Tuesday, July 15, 2014

Umat Islam Tidak Berguna, Tidak Bererti dan Tidak Menakutkan Musuh!?


Bumi Gaza terus dibedil dan jumlah kematian di pihak Palestin terus meningkat. Begitu juga dengan mangsa yang cedera. Hospital sesak.

Gaza

Ubat-ubatan tidak mencukupi. Banyak rumah ranap. Masjid turut runtuh terkena bom. Penduduk di Genting Gaza dilanyak oleh rejim Zionis. Apakah kesudahannya?

Yahudi terus mengganas tanpa mempedulikan rayuan masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Rejim Yahudi akan terus mencari kepuasan dengan alasan mahu menggempur pejuang Hamas tetapi yang menjadi mangsa adalah orang awam termasuk kanak-kanak.

Begitulah apabila sifat kebinatangan menguasai manusia. Siapa pun yang memimpin Israel, keadaannya sama.

Di tangan mereka `berlumuran darah' rakyat Palestin. Sebutlah siapa pemimpin itu. Benjamin Netanyahu, Ehud Olmert, Ehud Barak atau Ariel Sharon. Tiada bezanya.

Bukanlah sesuatu yang pelik apabila rakyat Palestin diserang, 'polis dunia' hanya mampu merayu dan melihat pembunuhan mereka yang tidak berdosa.

Mereka ini hanya bertindak pantas dan cuba campur tangan apabila sesama umat 'bergaduh' di negara yang dinaungi pemimpin Islam.

Lihat apa yang berlaku di Iraq, Afghanistan, Mesir, Syria, Iran dan beberapa negara lain. Adakah mereka peduli nasib umat Islam yang nyawa mereka seolah-olah tidak berharga. Jika dilihat jumlah pelarian, sudah tentu paling ramai adalah dalam kalangan masyarakat Islam.

Kisah pembunuhan dan penindasan anggota keluarga kita yang beragama Islam ada di seluruh pelosok dunia. Selain Palestin, kita tahu nasib rakan-rakan umat Islam di Bosnia, Chechnya, Pattani, Myanmar, Tunisia, Kashmir, Lubnan, Uzbekistan dan China. Kenapa terjadi begitu?

Adakah jumlah umat Islam teramat sedikit sehingga tidak mampu lagi untuk membantu rakan-rakan seagama yang ditindas?

Kembali ke Palestin, sudah terlalu banyak cerita duka. Kematian menjadi rutin harian. Palestin tidak boleh lari daripada kekejaman yang dilakukan oleh puak Zionis. Saban hari akan ada kekejaman yang dilakukan tanpa ada rasa belas kasihan.

Apa yang melanda di Palestin bukanlah isu kemanusiaan semata-mata sebaliknya berkait dengan keimanan kepada Allah. Ini kerana perkara itu membabitkan maruah agama Allah SWT yang perlu dipertahankan semua pihak di seluruh dunia.

Mungkin bagi sesetengah orang yang tidak tahan dengan penindasan dan kekejaman yang dilakukan oleh puak Zionis akan lari meninggalkan negara itu. Adalah lebih baik untuk mereka mencari negara lain yang menjanjikan suasana yang lebih baik.

Keadaan sebaliknya berlaku bagi penduduk Palestin. Bagi mereka, memang benar peribahasa, Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik negara sendiri.

Bagi rakyat Palestin, bumi negara itu perlu dipertahankan walaupun sebahagian daripadanya sudah hilang.

Ismail Haniyeh, Perdana Menteri Palestin dan Pemimpin Tertinggi Hamas pernah berkata kepada pemimpin Malaysia bahawa, "Kami di sini lebih beruntung kerana diberi peluang oleh Allah untuk menikmati syahid mempertahankan bumi Baitulmaqdis bagi pihak kalian''.

Palestin

Bumi Palestin adalah tanah yang diwakafkan dan umat Islam seluruhnya mempunyai hak terhadap tanah itu yang melahirkan ramai nabi dan imam Shafie. Di bumi Palestin juga terletaknya kiblat pertama umat Islam.

Penduduk Palestin sering menyatakan rasa syukur kerana berpeluang tinggal di situ dan mempertahankan tanah milik umat Islam itu. Begitulah semangat yang ada pada rakyat Palestin.

Malangnya ketika ini, Israel sedang melakukan pengusiran secara halus apabila mengarahkan penduduk meninggalkan kediaman mereka untuk memberi ruang tentera melancarkan serangan.

Diselak kembali lembaran sejarah, kekejaman pemimpin Israel tidak pernah terhenti. Mungkin masih ramai yang ingat bagaimana kezaliman yang dilakukan oleh Ariel Sharon pada 16 September 1982.

Di kem Sabra dan Shatila yang menjadi khemah pelarian rakyat Palestin di Lubnan digempur oleh rejim Zionis. Ketika itu Sharon bertindak sebagai Menteri Pertahanan. Akibat tindakan ganas itu yang hanya berpunca mahu menghapuskan pejuang PLO, kira-kira 3,000 maut.

Sharon bebas malah 'kegemilangan' itu meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri. Apakah tindakan ke atas Sharon?

Sharon hanya 'dihukum' menderita strok sehingga hilang jawatan Perdana Menteri. Bayangkan jika pembunuhan seumpama itu dilakukan oleh pemimpin di negara Islam. Mereka akan dicari sehingga ke lubang cacing.

Sharon dengan angkuh pernah berkata: ''Saya berharap akan dapat menghalau keluar semua orang Palestin dari Gaza dan Tebing Barat ke Jordan'' (New York Times 17 Mei 1982).

Itu impian Sharon yang diteruskan oleh Ehud Olmerd dan kini Benjamin Netanyahu. Bilakah akan berakhir penderitaan rakyat Palestin ini? Apakah masih ada harapan bagi mereka hidup merdeka di negara sendiri?

Masyarakat Islam dunia hanya mampu berdoa dan menunaikan solat hajat supaya penduduk Palestin diberikan kekuatan dan dilindungi.

Mereka bersama masyarakat pelbagai anutan agama yang lain juga hanya mampu mengutuk dan menganjurkan demonstrasi bantahan.

Mereka hanya mampu menangis mengenangkan bencana ciptaan manusia yang melanda kehidupan masyarakat Palestin.

Disebabkan tidak ada harapan lagi, ada yang mengharapkan agar peristiwa kemusnahan tentera bergajah yang mahu menghancurkan Kaabah berulang.

Ketika itu Allah mengirimkan sekumpulan burung yang menjatuhkan batu-batuan dari tanah yang terbakar ke atas tentera bergajah pimpinan Abrahah.

Maknanya dalam keadaan seperti di Gaza sekarang, hanya kuasa Tuhan yang dapat menghapuskan kekejaman dan keangkuhan Zionis itu.

Alangkah baiknya jika Ababil datang membantu. Malangnya tidak. Kenapa? Jika Ababil tidak dapat membantu, adakah umat Islam hanya sekadar melihat dan mendengar rintihan rakyat Palestin?

Bilakah agaknya pemimpin umat Islam yang ramai ini benar-benar bersatu menunjukkan kekuatan bagi menghadapi rejim Zionis ini?

OIC

Apa yang berlaku di Palestin adalah satu ujian amat besar kepada umat Islam khususnya pemimpin-pemimpin serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Tidak ada gunanya jumlah kita yang ramai tetapi lemah.

Ingatlah sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud, "Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama."

Seorang sahabat pun bertanya, "Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?"

Sabda Baginda SAW, "Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut."

Sahabat bertanya lagi, "Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?"

Jawab Rasulullah SAW, "Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn."

Sahabat bertanya lagi, "Apakah itu al-Wahn?"

Rasulullah SAW bersabda: "Cintakan dunia dan takut akan kematian."

Adakah kita (umat Islam) hari ini sudah tergolong dalam kumpulan itu?

BACA INI JUGA: Kekejaman ISIS Dan Kezaliman Zionis

sumber: utusan

4 comments

  1. Di Malaysia, jika berkerja di syarikat swasta, nak solat Jumaat pun susah. Kerajaan tak mahu berbuat apa-apa untuk mewartakan masa untuk solat Jumaat, Takut pada pelabur2, takut pelabur2 lari, inilah salah satu dari "penyakit al-Wahn".

    ReplyDelete
  2. ya allah selamatkanlah mereka.. amin..

    ReplyDelete
  3. Ofc mate aku.. Boss non muslim. .ok jer.. Tp sndiri x nak solat sbb nak jga make up.. So cam na.. Salah gomen gak ker..

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon