Sunday, January 21, 2018

Teori Kitaran Ibnu Khaldun, Bagaimana Kerajaan Bermula Dan Akan Tumbang Akhirnya!


Lahir, berkembang dan merosot yang menjadi fitrah tamadun manusia tidak sukar difahami kerana tamadun itu sendiri adalah rakaman perjalanan hidup manusia.

Teori Kitaran Ibnu Khaldun

Manusia yang sentiasa memerhatikan perjalanan dirinya akan segera dapat memahami usia tidak pernah bertahan pada suatu peringkat biologi.

Pembinaan, Perkembangan dan Kemorosotan Tamadun

Apakah yang wujud di dalam sesebuah tamadun dan apakah kandungan dan pengisian tamadun itu? Inilah antara persoalan penting yang sering kali didebatkan dalam wacana tamadun semenjak daripada zaman Ibn Khaldun menerusi karya agungnya Muqaddimah sehingga hari ini.

Sesungguhnya, penelitian pada apa yang wujud dan apa yang terkandung di dalam sesebuah tamadun adalah penelitian pada pembinaan, perkembangan dan kemerosotan tamadun kerana bangun dan jatuhnya sesuatu tamadun itu sangat dipengaruhi oleh asas dan sumber yang mendasari pembinaannya, hubungan-hubungan yang menghasilkan pembangunan itu, serta aspek-aspek yang diberi penekanan dalam perkembangan dan juga kemerosotannya.

Lahir, berkembang dan merosot yang menjadi fitrah tamadun manusia tidak sukar difahami kerana tamadun itu sendiri adalah rakaman perjalanan hidup manusia.

Manusia yang sentiasa memerhatikan perjalanan dirinya akan segera dapat memahami usia tidak pernah bertahan pada suatu peringkat biologi.

Manusia bertukar daripada peringkat bayi kepada peringkat kanak-kanak, peringkat remaja, peringkat dewasa sehinggalah ke peringkat tua.

Apa yang berlaku kepada manusia sebenarnya menggambarkan apa yang berlaku kepada tamadun. Tamadun mengalami saat kelahiran, saat perkembangan, saat kecemerlangan dan diakhiri dengan saat kemerosotan sama seperti apa yang dialami oleh manusia.

Analogi ini menjadi lebih ironi lagi kerana yang melahirkan tamadun itu ialah manusia, yang mengembangkan tamadun juga manusia, malah yang membawa kepada kemerosotan tamadun juga manusia.

Tepat sekali pandangan Ibnu Khaldun (2000) manusia adalah agen tamadun serta pandangan Malek Bennabi (1992) yang menganggap manusialah yang menjadi unsur terpenting bagi tamadun.

Watak-watak yang ditonjolkan oleh manusia adalah watak-watak yang dengan sendirinya menentukan pembinaan, perkembangan dan kemerosotan tamadun.

Model-Model Tamadun

Perbincangan dan penilaian yang objektif tentang bangun dan jatuh sesebuah tamadun manusia sangat bergantung kepada kerangka model atau teori perkembangan tamadun.

Oleh yang demikian, dalam bahagian ini, empat model perkembangan tamadun akan dikemukakan.

Model pertama ialah model tiga tahap perkembangan kerajaan atau organisasi sosial yang dikemukakan oleh Ibnu Khaldun (1332-1406) iaitu (Wan Hashim 1997: 75-76:

a. Tahap awal atau kelahiran yang dicirikan oleh perasaan kekitaan atau asabiyah bagi memenuhi keperluan asas, dan kemudiannya diperkukuhkan oleh peranan agama.

b. Tahap kehidupan menetap atau bertamadun yang dicirikan oleh kelahiran sistem pemerintahan yang membawa kepada pertumbuhan bandar dan memberi kesan kepada stratifikasi sosial.

c. Tahap lemah atau kejatuhan yang dicirikan oleh konflik politik dan krisis ekonomi sehingga membawa kesan kepada stratifikasi sosial dengan peningkatan kemewahan dan kelunturan semangat kekitaan.

Teori Kitaran

Model Ibnu Khaldun ini yang dikenali juga sebagai ‘Teori Kitaran’ kemudiannya dikembangkan pula oleh Arnold Toynbee (1889-1979) dalam bukunya A Study of History.

Toynbee sependapat dengan Ibnu Khaldun bahawa agama dan stratifikasi sosial memainkan peranan penting dalam melanjutkan hayat sesuatu tamadun.

Toynbee juga membuat penambahan apabila secara khusus memperincikan lagi tahap ketiga model ini dengan membahagikannya kepada tiga subfasa iaitu (Wan Hashim 1997: 77: Keretakan, Perpecahan dan Kejatuhan.

Model ketiga ialah model yang diketengahkan oleh Malik Bennabi (1905-1973). Menurut Wan Hashim (1997: 78), Malik juga dapat dianggap terpengaruh dengan teori kitaran Ibnu Khaldun.

Walau bagaimanapun, beliau berjaya membentuk skemanya yang tersendiri yang berbeza dengan Ibnu Khaldun hasil penelitiannya terhadap tahap-tahap perkembangan sejarah tamadun Islam.

Justeru, Malik membahagikan teorinya juga kepada tiga tahap iaitu:

a. Tahap masyarakat pra-tamadun (Mujtama‘ qabl al-hadari) iaitu pandangan yang belum mantap terhadap aspek-aspek kebendaan, idea dan kemanusiaan. Ciri-cirinya ialah seperti penyembahan berhala, semangat kabilah yang kuat, diskriminasi gender dan keterbatasan interaksi sosial seperti yang wujud dalam kehidupan jahiliah pra-Islam.

b. Masyarakat bertamadun (Al-Mujtama‘ al-mutahaddir) iaitu kelahiran peringkat awal budaya baru berteraskan Islam. Ciri-cirinya ialah seperti perluasan hubungan silaturahim, kerjasama dan interaksi sosial, cetusan idea-idea intelek, sistem politik, ekonomi dan sosial seperti yang ditonjolkan dalam kehidupan pasca-hijrah Muhajirin dan Ansar.

c. Masyarakat pasca-tamadun (Mujtama‘ ba‘d al-hadari) iaitu peringkat kejatuhan setelah meniti kejayaan cemerlang. Ciri-cirinya ialah kebekuan idea, pemusatan kuasa dan kepentingan, penyelewengan agama serta kecintaan terhadap kekayaan material dan kemewahan.

Model keempat ialah model Ali Shariati (1933-1977). Menurut Ali Shariati (1979), ada dua perkara yang penting dalam perkembangan tamadun dan kedua-dua perkara tersebut berada dalam diri manusia.

Pertama ialah penghijrahan manusia dari tempat asal ke tempat baru. Dalam sejarah dua puluh tujuh tamadun manusia, tidak ada tamadun yang lahir dan berkembang di kalangan masyarakat primitif yang tidak pernah berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. (Ali 1979: 44)

Kedua, peranan manusia dalam menentukan nasib dan masa depan hidupnya. Dengan akal fikiran dan tenaga, manusia bertanggungjawab menguruskan diri dan masyarakat, mengubah keadaan yang tidak baik kepada baik berpandu bimbingan daripada asas dan sumber Islam. (Ali 1979: 48-9)

Keempat-empat model yang dikemukakan ini masing-masing meneliti dengan mendalam ciri-ciri yang wujud dalam setiap tahap tamadun.

Ciri-ciri yang dimaksudkan itu mencakupi kandungan tamadun, hubungan-hubungan dalam tamadun serta faktor-faktor yang mempengaruhi bangun dan jatuhnya sesebuah tamadun manusia yang akan dibincangkan di dalam bahagian-bahagian seterusnya.

Kandungan Tamadun Menurut Ali Abdul Halim Mahmud (1994:19) seorang ulama al-Azhar kontemporari, Ibnu Khaldun menyediakan suatu mekanisme penting untuk menilai kandungan apa yang dikatakan tamadun, iaitu sesuatu pencapaian hanya akan dianggap sebagai tamadun apabila perkara-perkara yang berkaitan dengan asas (daruriyyah) dan keperluan (hajiah) telah disempurnakan.

Ini bermakna tamadun ialah suatu peringkat penyempurnaan (tahsinat) yang melengkapkan segala perkara yang diperlukan oleh manusia.

Oleh yang demikian, isu utama yang dibincangkan dalam wacana tamadun oleh para pemikir daripada pelbagai disiplin sains sosial sejak peringkat awal manusia mengenali ‘pengajian tamadun’ ialah perkara-perkara yang diperlukan oleh manusia pada tahap-tahap tamadunnya yang tertentu.

Trend ini dapat ditelusuri melalui karya-karya yang ditulis baik oleh Ibn Khaldun sendiri sehinggalah ke hari ini.

Malahan pertembungan tamadun yang digembar-gemburkan sebagai kemuncak kepada sejarah dunia pada penghujung abad kedua puluh jika benar-benar berlaku adalah merujuk kepada perbezaan yang wujud antara sebuah tamadun dengan tamadun yang lain.

Pada prinsipnya, seperti yang telah dibincangkan di dalam Pelajaran 1 sebelum ini iaitu sekalipun terdapat perbezaan takrif dan konsep tamadun di antara perspektif Islam dan perspektif Barat dalam memberi penekanan terhadap aspek kebendaan dan kerohanian, namun secara umum, terdapat persamaan antara kedua-dua perspektif ini.

Yang dimaksudkan persamaan di sini ialah pengiktirafan tamadun sebagai pencapaian yang tinggi bagi aspek tertentu dalam kehidupan yang merangkumi aspek agama, moral, sastera, estetika dan juga pencapaian sains dan teknologi.

Dengan demikian, dapat dikatakan keseluruhan pengkajian tamadun berkisar tentang rangkaian fenomena masyarakat manusia seumpama negara, bandar, sistem sosial, huruf, seni, seni bina, bangunan, agama, undang-undang dan rangka dasar politik.

Fenomena-fenomena ini daripada sudut pembahagiannya terdiri daripada dua bentuk iaitu fenomena material dan fenomena spirituil.

Pada tahap paling minimum, kandungan tamadun sekurang-kurangnya terdiri daripada enam ciri asas (Wan Hashim 1997: 88-9) iaitu:

a. Mempunyai kehidupan di bandar.

b. Mempunyai sistem pemerintahan dan kerajaan.

c. Mempunyai bahasa dan tulisan.

d. Mempunyai sistem perundangan.

e. Mempunyai agama dan sistem kepercayaan.

f. Mempunyai pengkhususan dalam pekerjaan.

Hubungan-Hubungan dalam Tamadun

Yang dimaksudkan dengan hubungan-hubungan dalam tamadun ialah kekuatan-kekuatan yang terbentuk di sebalik elemen-elemen penting dalam tamadun.

Di antara banyak hubungan, hubungan yang paling dominan ialah agama, ketenteraan dan pasaran. (Shaharom 2000).

Ciri setiap hubungan ini berbeza antara satu sama lain, dan masing-masing mempunyai kekuatan dan keistimewaannya yang tersendiri.

Daripada sudut pemerkasaan tamadun (empowerment of civilizations), hubungan-hubungan ini sangat berpengaruh dan relatif sehingga dapat dianggap sebagai ‘kuasa’ yang memberi kekuatan kepada tamadun.

Hubungan-hubungan tamadun ini juga dalam keadaan-keadaan tertentu dapat mencetuskan persaingan sengit antara tamadun-tamadun manusia.

Agama dan Tamadun

Dalam pengertian yang lazim difahami, agama ialah kepercayaan pada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah-Nya (Kamus Dewan 1998).

Secara fitrahnya, agama dan kepercayaan bukan hanya merupakan perkara asas yang wujud dalam diri setiap manusia, tetapi juga sudah menjadi keperluan kepada manusia.

Faktor-faktor yang mendorong manusia beragama adalah faktor-faktor semula jadi yang bersumberkan diri manusia sendiri iaitu seperti rasa takut yang membawa kepada kecenderungan untuk mendapatkan keselamatan dan perlindungan daripada Tuhan.

Dalam hubungan agama dan tamadun, jatuh bangunnya sesebuah tamadun atau kerajaan adalah selari dengan jatuh bangunnya sesuatu agama.

Menurut Ismail Yusoff (2001: 147) yang memetik pandangan Smith (1927) dalam In the Beginning: The Origin of Civilization, kepelbagaian nasib politik adalah dimanifestasikan oleh kepelbagaian perkembangan agama.

Contohnya, tamadun Barat dipengaruhi oleh agama Kristian, tamadun Timur Tengah, Rusia dan China kebanyakannya dipengaruhi oleh agama Islam dan tamadun Asia Tengah oleh pengaruh Hindu dan Budha.

Agama juga mempunyai hubungan fungsi dengan unsur tamadun yang lain seperti moral, etika, ekonomi, undang-undang estetika dan sains.

Lazimnya, agama mengajar manusia melaksanakan perkara-perkara yang positif dalam kehidupan seperti berusaha, amanah, sabar dan sebagainya yang dapat melahirkan tamadun manusia. (Ismail 2001: 147)

Secara perbandingan antara perspektif tamadun Islam dan Barat, terdapat persamaan dalam menilai hubungan agama dan tamadun.

Bagi tamadun Islam, agama menjadi asas yang melambangkan citra tamadun itu sendiri atau dengan kata lain, tamadun Islam ialah tamadun agama dan bukannya tamadun bangsa atau tamadun wilayah.

Tamadun Barat juga menganggap agama sebagai satu daripada unsur utama tamadun manusia seperti yang ditegaskan oleh Samuel P. Huntington (1996) yang cukup kontroversi dengan teori pertembungan tamadun Islam dan Barat.

Ketenteraan dan Tamadun

Hubungan ketenteraan dan tamadun bukanlah suatu hubungan yang baru dalam sejarah tamadun manusia.

Menurut Wan Abdul Rahman Latif (1996: 22), keterbatasan keupayaan dan ketiadaan kepakaran yang tinggi mendorong manusia menggunakan kekerasan bagi mencapai kemahuannya.

Kekuatan fizikal dan keberanian banyak mempengaruhi seseorang itu menggunakan kekerasan terhadap orang lain.

Dalam budaya Melayu, kekuatan baik bersifat fizikal, emosi dan material memang pernah menjadi mekanisme penguasaan antara sesama manusia.

Ini terbukti dengan kewujudan ungkapan seperti ‘siapa kuat dialah kudrat’.

Penggunaan ketenteraan pada peringkat yang lebih besar semakin ketara apabila berlakunya persaingan dan perebutan kuasa pada peringkat intratamadun dan antara tamadun.

Persaingan antara negara-negara Eropah yang melibatkan Portugis, Sepanyol, Perancis, Itali, Belanda dan Inggeris dalam gerakan imperialisme dan kolonialisme dapat disifatkan sebagai persaingan intra-tamadun.

Manakala persaingan antara tamadun Barat dan tamadun Islam dalam siri Perang Salib pula dapat dianggap sebagai persaingan antara tamadun.

Daripada sudut kesan hubungan kuasa ketenteraan dan perkembangan tamadun, ketenteraan lebih banyak meninggalkan nilai-nilai negatif berbanding nilai-nilai positif.

Hakikat ini tidak dapat dinafikan lagi apabila kuasa ketenteraan sering kali membawa kepada peperangan dan balas dendam akibat daripada penggunaan elemen-elemen pembunuhan, penyeksaan, penindasan, penganiayaan, kekejaman dan paksaan dalam interaksi ketenteraan.

Dalam sejarah dunia moden, Perang Dingin antara Amerika dan Rusia sebagai contoh meninggalkan kesan moral dan kemanusiaan yang kekotorannya terpalit bukan sahaja di bumi kedua-dua negara tersebut, tetapi juga di negara-negara lain sehingga wujud blok demokrasi dan blok komunis.

Perang saudara yang sering kali meletus di negara-negara dunia ketiga seperti Afghanistan dan Ethiopia juga tidak menjadi penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh negara-negara keadaan.

Justeru, pada prinsipnya, sebagai tamadun yang mengutamakan nilai-nilai kesejahteraan, tamadun Islam tidak menggunakan ketenteraan sebagai kuasa utama dalam perluasan wilayahnya.

Penggunaan ketenteraan dalam tamadun Islam adalah untuk tujuan mempertahankan diri, dan peperangan seboleh-bolehnya cuba dielakkan melalui rundingan dan perdamaian.

Perluasan tamadun Islam dari Tanah Arab ke Mesir pada zaman kerajaan Umayyah yang diketuai oleh Amru bin al-‘As sebagai panglima bukan bererti perluasan menggunakan mata pedang tetapi disifatkan sebagai ‘pembukaan’ yang berlaku dengan penuh keharmonian dan penghormatan terhadap nilai-nilai kemanusiaan.

Pasaran dan Tamadun

Kegiatan ekonomi menjadi sebahagian daripada kegiatan dalam interaksi manusia dengan alam.

Kegiatan ekonomi mengiringi pertumbuhan bandar, pertambahan penduduk, penempatan, stratifikasi sosial, sistem politik, sistem sosial dan sebagainya dalam kerangka tamadun.

Dalam tamadun klasik, pasaran dalam perdagangan lebih bersifat memenuhi keperluan-keperluan tempatan.

Tetapi perkembangan demi perkembangan yang dicapai oleh manusia khususnya yang berasaskan teori-teori ekonomi Barat sama ada ekonomi konvensional atau ekonomi moden, telah mengubah peranan pasaran sehingga menjadi kuasa dalam tamadun.

Dengan kata lain, transformasi telah berlaku dalam peranan pasaran sehingga pasaran dapat menentukan jatuh bangunnya tamadun serta dapat menentukan pengaruh dan sumbangan sesuatu tamadun terhadap tamadun yang lain.

Namun begitu, kuasa pasaran sendiri sekalipun berjaya menyatukan ideologi politik manusia yang berbeza seperti yang cuba dicapai melalui globalisasi (Mittelman 1999), tetapi sebenarnya didasari oleh kebebasan nilai yang relatif sifatnya.

Sebagai contoh norma kedaulatan pengguna Barat menafikan apa-apa campur tangan agama untuk mengenakan sekatan terhadap penggunaan sesetengah barangan.

Pasaran Barat juga menggunakan metode objektif dengan tidak menerima mana-mana dalil metafizik dan menyingkirkan pertimbangan nilai dengan menganggapnya sebagai tidak saintifik dan tidak dapat disahkan. (Abd. Mumin 1993: 138-9)

Akibat daripada penekanan yang berlebihan terhadap ‘consumerism’ dan langsung mengabaikan nilai-nilai moral, manusia yang dibentuk oleh pasaran Barat tidak menerima hakikat manusia mempunyai keperluan material dan spirituil bagi mencapai kepuasan pasaran sebenar.

Pasaran Barat menganggap seseorang itu pada asasnya memang individualistik secara semula jadi dan tidak perlu mempedulikan orang lain. (Abd. Mumin 1993: 1-36)

Penilaian terhadap hubungan-hubungan tadi dengan jelas menunjukkan agama adalah elemen yang paling sejahtera kerana membawa kepada kerahmatan kepada manusia berbanding hubungan-hubungan lain.

Agama menjadi elemen induk yang menaungi hubungan-hubungan lain termasuk budaya.

Kuasa agama dalam tamadun mampu menyatukan bangsa-bangsa di dunia dengan penuh kedamaian berbanding kuasa ketenteraan yang lebih banyak menyaksikan peperangan, kematian dan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh manusia, serta kuasa pasaran yang lebih menonjolkan ciri-ciri persaingan individualistik dan materialistik.

Faktor Pembinaan, Perkembangan dan Kemerosotan Tamadun Manusia

Berdasarkan kajian mengenai model dan teori kerangka tamadun yang diketengahkan oleh beberapa orang tokoh pemikir dalam ilmu sejarah dan sosiologi abad ke-20 dan sebelumnya, beberapa rumusan tentang perkembangan dan kemerosotan tamadun manusia dapat disenaraikan seperti yang berikut:

Pegangan kepada Agama

Faktor ini amat signifikan dengan tamadun Islam yang memang merupakan tamadun agama.

Rasulullah SAW sendiri pernah menyebutkan hal ini secara terang dan nyata di dalam hadis baginda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekali-kali kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah nabi-Nya.” - riwayat Malik.

Semangat Kerjasama yang Tinggi dan Rasa Kekitaan (asabiyyah)

Bagi tamadun Islam, faktor ini diasaskan kepada akidah, syariah dan akhlak dengan bersumberkan al-Quran dan sunah.

Bagi tamadun Barat pula, ideologi dan doktrin menjadi asas kepada faktor ini dengan bersumberkan nilai dan norma budaya tempatan.

Keselesaan Hidup dan Kemewahan

Dalam banyak keadaan, faktor ini menanamkan di dalam jiwa manusia sifat-sifat negatif seperti lalai, ego, materialistik dan individualistik tanpa mengambil kira kepentingan manusia lain.

Dalam mengawal keselesaan hidup dan kemewahan daripada menyeleweng, tamadun Islam mewujudkan institusi zakat supaya wujud tanggungjawab keselesaan dan kemewahan merupakan hak yang tidak kekal dan mesti dikongsi bersama dengan orang lain.

Kepimpinan dan Politik

Faktor ini merujuk kepada personaliti dan ketokohan pemimpin serta bentuk pemerintahan yang digunakan.

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam perkara ini sehingga membawa kepada kelahiran dan perkembangan tamadun Islam.

Bentuk pemerintahan yang berasaskan agama mampu bertahan lama berbanding bentuk pemerintahan yang berasaskan pengalaman dan pengkajian manusia seperti komunisme dan sosialisme.

Ekonomi

Faktor ini sangat mempengaruhi perkembangan sosial dan politik. Ekonomi yang diasaskan di atas asas dan prinsip yang baik mampu membangunkan tamadun serta memberi kesejahteraan kepada hidup manusia.

Sistem ekonomi yang dapat mengimbangi kemajuan dari sudut material dan spirituil adalah sistem ekonomi yang wujud dalam kerangka tamadun Islam.

Hijrah

Dalam pengertian objektif hijrah ialah perpindahan secara fizikal daripada suatu tempat ke suatu tempat yang lain.

Dari sudut subjektif, hijrah ialah transformasi sikap, cara hidup, budaya, amalan, prinsip dan sebagainya yang tidak membawa kemajuan kepada yang membawa kemajuan.

Dalam hal ini, muhasabah menggunakan mekanisme agama sangat-sangat penting.

Penutup

Model-model yang dikemukakan di dalam pelajaran ini bukanlah bersifat teoretikal semata-mata.

Berpandukan nas-nas al-Quran dan hadis, jelas sekali faktor-faktor yang membawa kepada kelahiran, perkembangan dan kemerosotan tamadun seperti yang dibincangkan di dalam pelajaran ini adalah faktor-faktor yang sama yang dipaparkan oleh kedua-dua sumber tersebut melalui perjalanan sejarah tamadun umat silam.

Latar belakang dan perjalanan sejarah tamadun umat silam sebenarnya menjadi sebahagian daripada inti sari penting kandungan al-Quran.

Oleh itu, apa yang berlaku dalam ruang lingkup kosmologi tamadun umat silam kesemuanya bersifat fungsional iaitu menjadi rujukan dan pengajaran kepada umat Nabi Muhammad SAW dalam rangka memperkukuhkan sifat ‘ubudiyyah atau perhambaan kepada Allah SWT. (Abdul Rahman 2000: 217)

Dari perspektif ini, falsafah al-Quran ternyata mengajak manusia menjadikan sejarah sebagai rujukan paling baik dalam menilai perjalanan tamadunnya.

Pegangan agama ternyata menjadi faktor paling penting yang menentukan pembinaan, perkembangan dan kemerosotan tamadun manusia.

Pada umumnya, agama bukan hanya membekalkan kepada manusia nilai-nilai ketuhanan, tetapi turut membekalkan peraturan-peraturan sebagai panduan kepada manusia dalam konteks hubungan kemanusiaan.

Di samping itu, agama juga menyediakan bimbingan kerohanian dan pengisian emosi supaya manusia dapat menjalankan fungsinya sebagai khalifah dengan sebaik-baiknya dan seterusnya menepati ciri-ciri madani yang secara fitrah telah sedia wujud dalam dirinya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kleptokrasi Adalah Kerajaan Yang Mencuri Harta Negara Dan Wang Rakyat

sumber: syanuzaki

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon