekas tersebut sejuk, eloklah dielakkan. Begitulah juga sebaliknya.

Sebelum menyentuh minuman, beberapa potong ayat suci dibaca sehingga debaran di dada berkurangan. Tangan dihulurkan ke arah mug minuman. Tanpa amaran.. PRAKKK..mug tiba-tiba merekah dan terbelah.

Dalam sekelip mata teh halia panas mula melimpah dan hampir mengenai kaki. Mata secara automatik melihat ke arah alang pintu masuk restoran. Kelihatan lembaga hitam tadi menunjukkan diri dan berayun ke kiri dan kanan.

Berlari mamak di kaunter ke arah meja dan menyuruh pelayannya untuk membersihkan air yang tumpah. Saya mengeluarkan dompet, ingin membayar duit minuman tapi bayaran tidak diterima atas alasan minuman tidak diminum lagi. Malah hendak diganti tanpa sebarang bayaran.

Saya hanya menggelengkan kepala. Perlu berhati-hati kerana ada yang sedang memandang dan menguji di kedai-kedai begini. Kaki mula menapak keluar. Apa yang dilakukan menimbulkan rasa kurang senang kepada peniaga. Entah apa yang dibebelkan pun tidak tahu, tapi dari riak mukanya, rasa tidak puas hati memang jelas kelihatan.

Saya menoleh ke arahnya seraya memberitahu agar mengalihkan botol yang diselitkan diatas alang pintu dan terus meninggalkan restoran itu. Mungkin terperanjat dengan apa yang saya katakan, pengurus restoran terus terdiam.

Sebaik melangkah keluar dari restoran berkenaan, terasa bagaikan ada yang mengikuti dari arah belakang. Menoleh kearah kiri, saya terlihat ada bayangan hitam berjubah sedang mengekor perlahan. Dalam hati terdetik untuk tidak terus pulang ke rumah. Kaki terus melangkah ke arah sebuah lagi restoran 24 jam.

Teh tarik halia dipesan sekali lagi dan meminta sebotol air mineral serta beberapa butir limau nipis sebagai tambahan. Badan pula sengaja membelakangkan pintu masuk kedai.

Limau diperahkan kedalam air mineral sambil membaca sambil membaca beberapa potong ayat lazim beserta doa memohon keselamatan daripada kejahatan manusia dan bangsa yang tidak kelihatan.

Setelah minuman dihabiskan dan dibayar, saya mula melangkah keluar dengan botol berisi campuran air mineral dan limau ditangan. Bulu roma mulai menegak kembali. Ahh.. masih mengikut lagi rupanya. Walaupun tidak kelihatan tetapi 'radar' semulajadi saya mulai memberi amaran.

Terasa bagaikan ada tangan yang menghampiri perlahan-lahan dan ingin mencekik tengkuk. Semakin lama semakin rapat. Mulut mula terkumat-kamit membaca beberapa potong ayat suci Al-Qur'an. Dan...

Botol air mineral mula dibuka dan air dimasukkan ke dalam mulut. Saya alihkan tubuh ke kiri dan serentak menyembur ke arah lembaga yang mengikut. Mungkin kerana terkejut, lembaga tadi terus mengelak dan melompat ke arah salah satu tiang yang menyinari jalan. Kepalanya ditelengkan untuk merenung saya.

Dada semakin berdegup kencang. Mungkin tidak berpuas hati, ia cuba mendekati. Bagaikan terapung, ia bergerak ke arah saya. Persis mencabar.

Dalam debaran yang semakin menggila, saya terus curahkan air ke arah lembaga itu dan secara spontan ia bergerak pantas, terus bertenggek di lampu jalan. Beberapa orang pelanggan yang ada disitu mula melihat perbuatan saya.

Mata saya terus merenung lembaga yang berada ditiang lampu. Marah dan seram bercampur-baur dalam hati. Ranbutnya yang menggerbang terbuai-buai bagai ditiup angin. Ingin saja saya menjerit agar dia turun. Ingin saya bertanyakan siapa tuannya dan kenapa ia menggangu saya.

Namun, bila memikirkan saya tidak mempunyai pengetahuan dalam berkomunikasi dan menundukkan makhluk ini, saya cuma mendiamkan diri. Beberapa orang pelanggan mulai bangun dan keluar dari restoran tersebut. Mungkin untuk melihat 'drama' siaran langsung yang tertayang atau mungkin menyedari restoran tersebut menggunakan pelaris.

Melihatkan para pelanggannya keluar beramai-ramai, pengurus restoran itu pun terus keluar dan mendekati saya. Mukanya kelihatan terkejut. Air yang setengah botol lagi saya terus curahkan ke tiang elektrik di tempat lembaga itu sedang bertenggek. Bagaikan terpaku, ia terus mendiamkan diri di situ.

"Abang, jangan buat ini macam la. Tada bagus business saya nanti," kata pengurus restoran itu. Tanpa berkata apa-apa, saya terus bergerak ke arah kereta sambil memerhati sama ada lembaga hitam itu mengekori lagi atau tidak.

Ingin saja saya menempelak tetapi tidak sampai hati. Saya bukannya jenis suka menghalang rezeki orang lain, walaupun saya tahu cara yang dilakukan itu tidak betul.

Sehingga saya meninggalkan tempat itu, saya masih dapat melihat lembaga hitam itu bergayut ditiang lampu. Bagus! Harap-harap ia tidak mengekori saya ke rumah.

Sepanjang perjalanan, saya memasang CD ayat-ayat suci sekuat mungkin bagi memberikan tenaga dan semangat untuk saya.

Cuma apa yang membuatkan saya berfikir ialah, adakah mereka ini tidak percaya kepada rezeki yang Allah turunkan? Mengapa perlu menggunakan 'bantuan-bantuan' lain kalau makanan dan minuman yang dihidangkan sedap dan berbaloi harganya?

Ini tidak, sudahlah makanan tidak sedap, layanannya pula kasar dan harga pula mahal. Dan mengapa perlu mengabui mata pelanggan dengan menyekat pandangan pelanggan terhadap restoran pesaing?

Kepada yang pernah menyekat rezeki orang lain, sama ada secara fizikal atau halus, saya tidak dpat berkata apa-apa. Terpulang kepada mereka. Biarlah dilunaskan di akhirat nanti.

Sehingga kini, saya tidak lagi diekori oleh lembaga itu. Bahkan, setiap kali melalui jalan tersebut, tidak pula kelihatan ia bergayut di tiang lampu lagi. Mungkin telah kembali ke pangkuan tuannya, ataupun terkena renjatan elektrik!

Hehe..

Oleh: Zulkifli Ahmad Idrus (Mastika April 2015)

BACA INI JUGA: Misteri Seram Lukisan Berwajah Sedih

-SENTIASAPANAS.COM