May 16, 2015

Nasib Rohingya Lebih Teruk Daripada Pelarian Vietnam

Bagi generasi muda lahir selepas 1990, pasti tidak pernah tahu Malaysia suatu ketika pernah menjadi negara transit untuk lebih sejuta ‘orang hanyut’ pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Vietnam selama 20 tahun.

Islam Rohingya

Selain Pulau Bidong di Terengganu, kumpulan PATI ini pernah ditempatkan di sebuah lagi kem sementara di tepi Lebuh Raya Kuala Lumpur – Seremban; yang kini menjadi pusat penyiaran Astro dan Taman Teknologi Malaysia.

Bayangkanlah, nama Malaysia pernah popular di persada dunia apabila pelarian IndoChina itu merusuh sambil membakar kem tersebut menyebabkan ada terbunuh hanya kerana marah tiada negara mahu menerima mereka.

Itu cerita pasca zaman perang Vietnam dan kini negara itu sudah menganggotai ASEAN, blok kerjasama politik dan ekonomi 10 negara rantau Asia tenggara yang dianggap antara paling berpengaruh dalam geostrategi dunia.

Anehnya ketika Malaysia menerajui ASEAN dan kebetulan tahun ini merupakan sasaran garis masa Komuniti 1 ASEAN, isu pelarian Rohingya masih menjadi masalah seumpama duri dalam daging kepada organisasi tersebut.

Ceritanya mudah: Myanmar enggan iktiraf etnik Muslim itu dan melabel sebagai PATI meskipun mereka dakwa penduduk asal sejak zaman penjajahan British lagi apabila negara tersebut masih lagi dikenali sebagai Burma.

Isu terus rumit apabila kerajaan Bangladesh pun tidak menerima etnik itu yang mendiami wilayah Arakan yang bersempadan sebelum Myanmar menukar namanya kepada Rakhine dan bertindak mengusir masyarakat ini.

Ironi, berbanding kes pelarian Vietnam, isu Rohingya lebih ‘sadis’ apabila tiada siapa peduli waima pemimpin pembangkang terkenal ikon demokrasi pro-Barat dan penerima anugerah Nobel Keamanan, Aung San Su Kyi.

Kes ini pernah mendapat perhatian Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menghantar bekas Menteri Luar Malaysia, Tan Sri Syed Hamid Albar bagi meninjau masalah tersebut tetapi Myanmar pula tetap berkeras.

Biarpun OIC meminta isu itu dilihat neutral dari sudut kemanusiaan berbanding konflik agama, badan-badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) merujuk kes ini lebih sebagai pembersihan etnik.

Tidak hairanlah banyak organisasi luar termasuk Malaysia dihalang memasuki Myanmar bagi memberi bantuan di sebalik berita layanan kejam junta tentera Naypyidaw menghapuskan secara sistematik umat Islam Rohingya.

Mungkin sudah tiba tahap amat marah, kerajaan Malaysia akhirnya pada Jumaat menyatakan, ASEAN mesti beri ‘mesej yang sangat tegas’ kepada Myanmar supaya berhenti menindas kaum minoriti Muslim tersebut.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar malah berkata, punca utama masalah pelarian Rohingya yang semakin menjadi-jadi ialah layanan buruk Myanmar terhadap kaum tersebut.

Inilah kenyataan paling keras Putrajaya yang kini memegang kedudukan Pengerusi ASEAN sebagai merujuk sejak minggu lalu, sekurang-kurangnya 2,000 pelarian Rohingya memasuki perairan Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Kumpulan hak asasi menyatakan, mungkin ada ribuan lagi pelarian itu yang sedang terkandas di Laut Andaman dan Selat Melaka Utara, atau ditinggalkan ‘orang tengah’ yang mengaut duit cuba menyeludup masuk mereka.

Sejauh ini Malaysia sudah menempatkan puluhan ribu pelarian Rohingya dan hari ini, Suruhanjaya Tinggi bagi Pelarian PBB (UNHCR) mula mendaftarkan sekitar 600 lagi yang tiba di Aceh, Indonesia beberapa hari lalu.

Pegawai Lapangan UNHCR, Mitra berkata: “Ada beberapa yang memang menyatakan mereka cari pekerjaan. Maka kita melakukan pendaftaran untuk memisahkan antara kelompok pencari suaka dan mana yang tidak.”

Seorang pelarian Rohingya berkata: “Sampai sini Alhamdulillah banyak terima kasih. Terus kita tidak mahu pergi mana-mana luar negeri. Kami kena keluar kerana negara kami Buddha banyak, mereka tak bagi duduk tinggal.

“Malaysia sama-sama Indonesia saja dua tempat ini yang nampak Muslim. Kita mahu masuk Malaysia kita tidak dapat masuk. Kita nasib baik sampai sini. Terus kita mahu duduk sini Indonesia. Kita mahu hidup sahaja.”

Kerajaan Malaysia dalam reaksi diplomatik mengulangi gesaan, junta Naypyidaw perlu memperlakukan dengan perikemanusiaan semua penduduk Rohingya dan ‘tidak boleh terlalu menindas’ hanya kerana faktor agama.

Ia menjangkakan isu itu akan diketengahkan tahun ini dalam mesyuarat ASEAN akan datang dan Wan Junaidi menegaskan Malaysia tidak boleh menjadi satu-satunya negara yang bertanggungjawab untuk mengambil mereka.

Ketika ini dianggarkan lebih 1.3 juta etnik Rohingya yang dianggap oleh PBB sebagai salah satu kaum minoriti yang teruk ditindas, masih sabar tinggal di Rakhine, wilayah barat Myanmar bersempadan dengan Bangladesh.

Putrajaya sudah pun sanggup mengambil masuk puluhan ribu pelarian Rohingya, yang menuju ke negara ini kerana menanggapnya sebagai sebuah negara yang lebih makmur dan memiliki majoriti penduduk Muslim.

Malangnya, tidak seperti pelarian Vietnam, nasib Rohingya jauh lebih teruk dan setakat ini tiada negara ketiga tampil mahu menerima mereka hanya kerana etnik ini mengaku beragama Islam. –Agensi

BACA INI JUGA: Umat Islam Tidak Berguna, Tidak Bererti dan Tidak Menakutkan Musuh!?

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

2 comments

Mmg kesian.. sgt menyedihkan. Semoga mereka mendapat pembelaan yg sewajarnya... aamiin.

Msia bkepuk2 dgn pati makin byk tangkap makin byk dtg.sekarang isu pelarian pula.bknnya nak terima mereka terus.beri ptolongan sementara.org nepal kena pusu2 tolong org asia kena halau pula.tolong la mana yg patut sebagai sesama manusia n sesama saudara

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon